Anda di halaman 1dari 3

Setiap individu mempunyai kepelbagaian dimensi dalam diri masing-masing baik dalam

diri orang dewasa mahupun kanak-kanak. Tidak ketinggalan, murid-murid pemulihan khas juga
mempunyai kepelbagaian dimensi dalam diri yang terlibat dalam kesukaran penguasaan
kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) . Skop yang ingin dibincangkan dalam
kepelbagaian dimensi ini adalah dari segi kompetensi kendiri. Menurut Kamus Dewan (2007)
kompetensi bermaksud hak (kuasa) untuk memutuskan atau melakukan sesuatu, manakala
kendiri bermaksud sendiri. Maksud kompentensi kendiri ialah seseorang itu dapat
menguruskan dirinya sendiri. Dalam konteks pendidikan pemulihan, guru memainkan peranan
dalam membentuk murid yang boleh menguruskan kompetensi kendiri. Kompetensi kendiri
mempunyai tiga elemen iaitu kesedaran kendiri, pengurusan kendiri dan juga motivasi kendiri.

Antara elemen dalam kompetensi kendiri ialah kesedaran kendiri. Kesedaran kendiri
bermaksud keadaan di mana seseorang itu mempunyai pengetahuan mengenai kesedaran,
kefahaman tentang dirinya. Seseorang itu berupaya mengenali emosi dirinya sendiri dan kesan
terhadap emosi tersebut. Kesedaran kendiri ini juga berkait rapat dengan kecerdasan emosi.
Menurut Solevey dan Mayer (1990), iaitu pengasas konsep kecerdasan emosi menjelaskan
bahawa kecerdasan emosi membolehkan para murid berfikir secara kreatif dan mampu
menyelesaikan masalah dengan bijaksana. Dalam konteks pendidikan pemulihan, seorang
guru seharusnya dapat mengenali kesedaran kendiri murid pemulihan khas dari segi emosi
khususnya. Guru pemulihan perlu bersikap prihatin terhadap perasaan dan emosi murid
pemulihan. Kebiasaannya emosi murid pemulihan ini mudah dilihat dari segi wajahnya.
Sebagai contoh, jika murid pemulihan itu tidak suka akan sesuatu perkara mereka akan
menunjukkan dengan reaksi muka yang menunjukkan murid itu tidak suka akan perkara
tersebut. Jadi guru perlu prihatin terhadap perkara-perkara seperti ini walaupun secara
dasarnya perkara tersebut nampak kecil. Guru perlu pandai memainkan peranan untuk
memulihkan perasaan murid tersebut sekiranya berlaku di dalam kelas pemulihan.

Elemen yang seterusnya dalam kompetensi kendiri ialah pengurusan kendiri.


Pengurusan kendiri merupakan latihan mengawal dan mengekang kehendak dan keperluan diri
untuk mencapai atau menghadapi sesuatu situasi. Menurut Lewis dalam Woolfolk (2003),
seseorang murid dikatakan sudah mempunyai kawalan kendiri apabila dapat memilih aktiviti
bilik darjah yang sesuai, menangani masalah pembelajaran, menetapkan matlamat
pembelajaran yang realistik, mengurus masa sendiri dengan berkesan, berkolaborasi dengan
rakan dan membina hubungan yang baik dengan guru. Dalam konteks pendidikan pemulihan,
murid pemulihan boleh memilih aktiviti pembelajaran yang menarik dalam bilik darjah sebagai
contoh aktiviti-aktiviti PAK-21. Namun, aktiviti yang dipilih haruslah bersesuaian dengan topik
yang dipelajari dan selaras dengan tahap kognitif murid pemulihan. Dalam hal ini, guru berindak
sebagai fasilitator dalam membimbing murid dalam menjalankan aktiviti. Aktiviti ini mampu
membantu murid pemulihan dalam pengurusan diri mereka kerana ia dapat membantu murid
pemulihan memperkembangkan lagi idea-idea yang mereka miliki. Pengurusan kendiri ini juga
berkait rapat dengan emosi. Emosi manusia sentiasa berubah-ubah begitu juga murid
pemulihan. Mereka perlu mengetahui bagaimana untuk mengurus emosi mereka. Sebagai
contoh, jika murid tidak dapat menguasai kemahiran membaca, guru pemulihan boleh
membantu dari segi pengurusan emosi yang menguasai mereka agar mereka tidak mudah
berputus asa.

Seterusnya, elemen yang terakhir dalam kompetensi kendiri ialah motivasi kendiri.
Motivasi kendiri adalah satu dorongan yang menyebabkan seseorang bertindak atas kehendak
mereka sendiri (Haliza dan Joy, 2016). Individu itu sendiri bertanggungjawab untuk
memotivasikan dirinya sendiri dan orang sekeliling bertindak sebagai perangsang. Dalam
konteks pendidikan pemulihan, murid pemulihan itu sendiri seharusnya memotivasikan diri
mereka untuk terus belajar dan seterusnya menguasai kemahiran (3M). Guru pemulihan
bertindak sebagai pendorong kepada murid pemulihan tersebut. Dorongan-dorongan yang
positif mampu memotivasikan murid pemulihan untuk terus belajar dan menyiapkan latihan
yang diberikan oleh guru dengan baik. Sebagai contoh, jika murid pemulihan dapat menyiapkan
kerja yang diberikan oleh guru, guru akan memberikan peneguhan positif kepada murid
pemulihan dengan memuji mereka dan memberikan hadiah dalam bentuk token kepada
mereka. Token tersebut sebagai dorongan kepada murid pemulihan untuk memotivasikan
murid pemulihan untuk sentiasa menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru dan bersungguh-
sungguh untuk belajar.

Kesimpulannya, guru pemulihan memainkan peranan yang penting dalam kepelbagaian


dimensi murid pemulihan dari segi kompetensi kendiri. Kompentensi kendiri merupakan faktor
yang terpenting yang perlu didalami oleh murid pemulihan dengan adanya bantuan daripada
guru pemulihan. Sebagai guru pemulihan seharusnya tidak memandang enteng akan
kompetensi kendiri ini. Kompetensi kendiri ini boleh dibentuk sekiranya murid pemulihan dapat
dorongan, rangsangan yang sepatutnya dari guru dan juga ibu bapa murid itu sendiri. Kesemua
pihak sebenarnya bertanggungjawab ke atas kepelbagaian dimensi murid pemulihan ini.
RUJUKAN

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel (2016). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku
Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Kamus Dewan edisi keempat (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Salovey, P. & Mayer, J. D. (1990). Emotional intelligence: Imagination, Cognition and Personality,
9: 185- 211

Woolfolk, A. (2001). Educational Psychology, Edisi ke-8. Boston: Allyn & Bacon

Anda mungkin juga menyukai