Anda di halaman 1dari 3

Soalan:

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan
penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini. Ulaskan penyataan di atas.

Karangan Contoh:

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang
merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial.
Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan
paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika
ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Mantan
Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap, “Jika diberikan aku seratus orang tua,
nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh
orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang penuh
puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan
generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia yang berkualiti
dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan
peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai
kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen
yang maslahatuntuk melahirkan yang pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa
hadapan negar yang cerah terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek
merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan
dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut
segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti
membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan
inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi
gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia
yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme.
Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah
berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut
amat mencintai hiburanTegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka
pembangunan negara akan terbantut.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin


pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan
mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki
kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh
dengankompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja
diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental,
saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran,
bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum
arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh
diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun golongan belia harus sedar bahawa
kesihatan merupakan asetyang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi
membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi,
muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan
pembangunan negara.

Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda
harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan
meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan
terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan
dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah,
berzina dan mencuri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan
muda juga harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial,
misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak
yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai
aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu pembangunan negara dengan
memastikan negara bebas daripada ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan
remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih
sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya
pada suatu hari nanti.

Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara
yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif
dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam
industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba
sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu,
golongan remaja dan belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi
disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan
galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian,
impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan
praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada
kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan
inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai
barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan negara dengan
memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat sedemikian, kita
lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, kita
dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan
sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau
integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah
sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara
iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa
dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah
atau di tempat-tempat lain. Dengan ini, keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan
negara dapat dijalankan dengan lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat
keterbukaan golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan
mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited
dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai
tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara
kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan
tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu
angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan
negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil
segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti.
Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan
serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri
sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri
dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal
di seantero dunia.

Anda mungkin juga menyukai