Anda di halaman 1dari 8

1.

0 PENGENALAN

Koir merupakan nyanyian secara berkumpulan dalam pelbagai lapisan suara.


Pada asalnya, koir dipersembahkan di gereja pada zaman Pertengahan iaitu antara 600-
1450 Masihi di Eropah. Kini, koir tidak hanya berfungsi untuk upacara keagamaan malah
dipersembahkan dalam pelbagai acara yang mempunyai tema tertentu seperti patriotisme
dan unsur-unsur nilai murni.

Koir adalah suatu ensembel muzik para penyanyi yang menyanyi beramai-ramai,
yang mana terdiri terdiri daripada 45 orang atau lebih. Ia bukanlah sebuah kumpulan
penyanyi solo yang bersaing antara satu sama lain, malah sebagai sekumpulan penyanyi
yang membentuk nyanyian berharmoni. Dari segi istilahnya, koir adalah sebuah kumpulan
muzikal vokal yang menyanyi beramai-ramai bagi membentuk satu nyanyian yang
harmoni. Walaupun bukan penyanyi solo yang baik, namun dalam kumpulan koir, ahli-ahli
ini mampu untuk menghasilkan gabungan suara yang berharmoni, mantap dan merdu.

2.0 ANALISIS PERSEMBAHAN KOIR

Berdasarkan tontonan rakaman konsert nyanyian yang disediakan, didapati bahawa


persembahan ini merupakan sebuah persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’ yang
dipersembahkan oleh Permata Seni Koir pada tahun 2014. Persembahan ini secara
keseluruhannya dapat dianalisis dari segi konsep muziknya, seni kata lagu, gaya
persembahan dan gubahan suara lagu serta nilai dan etika persembahan.

2.1 KONSEP MUZIK

2.1.1 Melodi

Melodi adalah turutan pic yang disusun sama ada secara menaik, menurun
atau mendatar. Susunan pic ini terdiri daripada bunyi panjang atau pendek yang
membentuk irama melodi yang berkontur.
Nada dalam persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’ ini dikenalpasti menggunakan
nada major (bersifat menggembirakan) iaitu nada C major, yang mana bermaksud
lagu dalam persembahan ini dinyanyikan dengan menggunakan pic atau not C
pada permulaan dan juga akhir lagu. Selain nada, pic dalam persembahan koir ini
juga dapat didengari dan dianalisis, di mana pic adalah berkaitan dengan aras
sesuatu bunyi sama ada bunyi tinggi atau bunyi rendah. Berdasarkan lagu ‘Tepuk
Amai Amai’ yang dinyanyikan, pic terendah yang dinyanyikan dapat dikenalpasti
iaitu pic atau not C tengah (C4) yang dinyanyikan oleh suara melodi. Manakala,
pic yang tertinggi dalam persembahan ini pula adalah not E atas iaitu not E5 yang
dinyanyikan oleh kaunter melodi. Ini bermaksud bahawa range suara yang
digunakan dalam persembahan ini adalah sesuai dengan range suara murid yang
tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah, yang mana range ini masih boleh
dinyanyikan oleh murid mengikut kemampuan range suara mereka. Selain pic
tinggi dan rendah, pic yang bergerak secara bertangga, melompat dan mendatar
juga dapat dianalisis:

Pic Bertangga:

Contoh: pada lirik ‘emak pergi kerja’

Pic Melompat:

Contoh: pada lirik ‘a-mai’


Pic Mendatar:

Contoh: pada lirik ‘be-la-lang’

2.1.2 Irama

Irama dalam konsep muzik merangkumi faktor detik, meter, tekanan,


tempo masa (duration) dan tempo serta irama yang terbentuk daripada sesuatu
susunan bunyi. Dari segi detik, persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’ ini
menggunakan unit denyutan yang berulang dan berterusan secara sekata iaitu
jangka masa dari satu detik ke satu detik diukur dengan nilai not muzik iaitu not
krocet. Selain detik, meter yang digunakan dalam persembahan koir ini
merupakan meter lazim iaitu meter empatan, di mana setiap bar diletakkan jumlah
detik yang sama banyak iaitu empat krocet dalam setiap bar. Tempo pula
merupakan unsur yang berkaitan dengan kelajuan detik dalam sesebuah lagu.
Lagu ‘Tepuk Amai Amai’ yang dinyanyikan dalam persembahan koir ini
dikenalpasti menggunakan tempo Andante dalam istilah muzik, iaitu pergerakan
muzik yang perlahan (Kamus Dewan Edisi Keempat), ataupun dalam bentuk
digitnya mengikut sukatan metronome, menggunakan 100 bit krocet per minit. Di
samping itu, corak irama yang digunakan dalam persembahan ini adalah
menggunakan corak irama ostinato, yang mana corak irama yang sama
dinyanyikan secara berulang-ulang dalam lagu ini membolehkan penyanyi koir
mudah untuk mengingatinya sesuai dengan tahap murid. Bukan itu sahaja, rentak
yang digunakan dalam persembahan koir ini juga adalah agak pantas dan ‘lively’
iaitu meriah, yang mana membolehkan murid menangkap sekali gus menyanyikan
lagu ini dengan mudah dan gembira.
2.1.3 Harmoni

Harmoni dalam muzik merupakan bunyi muzikal yang dihasilkan melalui


kombinasi dua atau lebih not yang berbunyi serentak. Ini melibatkan melodi dan
kaunter melodi yang dikenalpasti dinyanyikan secara serentak dalam
persembahan koir ini. Suara melodi dan kaunter melodi yang dinyanyikan dalam
koir ini merupakan kombinasi dua not yang dinyanyikan secara berbeza dalam
masa yang sama, yang mana kaunter melodi dinyanyikan dengan menggunakan
pic suara yang lebih tinggi berbanding suara melodi. Nyanyian dua suara secara
serentak ini menghasilkan bunyi suara atau nyanyian yang harmoni, yang mana
menyebabkan nyanyian koir ini kedengaran sedap.

2.1.4 Ekspresi

Ekspresi adalah berkaitan dengan pernyataan perasaan dan fikiran yang


ditonjolkan oleh sesebuah lagu atau karya muzik. Pernyataan perasaan dan fikiran
ini dapat disampaikan melalui mud dan dinamik muzik yang diperdengarkan.
Secara keseluruhan persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’, mud lagu yang
dikenalpasti dalam persembahan ini ialah mud riang yang membentuk sifat atau
suasana yang ceria dan gembira dalam karya muzik ini. Mud riang yang
dibawakan oleh lagu ini membolehkan penyanyi koir lebih bersemangat sekali gus
dapat menghayati dan menghidupkan persembahan ini sesuai dengan tahap
murid yang lebih gemarkan suasana yang gembira. Selain mud, dinamik yang
digunakan dalam keseluruhan nyanyian koir ini dikenalpasti hanya menggunakan
satu jenis dinamik iaitu dinamik f yang bermaksud kuat.

2.2 SENI KATA LAGU

Seni kata atau lirik lagu merupakan perkataan-perkataan yang dinyanyikan dalam
sesebuah lagu. Berdasarkan persembahan koir yang ditonton, seni kata lagu yang
digunakan dalam nyanyian ini adalah ringkas, yang mana ianya mudah diingat oleh murid.
Selain itu, seni kata lagu yang digunakan ini juga mempunyai istilah yang mudah difahami
sesuai dengan tahap murid.
Dengan seni kata lagu sebegini, murid-murid akan mudah mengingati atau menghafalnya
serta memahami maksudnya sekali gus dapat dinyanyikan dengan penuh penghayatan,
di samping menghidupkan lagi persembahan. Bukan itu sahaja, seni kata lagu yang
digunakan dalam nyanyian ini juga adalah berulang yang memudahkan lagi murid-murid
untuk mengingatinya.

2.3 GAYA PERSEMBAHAN

Lazimnya, ahli kumpulan koir berdiri semasa menyanyi. Gerakan boleh digunakan
sebagai unsur kreativiti dalam persembahan. Teknik nyanyian yang betul diberikan untuk
menghasilkan ton suara yang baik. Dalam persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’, terdapat
beberapa gaya persembahan yang dikenalpasti, yang merupakan keunikan dan kreativiti
kumpulan koir ini. Pada mulanya, ahli koir berdiri tegak dengan menggerakkan kepala ke
kiri dan kanan mengikut tempo lagu sebelum memulakan nyanyian. Setelah nyanyian dua
rangkap lagu, gaya persembahan dikenalpasti ditunjukkan pada kumpulan koir ini, iaitu
gaya persembahan menepuk tangan mengikut tempo secara bertingkah antara ahli koir
pada barisan hadapan dan belakang. Selain itu, gaya persembahan menepuk tangan
secara meningkah ini juga diterusnya lagi pada dua rangkap lagu yang seterusnya, tetapi
tidak melibatkan semua ahli koir iaitu hanya ahli koir barisan tengah di sebelah kanan
sahaja. Selepas nyanyian empat rangkap lagu, ahli koir juga dilihat mengekalkan cara
tepukan tangan yang meningkah, tetapi ditambah lagi dengan satu jenis tepukan corak
irama.

Selain gaya persembahan menepuk, nyanyian rap secara duet antara seorang
pelajar perempuan dan lelaki juga diselitkan dalam persembahan koir ini, yang mana
pelajar perempuan menyanyikan rap dalam Bahasa Melayu, manakala pelajar lelaki pula
dikenalpasti menyanyikan rap dalam Bahasa Cina. Di samping itu, ahli koir yang dilihat
juga melakukan aksi pergerakan yang pelbagai, yang mana menunjukkan lagi kreativiti
persembahan koir ini. Setelah bahagian persembahan nyanyian rap, ahli koir meneruskan
lagi dengan gaya persembahan tepukan mereka, seterusnya mengubah posisi dengan
berhadapan dengan rakan mereka secara berpasangan, dan melakukan aksi pergerakan
menepuk sesama pasangan seperti bermain. Setelah itu, ahli koir juga dilihat
menggerakkan lagi kepala mengikut tempo setelah nyanyian dua rangkap lagu yang
seterusnya, serta meneruskan aksi tepukan mereka yang bertingkah.
Secara keseluruhannya, gaya persembahan dalam nyanyian koir ini adalah gaya
persembahan menepuk tangan dengan pelbagai gaya, yang menunjukkan kreativiti
persembahan, selain disertakan dengan nyanyian rap dan aksi pergerakan.

2.4 GUBAHAN LAGU

Gubahan muzik merupakan isi atau intipati bagi sesebuah lagu, tidak mengira
rentak atau genre yang membuat sesuatu lagu itu menjadi gah atau sebaliknya.
Berdasarkan persembahan koir yang ditonton, lagu ‘Tepuk Amai Amai’ ini digubah
menjadi dua suara iaitu melodi dan kaunter melodi, yang pada asalnya hanya terdapat
suara melodi dalam lagu ini. Suara kaunter melodi yang dinyanyikan dalam persembahan
ini digubah dengan menggunakan pic yang lebih tinggi berbanding suara melodi, iaitu pic
atau not E atas (E5) yang mana pic yang tertinggi dalam gubahan ini masih boleh
dinyanyikan oleh murid. Ini bermaksud, gubahan suara kaunter melodi adalah baik kerana
ianya mengambil kira tahap kemampuan range suara murid yang tidak terlalu tinggi. Dari
aspek irama, gubahan lagu yang dinyanyikan ini mengekalkan meter dan nada asalnya
iaitu meter empatan serta nadanya C major. Rentak lagu ini yang meriah (lively) juga
dikekalkan bagi mewujudkan suasana lagu yang ceria dan gembira sesuai dengan
penyanyi koir iaitu murid. Selain itu, gubahan lagu ini juga digubah dengan menggunakan
satu jenis dinamik iaitu dinamik kuat (f) sepanjang nyanyian lagu dari mula hingga akhir.

2.5 NILAI DAN ETIKA PERSEMBAHAN

Etika merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan
betul dan kehidupan baik. Manakala, nilai murni pula dapat didefinisikan sebagai
perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu. Justeru, makna utama yang
tersirat dalam maksud etika dan nilai murni ini adalah hampir sama iaitu yang berkaitan
dengan perlakuan yang baik. Etika yang paling ketara dan diambil kira dalam
persembahan koir termasuklah etika dari segi penampilan dan disiplin. Dalam
persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’, etika berpakaian yang ditunjukkan adalah sopan
sama ada pakaian ahli koir mahupun pakaian yang dipakai oleh pemimpin koir. Pakaian
ahli koir yang dilihat adalah seragam sesuai dengan tema persembahan serta etika koir,
yang mana ahli dan pemimpin koir mengenakan pakaian yang tidak menjolok mata.
Selain etika berpakaian, etika kekemasan yang ditunjukkan juga adalah kemas, sama ada
dari segi strategi susunan koir mahupun hiasan diri ahli koir. Susunan ahli koir yang
dibentuk kelihatannya kemas mengikut ketinggian murid dan kumpulan suara yang
dinyanyikan, selain gaya kekemasan rambut, solekan dan pakaian juga adalah sesuai
dengan gaya persembahan yang menonjolkan lagi persembahan ini. Selain itu, etika
disiplin yang ditunjukkan dalam persembahan koir ini adalah baik, di mana ahli koir
menunjukkan kelakuan yang sopan dengan mengikuti arahan pemimpin koir. Bukan itu
sahaja, etika dari segi seni kata lagu juga adalah menggunakan seni kata yang baik, iaitu
tidak berunsur tidak baik seperti menyentuh isu sensitif atau seni kata yang bersifat
perkauman (racist).

3.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, persembahan koir ‘Tepuk Amai Amai’ yang ditonton dan
dianalisis ini dapat dikenalpasti dari konsep muziknya termasuklah melodi, irama, harmoni
dan ekspresi. Seni kata lagu yang digunakan dalam persembahan ini juga adalah mudah,
sesuai dengan tahap murid, selain gaya persembahan yang diselitkan dalam nyanyian
koir ini juga menunjukkan kreativiti yang dapat menarik minat penonton. Nilai dan etika
persembahan juga secara keseluruhannya adalah menepati dengan etika persembahan.
RUJUKAN

Ainul Winda (2006). Koir (Apa itu koir?). Dilayari pada 1 Mac 2019, daripada
https://cikguainulwindawesome.blogspot.com/2016/05/koir-apa-itu-koir.html?m=1

Amin Mahmud (2012). Konsep Muzik. Dilayari pada 1 Mac 2019, daripada
https://citramuzika.blogspot.com/2012/03/konsep-muzik-7-elemen.html?m=1

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suhaily Samsudin (2011). Konsep Muzik. Dilayari pada 1 Mac 2019, daripada
https://suhaily1975.blogspot.com/2011/12/konsep-muzik.html?m=1

Wikipedia (n.d.). Koir. Dilayari pada 1 Mac 2019, daripada


https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Koir

Youtube (n.d.). Tepuk Amai Amai-Permata Seni Koir 2014. Dilayari pada 1 Mac 2019,
daripada https://youtube/kfGeYfOyubA