SOALAN : APAKAH PERANAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU DALAM
MELAHIRKAN GURU YANG BERKUALITI ?
Falsafah Pendidikan Guru dihasilkan agar dapat dijadikan panduan kepada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar ia menjadi kenyataan. Falsafah Pendidikan Guru adalah berperanan dalam melahirkan guru yang berkualiti. Berikut adalah Falsafah Pendidikan Guru:
“Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia
menunjukkan aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin”.
Guru yang berpekerti mulia berperanan menjadikan seorang guru yang
mempunyai akhlak yang mulia, sifat yang baik, berbudi bahasa dan berdisiplin. Di samping itu, guru juga mestilah mampu membezakan antara sifat-sifat baik dan jahat serta memiliki nilai terpuji seperti bersifat jujur, amanah dan lain-lain. Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada murid. Justeru itu, guru mestilah mempunyai sifat-sifat terpuji yang boleh menjadi teladan kepada murid dan juga masyarakat. Tugas seorang guru tidaklah terhad kepada proses mengajar atau menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata. Namun, tanggungjawab guru juga adalah untuk memastikan pembentukan sahsiah pelajar termasuk pembentukan dan perkembangan dalam aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi supaya para pelajar berupaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bermoral tinggi, harmonis dan juga seimbang.
Seterusnya, berpandangan progresif dan saintifik berperanan menjadikan
seseorang guru perlu mengamalkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, bertukar fikiran serta mencari dan menambah pengalaman baru. Dalam proses pengajaran contohnya, guru hendaklah mengajarkan ilmu yang baik dan menerapkan adab-adab yang seharusnya ada pada murid sebagai seorang pengamal ilmu. Ini kerana, budaya ilmu mestilah dibentuk semasa dalam proses pembelajaran dan pengajaran serta ia hendaklah dipupuk dalam diri seorang guru. Hal ini pastinya akan membawa kepada kelahiran generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup. Setiap guru perlu menguasai ilmu dalam mata pelajaran yang diajar, mahir mengaplikasikan teori pertumbuhan dan perkembangan manusia dan berupaya menjadi guru yang berkualiti. Hal ini akan menjadikan mereka berusaha sebaik mungkin untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, ilmu pedagogi dan sebagainya. Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran yang ada pada diri demi meningkatkan prestasi masing- masing untuk menjadi seorang guru yang berkualiti.
Seterusnya, beriltizam mendukung aspirasi Negara bermaksud setiap guru
hendaklah bersikap dengan cekap dalam apa jua keadaan atau masalah yang timbul dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sejurus dengan falsafah tersebut setiap dikalangan guru haruslah bersikap dengan jujur dan amanah dalam mendidik para murid dalam sesi pengajaran di dalam bilik darjah. Sebagai contoh guru tidak boleh memberikan sebarang maklumat yang palsu kepada para murid dan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang- undang negara dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar. Sehubungan dengan itu juga,setiap guru hendaklah berusaha untuk menyuburkan jati diri malahan keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan juga negara kita dalam membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.
Di samping itu juga,berdasarkan prinsip falsafah yang berikutnya adalah
menghargai warisan kebudayaan kebangsaan ialah bermaksud setiap guru perlulah mengamalkan dan menanamkan nilai-nilai murni dan penyayang dalam diri individu setiap guru. Guru hendaklah mewujudkan rasa kasih dan sayang dalam diri dalam mendidik para pelajar dan tidak boleh sama sekali berlaku tidak adil serta memilih-milih dalam mencurahkan ilmu kepada pelajar bak kata pepatah “tiba di perut dikempiskan, tiba di mata dipicingkan,tiba di dada dibusungkan”.Bersikap kreatif dan inovatif haruslah ada dalam diri setiap guru contohnya kemampuan berfikir dan kemampuan melakukan tindakan yang bertujuan untuk mencari pemecahan sebuah kondisi dan permasalahan secara cerdas,berbeza serta membawa hasil yang tepat dan bermanfaat. Guru juga haruslah bersikap inovatif iaitu berkemampuan dalam mendayagunakan fikiran dan sumber yang ada disekeliling untuk menghasilkan sesuatu karya yang bermanfaat kepada pelajar. Seterusnya setiap guru mestilah empati dan mematuhi etika profesion perguruan sepertimana yang telah termaktub dalam falsafah pendidikan guru
Akhirnya menepati falsafah pendidikan guru yang seterusnya ialah
menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,demokratik,progresif dan berdisiplin. Ini telah menjadi satu tanggungjawab dan peranan setiap guru dari segi perkembangan diri individu guru dan perkembangan murid secara menyeluruh dari segi pelbagai aspek iaitu jasmani,emosi,rohani mahupun intelek. Tanggungjawab guru juga sebagai ahli masyarakat yang akan menyumbang kepada pembangunan negara dan berusaha agar masyarakat dapat memenuhi aspirasi serta hasrat negara yang telah ditetapkan.
Sebagai rumusan,maka ternyata peranan utama yang dimainkan oleh
setiap pendidik adalah amat penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Guru.Justeru itu,amatlah penting bagi guru untuk berganding bahu dalam hal tersebut demi kepentingan negara amnya dan generasi muda khasnya kerana pada masa ini guru adalah salah satu daripada ejen pengubah masa depan anak- anak,bangsa,agama dan negara.