Anda di halaman 1dari 25

Apa yang dimaksudkan dengan sastera?

Apakah ciri-ciri yang menandai kesusasteraan


Melayu.
Definisi Sastera
Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa Sanskrit castra yang
membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai
segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan
dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et
al;2006 hlm 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium
pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin
berkembang mengikut peredaran semasa.

Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2)
yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama
ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang
menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini
juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera
sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan
kepuasan estetik.

Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran


idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir
pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil
daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa
yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36)
sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala
aktiviti manusia secara kreatif.

Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan


bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan
membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus sastera,
kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian.
Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera
mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003).
Untuk maksud ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai bahan
analisis yang mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber petikan
yang akan diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa ialah dari
Sejarah Melayu dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap dari Gurindam Dua
Belas akan dikaji untuk mewakili sastera tradisional genre puisi. Sastera Melayu
moden yang berbentuk prosa pula akan diwakili oleh karya-karya Abdullah Munsyi
manakala sajak Kamala yang bertajuk “Telok Gong” pula akan mewakili puisi Melayu
moden.

KONSEP KESUSASTERAAN
Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium
pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu
membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan
sikap dan pandangan pengarangnya. (Arba’ie et al,2008) Secara ringkasnya sastera
dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S – Seni bahasa yang indah
A – Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S – Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T – Tersurat & tersirat
E – Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R – Realiti kehidupan
A – Alternatif

Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun.


Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya
mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan
dan mengungkapkan makna yang difikirkan. Adunan teknik-teknik yang sesuai dan
ketepatan diksi menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.

Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan


tersusun, sastera juga diiringi dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang
pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin
disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca. (Arba’ie et al,2008
hlm 1) Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan sebelum
terhasilnya sesebuah karya.

Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu


mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa
atau sensitiviti mereka. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang pengarang
haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan
pengarang akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan
sesebuah karya. Kewujudan pelbagai daya rasa ini akan membangkitkan dan
meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya. Daya rasa seperti belas
simpati, benci , marah atau geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang
dipaparkan. Karya itu akan lebih bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah
dilalui atau dialami oleh pembaca.

Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil
dengan kekosongan.(Ara’ie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas dorongan tertentu
dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Penafsiran
pembaca yang berencam mengundang pembaca memikirkan mesej yang ingin
disampaikan. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang
tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.

Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya


bahasa, bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk menilai
kesan estetika sesebuah karya itu.

Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan.


Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan
rakaman realiti dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta pengamatan
pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah. (Arba’ie,2008 hlm 2)
Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang
untuk meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang
terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan
nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat. (Arba’ie et al,2008 hlm 3)

KATEGORI KESUSASTERAAN MELAYU

Dalam kesusasteraan Melayu, pengkategorian sastera dilakukan berdasarkan


zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arba’ie et al,2008
hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional
dan moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi.
Genre prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang tersenarai:
Prosa Puisi
Sastera Rakyat Pantun
Sastera Pengaruh Hindu Syair
Sastera Zaman Peralihan Peribahasa
Sastera Pengaruh Islam Teromba
Sastera Panji Talibun
Sastera Ketatanegaraan Nyanyian Kanak-kanak
Sastera Undang-undang Jampi Mentera
Sastera Saduran Gurindam Zikir
Cerita Berbingkai Seloka, Kit’ahMasnawi

Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah
seperti berikut:
Prosa Puisi
Cerpen Sajak
Novel
Drama

Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai


genre prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk
membandingkan sastera tradisional dan moden.

CIRI-CIRI SASTERA MELAYU TRADISIONAL


Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah
diwarisi secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan
memberi gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia bersifat kolektif
atau hak milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak
diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya lahir di kalangan masyarakat
masa lampau dan disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi
yang lain kerana pada umumnya masyarakat pada zaman tersebut masih belum
mengenal huruf dan tidak tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu tradisional juga
terhad disebabkan khalayak yang terbatas dan bersifat esklusif.

Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya


perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam
sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang
tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan
keramat.

CIRI-CIRI SASTERA MELAYU MODEN

Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan


dengan sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui
lisan, maka sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran
hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan
kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi
masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang
hanya diketahui oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional
terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera
Melayu moden pula merupakan sebaliknya. Ianya bersifat individu atau
perseorangan kerana disertakan dengan nama pengarangnya. Ianya tidak lagi
bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya.
Bahkan sastera Melayu moden mempunyai sistem hak cipta terpelihara.
Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini bertentangan,
namun masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya sastera itu
dihasilkan.

PUISI MELAYU TRADISIONAL

Menurut Za’ba, puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai


untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan
kemanisan serta kecantikan bahasa.(Arba’ie et al,2008 hlm 9) Pendapat yang sama
juga diutarakan oleh Samuel Taylor Coleridge yang mengemukakan puisi sebagai
kata-kata terindah dalam susunan terindah. (Arba’ie et al,2008 hlm10)

Salah satu bentuk puisi tradisional adalah gurindam. Menurut Md Ali


Bachik (2003), gurindam adalah sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat
yang berirama dimana isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam bidalan.
Gurindam juga membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana ada penyebabnya
dan melalui penyebab itulah perkara tersebut terjadi.

Gurindam Dua Belas merupakan karya hasil karangan Raja Ali Haji yang

termasyhur. Beliau merupakan seorang sasterawan negara dari Pulau Penyegat, Riau,

Indonesia. Gurindam Dua Belas menyentuh perihal ketuhanan, keagamaan, budi pekerti,

kewajipan antara anak dan ibu bapa dan sebaliknya serta hidup bermasyarakat.

Salah satu tujuan terhasilnya Gurindam Dua Belas adalah untuk


menyedarkan masyarakat tentang pentingnya beragama, berilmu, berbudi pekerti
mulia, mentaati dan menghormati ibu bapa serta banyak lagi. Berikut adalah berapa
baris daripada petikan Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji.

GURINDAM DUA BELAS

...
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
...
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu
...
Apabila anak tidak dilatih,
Ketika besar, bapanya letih.
...

Berdasarkan petikan tersebut, dengan cara mengenali atau


mempelajari budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan bangsanya.
Budi dan bahasa dalam baris ini bukan sahaja menyentuh pada sistem linguistik
semata-mata tetapi merangkumi juga sistem budaya dan adat sesebuah bangsa.
Cara kita menggunakan bahasa Melayu akan mempamerkan kelakuan budaya dan
taraf sosial kita dalam masyarakat. Seperti kata peribahasa Melayu, “bahasa
melambangkan bangsa, bangsa melambangkan budaya.” Dari bangsa seseorang
kita akan kenali bahasanya dan dari bahasanya pula, barulah kita kenali budayanya.

Begitu juga dengan cara mengenali seseorang yang berilmu. Dengan


bermodalkan pertanyaan dan sifat ingin tahu, seseorang yang berilmu itu tidak akan
berhenti untuk mempelajari apa yang tidak diketahuinya. Seseorang yang
dahagakan ilmu itu tidak akan pernah jemu untuk mencarinya walau sejauh
manapun seperti hadits yang berbunyi, ‘menuntutlah ilmu sekalipun sejauh di negeri
Cina’.

Berdasarkan petikan di atas, Raja Ali Haji juga menyentuh tentang


pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar tidak
mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak meletihkan
atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak. Memang seharusnya,
anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan diberi teguran akan tingkah
lakunya agar sentiasa berkelakuan baik dan berbudi bahasa. Jika tidak dilentur
buluh dari rebungnya, atau dari kecil lagi, maka ketika dewasa, segala tingkah laku
dan peribadi seseorang itu sukar diubah dan diperbaiki.

PROSA MELAYU TRADISIONAL

Salah satu genre prosa Melayu tradisional adalah sastera rakyat.


Sastera rakyat berfungsi sebagai salah satu wadah hiburan. Ia lazimnya diceritakan
oleh tukang-tukang cerita pada waktu malam untuk menghilangkan penat selepas
bekerja di siang hari. Sastera rakyat juga dikenali dengan nama, penglipur lara.
Lazimnya cerita penglipur lara ini diiriingi dengan alat muzik tertentu (ms 92), ciri
umum tertentu seperti berkisar di sekitar istana, mengenai putera-putera raja yang
tampan, gagah, berani dan sakti dan puteri-puteri raja yang cantik jelita tiada
bandingannya seperti dalam contoh Hikayat Malim Deman dan Hikayat Anggun Cik
Tunggal di mana watak-wataknya berpusat kepada anak-anak raja. Cerita-cerita
penglipur lara ini penuh dengan kisah-kisah kesaktian dan dewa dewi. Ini kerana
masyarakat Melayu ketika dahulu mempunyai sistem kepercayaan tradisinya yang
amat ketara perbezaannya jika dibandingkan dengan masyarakat moden
sekarang. Justeru itu, rata-rata penceritaan serta konteks cerita sesebuah karya itu
menyentuh kepada unsur-unsur ghaib, dongeng dan mitos serta alam yang luar
biasa. Sepertimana fungsinya sebagai penglipur lara, cerita ini lazimnya bertemakan
percintaan antara wira dengan wirawati dan peperangan-peperangan yang terpaksa
dihadapi oleh wira dalam mencapai sesuatu tujuan.

Selain hiburan, sastera juga membawa unsur didaktik atau pengajaran.


Cerita-cerita teladan merupakan salah satu sastera tradisional yang berbentuk
prosa. Cerita-cerita ini bertemakan pendidikan moral sama ada berlandaskan
peraturan kehidupan sosial dan budaya atau pengajaran agama. (Arba’ie et al,2008
hlm 104) Jika cerita penglipur lara berkisar kepada anak-anak raja, cerita teladan ini
pula lazimnya terdiri daripada manusia biasa. Kebanyakannya berlatar belakangkan
dunia nyata dan menggunakan gaya pertuturan seharian. Di samping memberikan
didikan moral , cerita teladan ini lazimnya memberikan kesan yang mendalam di jiwa
kanak-kanak.

Pastinya ramai kanak-kanak yang mengenali cerita Si Tanggang, Batu


Belah Batu Bertangkup dan Cerita Bawang Putih dan Bawang Merah. Ajaran utama
dalam cerita-cerita teladan ini ialah balasan baik terhadap setiap kebaikan dan
sebaliknya seperti mana yang dapat kita lihat dalam cerita Si Tanggang. Tanggang
adalah seorang anak yang tidak mengenang jasa ibunya dan durhaka. Bukan sahaja
Tanggang tidak mengakui ibunya, dia juga telah menolak ibunya hingga jatuh ketika
ibunya berjumpa dengan Tanggang. Anak durhaka dan biadap terhadap ibunya ini
telah akhirnya disumpah menjadi batu. Satu pengajaran yang cukup meninggalkan
kesan betapa mabrurnya doa seorang ibu dan balasan yang setimpal yang diterima
oleh seorang anak yang durhaka.

Pengajaran yang sama juga dapat kita lihat dalam cerita Batu Belah
Batu Bertangkup di mana ibu Melur telah ditelan oleh batu belah kerana kecewa
dengan perbuatan anaknya yang tidak meninggalkan walaupun secebis telur ikan
tembakul. Kekecewaan itu telah mengakibatkan ibunya berlari menyerah diri agar
ditelan oleh batu belah.

Dalam konteks kesusasteraan Melayu, pandangan yang diberikan oleh


para sarjana bersifat pelbagai antaranya pandangan Usman Awang yang
mengaitkan sastera sebagai hasil tulisan yang mencerminkan kehidupan manusia.
Antara fungsi utama terhasilnya sesebuah karya oleh seorang pengarang ialah
dengan tujuan didaktik atau pengajaran kepada masyarakatnya. Dalam hubungan ini
Usman Awang berpendapat bahawa sesuatu karya sastera itu bukan hanya untuk
tujuan keseronokan sahaja tetapi juga mengungkapkan gagasan dan pemikiran
pengarangnya. Ini juga ditegaskan oleh A. Samad Said (1996) yang menjelaskan
bahawa sastera adalah rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat, ianya
merupakan satu refleksi kehidupan yang diterjemahkan secara halus dan berhemah
oleh pengarangnya.

Sastera juga berfungsi memberikan gambaran tentang kehidupan


masyarakatnya. DalamSejarah Melayu , Sultan Melaka dikatakan sanggup
memenuhi tuntutan Puteri Gunung Ledang demi mencapai hasrat untuk
memperisterikannya. Tuntutan Puteri Gunung Ledang ialah 7 dulang hati nyamuk, 7
dulang hati kuman, jambatan emas dan istana di puncak gunung Ledang dan
semangkuk darah Raja Muda. Segala permintaan Puteri Gunung Ledang dapat
dilaksanakan oleh Sultan walaupun ianya bermakna mengorbankan rakyat jelata.
Hanya semangkuk darah Raja Muda yang memisahkan Sultan Melaka daripada
mencapai hasrat hatinya. Ini kerana semua yang terlaksana atau yang dapat
dipersembahkan merupakan hasil penat lelah rakyat . Manakala, untuk mengambil
semangkuk darah Raja Muda, adalah satu pengorbanan yang tidak dapat ditunaikan
oleh Sultan Melaka sendiri.

Peristiwa ini juga memberikan gambaran kehidupan masyarakat pada


waktu itu yang terikat dengan kepercayaan, adat dan tradisi selain memperlihatkan
sejauh mana ketaatan rakyat terhadap raja yang disembah. Sultan Melaka
mengenepikan belas ihsannya terhadap masyarakatnya demi mencapai
keinginannya memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa ini juga
memperlihatkan pengabdian rakyat kepada seorang raja sewaktu dikerahkan
membina jejambat emas dari puncak Gunung Ledang.

PROSA MELAYU MODEN

Prosa Melayu Moden terdiri daripada genre cerpen, novel dan drama.
Dalam tugasan ini, perbincangan akan tertumpu kepada karya-karya Munsyi
Abdullah.

Menurut Diana Laurenson dan Alan Swingerwoods (1972:13)


hubungan masyarakat dan persekitarannya amat rapat dan saling melengkapi.
Sastera yang terhasil didorong oleh sumber-sumber yang terdapat di persekitaran
sama ada bersifat persoalan, isu-isu ataupun fenomena tertentu yang dipindahkan
dari layar realiti ke dalam coretan rasa, daya kreativiti dan pemikiran pengarangnya.
Oleh itu, pemikiran yang terungkap merupakan luahan atau kesedaran yang timbul
akibat kepekaan,keprihatinan serta pengalaman peribadi pengarang melihat dunia
dan masyarakat dari kaca matanya.

Karya-karya Abdullah Munsyi merupakan salah satu contoh yang


memperlihatkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Abdullah Munsyi merupakan
seorang pengarang yang menjalinkan pengalaman, sikap dan pemikirannya dalam
semua karya-karyanya. Berbeza dengan sastera tradisional, karya-karya Abdullah
Munsyi bertitik tolak dari pengalaman pengarangnya sendiri. Beliau memperlihatkan
ciri-ciri keindividuan yang tidak ditemui dalam karya-karya kesusasteraan
sebelumnya. Abdullah Munsyi merupakan orang yang pertama mencatatkan
pengalaman kehidupannya serta pelayarannya pada ketika itu.

Jika sastera melayu tradisional menampakkan unsur-unsur didaktik


serta cerminan kehidupan, sastera melayu moden umumnya serta karya-karya
Abdullah Munsyi khususnya, pula menyentuh kepada kritikan sosial masyarakatnya.

Dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, ada disebutkan tentang
sikap orang Melayu yang tidak menghiraukan bahasa mereka sendiri.

“Adalah suatu hairan akan sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini,
belum sedarkan dirinya tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab tiada mahu belajar
bahasanya sendiri, tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu: maka
mustahil pada akal, adakah orang yang tiada belajar boleh menjadi pandai
sendirinya.” (Hikayat Abdullah, 1963)

Abdullah Munsyi tidak membenci orang-orang Melayu tetapi beliau


tidak mengerti tentang sikap dan perilaku orang Melayu sendiri terhadap bahasanya
yang diabaikan. Beliau juga mengutarakan persoalan tentang bahasa Melayu yang
akan pupus jika tidak dimartabatkan oleh bangsa Melayu itu sendiri.

Keberanian Abdullah Munsyi mengkritik masyarakat Melayu


khususnya pada ketika itu disebabkan beliau mendapat naungan Inggeris. Ini
bermakna, beliau bebas dari cengkaman feudal dan tidak terikat dengan lingkungan
istana. Oleh itu, beliau berani memberikan pendapat serta pandangannya terhadap
permasalahan orang Melayu ketika itu. Bahkan beliau juga mengakui karya serta
kritikan yang ditulisnya dengan membubuhkan nama beliau sebagai pengarang
karya-karyanya. Ini bermakna, beliau memikul tanggungjawab tentang apa yang
dikaryakan.

Berbeza dengan sastera melayu tradisional, Abdullah Munsyi tidak


mengabaikan tanggung jawabnya terhadap masyarakatnya. Beliau bukan sahaja
memberikan penyedaran kepada masyarakatnya tetapi dengan berani mengolak
langkah mengusulkan beberapa cadangan serta huraian demi mengatasi masalah
yang dihadapi.

PUISI MELAYU MODEN


Selain daripada memberikan pengajaran atau hiburan kepada
masyarakatnya, sastera juga berfungsi sebagai satu wadah untuk berkomunikasi
tentang kebenaran. Dengan adanya kepekaan dan sensitiviti dari para penyair,
segala peristiwa sosial yang berlaku di dalam masyarakatnya akan mencetuskan
peluang terhasilnya puisi moden yang bertujuan mendedahkan tentang kebenaran
kepada masyarakat pembaca. Penangkapan Hamid Tuah dan petani-petani miskin
oleh kerajaan kerana dikatakan meneroka tanah secara haram di Telok Gong pada
tahun 1967 telah mencetuskan kesan yang mendalam kepada para penyair. (Arba’ie
et al,2008 hlm 39) Suara protes dapat dilihat dalam petikan sajak Kemala bertajuk
“Telok Gong” yang berikut:
Rumah dan tanah saudara, meski buruk
Adalah istana indah kebebasan jiwa
Lihatlah sepuasmu kibaran bendera negara
Dan tanah-tanah rahsia bekas pengkhianatan
Membikin kami lebih berani bertindak
Kami tuntut keadilan! Keadilan yang merata

Suara protes penyair yang diungkapkan dalam sajak bertindak balas


sebagai tanda ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang dianggap tidak
bertimbang rasa kepada golongan bawahan.

Begitu juga dengan sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun


pemerintahan Jepun. Rata-rata sajak yang dicipta meniupkan semangat perjuangan
dan menyeru kepada masyarakat umumnya agar menggunakan peluang keemasan
yang ada untuk memperjuangkan hak mereka. Semangat perjuangan yang sedia
ada dalam masyarakat Melayu semakin teguh. Kesediaan mempertaruhkan diri dan
sama-sama menegakkan pertiwi serta cita-cita politik Jepun memberi satu
kesedaran dalam masyarakat Melayu.

RUMUSAN
Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa kesusasteraan dapat
dirujuk sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu.
Sesebuah hasil karya adalah pancaran dari kehidupan masyarakat. Selain itu , karya
sastera juga dapat dikategorikan mengikut genre. Setiap genre itu ditandai dengan
ciri-ciri khususnya.

Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan


membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya. Setiap bahagian daripada
unsur dan fungsi di dalamnya mempunyai makna dalam teks karya selain berfungsi
dalam kehidupan masyarakat.

JENIS-JENIS KRITIKAN SASTERA

PENGENALAN

Pengkritik sastera bertanggungjawab menghuraikan pengalaman

pembacaannya sesudah menghayati dan memahami sesuatu karya sastera. Tulisan kritikan

sastera menampilkan pengalaman dan pengetahuan pengkritik yang berusaha sacara

objektif menghuraikan, mentafsir dan memperjelaskan nilai teks atau karya sastera.

Pengkritik yang baik dan berwibawa dalam usaha meletakkan nilai sesuatu karya itu,

mengetahui poetika pengarang. Sastera dan kritikan sastera saling memerlukan dan saling

melengkapi dalam meningkatkan dan memertabatkan kesusasteraan bangsa.

Othman Puteh menyatakan bahawa di Malaysia terdapat enam ciri-ciri

kritikan sastera iaitu kritikan sanjungan, kritikan teguran, kritikan saranan, kritikan

pendekatan, serta kritikan penganalisisan dan penilaian.

CIRI-CIRI KRITIKAN DALAM KESUSASTERAAN MELAYU


KRITIKAN SANJUNGAN

Sanjungan bermaksud menghargai, meletakkan sesuatu pada tempat

kedudukan yang mulia. Manakala kritikan sanjungan bermaksud memuji karya dan

pengarangnya yang menyerlahkan pemikiran bernas, di samping menampilkan elemen

dalaman karya yang baik dan menarik.

Kritikan sanjungan ini diterjemahkan dalam esei Othman Puteh iaitu

“Pemikiran Dalam Novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman” di mana beliau telah memuji

pengarang yang berjaya membawa satu pemikiran yang bernas.

KRITIKAN TEGURAN

Kritikan teguran bermaksud pengkritik cuba memperlihatkan kekuatan dan

kekurangan sesebuah karya sastera. Aminuddin Baki merupakan pelopor kritikan ini apabila

beliau mengkritik karya Keris Mas iaitu melalui novel Korban Kesuciannya.

Dalam kritikannya itu beliau telah memperkatakan tentang plot cerita

bergerak seperti aliran sungai hingga tidak dapat ditentukan pendirian watak-watak dalam

novel tersebut. Gaya bahasa pengarang yang banyak dipengaruhi oleh bahasa Inggeris

juga tidak terlepas dari kritikannya, namun begitu beliau juga memberikan beberapa saranan

untuk memperbaiki karya tersebut.

KRITIKAN PENGANALISISAN

Kritikan penganalisisan bermaksud pengkritik meneliti dengan mendalam

sesebuah karya sastera untuk mendapatkan beberapa maklumat tentang pemikiran, tema,

persoalan, teknik penceritaan, bagi menentukan karya sastera.

Menurut Othman putih, pengkritik penganalisisan perlu menguasai bidang

iaitu menguasai teori yang ingin diaplikasikan dan memiliki ilmu bantu yang mantap agar

analisis yang ingin dilakukan benar-benar menepati dan mencapai matlamat atau konsep

yang dipilih.
KRITIKAN PENILAIAN

Kritikan penilaian bermaksud pengkritik menilai sesebuah karya sastera,

melihat dari segi isi atau mesej yang hendak disampaikanoleh pengarang. Hasilnya dapat

dilihat keistimewaan dan kekurangan karya sastera tersebut.

Menurut Othman Putih pengkritik harus bijaksana, adil dan saksama serta

memberikan hujah yang relevan dan konkrit sebelum memberikan justifikasinya. Pengkritik

juga dituntut mengetahui dan memahami banyak aspek tentang pengarang yang

menghasilkan karya, subjek yang dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu yang

dipaparkan. Seperti novel Salina hasilan A Samad Said merupakan novel yang istimewa

tetapi ia merupakan sebuah cerita yang tidak cukup menawan dan pada keseluruhannya

tidak mencapai mutu sastera yang agung.

KRITIKAN SARANAN

Kritikan saranan bermaksud cadangan sesuatu perkara dalam sesebuah

karya sastera untuk dimantapkan. Pengktirik memberi saranan agar pemikiran, persoalan,

tema, teknik penceritaan, watak, dan perwatakan dan sebagainya dimantapkan dalam

sesebuah karya.

Menurut Othman Putih , kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Korban

Kesucian karya Keris Mas menepati kehendak kritikan saranan, malah menegur dan

member saranan positif tentang unsure keratif seperti gaya bahasa, plot, teknik dan watak

serta perwatakaan. Ianya dilaksanakan bertujuan untuk memperbaiki hasalin novel agar

lebih berjaya.

KRITIKAN PENDEKATAN

Kritikan pendekatan bermakna sesuatu proses atau cara untuk mendekati

sesuatu karya sastera. Karya sastera dapat dikaji dengan lebih mendalam jika pengkritik

menggunakan pendekatan tertentu. Pendekatan kritikan kesusasteraan di Malaysia

terbahagi kepada dua iaitu pendekatan instrinsik dan pendekatan ekstrinsik.


KESIMPULAN

Menjadi seorang pengkritik bukanlah semudah yang dikatakan, seseorang

pengkritik mestilah mempunyai ilmu yang mendalam, kreatif, kritis serta bertanggungjawab

terhadap apa yang hendak di kritikan. Penguasaan ilmu memberikan satu kelebihan kepada

pengkritik untuk menentukan apa jenis kritikan yang ingin digunakan dalam kerja-kerja

mengkritik.

Peranan para pengkritik amat penting dan kita mengharapkan para pengkritik

dapat memberi garis panduan kepada pengarang agar dapat menghasilkan suatu hasilan

yang bermutu tinggi yang boleh menjadi kebanggaan bukan buat dirinya juga malahan

masyarakat umumnya.

Pembahagian Jenis Kritikan

Kritikan sastera dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kritikan bercorak

teoritis yang disebut sebagai kritikan teoritikal dan kritikan bercorak praktis yang dikenali

sebagai kritikan praktikal. Kritikan teoritikal merupakan kritikan yang berhubung dengan teori

kritikan seperti perbincangan di sekitar definisi, prinsip, konsep, kriteria, pendekatan atau

metodologi.

(a) Kritikan Teoritikal

Kritikan teoritikal dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :

1. Kritikan yang membincangkan rukun-rukun dan dasar kritikan.

Perbincangan atau penentuan terhadap sesuatu pendekatan


2. Perbincangan untuk membina dan mencipta teori kritikan. Pengkritik akan

membuat penilaian yang akhirnya menghasilkan satu teori nilai. Teori nilai akan

menghasilkan teori pendekatan kritikan.

3. Teori sastera sebagai kritikan teoritikal. Teori sastera dicipta hasil daripada

penilaian, tanggapan dan kesimpulan daripada peristiwa, data, fakta dan sifat umum

sastera. Teori sastera yang menjadi sebahagian daripada kritikan teoritikal dibina hasil

penelitian terhadap karya sastera.

Kritikan toeritikal merupakan kritikan yang menyentuh dasar-dasar karya

berdasarkan teori. Kassim Ahmad misalnya cenderung kepada penggunaan teori realisme

sosialis dalam kritikan yang dilakukannya. Kassim Ahmad menyokong ideologi sosialisme.

(b) Kritikan Praktikal

Kritikan praktikal berhubung dengan usaha melakukan kritikan. Setelah

membaca karya sastera seseorang itu akan menulis satu kritik yang menerangkan

penghayatannya, membuat analisis, dan penilaian. Dasar-dasar penting yang diberi

pertimbangan dalam kritikan praktikal ialah :

1. Menggunakan teks karya sastera dan mendalami aspek tertentu seperti

struktur, gambaran masyarakat, unsur moral dan sebagainya dengan tujuan melihat

keistimewaan karya berkenaan.

2. Mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Kritikan bertujuan untuk

membuktikan sama ada benar atau tidak sesuatu andaian.

3. Menjelaskan makna sastera dan cara meningkatkan mutu sastera. Tujuan

kritikan adalah untuk meningkatkan mutu hasil sastera

4. Memerlukan latihan, percubaan serta kesungguhan. Memerlukan sifat yang

ojektif, adil dengan menggunakan pendekatan serta penghasilan suatu teori baru.
Jenis-jenis Kritikan Sastera

Hasil dari kajian sejarah sastera, kritikan sastera dapat dibahagikan kepada

empat jenis atau kategori. Pembahagian ini berdasarkan kepada hubungan karya dengan

alam, pembaca, pengarang dan dengan karya itu sendiri. Jenis-jenis tersebut ialah kritikan

mitetik, kritikan pragmatis, kritikan ekspresif dan kritikan ekspresif.

Menurut M.H. Abrams ada empat unsur utama dalam meneliti karya seni.

Pertama ialah karya seperti puisi yang dicipta oleh penyair atau lukisan oleh pelukis. Kedua

ialah unsur alam kejadian ciptaan Tuhan sama ada dunia yang nyata atau ideal yang ditiru

sebagai penghasilan karya sastera. Ketiga, unsur pengarang yang menghasilkan karya

sastera. Keempat ialah khalayak seni di mana karya itu ditujukan. Sekiranya prengkritik

melihat dari perspektif alam ia menggunakan teori mimetik. Jika di pandangan dari kesan

karya terhadap peminat ia menggunakan teori pragmatis. Manakala karya yang dilihat dari

sudut penciptanya ia menggunakan teori ekspresif dan jika dilihat dari aspek bentuk karya ia

menggunakan teori objektif. Penggunaan-penggunaan teori ini akan membentuk jenis-jenis

kritikan itu sendiri.

(a) Kritikan Mimetik

Kritikan mimetik melihat karya sebagai suatu peniruan atau cerminan

(reflection). Alam dan kehidupan manusia diceritakan dalam karya sastera. Kritikan ini

melihat sejauh mana tepatnya karya sastera itu menceritakan kembali tentang alam dan

kehidupan manusia. Tugas pengarang adalah untuk menggambarkan kejadian dan peristiwa

apa sahaja yang terjadi di dunia ini. Pengarang hanya meniru atau menyalin semula segala
riwayat alamiah. Kebenaran dilihat dari sudut bagaimana pengarang dapat mengemukakan

dengan tepat setiap apa yang berlaku dalam karyanya. Kritikan ini bertolak dari teori

peniruan yang dikemukakan oleh Aristotle.

Objek peniruan dalam kritikan mimetik ialah manusia, fikiran, emosi dengan

alam yang menjadi bahan dan pusat perbincangan. Kritikan mimetik menganalisis mengapa

bentuk dan corak hidup manusia berubah-ubah. Kritikan mimetik mengharapkan karya

sastera sebagai suatu yang bermanfaat dan berfungsi ia bukanlah sepenuhnya peniruan

alam tetapi suatu peniruan kehidupan supaya pembaca dapat mengetahui baik buruknya

gejala masyarakat.

(b) Kritikan Pragmatis

Kritikan pragmatis melihat sebuah karya sastera sebagai suatu yang dicipta

dengan tujuan memberi kesan tertentu terhadap pembacanya. Kesan-kesan yang

diperlukan seperti kepuasan estetika, pengajaran atau emosi tertentu. Kritikan ini melihat

keberkesanan karya melalui kejayaan mencapai matlamat kesan tersebut. Kritikan ini juga

mahu membuktikan kejayaan atau kegagalan pengarang dalam mencapai motif penciptaan

karyanya. Karya yang baik adalah karya yang memberikan kesan yang mendalam,

melahirkan pemikiran dan falsafah berguna serta membangkitkan keseronokan pembaca.

Kritikan pragmatis menolak karya yang tidak bermutu atau tidak bermoral.

Kritikan pragmatis akan meneliti bahagian-bahagian eksplisit atau implisit

dalam karya yang menjadikan pembaca terpukau atau terpikat. Ia melihat segala usaha

pengarang untuk menjadikan karyanya berkesan serta dihargai pembaca. Respon pembaca

secara tidak langsung memberi kesan terhadap sesebuah karya sastera. Oleh itu pembaca

menjadi penentu bagaimana sesebuah karya itu perlu dihasilkan untuk memenuhi kehendak

dan keperluan mereka.


c) Kritikan Ekspresif

Kritikan ekspresif menghubungkan karya sastera dengan pengarang. Kritikan

ekspresif melihat karya sastera sebagai alat pengarang menyatakan emosi dan fikiran.

Karya dilihat sebagai suatu ekspresi atau pembanjiran pengucapan perasaan atau hasil

imaginasi pengarang terhadap pengamatan, fikiran dan emosi. Ia bertujuan menilai

kejujuran, ketulenan atau kesempurnaan visi pengarang dalam karyanya. Kritikan ini akan

melihat emosi dan pengalaman pengarang secara sedar atau tanpa sedar mendedahkan

dirinya dalam karya sastera.

Sastera menjadi alat seni pengucapan, pernyataan dan pencurahan idea,

emosi, pemikiran dan falsafah. Aspek-aspek yang abstrak seperti imaginasi, sensitiviti, bakat

dan kesungguhan pengarang dihurai untuk melihat unsur keunikan dan keistimewaan karya

berkenaan. Kritikan ekspresif mengutamakan keaslian, kejujuran serta kebenaran dalam

berkarya. Kritikan memberi perhatian terhadap pengarang bagi menjamin lahirnya karya

sastera yang bermutu. Karya yang unggul mempunyai tema yang berkaitan dengan

ketamadunan bangsa yang bersumberkan aspirasi rakyat atau negara. Fikiran dan falsafah

harus tersembunyi di sebalik karya yang dihasilkan di samping menunjukkan kepintaran dan

kebijaksanaan pengarangnya.

Dasar utama pengkaryaan ialah keasilan, kejujuran dan kebenaran. Keasilan

dilihat dari sudut hasil perahan fikiran pengarang bukannya suatu yang disadur atau ditiru.

Kejujuran bermaksud keikhlasan membawa unsur didaktik dan moral serta kebaikan dan

bertepatan dengan hasrat pengarang. Kebenaran pula ialah meletakkan sesuatu di tempat

yang tepat, lurus, bertanggungjawab dan tidak menyatakan kebatilan.

(d) Kritikan Objektif


Kritikan objektif melihat karya sastera sebagai sesuatu yang bebas dari

pengarang, pembaca dan alam. Karya sastera merupakan suatu yang istimewa dan boleh

berdiri sendiri. Karya sastera mempunyai dunia tersendiri yang perlu dianalisis dan diniali

secara intrinsik. Ia mengandungi sifat kompleksiti, hubungan dan kesatuan antara unsur-

unsur dalaman, perseimbangan dan gaya bahasa. Kritikan objektif memberi tumpuan

terhadap aspek struktur sebuah karya sastera.

Tumpuan diberikan kepada komposisi karya dan memusatkan penilaian

terhadap isi dan bentuk. Isi merupakan perbincangan di sekitar tema, persoalan, pemikiran,

falsafah, mesej, motif, dan ceritanya. Bentuk pula merupakan komponen-komponen yang

membina karya seperti plot, perwatakan, bahasa, latar, sudut pandangan, nada dan

lambang. Pengarang perlu mempunyai sensitiviti untuk mencipta isi dan bentuk supaya ia

sebati dalam satu teknik yang kemas, padu dan kukuh.

Karya sastera mempunyai kompleksitinya dan kritikan objektif melihat

bagaimana proses kompleksiti itu dibangunkan dalam karya sastera. Kompleksiti dilihat

daripada susunan plot yang penuh suspen, dilema, atau ironi. Ia juga dapat ditimbulkan

dalam pelukisan watak yang penuh aksi, dramatik dan komplikasi, serta penggunaan

bahasa yang padat dan berkesan. Pengarang tidak memilih jalan mudah untuk menyatakan

sesuatu tetapi mengeksploitasi segala daya kreatifnya supaya karya sastera itu mampu

melahirkan estetikanya tersendiri. Unsur ekstrinsik ditinggalkan dalam penilaian karya agar

ia benar-benar dapat memberi pertimbangan yang saksama kepada pengarang.

Ciri-Ciri Kritikan di Malaysia


Menurut Othman Puteh terdapat enam ciri kritikan yang menjadi pegangan

para pengkritik. Keenam-enam ciri itu ialah sanjungan, teguran, saranan, pendekatan,

penganalisisan, dan penilaian.

(a) Kritikan Sanjungan

Sanjungan bermaksud pernyataan rasa kagum atau senang terhadap orang

lain. Kritikan ini bersifat memuji karya dan pengarangnya yang berupaya menghasilkan

pemikiran bernas, serta dapat menampilkan elemen karya yang menarik. Kritikan sanjungan

ini muncul ada era pascaperang dunia kedua dan pra ASAS 50. Pengkritik pada era ini

terdiri daripada pengarang kreatif seperti Keris Melayu (Muhammad Yassin Maamor), dan

Anak Negeri (Mohd Yusof Ahmad). Kritikan pada masa itu tertumpu pada Sejarah Melayu

karya Tun Seri Lanang dan Hikayat Abdullah karya Abdullah Munsyi. Kritikan sanjungan

ditujukan juga kepada pengarang kerana memiliki daya intelektual, ketajaman dan

kebernasan fikiran. Abdullah Munsyi diiktiraf sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden

terutama dari perspektif gaya bahasa yang menggunakan pendekatan autobiografi bersifat

kewartawanan dalam karyanya.

(b) Kritikan Teguran

Kritikan teguran merupakan kritikan yang bersifat memberi teguran dan

peringatan secara ikhlas. Ia lebih praktikal kerana pengkritik melaksanakan kajiannya

dengan lebih berimbang dengan menyatakan keistimewaan, kekuatan teks berkenaan dan

menunjukkan kekurangan. Tokoh terawal dalam kritikan teguran ialah Aminuddin Baki yang

menulis artikel “Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu” di

Utusan Zaman 12 Jun 1949. Aminuddin dalam artikel tersebut mengkritik novel Korban
Kesucian karya Keris Mas. Aminuddin lebih intelektual dan tidak dipengaruhi emosi dan

sentimen dan tidak mengecam pengarang.

(c) Kritikan Saranan

Kritikan saranan adalah kritikan yang menganjurkan sesuatu untuk

memperbaiki kekurangan serta memantapkan unsur-unsur yang membina dalam karya.

Kritikan saranan juga bersifat memberi alternatif untuk membaiki kekurangan. Kritikan ini

mengalirkan nilai yang positif dan amat signifikan kepada khalayak pembaca, pengarang

dan pengkritik sendiri.

(d) Kritikan Pendekatan

Pendekatan meruakan suatu proses mendekati sesuatu. Ia merupakan usaha

untuk mencapai pengertian terhadap sesuatu penelitian. Dalam bidang kritikan

pertimbangan atau penilaian pengkritik berlandaskan suatu aspek atau tinjauan tertentu.

Landasan ini merujuk kepada penggunaan teori atau ilmu tertentu. Pendekatan kritikan yang

berkembang di tanah air ialah pendekatan intrinsik, pendekatan ekstrinsik, pendekatan

moral, pendekatan psikologi, pendekatan sosiologi dan pendekatan arkitaip.

Pendekatan intrinsik adalah pendekatan terhadap karya sastera menerusi

premis bahawa perlu melihat karya itu sendiri, terutama terhadap unsur-unsur dalaman yang

membina karya sastera seperti plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, dan

gaya bahasa. Pendekatan ekstrinsik ialah pendekatan yang memberi fokus terhadap

memanfaatkan ilmu bantu bukan sastera iaitu sejarah, agama, psikologi, politik dan

sosiologi. Pendekatan intrinsik dan ekstrinsik ini seringkali dikaitkan dengan pendekatan

struktural yang menilai aspek formal dalam karya sastera.


Pendekatan moral pula berkaitan dengan penelitian terhadap nilai-nilai moral

dan agama. Kajian ini difokuskan terhadap perilaku watak yang ditampilkan oleh pengarang.

Pendekatan psikologi atau dikenali sebagai pendekatan kemanusiaan lebih

ditumpukan kepada empat aspek yang saling berkaitan dan melibatkan pengarang, watak

dan pembaca. Pertama, pengalaman hidu peribadi pengarang serta aspek kejiwaannya

yang mempunyai kaitan dengan sejarah hidup pengarang. Kedua, proses penulisan teks

karya sastera yang melalui proses mencari idea, pengeraman, iluminasi, dan verifikasi.

Proses penciptaan ini berkaitan dengan proses dalaman dan luaran. Ketiga, sifat atau

perilaku zahir dan batin watak. Kritikan ini akan melihat kedudukan watak protagonis dan

antagonis dalam menghadapi pelbagai persoalan, konflik dan sebagainya. Keempat, melihat

kesan karya terhadap pembaca. Ia dikaitkan dengan aspek emosi hasil dari tanggapan dan

pengalaman pembaca.

Pendekatan sosiologi pula memberi tumpuan terhadap tiga aspek utama iaitu

pengarang, karya, dan masyarakat. Manakala pendekatan arkitaip atau tipa induk menjurus

kepada perbincangan berkaitan dengan kepercayaan dan pegangan hidup sesebuah

masyarakat. Ia sering dikaitkan dengan adat istiadat, kepercayaan, dan mitos yang

dipaparkan dalam karya sastera.

(e) Kritikan Penganalisisan

Kritikan penganalisisan merupakan kritikan bersifat penyelidikan untuk

mengetahui keadaan yang sebenarnya termasuk untuk menentukan kedudukan, prestasi

atau pencapaian sesebuah karya sastera. Pengkaji melakukan penelitian dengan menghurai

dan menganalisis karya tersebut. Dalam analisis tersebut pengarang membuat huraian

terperinci terhadap bahasa, permulaan dan pengakhiran cerita, motif, citra, watak,
pemikiran, perlambangan, nilai, sudut pandangan, aliran dan ideologi dalam karya berkaitan.

Pendekatan ini juga melihat bagaimana teknik penulisan sesebuah karya sastera dari genre

tertentu. Ia bermatlamat untuk mengesan kecenderungan pengarang sama ada menulis

sebuah karya berbentuk kovensional atau ekspiremental. Kerja-kerja mengkritik

menggunakan ilmu dan teori tertentu untuk mencapai tujuan analisis berkenaan.

(f) Kritikan Penilaian

Pengkritik yang melakukan kritikan penilaian melihat adakah sesebuah karya

sastera itu bermutu atau sebaliknya. Pengkritik haruslah bijaksana, adil, saksama dan dapat

mengemukakan hujah yang konkrit sebelum membuat justifikasi. Pengkritik perlu

mengetahui banyak aspek iaitu pengarang yang menghasilkan karya, subjek yang

dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu karya dipaparkan. Pengkritik tidak boleh berat

sebelah, emosional dan memihak..