Anda di halaman 1dari 5

“Warkah daripada Kakngah”

Assalamualaikum….

Ke hadapan mak yang kak ngah sayangi dan rindui… semoga kehadiran warkah ini tidak

mengganggu ketenangan dan kebahagiaan mak bersama keluarga…

Mak, kini Kakngah sudah berusia 37 tahun. Maknanya, sudah 20 tahun Kakngah

bergelumang dengan najis dadah yang bernama heroin ni. Untuk pengetahuan mak, Kakngah dah

penat menjalani hidup sebagai penagih. Kakngah selalu teringatkan kampung halaman kita di

Pedas, Negeri Sembilan. Kakngah masih ingat masa sekolah dulu, Kakngah pernah jadi murid

harapan, memegang jawatan sebagai pengawas serta mewakili sekolah dalam pertandingan Bola

Jaring, Hoki dan Lontar Peluru. Kakngah juga aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Merah.

Mak, Kakngah juga selalu teringatkan kaklong serta adik-adik; Paan, Teha dan Aus.

Besar jasa Kaklong sebab sudi tolong ambil anak kedua Kakngah sebagai anak angkat dia. Apa

khabar anak Kakngah, mak? Sudah 2 tahun Kakngah tak dapat melawat dia sebab Kakngah

berada dalam tembok dinding tirai besi ni, mak. Anak Kakngah yang sulung pun dah berusia 18

tahun. Dah jadi anak dara, mak. Mujur bekas kakak ipar Kakngah sudi jagakan dia. Tapi mak,

Kakngah tak pernah berpeluang melihat kedua-dua anak ini membesar kerana leka dengan

syurga palsu ciptaan Kakngah sendiri…. Kakngah hanya berjasa sebagai ibu yang

mengandungkan serta melahirkan mereka.

Kakngah masih ingat detik-detik mula menyebabkan Kakngah terjerumus dalam

penagihan heroin ni, mak. Masa mula-mula Kakngah cuma ingin bebas daripada kongkongan

mak dan abah. Kakngah rasa leceh menjaga adik-adik yang masih kecil. Kalaulah Kakngah

dengar cakap mak dan abah dulu, mesti Kakngah tidak perlu melalui kehidupan yang suram
sebagai seorang penagih dan pengedar heroin. Perasaan ingin tahu menyebabkan Kakngah

memberanikan diri terjebak dengan dadah, mak. Atas dasar cinta juga Kakngah sanggup menjadi

isteri kepada 2 orang Tokan dadah. Kakngah mengedar dadah untuk menampung perbelanjaan

untuk membeli dadah bagi kegunaan Kakngah sendiri. Tapi mak, duit untuk belanja anak

Kakngah tu duit Kakngah kerja jual tiket. Duit halal, mak…

Kakngah tidak pernah salahkan didikan mak dan abah…. Keluarga kita mempunyai latar

belakang agama yang bagus. Selama ini mak, abah dan adik-beradik sentiasa memberi sokongan

moral untuk membantu Kakngah mengekalkan kepulihan. Tapi mak, Kakngah yang leka….

Kakngah alpa… masih lalai dengan syurga dunia ciptaan Kakngah sendiri…. Kakngah masih

ingat lagi pengalaman pertama berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Tempat

pertama yang dijejaki Kakngah adalah Puduraya. Di sini bermulalah kerjaya Kakngah sebagai

ejen tiket. Rakan-rakan serumah merangkap rakan sekerja yang lebih dewasa sering masuk ke

tandas awam beramai-ramai. Namun, apabila ditanya mereka sering mengelak. Pada suatu hari,

mereka pelawa Kakngah untuk menyertai mereka. Atas dasar ingin tahu. Kakngah mencuba dan

akhirnya terus terjebak dalam penagihan dadah jenis heroin ni, mak.

Mak, Kakngah menagih dengan cara suntikan kerana Kakngah tidak mempunyai banyak

masa untuk mengambil dadah dengan cara menghidu walaupun Kakngah tahu risikonya tinggi.

Cara suntikan hanya mengambil masa hanya 7 saat untuk mendapat kesan yang diingini

berbanding dengan cara menghidu yang memerlukan masa sehingga 10 minit untuk mendapat

kesan yang diingini. Kakngah perlu cepat dan sentiasa bersedia untuk menghantar dadah yang

dipesan pelanggan. Tapi kalau Kakngah mempunyai masa dan tidak terburu-buru menghantar

dadah kepada pelanggan, Kakngah akan menghidu asap yang terhasil setelah heroin tersebut

dibakar di atas kepingan timah. Tapi mak, cara macam ni Kakngah kurang gemar kerana masa
yang diperlukan untuk menghabiskan satu sesi menghidu heroin iaitu 30 minit hingga ke 2 jam

memandangkan ia tidak boleh disedut dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa kerana

rasanya yang pahit.

Mak, dalam sehari Kakngah perlukan dua batang heroin dengan harga RM10 bagi setiap

batang. Bila Kakngah congak semula pendapatan sebagai ejen tiket, Kakngah mula terfikir untuk

mencari pendapatan sampingan. Kakngah mula membeli 5 gram dadah bernilai RM100 dan

membungkus heroin tersebut kepada beberapa bungkusan kecil dan menjual sebahagian daripada

bungkusan-bungkusan kecil tersebut. Sebahagian lagi Kakngah simpan untuk kegunaan sendiri.

Tahun 2004 melakar sejarah hitam dalam hidup Kakngah. Kakngah ditangkap oleh polis

ketika sedang menagih dadah dan dimasukkan ke Penjara Wanita Kajang selama 2 bulan. Tapi

mak selepas itu, keluar dan masuk penjara sudah menjadi kebiasaan Kakngah. Lagipun, pada

masa itu, Kakngah hanya dijatuhi hukuman singkat iaitu tidak melebihi 6 bulan penjara.

Mak, ingat lagi tak, selepas perkahwinan Kakngah yang pertama dulu gagal, Kakngah telah

berkahwin untuk kali kedua. Bekas menantu mak ni seorang tokan dadah juga. Namun

perkahwinan yang diharapkan bahagia ini tidak seperti yang dijangkakan apabila suami Kakngah

curang dengan kawan baik Kakngah sendiri. Apa yang lebih menyedihkan apabila dia tidak

mengaku sebagai bapa kepada anak yang sedang di kandung oleh Kakngah. Peristiwa ini

membuatkan Kakngah jatuh semula mak, selepas Kakngah berjaya pertahankan kepulihan

selama 2 tahun. Dek kerana melayan rasa kecewa dan marah Kakngah terhadap bekas suami tu,

Kakngah terus mengguna dan menjual dadah. Tapi kali ini Kakngah rasa puas sebab berjaya

menguasai sebahagian pasaran dadah kawasan di kawasan Pudu.


Mak, selama Kakngah di penjara selama 8 kali, dan diinstitusikan di CCRC Bachok mak

tidak pernah gagal menjemput Kakngah pulang. Terima kasih, mak… semasa berada di CCRC

Bachok Kakngah telah mempelajari pelbagai kaedah untuk mengatasi relapse selain mengenali

pencetus luaran dan dalaman. Kakngah betul-betul insaf dan ingin berubah. Di sinilah bakat

Kakngah dalam memberi motivasi telah dicungkil oleh kaunselor Pn Siti Salmah. Kakngah

sering dilibatkan dalam program mencungkil bakat seperti Bicara Hati dan memberi ceramah

kesedaran tentang bahaya dadah di sekolah-sekolah di sekitar Bachok.

Tapi mak, hajat Kakngah untuk berbakti kepada masyarakat tidak kesampaian apabila

dipenjarakan semula di Penjara Kluang pada tahun 2016. Kali ini bukan kerana Kakngah

menagih atau memiliki dadah tapi kerana langgar arahan perintah pengawasan selepas tamat

menjalani rawatan pemulihan di CCRC Bachok. Kakngah ingatkan selepas menjalani hukuman

selama 6 Penjara Kluang tersebut, Kakngah telah bebas dan dapat memulakan hidup baru. Tapi

Kakngah silap, mak. Tahun 2017, Kakngah sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara kerana pihak

pendakwaraya tidak berpuashati dengan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas Kakngah dan

membuka semula kes terdahulu. Kakngah didakwa sekali lagi atas kesalahan yang sama.

Kakngah perlu menjalani hukuman selama 21 bulan pula di Penjara Wanita Kajang dan Kakngah

akan bebas pada 25 April 2019.

Mak, Kakngah sangat berharap mak akan memaafkan Kakngah atas segala kesalahan dan

kesilapan Kakngah kepada mak selama ini. Kakngah menyesal kerana tidak pernah menghargai

kasih-sayang mak selama ini. Kakngah terlalu leka dengan dunia penagihan dadah dan

mengabaikan tanggungjawab Kakngah sebagai seorang anak terhadap mak juga sebagai seorang

ibu kepada anak-anak Kakngah. Mak, Kakngah merayu pada mak kali ini berilah peluang untuk

Kakngah menebus semula dosa dan kesilapan Kakngah pada mak selama ini. Kakngah ingin
bangunkan rumah pemulihan untuk rakan-rakan senasib macam Kakngah di atas rumah pusaka

peninggalan arwah nenek. Kakngah dah merancang nak membela ayam dan menjadi petani

moden. Kakngah juga nak buka perniagaan dobi. Itupun kalau mak izinkan….

Mak, Kakngah tahu umur Kakngah tak panjang…. Kakngah sudah 7 tahun menghidapi

penyakit HIV selepas berkongsi jarum dengan seorang kenalan Kakngah. Tapi mak, Kakngah

tidak pernah berkongsi jarum sebelum ni… Cuma sekali tu sahaja… mungkin Allah sayangkan

Kakngah… Allah nak Kakngah berubah dan bertaubat…. Untuk pengetahun mak, Kakngah juga

menghidap Hepatitis C. Tp mak, HIV dan Hepatitis C tidak berjangkit melalui sentuhan. Kita

masih boleh bersalaman dan berpelukan mak…

Mak, doakan Kakngah dapat mengekalkan kepulihan Kakngah sehingga ke akhir hayat…

Kakngah tidak mahu mati sebagai seorang penagih dadah. Kakngah ingin berbakti pada mak dan

masyarakat. Doakan Kakngah tabah menghadapi cemuhan masyarakat kerana Kakngah juga

seorang bekas banduan, mak. Kakngah sayang mak….

Yang benar,

Kakngah