Anda di halaman 1dari 7

DEFINISI KONSEP MORAL

Moral
Moral pada dasarnya berasal daripada perkataan Latin “mores’ yang
membawa maksud sama seperti etika (Ashmore, 1987). Namun, moral
merupaka satu perkara yang lebih merujuk kepada tingkah laku manakala
etika merujuk kepada peraturan-peraturan yang ditentukan untuk
memperbaiki sesuatu keadaan. Moral juga bersifat praktikal kerana moral
merupakan disiplin yang memberitahu apakah sistem moral yang dihayati oleh
sesuatu masyarakat dan etika pula bersifat teoretika kerana etika mengkaji,
menganalisis dan mengkritik sistem moral tersebut. Perkara ini menerangkan
moral merupakan bahan yang dikaji oleh etika manakala etika adalah ilmu
yang mengkajinya.

Mengikut kamus Oxford Advanced Learner’s, Edisi keenam, moral


bermaksud kesedaran tingkah laku betul dan salah, apa yang perlu dipatuhi
dan ditinggalkan serta bersifat praktikal. Moral juga bermaksud sebagai
tingkah laku yang sesuai dengan tatasusila atau peraturan masyarakat
setempat di mana masyarakat bertindak sebagai penentu. Pertimbangan
moral juga bergantung kepada suasana atau keadaan yang membentuk
individu contohnya seperti sistem sosial, kelas sosial dan kepercayaan yang
dianuti. Kesedaran moral mempunyai hubung kait dengan hati nurani atau
dalam bahasa asing disebut conscience, conscientia, gewissen, geweten dan
dalam Bahasa Arab disebut qalb, fu’ad. Kesedaran moral ini merangkumi tiga
perkara iaitu kewajipan untuk melakukan tindakan bermoral, wujud
berasaskan rasional dan objektif iaitu sesuatu perbuatan secara umum dapat
diterima oleh masyarakat dan ketiga ialah muncul dalam bentuk kebebasan.

Sebagai contoh, dalam kehidupan bermasyarakat, kesedaran moral


dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan progresif. Hal ini kerana,
kesedaran moral yang wujud dalam setiap diri masyarakat dapat memupuk
persefahaman, bertimbang rasa, tolong-menolong dan lain-lain nilai yang baik.
Perkara ini seterusnya akan membantu dalam melahirkan sebuah negara
yang aman dan tenang di mana setiap rakyat akan sentiasa berasa selamat
dan sejahtera dengan adanya masyarakat yang mempunyai kesedaran moral
yang tinggi.
Contoh diatas jelas menyokong kata-kata Thomas Hobbes yang telah
menggambarkan kepentingan hidup bermoral seperti berikut,
“Tanpa peraturan sosial (moral), akan wujud satu keadaan konflik yang
tidak berkesudahan dan persengketaan yang mengakibatkan kehidupan
manusia menjadi jahat, bersifat buas dan angkuh”.
(Mohd. Janib Johari, 1994).

Akhlak

Akhlak boleh ditakrifkan melalui dua pendekatan iaitu linguistic(kebahasaan) dan


pendekatan terminologic(peristilahan). Akhlak dari sudut bahasa berasal daripada
perkataan arab, ‘khuluq’ yang bermaksud budi pekerti. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak
merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan
daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan
pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar
dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala
tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam
jiwanya.

Dari sudut istilah pula, akhlak merujuk kepada tingkah laku, tutur kata,
penampilan atau imej diri berlandaskan kepada ajaran Islam. Erti kata lain,
akhlak adalah satu bentuk tingkah laku yang berkaitan dengan nilai-nilai murni
yang mesti dilakukan oleh setiap individu. Merujuk Ibn Miskawih(w. 421
H/1030 M) yang terkenal sebagai pakar bidang akhlak
terkemuka menerangkan takrif akhlak dari sudut istilah sebagai sifat yang
tertanam dalam jiwa yang mendorong seseorang untuk melakukan perbuatan
tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. Manakala menurut Imam
Al-Ghazali (1015-1111 M) yang lebih dikenali sebagai Hujjatul Islam(pembela
Islam) telah mentakrifkan akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa
yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa
memerlukan pertimbangan terlebih dahulu. Menurut Profesor Dr Ahmad
Amin, akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan
yang mudah dilakukan.

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan
sifat dan pembawaan dalam hatinya. Sebagai contoh, analogi berkaitan akhlak ini boleh
diumpamakan seperti pokok dengan akarnya yang membawa maksud tingkah laku atau
perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya. Sama seperti pokok apabila baik
akarnya maka baiklah pokoknya. Jika rosak akar, maka akan rosaklah pokok
dan cabangnya. Contoh ini dikukuhkan lagi dengan firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah,
dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah
Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”

(Al- A’raf:
58)

Etika
Definisi etika dari segi bahasa, berasal daripada bahasa Inggeris “Ethic” dan
bahasa Greek “Ethos” yang membawa maksud nilai-nilai atau perkara yang berkaitan
dengan sikap yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan.

Etika dari segi istilah telah dikemukakan oleh para filosofi dengan maksud yang
berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing. Menurut Frankena(1973), etika
merupakan falsafah moral atau pemikiran falsafah tentang kemoralan, masalah moral dan
pertimbangan moral. Menurut Ahmad Amin (1983) pula, beliau mengertikan etika adalah
ilmu yang menjelaskan baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan
oleh manusia dan menyatakan tujuan di dalam perbuatan mereka. Begitu juga menurut
Abdul Fatah Hassan (2001), etika ialah tindakan menyelidik, memikirkan dan
mempertimbangkan mengenai yang baik dan yang buruk. Selain itu,
menurut Encyclopedia Britanica, etika dinyatakan sebagai falsafah moral yang berkaitan
dengan pembelajaran sitematik mengenai sifat dasar dari konsep-konsep nilai baik, buruk,
harus, benar, salah, dan sebagainya.

Berdasarkan definisi-definisi etika berikut, dapat dinyatakan bahawa


etika merupakan ilmu pengetahuan yang berhubung dengan
keupayan menentukan perbuatan yang dilakukan manusia untuk dikatan baik
atau buruk. Erti kata lain, etika adalah aturan atau pola tingkah laku yang
dihasilkan oleh akal manusia bagi membezakan antara yang baik dan buruk
dalam masyarakat serta membatasi perlakuan baik dan jahat . Etika
merupakan tingkah laku dan kelakuan moral yang dijangka diikuti oleh
manusia sejagat manakala ilmu etika merupakan satu disiplin ilmu yang
mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta
kelakuan manusia yang betul. Fungsi etika menggariskan beberapa prinsip
atau ukuran asas untuk menentukan apakah tingkah laku yang betul, apakah
yang salah, apakah tingkah laku yang bertanggungjawab dan apakah yang
tidak.

Contohnya, mencuri dan merosakkan harta kerajaan merupakan


perbuatan vandalisme dan salah mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Kedua kelakuan tersebut sememangnya salah dan melanggar etika
kemasyarakatan sehingga menghalang hak dan mengganggu keselesaan
orang lain untuk menggunakanya. Fungsi etika mengkelaskan perlakuan
tersebut adalah salah dan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab bagi
menentukan batas kelakuan yang baik dan jahat yang meliputi pelbagai ragam
masyarakat.
Perbezaan Akhlak, Moral dan Etika

Akhlak secara umumnya ialah sistem atau tingkah laku manusia yang
bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak. Sementara itu, etika ialah sistem tingkah
laku manusia bersumberkan selain daripada wahyu iaitu bersumberkan falsafah. Tingkah
laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat pula dinamakan moral.

Akhlak merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia,
manakala moral ialah satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia sahaja. Akhlak
juga mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia
dengan Pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain. Moral
pula hanya mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan
manusia dengan manusia sahaja. Nilai-nilai yang terdapat dalam akhlak bersifat mutlak,
sempurna dan tetap manakala nilai-nilai moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.

Contoh bagi membezakan akhlak dan moral mengikut perspektif Islam ialah dari
segi pemakaian, pemakaian bagi seseorang muslim mengikut Islam mestilah menutup
aurat dan jika individu muslim tersebut tidak menutup aurat, mereka dikatakan tidak
berakhlak kerana telah melanggar ajaran yang ditetapkan tetapi mengikut pandangan
moral jika seseorang itu mendedahkan aurat tetapi masih mempunyai perlakuan yang
baik, mereka masih dianggap bermoral.

Moral merupakan sebahagian daripada etika. Masalah etika adalah


berkaitan dengan sesuatu yang membuahkan hasil yang salah atau sesuatu
yang tidak adil. Ruang lingkup perbincangan etika adalah lebih luas
berbanding dengan moral. Fokus etika lebih luas mencakupi estetika, etika
profesional, tingkah laku dan logik. Etika mempunyai peranan yang besar
dalam kehidupan manusia bagi menyediakan prinsip tanggungjawab dan
menilai tindakan yang berkaitan dengan kemanusiaan. Moral pula merujuk
kepada cara berfikir, bertindak dan bagaimana mereka harus bertindak,
manakala etika adalah falsafah moral berkaitan dengan masalah betul atau
salah. Contohnya adalah seperti penggodaman atau ‘hack’. Permasalahan ini
bukan masalah berkaitan etika tetapi adalah kesalahan moral untuk
mendapatkan capaian yang tidak mendapat kebenaran

RUJUKAN

BUKU

Kelly, K. (2005). Menghentikan perilaku buruk anak. (M. Kusumawati, penerj.).


Jakarta: Bhuana Ilmu Populer. Karya asli dipublikasikan tahun 2003
Mulyadi, S. (1997). Mengatasi problem anak sehari-hari. Jakarta: PT. Elex Media
Komputindo.

Vishalache Balakrishnan. (2009). Pendidikan Moral untuk Universiti dan Kolej.


Shah AlamSelangor: Arah Pendidikan Sdn Bhd.

INTERNET

https://www.slideshare.net/exna/nilai-nilai-murni-dalam-setiap-agama-di-malaysia

http://amelan2013.blogspot.my/2013/06/nilai-agama-dan-masyarakat.html

https://www.slideshare.net/zulhaziq2/insan-bermoral

http://treebuilder.blogspot.my/2010/11/nilai-nilai-murni-dari-perspektif.html

http://hadzyan.blogspot.my/2011/07/agen-agen-sosialisasi-nota-minggu-10.html

Anda mungkin juga menyukai