Anda di halaman 1dari 3

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada belia-belia

yang telah berkongsi dengan saya, melalui emel di najib@najibrazak.com, aspirasi mereka
untuk Malaysia menjelang tahun 2050. Walaupun masa yang diberikan kurang daripada 24
jam, maklum balas emel yang saya terima amat memberangsangkan. Banyak input telah
diutarakan, merangkumi pelbagai topik seperti pendidikan, ekonomi, soal identiti serta jati
diri dan lain-lain lagi.

Saya tertarik dengan idea yang dikongsi oleh Asif Khusnaini yang berharap agar persekitaran
kondusif bagi start-up dapat diwujudkan bagi membantu negara mencapai ekonomi yang
berdaya saing dan setanding dengan negara-negara maju.

Seorang lagi penyumbang idea, Qayyum Rahmat, juga telah berkongsi dengan saya betapa
pentingnya alam sekitar dipelihara bagi memastikan pembangunan negara kekal mampan.

Ini adalah satu permulaan yang bagus dan saya tidak sabar untuk mendengar lebih banyak
lagi cadangan daripada anak-anak muda kita.

TN50 atau Transformasi Nasional 2050 adalah milik kita bersama.

Proses wacana nasional yang bermula semalam dan bakal dilangsungkan sepanjang tahun ini
adalah untuk anda semua berkongsi dengan kerajaan aspirasi anda untuk Malaysia.

Saya berasa gembira kerana dapat bersama dengan para belia semalam di Universiti Malaya
dan mendengar sendiri aspirasi mereka. Kerajaan kita pada hari ini adalah kerajaan yang
sedia mendengar dan menggunakan pendekatan bottom-up.

Insya-Allah, idea-idea yang telah diutarakan ini akan diteliti, dikaji dan diambil kira. Suara
anak-anak muda kita akan didengari dan anak-anak muda akan mencorak perjalanan masa
depan negara.

Dalam kita mengambil langkah demi langkah memikirkan potensi, sasaran, wawasan dan
hala tuju pembangunan kita ke arah tahun 2050 kelak, ambillah peluang ini juga untuk
mengimbas kembali pencapaian kita sebagai sebuah negara bangsa yang telah merdeka
hampir 60 tahun.

Pelbagai rintangan dan cabaran telah berjaya kita harungi sebagai sebuah negara, sama ada
dari segi politik, hubungan antara kaum atau ekonomi.

Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa negara kita hari ini terdiri daripada masyarakat
majmuk yang hidup harmoni, ekonomi dan politik negara kita stabil dan kukuh berbanding
dengan negara-negara serantau yang lain. Negara kita juga mampu menyediakan pelbagai
peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada anak-anak muda pada hari ini. Saya percaya
dengan hala tuju yang baru yang akan ditentukan oleh para belia, kita akan terus maju dan
mara ke hadapan dengan lebih cemerlang lagi, terutamanya dengan mengambil kira dan
memanfaatkan perubahan dan perkembangan pesat dalam dunia teknologi.

Ingin saya tambah juga bahawa Dasar Transformasi Nasional yang saya perkenalkan pada
2010 meletakkan kita di landasan yang tepat untuk mencapai Wawasan 2020, yang hanya 3
tahun dari sekarang.
Namun, kita perlu berpandangan jauh, tidak patut leka dan terlalu khusyuk dengan
pencapaian dalam masa 3 tahun ini sehinggakan ia menghalang kita daripada mengatur
langkah dan bersiap sedia untuk perjalanan baru bagi Malaysia iaitu pasca 2020.

Janganlah kita politikkan inisiatif ini. Sesungguhnya diskusi dan perancangan TN50 ini
penting sebagai asas untuk kita merancang proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi
memeta hala tuju negara di atas kanvas yang baru.

Saya berpegang teguh kepada kata-kata pujangga, “A politician thinks of the next election, a
statesman thinks of the next generation.”

Kepada golongan belia semua, saya sedia mendengar aspirasi anda dan saya mahukan anda
semua mengambil bahagian membantu merangka masa depan anda. TN50 yang dirancang ini
adalah milik anda semua.

Semoga Allah SWT sentiasa memberkati usaha kita dalam membangunkan negara yang
tercinta ini.

Marilah sama-sama kita memulakan perjalanan ke arah TN50, ke arah Malaysia yang lebih
cemerlang.
KUALA LUMPUR - Menggalakkan perpaduan lebih erat dalam kalangan rakyat Malaysia
adalah satu daripada cabaran utama yang perlu diberi keutamaan dalam mencapai agenda
Transformasi Nasional 2050 (TN50), menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Untuk tujuan ini katanya, faktor-faktor yang perlu diberi perhatian adalah sistem pendidikan
negara.

Sistem pada masa ini dipersetujui oleh kaum-kaum di negara ini apabila Malaysia
memperoleh kemerdekaan berdekad dahulu, katanya, dan menambah kini ramai yang
merasakan ia adalah penghalang kepada perpaduan negara.

“Hari ini kita ada sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina dan India serta antarabangsa. Ia
dipersetujui sebelum ini dan kita hormatinya. Mungkin, ia dapat dilaksanakan pada masa itu
tetapi tidak pada masa ini,” katanya semasa dialog TN50 dengan eksekutif muda Touch ‘N
Go di sini hari ini.

Khairy berkata isu perpaduan bukanlah sesuatu yang ketara seperti statistik dan kedudukan
ekonomi yang boleh diukur atau dicapai dengan mudah.

“Ia melibatkan perasaan kebersamaan. Pada masa depan, kita perlu menyelesaikan masalah
ini dengan dasar yang lebih baik dalam tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.

Katanya Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai contoh negara berbilang kaum yang
hidup bersama dalam suasana damai dan harmoni.

“Ini sesuatu yang perlu kita kekalkan dan terus perjuangkannya, perpaduan adalah identiti
kita dan imej yang mentakrifkan Malaysia,” katanya dan menambah ini adalah satu daripada
aspirasi popular yang disuarakan semasa sesi dialog TN50 yang diadakan setakat ini.

TN50, satu gagasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dasar
futuristik yang dirumuskan untuk mencorak hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun selepas
2020. - Bernama