Anda di halaman 1dari 3

PENGEMBARA YANG LAPAR

Intan Sharmila – SK Tanjung Bundung

Tersebutlah kisah tiga orang sahabat, Kendi, Buyung dan Awang yang
sedang mengembara. Mereka membawa bekalan makanan seperti beras,
daging, susu dan buah-buahan. Apabila penat berjalan mereka berhenti
dan memasak makanan. Jika bertemu kampung, mereka akan singgah
membeli makanan untuk dibuat bekal dalam perjalanan.

Pada suatu hari, mereka tiba di kawasan hutan tebal. Di kawasan itu mereka
tidak bertemu dusun atau kampung. Mereka berhenti dan berehat di bawah
sebatang pokok ara yang rendang. Bekalan makanan pula telah habis.
Ketiga-tiga sahabat ini berasa sangat lapar,

“Hai, kalau ada nasi sekawah, aku akan habiskan seorang,” tiba-tiba Kendi
mengeluh. Dia mengurut-ngurut perutnya yang lapar. Badannya
disandarkan ke perdu pokok ara.

“Kalau lapar begini, ayam panggang sepuluh ekor pun sanggup aku
habiskan,” kata Buyung pula.

“Janganlah kamu berdua tamak sangat dan bercakap besar pula. Aku pun
lapar juga. Bagi aku, kalau ada nasi sepinggan sudah cukup,” Awang
bersuara.

Kendi dan Buyung tertawa mendengar kata-kata Awang.

“Dengan nasi sepinggan, mana boleh kenyang? Perut kita tersangatlah


lapar!” ejek Kendi. Buyung mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat
Kendi.

Perbualan mereka didengar oleh pokok ara. Pokok itu bersimpati apabila
mendengar keluhan ketiga-tiga pengembara tersebut lalu menggugurkan
tiga helai daun.

Bubb! Kendi, Buyung dan Awang terdengar bunyi seperti benda terjatuh.
Mereka segera mencari benda tersebut dicelah-celah semak. Masing-
masing menuju ke arah yang berlainan.
“Eh,ada nasi sekawah!” Kendi menjerit kehairanan. Dia menghadap
sekawah nasi yang masih berwap. Tanpa berfikir panjang lalu dia menyuap
nasi itu dengan lahapnya.

“Ayam panggang sepuluh ekor! Wah, sedapnya!” tiba-tiba Buyung pula


melaung dari arah timur. Serta-merta meleleh air liurnya. Seleranya terbuka.
Dengan pantas dia mengambil ayam yang paling besar lalu makan dengan
gelojoh.

Melihatkan Kendi dan Buyung telah mendapat makanan, Awang semakin


pantas meredah semak. Ketika Awang menyelak daun kelembak, dia
ternampak sepinggan nasi berlauk yang terhidang. Awang tersenyum dan
mengucapkan syukur kerana mendapat rezeki. Dia makan dengan tenang.

Selepas makan, Awang rasa segar. Dia berehat semula di bawah pokok ara
sambil memerhatikan Kendi dan Buyung yang sedang meratah
makanannya.

“Urgh!” Kendi sendawa. Perutnya amat kenyang. Nasi di dalam kawah masih
banyak. Dia tidak mampu menghabiskan nasi itu. “Kenapa kamu tidak
habiskan kami?” tiba-tiba nasi di dalam kawah itu bertanya kepada Kendi.

“Aku sudah kenyang,” jawab Kendi.

“Bukankah kamu telah berjanji akan menghabiskan kami sekawah?” Tanya


nasi itu lagi.

“Tapi perut aku sudah kenyang,” jawab Kendi.

Tiba-tiba nasi itu berkumpul dan mengejar Kendi. Kawah itu menyerkup
kepala Kendi dan nasi-nasi itu menggigit tubuh Kendi. Kendi menjerit
meminta tolong.

Buyung juga kekenyangan. Dia cuma dapat menghabiskan seekor ayam


sahaja. Sembilan ekor ayam lagi terbiar di tempat pemanggang. Oleh
kerana terlalu banyak makan, tekaknya berasa loya. Melihat baki ayam-
ayam panggang itu, dia berasa muak dan hendak muntah. Buyung segera
mencampakkan ayam-ayam itu ke dalam semak.

“Kenapa kamu tidak habiskan kami?” tiba-tiba tanya ayam-ayam


panggang itu.
“Aku sudah kenyang,” kata Buyung. “Makan sekor pun perut aku sudah
muak,” katanya lagi.

Tiba-tiba muncul sembilan ekor ayam jantan dari celah-celah semak di


kawasan itu. Mereka meluru ke arah Buyung.

Ayam-ayam itu mematuk dan menggeletek tubuh Buyung. Buyung


melompat-lompat sambil meminta tolong.

Awang bagaikan bermimpi melihat gelagat rakan-rakannya. Kendi terpekik


dan terlolong. Buyung pula melompat-lompat dan berguling-guling di atas
tanah. Awang tidak dapat berbuat apa-apa. Dia seperti terpukau melihat
kejadian itu.

Akhirnya Kendi dan Buyung mati. Tinggallah Awang seorang diri. Dia
meneruskan semula perjalanannya.

Sebelum berangkat, Awang mengambil pinggan nasi yang telah bersih.


Sebutir nasi pun tidak berbaki di dalam pinggan itu.

“Pinggan ini akan mengingatkan aku supaya jangan sombong dan tamak.
Makan biarlah berpada-pada dan tidak membazir,” kata Awang lalu
beredar meninggalkan tempat itu.

Pengajaran :

1. Orang tamak selalu rugi.

2. Jangan membazir.

Adaptasi daripada Dewan Pelajar. Disember 1989.