Anda di halaman 1dari 5

PERINTAH PASUKAN

POLIS DIRAJA MALAYSIA


08 FEBRUARI 2019 BIL. 04/2019

PERINTAH PASUKAN KHAS

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA


SEMPENA PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PERINGKAT KEBANGSAAN
TAHUN 2019

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera.

Setinggi-tinggi tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan


limpah rahmat serta izinNya jua, program “Jom Ke Sekolah Peringkat
Kebangsaan” dapat diteruskan lagi pada tahun ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa amat bertuah kerana sekali lagi
diberikan kepercayaan untuk berkolaborasi dengan Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani masalah disiplin serta salah
laku jenayah dalam kalangan pelajar menerusi program ini. Sesungguhnya,
kerjasama ini adalah noble effort yang perlu diteruskan ke arah
membentuk sahsiah dan sosiolisasi generasi pelapis agar kekal mapan
demi kelangsungan negara yang cemerlang dan gemilang.

“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, jelas


menggambarkan betapa pentingnya golongan ini sebagai pewaris
kepimpinan yang bakal memacu masa depan negara. Kita mampu
tersenyum lega apabila melihat prestasi akademik dan kokurikulum pelajar-
pelajar seluruh negara yang saban tahun meningkat dan mencapai
sasaran yang membanggakan. Namun, kita tidak boleh terlalu berlapang
dada kerana di sebalik sisi permata, adanya segelintir anak muda yang
terjerumus dalam kancah salah laku jenayah dan memerlukan perhatian
serta tindakan serius daripada semua pihak untuk menanganinya.

Pelajar-pelajar sekolah kini, tidak hanya terlibat dengan kegiatan ponteng


sekolah, vandalisme dan buli, tetapi turut berjinak-jinak dengan jenayah
yang lebih advance dan ekstrem. Jual beli dadah, salah laku seks,
membunuh, menyertai kumpulan kongsi gelap dan militan antara jenayah
yang pernah dicatatkan dalam jurnal juvana. Selain itu, elemen-elemen
negatif yang disebarkan melalui kecanggihan teknologi serta kebebasan
penggunaan media sosial dalam kalangan remaja menjadi antara
penyumbang kepada keruntuhan dan kebejatan akhlak generasi muda
masa kini.
Ingin saya kongsikan statistik jenayah indeks melibatkan pelajar sekolah, di
mana pada tahun 2017, sebanyak 1,722 kes telah dilaporkan dan jumlah
tersebut menurun kepada 1,285 kes pada tahun 2018. Meskipun
menunjukkan pengurangan, usaha menanganinya masih perlu dipergiat
memandangkan jumlah kes ini masih berada pada tahap yang
menggusarkan.

Manakala statistik jenayah narkotik pula menunjukkan sebanyak 467


tangkapan melibatkan pelajar sekolah dibuat pada tahun 2017 dan angka
tersebut meningkat kepada 577 tangkapan pada tahun 2018. Jelasnya,
penglibatan pelajar dengan najis dadah yang semakin serius memerlukan
perhatian semua pihak, tambahan pula kita tidak dapat menolak
pandangan skeptikal masyarakat bahawa najis dadah adalah “ibu” kepada
segala punca perlakuan jenayah.

Menyedari bahawa proses pembentukan sosialisasi masyarakat bermula


seawal usia remaja, maka langkah awal dalam membendung salah laku
jenayah harus dilaksanakan menerusi kerjasama rapat antara pihak
sekolah dengan PDRM melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
PPS berperanan dalam membantu mewujudkan suasana sekolah yang
selamat, sebagaimana yang telah digariskan dalam Buku Panduan
Pegawai Perhubungan Sekolah. Antaranya termasuklah mengumpul
maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan oleh KPM atau PDRM
jika perlu, melakukan rondaan/lawatan berjadual di kawasan sekolah dan
memberikan ceramah berkaitan dengan hal-hal keselamatan kepada
warga sekolah. Mekanisme ini secara tidak langsung berupaya mendorong
dan memberi kesedaran kepada warga sekolah berkaitan peranan yang
boleh dimainkan serta langkah-langkah pencegahan yang boleh
diimplementasi dalam usaha mengekang kes salah laku disiplin murid,
sekali gus menjayakan program ini.

Tidak ketinggalan, penglibatan Kor Kadet Polis sebagai “mata-mata cilik”


yang terlatih dengan disiplin tinggi melalui latihan kawad, bekerja dalam
pasukan, perkhemahan, kerja khidmat masyarakat dan sebagainya.
Semangat kepolisan dan patuh kepada undang-undang yang diterapkan
dalam diri para ahli Kor Kadet Polis, melayakkan mereka menjadi role
model kepada rakan sebaya yang lain. Bonus kepada warga guru juga, Kor
Kadet Polis ini diyakini mampu menjadi “lensa” kepada warga sekolah
dalam mengenal pasti kegiatan yang melanggar etika dan disiplin sekolah.

Suka untuk saya kongsikan juga, jumlah keahlian Kor Kadet Polis di
seluruh negara telah mencecah 116,702 orang, pada tahun 2018. Jumlah
ini tidak termasuk 3,432 ahli bagi 52 buah Maktab Rendah Sains MARA
(MRSM). Ini adalah satu jumlah yang besar dan membanggakan. Tahniah
dan Syabas saya ucapkan! Semoga semakin ramai ahli Kor Kadet Polis,
semakin kuranglah masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Insya-Allah.

Saya difahamkan bahawa, sempena pelancaran Program Jom ke


Sekolah ini, KPM telah mengambil inisiatif menyediakan Papan
Kenyataan PPS di sekolah-sekolah. Inisiatif ini bertujuan memberi
maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan oleh PPS serta info-info
semasa berkaitan undang-undang dan kejadian jenayah yang berlaku
dalam kalangan remaja. Adalah diharapkan, usaha murni ini dapat
memberikan kesedaran kepada warga sekolah untuk sama-sama
mewujudkan persekitaran sifar jenayah di sekolah masing-masing.
Akhir kalam, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
Kementerian Pendidikan Malaysia, para pengetua, guru-guru, ibu bapa dan
Pegawai Perhubungan Sekolah serta semua pihak yang sentiasa
memberikan sokongan dan kerjasama kepada PDRM selama ini. Marilah
sama-sama kita berdoa agar pelapis generasi negara ini dilindungi dan
dijauhi daripada segala keburukan dan kebinasaan. Semoga mereka
menjadi insan berjati diri, berilmu, berakhlak mulia serta selayaknya
bergelar, agent of change dan agent of social control.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SRI MOHAMAD FUZI BIN HARUN) IG


Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

Anda mungkin juga menyukai