Anda di halaman 1dari 3

1.

2 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran

Saya merupakan guru pelatih yang menjalani praktikum selama 12 minggu di Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin ‘A’, Jalan Berapit, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Saya
telah ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi bagi Tahun 4
dan Tahun 5. Sebagai maklumat, murid di sekolah ini menunjukkan prestasi yang agak baik
dalam akademik tetapi lemah dalam melaksanakan projek kerana mereka tidak mempunyai
banyak peluang untuk menghasilkan projek. Kebanyakan masa mata pelajaran Reka Bentuk
dan Teknologi telah digunakan sebagai kelas ganti kepada subjek-subjek yang lain seperti
Bahasa Melayu, Metamatik yang dianggap subjek yang lebih penting berbanding dengan RBT.
Semasa mengajar Tahun 5 dalam tajuk penghasilan projek “tabung penggera”, masalah
utama yang saya dapati ialah responden-responden tidak dapat menguasai langkah-langkah
penyambungan litar elektrik yang betul. Keadaan ini telah menyebabkan mereka akan cepat
berputus asa kerana projek-projek yang dihasilkan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Seterusnya responden-responden akan menganggap bahawa penghasilan projek merupakan
tajuk yang sukar dikuasai dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan teknologi dan menimbulkan
rasa kurang minat dan bosan terhadap tajuk ini. Berdasarkan pemerhatian saya semasa
responden menjalankan langkah-langkah penyambungan litar elektrik, saya mendapati
bahawa responden-responden lebih suka melaksanakan penyambungan litar elektrik
mengikut keseronokan sendiri dan tidak suka mengikuti langkah-langkah yang dikemukakan
oleh guru. Berdasarkan pemeriksaan saya terhadap projek yang dihasilkan oleh responden,
kebanyakan projek mereka tidak dapat berfungsi dengan baik, iaitu diod tidak dapat bernyala
dan buzer tidak dapat mengeluarkan bunyi. Beberapa responden yang ditanya sebab mereka
tidak menguasai langkah-langkah penyambungan litar elektrik yang betul, mereka
menyatakan mereka tidak kurang memahami langkah-langkah penyambungan litar sedia ada.

Saya berasa sungguh sedih dan risau memikirkan masalah tersebut. Walaupun saya
telah berusaha untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar semasa responden sedang
melaksanakan kerja penyambungan litar elektrik, namun masih terdapat responden-
responden yang gagal dalam mengikuti langkah-langkah penyambungan litar elektrik yang
betul. Kadang kala saya berasa tertekan dan saya sering menganggap diri sendiri sebagai
guru yang gagal. Saya juga berasa bersalah kerana sebagai seorang guru saya sepatutnya
berperanan untuk memberi bantuan kepada responden-responden untuk menghasilkan
penyambungan litar yang sempurna. Saya juga berasa kasihan terhadap responden kerana
mendapat seorang guru yang tidak pandai mengajar mereka. Saya juga berasa bimbang
kerana sekiranya mereka tidak dapat menyambungkan litar elektrik dengan cara yang betul,
maka projek “tabung penggera” yang mereka laksanakan akan tidak dapat berfungsi. Oleh itu,
apabila direnung semula saya merasakan saya mempunyai tanggungjawab untuk
memperbaiki kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran agar dapat meningkatkan
kemahiran responden untuk melakukan penyambungan litar yang betul.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan tidak disukai oleh
responden-responden menyebabkan sebilangan daripada mereka gagal menumpukan
perhatian secara proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Selain itu, saya kurang
mahir dalam mengawal tingkah laku responden-responden yang agak aktif serta menggangu
kelas. Menurut Maskowitz dan Hayman (1976), sekali guru kehilangan kawalan ke atas bilik
darjah, akan menjadi sukar untuk dapat dikawal semula. Namun begitu, apabila saya
memikirkan bahawa saya masih seorang guru yang menjalani praktikal, sudah tentu saya akan
menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu,
saya masih bersikap positif dan saya percaya bahawa setiap masalah yang berlaku pasti
menpunyai jalan penyelesaiannya sekiranya saya berusaha dengan bersungguh-sungguh
untuk mengatasinya. Kajian Zamrah (1999) juga menunjukkan bahawa sikap yang positif
dapat melahirkan insan manusia yang cemerlang dan berwawasan. Saya telah membuat
perbincangan dengan guru pembimbing dan rakan sepraktikum saya untuk mendapat
pandangan mereka bagi menyelesaikan masalah ini. Selain itu, saya juga meninjau kajian-
kajian yang dilakukan oleh orang lain untuk memilih kaedah yang lebih sesuai dengan
responden saya. Hasil daripada perbincangan serta tinjauan kajian yang dilakukan, saya
menjadi lebih semangat dan bermotivasi dalam menyelesaikan masalah ini.

Setelah saya membuat analisis secara terperinci tentang pengajaran saya, saya telah
mengesan beberapa faktor yang perlu diberikan perhatian. Antaranya, kaedah pengajaran
yang digunakan semasa mengajar topik ini iaitu demostrasi menggunakan video tidak sesuai
dengan responden saya. Kebanyakan responden hanya menganggap bahan yang ditayang
sebagai bahan tontonan sahaja dan mereka tidak dapat mengingati kandungan video semasa
melaksanakan kerja penyambungan litar elektrik. Ada sesetengah responden tidak memberi
perhatian semasa video ditayangkan. Mereka mudah terpengaruh oleh aspek persekitarannya
seperti mereka suka bersembang dan bermain-main dengan rakan sebelah. Hal ini akan
menyebabkan mereka ketinggalan kerana tidak dapat mengikut kandungan yang disampaikan
melalui video yang ditayangkan. Selain itu, saya tidak bersikap tegas terhadap responden
yang nakal menyebabkan mereka tidak takut untuk mengganggu responden-responden yang
lain untuk menumpukan perhatian kepada video yang ditayangkan.

Hasil daripada analisis terhadap punca masalah tersebut, maka saya berpendapat
perlu dibuat penambahbaikan terhadap strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran
saya. Saya perlu mengambil kira kebolehan dan sifat responden-responden dalam merancang
dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini adalah untuk meningkatkan minat
murid untuk belajar kemahiran membuat penyambungan litar elektrik. Manakala untuk
mengawal tingkah laku responden-responden yang nakal dan tidak serius, saya akan
menetapkan peraturan yang lebih ketat di dalam kelas.

Sehubungan itu, saya berasa tertarik untuk menjalankan satu kajian tindakan bagi
membantu responden-responden menguasai langkah-langkah penyambungan litar elektrik
yang betul sekaligus dapat menghasilkan projek “lampu penggera” yang dapat berfungsi
dengan baik. Dalam kajian ini saya bercadang untuk memperkenalkan pendekatan
pembelajaran masteri. Pendekatan pembelajaran masteri merupakan cara pembelajaran yang
mewujudkan penglibatan semua responden dalam proses pembelajaran (Bloom, 1971). Hal
ini kerana pendekatan ini memberi peluang kepada semua responden berpencapaian tinggi
dan rendah untuk belajar mengikut kadar kebolehan sendiri (Pusat Perkembangan Kurikulum,
2001). Responden akan melaksanakan aktiviti penyambungan litar elektrik dengan
berpandukan manual kerja yang dibekalkan. Seterusnya, semasa melakukan penyambungan
litar, responden yang tidak menguasai langkah-langkah tertentu akan diberi bimbingan oleh
guru manakala murid yang mencapai aras masteri pula akan menjalankan langkah yang
seterusnya sehingga menghabiskan segala langkah pemasangan litar elektrik dengan usaha
sendiri.

Anda mungkin juga menyukai