Anda di halaman 1dari 8

Bagaimanakah Tatabahasa Dapat Diajar Secara Menarik.

Pendahuluan

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering,


membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa dianggap kering
dan membosankan kerana kononnya tatabahasa hanya terdiri daripada
rumus-rumus bahasa, sama halnya dengan Matematik. Bercakap mengenai
tatabahasa seolah-olah bererti bercakap mengenai soal salah betul
penggunaan bahasa semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada
benak kebanyakan orang bahawa tatabahasa mengekang gaya bahasa dan
kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala menjadikan
orang takut, malah mungkin benci pula akan tata bahasa. Jika timbul rasa
takut dan benci, bagaimanakah tatabahasa dapat menjadi subjek yang
menarik di bilik darjah?
Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan pandangan mengenai
kaedah dan teknik pengajaran tatabahasa yang menarik ialah berusaha
membetulkan anggapan salah mengenai tatabahasa. Kata pepatah “Tak
kenal maka tak cinta”. Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat
tatabahasa, tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu
baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah suka, semua
indah sahaja”. Demikianlah mudah-mudahan tatabahasa akhirnya dapat
dilihat sebagai sesuatu yang indah.

Tata Bahasa dan Hakikat Bahasa

Untuk mencapai makrifat bahasa, penting sekali kita mengenal hakikat


bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah tatabahasa, dengan pengertian
yang lebih dasar dan luas daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada
morfologi dan sintaksis. Tatabahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat
bahasa ialah suatu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan kepada
anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di alam roh, sebelum
dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172). Oleh Chomsky, potensi yang
ternurani atau innate ini disebut tata bahasa sejagat (universal grammar).
Potensi ini bukan sahaja dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem,
morfem, kata, frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu,
tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk unsur-unsur
bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem semantik.
Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas bagi
semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing melalui proses
penyesuaian parameter (lihat Bab 1). Dengan memahami asal usul
bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tatabahasa adalah asas
yang memungkinkan kita berbahasa. Adanya tatabahasa sejagat pada
manusia inilah yang memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat
menghasilkan unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan
berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini jugalah yang
memungkinkan bahasa manusia teracu dalam sistem, tidak seperti haiwan
yang biarpun mungkin dapat menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya
kata-kata melalui latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu
dalam pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus bagi sesuatu


bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada tatabahasanya yang
khusus yang perlu dipelajari apabila orang ingin menguasai mana-mana
bahasa. Jadi, adanya konsep tatabahasa sejagat tidak bererti hanya ada satu
tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti yang
disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal adanya kepelbagaian
bahasa manusia, yang bererti adanya tatabahasa yang berlainan dijelaskan
dalam al-Qur’an (surah al-Hujurat, ayat 13 dan surah al-Rum, ayat 22). Oleh
itu perlu difahami perbedaan tatabahasa sejagat daripada tatabahasa khusus
bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan dalam


hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berbahasa.
Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran mendengar, bertutur,
membaca, dan menulis berasaskan satu kerangka tersembunyi yang menjadi
asas pembentukan pola-pola bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi
itu tidak lain daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia
bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka itulah yang
menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem yang teratur dan
bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu tidak mungkin berlaku proses
pembacaan dan penulisan kerana segala sesuatu tertulis dalam satu sistem
yang menimbulkan makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan
menguasai sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai
skema sistem itu dan menerjemahkannya dalam bentuk-bentuk bahasa yang
bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini konsep tatabahasa
(gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani sebagai “seni
membaca dan menulis”, yang dengan jelas menunjukkan peranan
tatabahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan mengenai hakikat tatabahasa.


Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa, yang ternyata bukan
sekadar sehimpunan rumus atau aturan bahasa menurut pengertian yang
sempit, baharulah sesuai kita bincangkan soal menjadikan tatabahasa
sebagai sesuatu yang penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan
dipelajari (oleh murid atau pelajar).

Pengajaran Tata Bahasa: Penyataan Fenomena

Tata bahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik kepada guru
mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-aturan, secara didaktik
pula. Memang tujuan pokok kita mengajarkan tatabahasa ialah supaya murid
menguasai sistem bahasa selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem
bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti pemerolehan ilmu,
penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan berinteraksi dengan baik dalam
masyarakat. Jadi, terang bahawa pengajaran tatabahasa ialah prasyarat
untuk komunikasi yang berkesan dan juga bagi tujuan pembinaan diri,
terutama melalui pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut
bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran
tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan aspek-aspek
fungsionalnya.

Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan bahasa soal
tujuan pengajaran bahasa, termasuk tata bahasa. Sekurang-kurangnya ada
empat mazhab yang dominan dalam hal ini. Yang pertama ialah mazhab
tradisionalis yang menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang
kedua ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan pembentukan
kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat. Yang
ketiga pula ialah mazhab rasionalis yang menekankan keupayaan bahasa
sebagai lawan pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti
penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang
menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial. Keempat-empat
mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang ekstrem sehingga
menimbulkan salah faham tentang tujuan pengajaran bahasa. Tiga mazhab
yang pertama dilabelkan oleh mazhab keempat sebagai “model pengajaran
kemahiran” kerana menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya
mazhab keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah” terlalu
cenderung pada aspek praktis sehingga agak mengabaikan penguasaan
sistem pula.

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran bahasa,


termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan “keupayaan
komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan perhatian berat kepada
penguasaan sistem bahasa kurang atau sama sekali mengabaikan aspek
komunikatif bahasa. Dalam hal pengajaran tata bahasa, penekanan kepada
penguasaan rumus-rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya
dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada
penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh akan
ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa. Kesannya ialah bahawa
yang pertama gagal atau kurang berjaya menjadikan tata bahasa sesuatu
yang bermakna dalam kehidupan murid. Yang kedua pula mungkin menarik
kerana mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal
melahirkan murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang
gramatis dan bersistem.

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah pengajaran tata
bahasa yang dapat mengukuhkan keterampilan bahasa murid daripada segi
sistem bahasa dan juga daripada segi pragmatiknya. Murid yang patut kita
bentuk ialah yang menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan
sekali gus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang
luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa
terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi canggih yang ditandai oleh
laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan
bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang
sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan aras yang dapat
menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya tinggi.

Strategi Pengajaran Tatabahasa


Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di negara ini
sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak boleh lagi diajarkan
menurut cara lama yang memisah-misahkan aspek-aspek yang diajarkan,
misalnya antara satu kemahiran dengan kemahiran yang lain, antara
kemahiran dengan sistem bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran
dan sistem bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.
Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan bersepadu berasas
pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan.
Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula pada lewat 1970-an
melibatkan:
a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu mendengar,
bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-kurangnya dua kemahiran
digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem bahasa
(terutama tata bahasa) dan sebaliknya.
c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang berkaitan


ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas, pengajaran tatabahasa
tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kemahiran. Apabila tatabahasa
diajarkan secara gabung jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan
pengajaran yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tatabahasa
sehingga menimbulkan kebosanan. Tata bahasa dapat diajarkan bersama-
sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Selain
tidak membosankan, dapat pula murid memahami penggunaan tata bahasa
secara fungsional dan dalam konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini
dibincangkan lebih lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa
terancang.

Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan menyepadukan aspek


sistem bahasa dan kemahiran bahasa dengan kandungan bahasa. Dengan
perkataan lain, pendidikan bahasa di samping menitikberatkan penguasaan
tata bahasa serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan
empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis),
perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala maklumat


mengenai kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi melalui
perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa di negara kita,
penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu ilmu dan nilai. Secara lebih
terperinci, ilmu dipecahkan kepada beberapa aspek lagi, iaitu kandungan
mata-mata pelajaran lain, sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya
dan warisan. Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara,
serta isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagikan
kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping itu perlu
diserapkan juga unsur kewarganegaraan.
Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa pengajaran
tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan minat guru dan murid,
menjadi sesuatu yang betul-betul bererti, dan sekali gus dapat menghakis
anggapan salah bahawa tatabahasa merupakan bidang yang kering dan tidak
lebih daripada sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabung-jalinan murid
diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang
bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.
Melalui strategi, penyerapan pula, murid dituntun menguasai tata bahasa
dalam konteks yang bermakna, iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat
ilmu, hal ehwal semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan
demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada kehidupan
sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu mempelajari tatabahasa dan
fahamlah juga guru mengapa ia perlu mengajarkan tatabahasa.

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam pengajaran


tata bahasa memerlukan perhatian yang sungguh-sungguh daripada segi
perancangan dan pengajarannya di bilik darjah.

Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal pasti unsur-


unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang tahun, dengan berdasar
pada Risalah Panduan Pemeringkatan dan Perincian Tatabahasa untuk
peringkat sekolah menengah yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum. Selanjutnya unsur-unsur tatabahasa itu perlu dimasukkan dalam
perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian. Kesesuaian
unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam kelompok kemahiran-kemahiran
(kecekapan-kecekapan di bawah setiap kemahiran) bergantung pada
beberapa pertimbangan, iaitu mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan
pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan pengajaran.
Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang dapat digunakan untuk
menyampaikan maklumat tentang unsur atau unsur-unsur tata bahasa yang
hendak diajarkan. “Bahan” di sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian
unsur tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian
makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang menjadi fokus
pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah penggunaan bahasa yang
hendak diajarkan, atau bahan yang dapat dijadikan asas untuk mencungkil
atau meramalkan unsur-unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi
wadah bahasa ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi
asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan perkataan lain,
dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan rangsangan”.

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk pengajaran tata


bahasa ialah:
a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan bahan
grafik, sesuai dengan kepelbagaian konteks penggunaan tatabahasa.
b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat yang sesuai,
selaras dengan konsep penyerapan ilmu.
c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras dengan gagasan
penyerapan nilai.
d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti brosur iklan, berita,
borang, risalah, dan sebagainya.
e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk tujuan
analisis kesilapan.
f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang tata


bahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa, mahupun jenis-
jenis wacana. Maksudnya, murid tidak mempelajari tatabahasa tanpa latar.
Guru pula dapat memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur
tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga, guru dapat
membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila pengajaran guru, termasuk
contoh dan latihannya berdasar pada bahan yang terpilih, maka terlaksanalah
pengajaran yang berdasarkan tema.

Pengajaran
Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti yang
sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang dilaksanakan dalam bentuk
penerangan rumus tampaknya tidak sesuai untuk pengajaran tatabahasa di
peringkat sekolah. Antara aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid
termasuklah:
a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur tata
bahasa tertentu dalam pelbagai wacana seperti dialog, cerpen, rencana, puisi,
iklan dan sebagainya.
b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-pola tertentu
yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat penyata, ayat seruan, ayat
permintaan) atau kata-kata tanya, kata silaan, kata seru, dan sebagainya.
c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid menamakan
objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau keadaan, membina ayat daripada
bahan tersebut, dan sebagainya.
d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati unsur-
unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan puisi, seni kata, dan
cerita.
e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau sifat, atau
mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.
f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau konteks yang
sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan konteks itu,
misalnya sebagai wartawan ia menggunakan kata tanya dan ayat tanya yang
betul (5W + 1H).
g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab kuiz, meneka
nama, sifat, perbuatan, teka silang kata, melengkapkan peta minda,
memadankan unsur bahasa (seperti subjek-prediket), melengkapkan ayat,
menukar struktur ayat untuk maksud yang sama, dan sebagainya.
h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan dan
membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga karangan murid).
i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan unsur-unsur
tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster, dan sebagainya.

Penutup

Demikianlah secara umum gagasan bagaimana kira-kira tatabahasa dapat


diajarkan dengan menarik. Asas yang saya gunakan ialah pertama-tama
sekali menimbulkan pengertian bahawa tata bahasa ialah bahagian yang
penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tatabahasa tidak boleh
diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi
penggabungjalinan dan penyerapan. Bagi memenuhi strategi tersebut, perlu
dibuat perancangan yang rapi, terutama daripada segi pemilihan bahan untuk
menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur-unsur tatabahasa yang hendak
diajarkan. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan
pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid sehingga
pengajaran tatabahasa dapat membantu murid menguasai tata bahasa
dengan tidak berasa tertekan atau terpaksa.

Anda mungkin juga menyukai