Anda di halaman 1dari 3

Soalan 3: Berdasarkan perbincangan diatas cadangkan langkah-langkah yang berkesan

dalam mengeratkan hubungan etnik di Malaysia.

Perpaduan dan keharmonian merupakan elemen yang sangat penting dalam


mengekalkan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa
perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian
lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan
perpaduan kaum di negara ini?

Semangat kongsi raya dalam kalangan masyarakat majmuk yang dirayakan pada setiap
tahun di negara kita merupakan satu langkah yang efektif bagi mengeratkan hubungan etnik di
Malaysia.Usaha kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka peringkat kebangsaan untuk
menyambut perayaan kaum utama Malaysia amat dialu-alukan. Menurut Perdana Menteri
konsep Satu Malaysia dapat dijayakan melalui majlis sebegini. Selain untuk memeriahkan
perayaan tersebut penganjuran rumah terbuka juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim
antara satu sama lain. Sebagai contoh rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dihadiri
oleh umat islam tetapi juga dihadiri oleh orang-orang bukan islam seperti Cina dan India.
Secara tidak langsung perjumpaan seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi semangat
perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-
mengunjung ke rumah rakan-rakan atau jiran-jiran yang berlainan bangsa sempena hari-hari
perayaan untuk mengeratkan hubungan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini
membantu kita unutk memahami kebudayaan kaum lain. Secara tidak langsung, kefahaman ini
akan membentuk masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain.

Pendidikan merupakan alat membentuk perpaduan. Kita juga dapat memupuk


perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah wawasan. Dengan ini,
generasi yang akan datang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara
kaum yang berlainan. Semua halangan untuk mengeratkan perpaduan kaum akan dapat
diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang
berlainan kaum sejak kecil. Sekolah Wawasan adalah penggabungan tiga sekolah berlainan
aliran dalam satu kompleks yang mana pelajarnya berkongsi menggunakan kemudahan seperti
padang dan kantin bagi membolehkan mereka berinteraksi serta berkomunikasi di antara satu
sama lain. Maka identity setiap kaum juga dipelihara dalam langkah yang bijak ini.

Ibu bapa juga perlu menjelaskan kepada anak-anak tentang konsep masyarakat majmuk
di Malaysia dan juga bercerita tentang sejarah bangsa Malaysia kepada anak-anak yang akan
menjadi tulang belakang negara. Ibu bapa harus bercerita tentang bagaimana tokoh-tokoh
Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dapat memperjuangkan kemerdekaan bersama-
sama. Mereka juga haruslah memberi kesedaran tentang menghayati rukun negara dan
Wawasan 2020 demi melahirkan bangsa yang bersatu padu. Hal ini kerana kanak-kanak pada
zaman kini lebih terikut-ikut dengan kelakuan dan ajaran ibu-bapa.

Hubungan etnik rakyat Malaysia boleh diterapkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti
kokurikulum yang dilaksanakan seperti sukan, kelab, dan persatuan, dan ceramah haruslah
dipergiat dan dipertingkatkan dengan melibatkan setiap kaum secara adil. Aktiviti-aktiviti yang
dilaksanakan haruslah menitik beratkan unsur perpaduan. Di luar sistem akademik, para pelajar
harus dilibatkan dalam aktiviti pelbagai kaum seperti keluarga angkat, persatuan, dan badan
beruniform. Jelaslah bahawa usaha yang diambil bagi mengukuhkan hubungan etnik dan
integrasi perlu diamalkan oleh setiap rakyat Malaysia, termasuklah pelajar.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan semasa
bercakap dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu
menjadi alat komunikasi yang dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Jikalau para
pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka
sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat
patriotik. Rancangan televisyen termasuk iklan, drama, filem dan lain-lain yang
mengetengahkan konsep perpaduan antara kaum di negara ini wajar digalakkan dan diberi
perhatian. Usaha memberikan keutamaan atau menjadikan perpaduan sebagai tema patut
dipuji apatah lagi dengan penggunaan bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu.

Kerajaan telah mewajibkan 18% remaja yang berlepasan SPM untuk menyertai Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN bertujuan untuk melahirkan
semangat perpaduan dalam kalangan remaja daripada pelbagai etnik masyarakat yang
merupakan tulang belakang negara. Para remaja yang berbilang kaum berpeluang untuk
bekerjasama dan menyedari tentang perpaduan melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang
dilaksanakan dalam PLKN. Pusat latihan PLKN diyakini menjadi tempat untuk remaja
meningkatkan jati diri, memahami budaya dan adat masyarakat lain. Di sini remaja berpeluang
mengenali antara satu sama lain selain berkongsi budaya dan adat resam antara suku kaum
yang lain.

Sekolah merupakan asas kepada pembentukan seseorang insan yang boleh


mengamalkan nilai perpaduan dan integrasi nasional. Antara usaha yang perlu diambil oleh
pihak sekolah ialah menjalankan aktiviti gotong-royong di dalam sekolah. Aktiviti gotong-royong
di dalam sekolah akan membawa kepada perpaduan dan integrasi nasional kerana pelajar-
pelajar dan guru-guru akan menolong bersama-sama membersihkan sekolah. Pada masa yang
sama, mereka akan berinteraksi di antara satu sama lain serta mengenali rakan yang tidak
dikenali. Keadaan ini secara tidak langsung telah mengeratkan hubungan di antara etnik dalam
kalangan guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah. Selain itu, pihak sekolah juga, perlu
memainkan peranan dengan menganjurkan program-program sekolah dengan sekolah lain.
Program di antara sekolah lain akan membawa perpaduan dan integrasi nasional kerana
pelajar-pelajar dapat mengenali dan memahami pelajar-pelajar dari sekolah yang berlainan.
Misalnya, pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan digalakkan supaya bergaul dengan pelajar
dari Sekolah Kebangsaan melalui satu program yang dianjurkan oleh pihak sekolah untuk suatu
jangka masa tertentu. Keadaan ini akan membolehkan pelajar sekolah mendapat peluang untuk
berinteraksi dengan pelajar dari sekolah yang berlainan dan sekali gus mewujudkan perpaduan
diantara pelbagai etnik.

Selain itu, kerajaan harus mengarahkan pemaju-pemaju perumahan serta pihak


berkuasa tempatan supaya mengambil kira aspek perpaduan dalam memajukan sesuatu
kawasan dengan cara sesuatu kawasan seharusnya mempunyai latar penduduk yang terdiri
daripada pelbagai kaum. Maka penduduk setempat dapat mengenali nilai-nilai budaya dan
warisan kaum lain.Penduduk setempat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka dari aspek
pemakanan, pemakaian, dan peradaban serta berkongsi dengan kaum-kaum lain. Makanan
India seperti roti canai dan tose juga semakin diminati oleh kaum yang lain. Oleh itu,
kemasukan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat
antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara. Maka
langkah yang efektif bagi mengeratkan hubungan etnik masyarakat Malaysia ialah dengan
menggalakkan rakyat tinggal di kawasan yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum.

Konklusinya, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada


perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus berganding bahu demi mencapai hasrat
keharmonian dan perpaduan negara bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar
Malaysia dapat menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang
mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Penduduk yang
berbilang kaum adalah aset negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara yang bersatu
padu bagi visi Wawasam 2020.

Anda mungkin juga menyukai