Anda di halaman 1dari 5

TUGASAN 1:

Menyediakan laporan tentang masalah penguasaan kemahiran asas 4M dalam


kalangan murid pemulihan di sekolah-sekolah anjuran kementerian pelajaran Malaysia.

1.0 Pendahuluan

Terlebih dahulu, kemahiran asas 3M merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh
murid-murid semasa berada pada tahap satu persekolahan iaitu tahun 1 hingga 3. Jika murid
masih belum menguasai kemahiran asas 3M pada tahap satu, maka mereka pasti tidak dapat
menguasai subjek-subjek lain seperti Matematik dan Sains. Masalah tersebut akan
menimbulkan kesulitan kepada mereka apabila menaik ke tahap yang kedua. Kemahiran 3M
dianggap amat penting bagi menjamin kebolehan dan keupayaan murid untuk menguasai
kemahiran 4M. Jika dahulunya dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
fokusnya kepada 3M, kini dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) fokusnya
kepada 4M yang mana satu lagi M bermaksud menaakul.

Sebagai seorang bakal guru pemulihan, kita perlu mengambil tahu apakah masalah-
masalah yang telah menghalang penguasaan kemahiran 4M iaitu kemahiran membaca,
menulis, mengira dan menaakul dalam kalangan murid-murid pemulihan.Terdapat banyak
masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan dalam pengusaan kemahiran 4M.

1.1 Kemahiran Membaca

Masalah untuk mengenal huruf merupakan masalah paling asas dalam kemahiran
membaca. Sesetengah murid begitu sukar untuk mengenali 26 huruf abjad rumi. Walaupun
setiap hari diajar, mereka amat sukar untuk mengenali huruf apatah lagi untuk membaca suku
kata-suku kata dalam bahasa Melayu. Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama
kebanyakan kanak- kanak gagal membaca dengan baik. Keadaan ini menyebabkan kanak-
kanak akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka sahaja dan menjadikan
perkataan itu tidak bermakna atau berlainan makna. Oleh itu, guru pemulihan perlu
memastikan murid-murid sudah boleh menghafal semua abjad dengan lancar terlebih dahulu,
barulah mengajar mereka membaca suku kata, perkataan dan ayat.

Sementelahan, murid-murid kerap berkeliru pada huruf yang hampir sama semasa
membaca. Sebagai contoh, murid akan keliru dengan huruf ‘b’ dan ‘d’, huruf ‘u’ dan ‘n’ dan
seumpamanya yang mempunyai bentuk yang hampir serupa. Murid-murid juga akan keliru
apabila wujudnya perbezaan antara huruf besar dan huruf kecil kerana kurang pendedahan
awal semasa memperkenalkan huruf-huruf rumi. Misalnya, mereka akan keliru apabila A
menjadi a, b menjadi B mengikut situasi-situasi berkenaan. Hal ini disebabkan mereka
menghadapi masalah penglihatan dan berasa terganggu jika melihat terlalu banyak abjad
berada dalam sekeping kertas. Pihak guru sepatutnya memastikan murid-murid dapat
membezakan huruf-huruf yang hampir sama agar mereka dapat berjaya menguasai
kemahiran membaca dengan betul. Pihak guru boleh meminta murid menyanyikan lagu
tentang perbezaan bentuk huruf untuk membantu murid lebih mudah mengingati. Dengan ini,
murid-murid akan menyanyikan lagu-lagu apabila mereka terlupa bentuk-bentuk huruf.

Tambahan pula, faktor dalaman terpenting yang menyebabkan masalah membaca


dalam kalangan murid pemulihan ialah psikologi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa dua
aspek psikologi penting yang menyebabkan murid-murid sukar untuk menguasai kemahiran
literasi iaitu, kurang minat membaca dan kurang mengambil perhatian dalam kelas. Murid-
murid kelas pemulihan lebih aktif berbanding dengan murid-murid normal. Mereka sukar
mengawal emosi sendiri dan sering hidup dalam dunia sendiri. Oleh itu, pemerhatian dan
tumpuan mereka kepada guru yang sedang mengajar menjadi kurang dan lebih banyak
menumpukan perhatian untuk bermain sesama mereka. Masalah psikologi dalaman murid
merupakan masalah besar untuk menguasai kemahiran membaca. Oleh itu, bahan bantu
mengajar (BBM) amat perlu disediakan bagi menarik perhatian murid-murid pemulihan
supaya lebih berminat semasa proses P&P dijalankan.

1.2 Kemahiran Menulis

Murid-murid pemulihan juga menghadapi masalah dalam penguasaan kemahiran


menulis. Kemahiran menulis boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu kemahiran menulis
secara mekanis dan kemahiran menulis untuk pelahiran. Kemahiran menulis secara mekanis
merupakan kemahiran menulis secara peringkat awal yang perlu dikuasai agar murid-murid
dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Dari segi mekanis, masalah yang
dihadapi oleh murid dalam menguasai kemahiran menulis adalah seperti mencampuradukkan
huruf besar dan huruf kecil dalam penulisan, kecondongan dan bentuk huruf yang tidak kekal
iaitu ada ketikanya murid menulis secara menegak dan huruf yang bersaiz kecil ada ketikanya
berlaku secara berlawanan. Masalah salah ejaan dapat dikategorikan dalam penulisan
mekanis dan mentalis apabila ia melibatkan fungsi otak dalam menghasilkan perkataan-
perkataan betul seiring dengan penulisan dan pemikiran.

Dari segi penulisan mentalis pula, murid sering menghadapi masalah seperti lupa
format penulisan, lemah dalam penyampaian idea, lemah dalam penggunaan tanda baca,
penggunaan ayat yang tidak gramatis dan kosa kata terhad yang berpunca daripada kurang
pendedahan daripada guru dan kurang latih tubi dalam menguasai kemahiran menulis.
Selain itu, perkembangan motor halus murid-murid pula menjadi masalah yang serius
bagi penguasaan kemahiran menulis. Hal ini disebabkan perkembangan lambat dalam
kemahiran motor-motor halus mereka. Masalah ini mungkin berkaitan dengan keadaan
kesihatan murid-murid seperti penyakit sawan, terencat akal, buta, pekak atau disebabkan
diabetes. Sesetengah murid yang tiada bermasalah kesihatan pula gagal menguasai
kemahiran menulis kerana cara memegang pensil yang tidak betul. Mereka menganggap
menulis merupakan perkara yang paling susah dan letih kerana mereka tidak mahir dalam
memegang pensil menyebabkan mereka menghadapi dalam masalah penguasaan
kemahiran menulis. Mereka akan kehilangan keyakinan diri disebabkan tidak dapat
menghasilkan tulisan yang cantik. Oleh itu, pihak guru perlu mengambil berat terhadap
kemahiran motor halus murid-murid supaya mereka berjaya menguasai kemahiran menulis.

Lebih-lebih lagi, masalah murid pemulihan gagal menguasai kemahiran menulis ialah
mereka sering meninggalkan huruf semasa menyalin ayat. Misalnya, murid sanggup
meninggalkan perkataan ‘sangat’ apabila menyalin ayat ‘Ini seekor anjing yang sangat besar.’
Hal ini mungkin disebabkan oleh masalah penglihatan murid tersebut, masalah kepanjangan
ayat tersebut atau kekurangan memberi perhatian semasa menulis. Pihak guru perlulah
membantu mereka mengusai kemahiran menulis dengan tidak memberi ayat yang terlalu
panjang kepada mereka, manakala ayat yang paling ringkas perlu dilatih untuk menulis dahulu.
Menulis secara berperingkat boleh membantu murid pemulihan menguasai kemahiran
menulis dengan lebih cepat. Contohnya, ‘Ini anjing.’, ‘Ini seekor anjing.’, ‘Ini seekor anjing
yang besar.’, ‘Ini seekor anjing yang sangat besar.’ Dengan kaedah ini, murid pemulihan akan
mempunyai penglihatan yang lebih jelas terhadap ayat tersebut.

1.3 Kemahiran Mengira

Antara masalah yang dihadapi oleh murid pemulihan dalam penguasaan kemahiran
mengira adalah masalah tidak menguasai kemahiran asas matematik. Masalah menguasai
kemahiran asas matematik merupakan satu aspek yang sangat penting bagi seseorang murid.
Hal ini kerana Matematik merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

Murid-murid pemulihan sering menghadapi kesukaran dalam menguasai kemahiran


asas matematik. Mereka menghadapi masalah menguasai kemahiran mengatur objek-objek
mengikut saiz kecil, besar, panjang dan mengikut bilangan. Konsep turutan ini akan
membolehkan murid mencari pertalian antara satu objek dengan objek yang lain atau antara
konsep matematik dengan yang lain. Di samping itu, ada segelintir murid tidak dapat membuat
pertalian antara nombor ordinal dan nombor kardinal. Ada juga yang tidah boleh membuat
operasi asas seperti tambah, tolah, darab dan bahagi. Masalah tersebut perlu diselesaikan
sebelum murid-murid membenci subjek Matematik. Misalnya, pihak guru boleh melaksanakan
main peranan peniaga dan pelanggan dalam kelas untuk membantu murid menguasai
kemahiran wang. Oleh hal yang demikian, guru pemulihan perlukan mencari jalan yang efektif
bagi membantu murid pemulihan menguasai kemahiran mengira.

1.4 Kemahiran Menaakul

Kemahiran menaakul adalah salah satu daripada empat kemahiran teras dalam KSSR
selain daripada kemahiran membaca, menulis dan mengira. Pada pendapat kami, menaakul
merupakan kemahiran berfikir yang membolehkan seseorang murid itu membuat keputusan
berdasarkan akal dan logik. Jika murid diberikan ruang serta galakan untuk mengasah
kemahiran menaakul, maka keputusan yang dibuat oleh mereka akan lebih berkualiti dan
mereka juga akan dapat membezakan antara yang positif dan negatif. Kemahiran menaakul
pula menjadi masalah bagi murid-murid pemulihan. Kemahiran ini merupakan tambahan bagi
kemahiran asas 3M.

Antara masalah penguasaan kemahiran menaakul ialah guru pemulihan yang


menganggap murid-murid pemulihan sudah lemah dan tidak dapat menaakul soalan-soalan
yang diberi. Guru terus memberi jawapan kepada murid-murid tanpa menjelaskan faktor,
sebab dan akibat. Murid pemulihan yang bersikap lebih introvert hanya menerima idea-idea
daripada guru tanpa bertanya apa-apa soalan. Keadaan ini akan menyebabkan otak murid
pemulihan kurang berfungsi dan menyebabkan mereka menjadi semakin lembam. Oleh itu,
guru pemulihan perlulah sering bertanya murid "Kenapa kamu pilih cara ini?", "Bolehkah kamu
beri sebab kenapa kamu kata...", "Mengapakah penyelesaian sebegini menjadi pilihan
kamu?" dan lain-lain. Dengan ini, murid-murid pemulihan boleh dilatih untuk menguasai
kemahiran menaakul.

Masalah penguasaan kemahiran menaakul yang seterusnya ialah murid pemulihan


bersikap kurang berdikari dan sering bergantung kepada guru mereka. Mereka tidak berupaya
mengeluarkan pendapat mereka serta berfikir dengan kritis dan kreatif. Murid pemulihan juga
tidak yakin akan diri sendiri. Mereka sanggup bertanya kepada guru mereka kerana mereka
berasa idea-idea mereka kurang baik dan perlu mendengar idea guru. Jadi, sebagai seorang
akal guru pemulihan, kita perlu mengalakkan murid pemulihan berani menyuarakan
pandangan mereka serta menyokong mereka untuk meningkatan keyakinan murid-murid
pemulihan. Walaupun pemikiran mereka kurang betul, guru juga perlu membetulkan mereka,
bukan menegur dan memarahi mereka. Dengan ini, murid pemulihan dapat menguasai
kemahiran menaakul dalam proses P&P.
Bukan itu sahaja, murid-murid pemulihan yang bersikap malas dan tidak berminat
untuk belajar kemahiran baru akan menimbulkan masalah penguasaan kemahiran menaakul.
Hal ini disebabkan mereka kurang berminat untuk membaca buku dan menyebabkan mereka
kurang berpengetahuan dan tidak dapat menaakul dengan lebih tepat dan jelas. Mereka
kurang bermotivasi dalam pembelajaran mereka. Mereka hanya mendengar arahan guru dan
membuat kerja rumah yang sepatutnya sahaja. Mereka tidak bersikap gigih berusaha untuk
mencari pengetahuan yang baru atau sering bertanya soalan kepada guru. Bagi
mengurangkan masalah penguasaan kemahiran menaakul, murid pemulihan perlu mengubah
sikap mereka terhadap pembelajaran.

1.4 Penutup

Pendek kata, penguasaan kemahiran asas 4M ini merupakan perkara yang terpenting
untuk murid-murid semasa berada pada tahap satu persekolahan. Hal ini dikatakan demikian
kerana penguasaan kemahiran asas 4M dapat meningkatkan pemikiran murid pemulihan
secara kritis dan kreatif serta dapat memperkembangkan daya intelek mereka. Penguasaan
kemahiran 4M pula dapat meluaskan pengalaman, peluang belajar dan mengembangkan
potensi individu kanak-kanak melalui P&P yang terancang.

Program pemulihan khas ini sangat memerlukan kerjasama dari semua pihak demi
memastikan kemahiran 4M ini dapat dikuasai dengan baik. Ibu bapa perlu mengambil berat
tahap penguasaan 4M murid ini dengan cara berjumpa dan berbincang guru-guru di sekolah.
Usaha yang berterusan dan tidak mudah mengalah oleh ibu bapa dan guru-guru akan
menjamin kejayaan penguasaan 4M murid ini. Asas kemahiran 4M ini menjadi tunjang kepada
penguasaan ilmu-ilmu lain agar anak-anak ini menjadi insan yang seimbang dan dapat
menyumbang kepada agama, bangsa dan Negara.