Kumpulan:
Matahari telah memancarkan sinarnya menandakan pagi telah pun tiba. Aku perlahan-lahan
membuka mataku yang terasa amat berat. Semuanya seperti mimpi ngeri yang dialami saat
malam hari. Fikiranku sentiasa mengatakan segalanya hanyalah mainan tidur walaupun
sudah sebulan berlalu. Akibat perasaanku yang masih tidak percaya akan perkara yang
telah berlaku, setiap pagi aku menggagahkan diri untuk menjenguk ke bilik yang terdapat di
sebelah bilikku. Ku memusing tombol pintu dan melangkah ke dalam. Tiba di bilik yang ku
kenal itu, perasaanku bercampur-baur lebih-lebih lagi apabila kuterpandang hadiah
ulangtahun ke-17 yang kuhadiahkan kepadanya bulan September lepas. Sebak di dada
hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hadiah itu merupakan sebuah boneka yang berwarna putih
yang kini sudah ada kesan jahitan. Masih kuingat boneka tersebut telah kujahit kerana telah
beberapa kali dikoyakkan bahkan digunting kerana perasaan amarahnya terhadapku. Hati
ibu mana yang tidak tergores bila pemberian tidak dihargai. Namun kasihku kepadanya tidak
pernah berkurang bahkan kutatang bagaikan minyak yang penuh. “Anak, ibumu ini sungguh
sunyi. Ketiadaanmu membuat ibu semakin rapuh. Ibu rindu akan gelak tawamu, nak. Salah
ibumu ini juga kerana tidak mampu mendidikmu dengan baik sejak kecil lagi,” kataku
sendirian sambil bersimpuh di tepi katil miliknya. Teringat akan masa lalu sebelum arwah
meninggalkan dunia yang fana ini.
Amira seorang anak yang sangat cantik dan sangat ramah. Dia seorang anak yang
sangat pintar berkata-kata dan selalu memperoleh keputusan yang cemerlang ketika di
bangku sekolah rendah sehinggalah pertengahan sekolah menengah. Memandangkan
cahaya mataku hanya seorang sahaja, jadi kasih sayangku kepadanya tidak berbelah
bahagi. Namun demikian, penampilannya itu tetap tidak berubah walauppun sudah masuk
ke alam remaja. Potongan rambutnya yang pendek dan cara berpakaiannya seperti
seeorang lelaki. Aku beranggapan mungkin Amira boleh berubah sendiri bila tiba masanya
nanti. Amira sangat rapat dengan ayahnya jika dibandingkan denganku. Hal ini demikian
kerana ayahnya lebih kerap berada di rumah kerana dia merupakan seorang guru. Jadi,
ayahnya lebih mudah memerhatikan tingkahlakunya. Aku kurang mempunyai masa
bersamanya kerana aku merupakan seorang usahawan yang berjaya dalam industri
kosmetik. Aku tahu semua anak memerlukan kasih sayang daripada seorang ibu melebihi
segalanya lagi-lagi anak perempuan namun apakan daya kerana urusan kerjaku yang
membatasi semua. Semua permintaanya kami berdua penuhi kerana Amira seorang sahaja
yang telah Tuhan anugerahkan kepada kami. Kematian suamiku ketika Amira di Tingkatan 3
telah mengubah segalanya termasuk hidup Amira. Kata orang setiap yang berlaku ada
hikmahnya. Mungkin ini terjadi untuk merapatkan hubunganku dengan Amira.
Setelah kematian suamiku, aku mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan
bersama Amira. Semua keinginannya kupenuhi lebih-lebih lagi ketika dia berada di akhir
alam remaja iaitu Tingkatan 5. Aku pernah terdengar kata-kata jiranku yang mengatakan
anakku itu tidak senonoh kerana berpenampilan seperti seorang lelaki. Pernah sekali aku
bertikam lidah dengan guru kelasnya kerana guru tersebut seolah-olah mempersoalkan
jantina Amira. Ya, hati ibu mana yang tidak marah bila anak kelahirannya diejek? Amira
masih berlagak biasa ketika duduk di sampingku pada ketika itu. Memang benar Amira lebih
suka berkawan dengan pelajar lelaki namun itu tidak menjadi masalah kepadanya. Hal ini
demikian kerana sejak kecil dia memang sering berkawan dengan lelaki dan dia pun selesa.
Katanya, kawan perempuan tidak suka dengannya kerana perwatakan dan penampilannya.
Mungkin itu kesan daripada ayahnya yang lebih sering mengasuhnya daripada ibunya.
Asuhan seorang ibu dan ayah berbeza sebenarnya kerana masing-masing mempunyai cara
yang berbeza. Namun tidak pernah kuprotes cara suamiku memilih pakaian untuknya dan
mengasuhnya kerana aku pada ketika itu hanya mementingkan urusan kerja.
“Ibu, apa ni? Amira tak sukalah boneka ni. Bazir duit ibu saja. Lebih baik ibu beli
motorsikal untuk Amira. Bolehlah guna pergi ke mana-mana. Ibu memang tak faham Amira
ke? Ibu nampak Amira ni macam perempuan ke suka boneka bagai? Oh ya, ibu tak pernah
jaga Amira pun selama ni,” bentaknya ketika aku menghadiahkan sebuah boneka beruang
kepadanya. Diambilnya gunting dari laci terus diguntingnya tangan dan telinga beruang
tersebut. “Amira! Jangan biadab dengan ibu. Arwah ayah tak pernah ajar Amira kurang ajar
dengan orang tua,” kataku kepadanya. Robek hatiku melihat pemberian tersebut
diperlakukan sebegitu. Setelah kuberkata demikian, Amira berlalu keluar, “Amira pergi dulu,
ada study group dengan kawan”. Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil menepuk dada.
Kelihatan seorang remaja lelaki menunggang sebuah motorsikal sedang menanti di
hadapan rumah. Motorsikal itu memecut laju apabila Amira sudah menumpang di
belakangnya. Hendak kuteriak namun motorsikal tersebut telah jauh meningalkan
perkarangan rumah. Mungkin Amira benar hendak belajar dengan kawan-kawannya kerana
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) akan tiba tidak lama lagi. Aku pun bergegas ke
tempat kerjaku kerana jam sudahpun menunjukkan pukul 5 petang.
Setiap hari Amira akan dijemput oleh seorang remaja lelaki. Katanya mereka
mempunyai kerja berkumpulan yang perlu diselesaikan. Pada mulanya aku turuti dan
endahkan begitu sahaja kerana aku tidak mahu mengongkongnya. Aku tidak mahu anakku
yang satu itu membenciku jika aku menyekat kebebesan yang selama ini diberi.
Sehinggalah suatu hari aku terpandang luka yang agak dalam di bahagian siku kanannya.
Aku bertanya namun katanya dia jatuh dari basikal semasa pergi ke sekolah. Masih jelas
gambaran peristiwa itu. Dek hatiku yang tidak berapa sedap pada hari itu, aku pulang lebih
awal pada malam itu. Aku mengikuti motorsikal yang ditumpang oleh Amira yang kebetulan
baru melimpasi aku. Aneh kerana jalan yang kulalui itu gelap dan tersembunyi. Ketika itu
jam menunjukkan pukul 10 malam. Tidak lama kemudian Amira dan kawannya itu berhenti
di sebuah kawasan jalanraya. Kuletakkan kereta jauh dari kawasan tersebut dan berjalan
menuju ke tempat itu. Saat aku datang di sana, aku tergamam melihat betapa ramainya
pemuda-pemudi menunggang motosikal di atas jalanaraya tersebut. Akhirnya aku dapat
menangkap sesuatu. Selama ini Amira tidak belajar dan membuat kerja berkumpulan namun
terlibat dalam jenayah lumba haram. Berkecai hatiku bila dapat menafsir apa yang telah
berlaku selama ini.
Akibat amarahku, aku bergegas menuju ke garis permulaan. Kulihat Amira sedang
menunggang motorsikal dan memecut laju sebaik sahaja bendera hijau dikibarkan. “Amira!
Ini yang Amira buat selama ini! Anak pembohong!,” teriakku dari tepi trek. Amira menoleh ke
belakang sambil memecut laju. Kelihatan tergamam melihat keberadaanku di situ. Tiba-tiba,
motorsikal yang ditunggang oleh Amira hilang kawalan. Amira merempuh sebuah pokok tua
yang berada di tepi jalanraya. Aku terus berlari sekuat hati menuju ke kawasan kejadian.
Aku dapatkan tubuh anakku itu. Ku peluk dalam dakapanku. “Amira, bangun nak. Ibumu di
sini. Bernafas, nak,” kataku dengan tangisan sedu-sedan. Namun tiada yang dapat
menandingi kuasa Tuhan. Tuhan telah mengambil Amira. Gelap seketika kehidupanku saat
itu. Satu-satunya anak yang kukasihi telah pergi meninggalkan buat selama-lamanya.
Bagaimana dengan peperiksaanmu, nak? Amira lupakah dengan harapan ibu dan ayah
yang ingin melihat Amira berjaya? Siapa yang akan menemani ibu lagi? Tiada yang akan
bertengkar dengan ibu lagi. Salah takdirkah? Bukan, salahku kerana tidak mendidik anak
dengan baik. Salahku kerana selalu tidak mempunyai waktuuntuk memabntu ayahmu
menjagamu ketika kecil sehingga remaja. Sampai bila-bila pun, aku tidak akan pernah
berhenti menyesal.