Anda di halaman 1dari 4

Pidato: Tanggungjawab Ibu Bapa Memupuk Semangat Patriotik dalam jiwa anak-anak

Lada sulah banyak di kuala,


akarnya sampai ke tepi kolam;
Awal bismillah pemula kata,
bertanya khabar dengan salam.

Sekalung terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis,barisan


panel hakim yang arif lagi bijaksana,penjaga masa yang peka akan jam randiknya,serta
hadirin yang saya muliakan .Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kerana diberi peluang untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertemakan 'Peranan
Ibu Bapa dalam Menyemai Semangat Cinta akan Negara dalam Kalangan Anak-Anak'.
Hadirin yang dihormati,
Sebelum saya mengupas tajuk ini dengan lebih lanjut,adalah lebih molek kiranya
saya memberikan definisi beberapa frasa dalam tajuk ini. Menurut Kamus Dewan Edisi
Ketiga, ibu bapa ditakrifkan sebagai orang tua iaitu emak dan ayah manakala anak-
anak bermaksud orang yang dijaga oleh ibu bapa sejak kecil .Semangat cinta akan
negara pula bermaksud perasaan sayang yang berkobar-kobar terhadap negara
.Secara umumnya,ibu bapa memainkan beberapa peranan yang signifikan dalam
membentuk peribadi anak-anak agar cinta akan negara .Definisi sudah diulas,tiba
masanya agenda dikupas.
Warga dewan yang dimuliakan,
Penggunaan peranti terkini pencetus semangat patriotik. Pada zaman milenium
yang serba canggih dengan pembaharuan sains dan teknologi ini,ibu bapa perlu bijak
mengaplikasikan penggunaan teknologi sebagai teras pendidikan nasionalisme dalam
sanubari anak-anak. Ibu bapa sebagai orang yang terlebih dahulu makan garam
berbanding anak-anak yang setahun jagung perlulah bijak mengambil inisiatif dengan
menggunakan dan menelusuri laman sosial yang terdapat di alam maya seperti Twitter,
Facebook, Whatsapp, Wechat dan sebagainya. Ibu bapa dapat meleraikan kekusutan
dengan melayari Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan sejarah
perjuangan tokoh-tokoh negara untuk diceritakan kepada anak-anak dengan hanya
satu sentuhan. Hal ini secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat
patriotisme dalam kalangan anak-anak di samping dapat mengeratkan silaturahim
antara ahli keluarga. Konklusinya,teknologi maklumat dapat memudahkan ibu bapa
menyemai semangat patriotisme dalam jiwa anak-anak seterusnya dapat melahirkan
generasi muda yang celik IT serta menjadi teras pembangunan negara pada masa
hadapan kerana pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara.
Disingkap daripada perspektif lain pula,lawatan ke tempat bersejarah pencetus
semangat patriotik dalam sanubari anak-anak. Di nusa yang tercinta ini terdapat
pelbagai tempat yang terpahat dengan peninggalan sejarah yang merupakan mutiara di
tanah air yang bertuah ini seperti Kota A Famosa, Lembah Bujang dan Kubu Rentap di
Bukit Sadok. Lawatan seumpama ini akan memberikan implikasi yang positif terhadap
diri anak-anak dalam memahami dan menghayati perjuangan tokoh tempatan yang
telah terkorban dalam mempertahankan tanah air seperti Tok Janggut,Mat Salleh,
Datuk Bahaman, Dato' Maharaja Lela dan Rentap kerana hanya jauhari jua yang
mengenal manikam. Hal ini juga akan membolehkan anak-anak mengerti betapa
bermaknanya setiap titisan darah yang mengalir di bumi Malaysia seperti yang tercatat
dalam bait-bait lirik lagu kebangsaan kita iaitu Negaraku. Sejarah perjuangan tokoh-
tokoh juga dapat difahami dan dihayati melalui proses pembacaan yang dilakukan
ketika mengunjungi tempat bersejarah di samping dapat mengukuhkan tautan
mahabbah antara anggota keluarga. Lawatan sebegini juga mampu menimbulkan
semangat cinta akan negara dalam sanubari supaya berhati-hati dalam mencorakkan
pembangunan negara agar tidak dijajah buat kali kedua. Eksplisitnya,lawatan ke tempat
bersejarah merupakan satu wahana untuk semarak suburkan semangat patriotik dalam
diri anak-anak.
Hadirin sekalian,
Pada hakikatnya,ibu bapa berperanan menyemai dan menyemarakkan nilai
patriotisme dalam kalangan anak-anak melalui pembelian buku dan novel yang
berteraskan nasionalisme. Proses pembacaan dalam kalangan anak-anak merupakan
wadah dalam membantu perkembangan minda melalui pentafsiran dan pemahaman
secara terperinci tentang erti patriotisme. Tamsilnya,novel yang mengupaskan sejarah
seperti novel Keris Melaka hasil titik peluh Ahmad Bakhtiar telah menggambarkan
kisah-kisah semangat perjuangan tokoh terdahulu dalam menentang penjajah barat
seperti Portugis .Novel ini juga menggunakan sejarah perjuangan sebagai inspirasi dan
pedoman untuk mendorong semangat perjuangan bangsa bagi generasi muda.
Pembacaan buku berunsur sejarah perlu disemai sejak kecil kerana melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Secara deduksi, pemilihan buku dan novel yang mempunyai
nilai yang baik mampu menerapkan semangat patriotisme dalam jiwa anak-anak kerana
benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau,terlontar ke udara menjadi
kejora,tercampak ke bumi menjadi penawar.
Penyertaan dalam pelbagai sambutan di dalam negara pemangkin semangat
patriotisme dalam sanubari anak-anak. Demi merealisasikan misi yang murni ini,ibu
bapa hendaklah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan hari kebesaran
negara seperti sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos,sambutan Hari Malaysia
pada 16 September dan sebagainya .Dengan menyertai sambutan Hari Kemerdekaan
ini,semangat patriotik dapat disemai dalam diri anak-anak. Contohnya, anak-anak dapat
memahami erti patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang,menyaksikan
pendeklamasian sajak serta mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan para
pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri
kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sambutan
seumpama ini diadakan. Kisah di sebalik kemewahan dan keamanan negara dapat
diungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa
banyak harta benda yang perlu dikorbankan demi melihat Malaysia gah di seantero
dunia. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga,anak-anak akan mendapat peluang
untuk melihat persembahan kebudayaan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan
antara satu sama lain. Secara tidak langsung perpaduan yang kukuh bagai aur dengan
tebing antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang
bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa jika ibu bapa dapat membawa anak-anak
menyambut Hari Kemerdekaan,peribadi anak-anak yang kamil dapat dibentuk.
Hadirin pemangkin aspirasi negara,
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bidalan ini membuktikan bahawa
anak-anak akan mengikut jejak langkah orang tuanya .Secara analogi,anak-anak
merupakan kain putih dan ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan kain itu .Jika
bercalit warna hitam, maka hitamlah kain itu dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu,ibu
bapa sewajarnya berhati-hati menentukan warna kehidupan anak-anak agar tidak
terpesong daripada norma hidup sebagai insan yang berjiwa patriotik .Langkah murni
ini mampu diaplikasikan apabila ibu bapa menjadi suri teladan atau 'role model' kepada
anak-anak. Ibu bapa bertindak sebagai “qudwah hasanah” dalam setiap aspek
kehidupan seperti tatacara bertutur dan berpakaian .Ibu bapa juga perlu mengamalkan
prinsip yang sama dengan menghargai jerih-perih pejuang negara dalam
membebaskan watan daripada cengkaman kuku besi penjajah. Anak-anak yang naif
pada awalnya akan mula mencerminkan sikap ibu bapanya seterusnya meningkatkan
semangat patriotisme yang berkobar-kobar dalam diri mereka bagaikan pendekar yang
dibacakan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah. Tambahan pula,mereka juga pasti akan
melaksanakan usaha yang sama terhadap generasi seterusnya sehingga ke akhir
zaman.Jika usaha ini dilakukan dengan istiqamah,pasti semangat cinta akan negara
tidak akan sirna dalam diri anak-anak. Tuntasnya,ibu bapa merupakan murabbi terbaik
demi melahirkan semangat patriotik yang tidak akan pernah padam dalam diri anak-
anak.
Sebelum layar kalam dilabuhkan,moleklah dirumuskan bahawa ibu bapa
memainkan peranan penting dalam menyemai semangat patriotik dalam sanubari anak-
anak. Islam juga mengambil berat tentang pembentukan semangat patriotisme dalam
kalangan umatnya. Buktinya,hadis riwayat At-Tarmidzi meriwayatkan,'sesungguhnya
tiada anugerah yang tidak ternilai melainkan penerapan akhlak yang mulia kepada
anak-anak'. Hal ini jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab ibu bapa dalam
mencorakkan patriotisme dalam jiwa anak-anak demi melahirkan sahsiah mereka yang
terpuji. Oleh itu,ibu bapa tidak sewajarnya lepas tangan terhadap tugas mereka demi
mencapai objektif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa yang bertamadun
..Definisi sudah diulas,agenda sudah dikupas .
Jika ada sumur di ladang,
boleh saya menumpang mandi;
Jika ada umur yang panjang,
boleh kita berjumpa lagi.
Semoga bertemu lain hari .
Salam diberi mohon permisi.
Gabungan Idea: Para pelajar 5 AGAMA SMKDSA hasil bimbingan Guru Bahasa Melayu
(Pn Faizah binti Abdul Akib)