Anda di halaman 1dari 6

Ucapan Penasihat

Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SK ____ Bagi Tahun 2019

Terima Kasih saudara / saudari pengerusi majlis.

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam
Guru Malaysia, Salam Labuan Hebat, Guru sayang Muridnya

Yang berusaha Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru


Yang Berbahagia
Yang Berbahagia ___ Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan ____
Yang Berbahagia _____ selaku Pegawai Angkat Sekolah
Yang Berbahagia Inspektor ____ dan Sarjan ___ Pegawai Polis Angkat Sekolah.
Yang dihormati __ penolong kanan Kurikulum, PK HEM, PK KOKUM dan PK Pendidikan Khas
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Ibu bapa dan guru,
Tuan-tuan dan puan-puan para ibu bapa / penjaga,
Guru-guru dan Pegawai Kumpulan Pelaksana SKBK

Selamat datang ke Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SK ___ bagi tahun 2019.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya
segala perancangan dan usaha yang jitu maka Mesyuarat Agung Tahunan PIBG bagi tahun
2019 dapat dilaksanakan pada hari ini. Terima kasih kepada semua ibu bapa yang dapat
hadir pada hari ini. Kehadiran ibu bapa menunjukkan komitmen yang tinggi bagi
merealisasikan visi dan misi sekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang
akademik, kokurikulum dan sahsiah murid.

Saya bagi pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian Tuan Dr.
______ kerana hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG bagi tahun ini. Terima kasih
juga atas kehadiran Tuan Pengarah Pendidikan ____. Tidak dilupakan juga buat semua
jemputan khas yang tidak pernah menghampakan pihak sekolah apabila dijemput hadir.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua guru, pegawai kumpulan pelaksana
dan semua AJK Teringgi PIBG yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam
menjayakan masjlis kali ini.

Kompang bergema pusaka bangsa,


Dipalu oleh si anak muda.
Hadir tuan/puan meriah suasana,
Kami menyambut penuh gembira.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Ucapan saya pada pagi ini sama juga seperti tahun-tahun yang lepas ini kerana teks ucapan
ini mengandungi amanat daripada Kementerian yang perlu saya sampaikan untuk
pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan. Ada 6 perkara penting iaitu intipati ucapan
perutusan tahun baharu 2019, 12 inisiatif baharu KPM, pemansuhan amalan peperiksaan bagi
murid tahap 1, Pembelajaran Abad ke-21, Science, Technology, Engineering dan
Mathematics atau STEM dan Revolusi Industri (RI) 4.0.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Perkara Pertama : Intipati Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2019 KPM.

Amanat ini berbunyi “Pendidikan Untuk Semua, Tanggungjawab Semua”.


Memetik ayat Menteri Pendidikan YB Dr, Mazlee Malik, “Di kesempatan ini juga, saya merayu
semua pihak dari pelbagai bidang dan kemahiran untuk turut bersama-sama membantu
menjayakan amanah ini”. Jadi, apa yang bakal saya ucapkan sebentar lagi merupakan
amanat daripada Menteri Pendidikan. Turut terkandung dalam perutusan tahun baharu ini
ialah Wawasan 2020. Lima di antara cabaran utama wawasan 2020 ialah membina bangsa
Malaysia yang bersatu padu, memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang,
mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika, mewujudkan masyarakat saintifik,
progresif dan berpandangan depan serta mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
Untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, pendidikan ialah titik mulanya. Untuk
melahirkan masyarakat yang demokratik, bermoral dan beretika, pendidikan ialah terasnya.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Sekolah untuk komuniti dan universiti untuk masyarakat. Asas pendidikan ialah melahirkan
insan yang berfungsi di tengah-tengah setiap komuniti dan masyarakat. Pendidikan
seharusnya menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah yang melanda masyarakat.
Semua pendidik harus menggalas tanggungjawab bersama. Memetik kata-kata HR Bukari
“Kamu semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipersoalkan
tanggungjawabnya terhadap kepimpinannya”

Hasrat KPM adalah untuk menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan. Untuk
mencapai hasrat ini KPM telah menetapkan tiga hala tuju menjadi kompas dan paksi
pergerakan kita iaitu mengembalikan cinta ke dalam pendidikan, ketinggian kualiti sebagai
pemangkin kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan serta autonomi dan akauntabiliti
untuk sekolah. Pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses
berterusan mengejarnya. Sekolah mesti menjadi tempat untuk memanusiakan manusia,
mengajarkan benar dan salah, dan mengetengahkan konsep pembelajaran melalui sifat
ingin tahu.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Hala tuju kedua adalah ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevansi dan
keberkesanan. Konsep pembelajaran tidak hanya tertakluk di sebalik four walls of room.
Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan di setiap masa dan setiap tempat.
Kementerian akan berusaha menggunakan teknologi blockchain, kepintaran buatan (Articial
intelligence) dan pensejagatan internet (Internet of Things). Pendidikan STREAM (Science-
Technology-Reading-Engineering-Arts-Mathematics). Kita perlu memperkenalkan dan
mempopularkan sains sebagai satu cara hidup. Pendidikan juga bukan hanya soal apa yang
disampaikan, tetapi juga soal bagaimana ia disampaikan. Bagi meningkatan mutu
penguasaan Bahasa Inggeris telah diwujudkan beberapa program iaitu Profesional Up-Skilling
of English Languange Teachers (Pro-ELT), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris di
Sekolah atau The English Languange Enchancement Programme in Secondary Schools
(PPKBIS), Program Intervensi Tambah Opsyen Bahasa Inggeris (PITO BI) Sekolah Rendah,
Program English for Preschool Teachers, Program Gerak Jangkau Bahasa Inggeris (Outreach
Programme) dan Program English at the Workplace for Professionals in Education Programme).

Hala tuju ketiga pula ialah mengutamakan konsep autonomi dan akauntabiliti. Autonomi
mesti hadir bersama sikap kebertanggungjawaban yang tinggi (akauntabilti) sekaligus
menghasilkan pendidikan berkualiti.

Tuan-tuan dan puan-puan.

Terdapat empat bahagian penting di peringkat sekolah untuk mencapai hasrat KPM demi
memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokan kepada semua murid iaitu
persekitaran dan infrastruktur, proses pembelajaran, proses pengajaran dan pendidikan
inklusif. Operasi membaikpulih sekolah daif akan menjadi keutamaan dan bakal digerakkan
dengan lebih agresif. Selain itu, terdapat 5 inisiatif untuk meringankan beban guru iaitu
memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, pengurusan data dan sistem online, sekolah
juga boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS), penyeragaman
borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat
sekolah.

Keduanya, dalam proses pengajaran pula telah digariskan 4 perkara iaitu proses
pembelajaran berorientasikan pembelajaran, pemansuhan pembahagian kelas mengikut
pencapaian akademik, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan iklim pembelajaran yang positif
berteraskan nilai-nilai murni.

Ketiga, proses pembelajaran. Bermula tahun 2019 ini bentuk pentaskiran bagi murid
tahap 1 iaitu tahun 1, 2 dan 3 di semua sekolah rendah akan tertumpu kepada
perkembangan karakter dan potensi murid. Penekanan ini adalah berorientasikan
pembelajaran dan tidak lagi beroreintasikan peperiksaan. Pentaksiran alternatif ini akan
menggantikan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun yang telah
lama diamalkan.

Keempat adalah pendidikan inklusif. Takrifan UNESCO “a process of addressing and


responding to the diversity of needs of all learners” telah menjelaskan bahawa pendidikan
merupakan hak setiap individu di sesebuah negara. Oleh itu tidak wajar mana-mana individu
atau golongan terpinggir dan dipinggirkan daripada menerima pendidikan. Dalam agenda
pendidikan inklusif memberi tumpuan ke atas usaha-usaha untuk menyediakan kemudahan
mesra OKU secara berperingkat di sekolah, melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-reject
Policy), memberi peluang dan akses yang adil terhadap pendidikan yang berkualiti serta
mengembalikan semangat SBP yang asalnya membantu murid yang kurang bernasib baik
atau daripasa golongan B40.

Perkara kedua : 12 Inisiatif Baharu KPM 2019

Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan 12 inisitif terbaru peringkat sekolah.


Inisiatif tersebut adalah:

1) Bermula tahun 2019, setiap sekolah akan ada “Manual Nilai” yang akan dibacakan di
setiap perhimpunan.
2) Pendidikan Sivik akan diperkenalkan.
3) KPM akan berusaha memperbaiki masalah”mutual distrust” antara guru dan ibu bapa.
4) Popularkan kembali budaya “hero teachers” untuk meningkatkan pengikhtirafan
profesion guru.
5) Telefon pintar akan “dimanipulasi” untuk tujuan pendidikan.
6) Kanak-kanak tiada kewarganegaraan boleh mula bersekolah tahun 2019.
7) Kawasan Rehat Guru akan diwujudkan.
8) Guru tiada lagi kerja kekeranian bermula 2019.
9) Tidak akan ada kompromi dalam belanjawan pendidikan. Pendekatan selepas ini
akan “slice and dice” ketirisan.
10) Ke arah menjadikan sektor pendidikan “OKU friendly”.
11) Menyelesaikan isu sekolah daif.
12) Kemeriahan “speakers corner” di sekolah-sekolah.

Perkara ketiga: Pemansuhan amalan peperiksaan bagi murid tahap 1 (sekolah Rendah).

Untuk perkara yang ketiga ini, Penolong Kanan Pentadbiran Pn. Zaleha Hassan akan
menyampaikan dengan lebih terperinci dalam taklimat beliau sebentar nanti.
Perkara keempat : Pembelajaran Abad Ke-21 termasuk Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) dan Penguasaan elemen KBAT.

Apakah Pembelajaran Abad Ke-21? PAK ke-21 adalah suatu proses pembelajaran yang
berpusatkan murid berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, dan kreativiti
serta aplikasi nilai murni dan etika. Komunikasi berlaku apabila wujud interaksi antara guru
dengan murid, murid-murid dan murid dengan bahan secara lisan dan bukan lisan bagi
menyampaikan ilmu yang mereka faham dan berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan.
Kolaboratif pula berlaku apabila wujud kerjasama dan muafakat antara guru dan murid serta
murid-murid secara aktif dan menyeluruh yang membolehkan pertukaran idea dan
pandangan antara murid. Melalui elemen pemikiran kritis, berlalu penerokaan pemikiran
untuk menilai sesuatu idea secara logik dan rasional untuk membuat pertimbangan yang
wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah. Melalui kreativiti pula
berlaku proses penjanaan idea yang menghasilkan inovasi bahan, aktiviti dan projek yang
baharu, unik, berguna dan berkualiti. Seterusnya, elemen nilai murni dan etika, di mana
penerapan dan pemupukan nilai murni dan etika ke arah pembentukan jati diri nasional
mengikut acuan Malaysia. Terdapat beberapa aktiviti yang dicadangkan di dalam PAK 21 ini
iaitu Think Pair Share, round table, gallery walk, hot seat dan stay – stray. Elemen-elemen ini
merupakan standard asas dalam PAK 21. Sesungguhnya aspirasi sistem pendidikan negara
adalah refleksi kepada aspirasi negara.Memetik kata-kata Tan Sri Dr. Khair Mohammad Yusof
mantan KPPM,
“Pembelajaran Abad ke-21 bukan setakat merujuk kepada penggunaan gajet,
perkakasan dan perisian terkini teknologi ICT dalam bilik darjah. Sebenarnya
Pembelajaran Abad ke-21 bermaksud guru menggunakan kaedah PdP berpusatkan
murid (student-centred) serta menekankan elemen membina Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT) dalam diri murid”

KSSR merupakan satu bentuk Kurikulum Trasformasi yang memberi penekanan


terhadap pembentukan insan seimbang melalui pemikiran kritis dan kreatif serta inovatif.
Kurikulum ini dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid-murid
ini memiliki kemahiran yang diperlukan di peringkat global. Penilaian terhadap murid tahun
enam semenjak tahun 2016 tidak lagi berdasarkan keputusan UPSR semata-mata kerana
akan digabungkan dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat. Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan menyeluruh apabila KSSR dimulakan sejak tahun 2011.

Apakah pula KBAT? KBAT adalah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang didefinisikan
sebagai keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam
membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan,
berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Penerapan KBAT dalam pendidikan
menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen
KBAT yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pentaksiran dan pedagogi serta
empat elemen sokongan iaitu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina
upaya. Kesemua elemen ini adalah untuk membudayakan KBAT dalam kalangan murid dan
guru.
Terdapat tiga aspek penting dalam KBAT iaitu yang pertama mengaplikasi domain
pengetahuan, kemahiran dan nilai. Keupayaan menggunakan pengetahuan, kemahiran
dan nilai yang dikuasai melalui proses PdP dengan mencapai tahap penguasaan yang
ditetapkan dalam dokumen kurikulum bagi setiap mata pelajaran. Penguasaan ini berbeza
bagi peringkat persekolahan sesuai dengan keupayaan dan kebolehan murid. Mengaplikasi
kesemua domain ini menjadikan perkembangan murid holistik, seimbang dan bersifat
insaniah.
Aspek yang kedua pula, membuat penaakulan dan refleksi. Membuat penaakualan
adalah kebolehan individu membuat pertimbangan secara logik dan rasional. Refleksi pula
adalah menimbas kembali dan mentafsir sesuatu perkara melalui pengalaman, tindakan,
perasaan dan maklum balas, seterusnya menganalisis dan mencerakin dalam membuat
kesimpulan.
Aspek terakhir adalah kebolehan menyelesaikan masalah, membuat keputusan,
berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu adalah hasil daripada keupayaan mengaplikasi
pengetahuan, kemahiran dan nilai, serta membuat penaakulan dan refleksi. Murid boleh
menyelesaikan masalah, membuat keputusan yang tepat dan bijaksana, menghasilkan
sesuatu berinovasi dan bermanfaat, serta mampu mencipta sesuatu yang baharu dalam apa
jua bentuk apabila mengalami proses pembelajaran.

Pengukuhan KBAT melalui PAK21 boleh dijalankan dengan menggunakan alat bukan
ICT dan ICT. Pelaksanaan Bilik Darjah Pintar merupakan salah satu daripada alat pemudah
cara dalam PAK21. Kerajaan telah memperuntukan RM190 juta bagi menaik taraf 2000 kelas
menjadi Bilik Darjah Pintar PAK21 khusus untuk meningkatkan pembelajaran berasaskan
pemikiran kreatif dan inovatif. Menjelang tahun 2020, semua sekolah telah membudayakan
pembelajaran abad ke-21. Ini kerana kronologi pembudayaan PAK 21 ituialah faham,
laksana, amal dan kongsi.

Perkara kelima : Science, Technology, Engineering dan Marthmetics (STEM)

Apakah itu STEM? STEM adalah satu subjek mega yang mengintegrasikan keempat-empat
disiplin ilmu menjadi satu subjek yang lebih sesuai dan relevan untuk diajar di sekolah. STEM
adalah kependekkan daripada perkataan-perkataan dalam Bahasa Inggeris iaitu Science,
Technology, Engineering dan Mathematics. Science sebagai bidang yang terlibat
menyediakan pengetahuan, technology adalah pengaplikasian, engineering menjurus
kepada penyelesaian masalah dan mathematics adalah bidang pengkuantitian supaya
penerokaan yang dilakukan itu bersifat munasabah dan boleh didefinisikan secara operasi.
Menyediakan pengalaman pembelajaran STEM yang lengkap sebenarnya perlu mengambil
kira pengalaman sebenar murid berinteraksi dengan bahan pembelajaran. Ia tidak boleh
hanya menggunakan model buatan atau sekadar bahan cetak sahaja.

Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)


2013-2025 telah mula melaksanakan pelbagai strategi pengukuhan bagi mata pelajaran
sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar
dalam bidang itu untuk kepentingan negara. Pendekatan yang terkandung di dalam STEM ini
ialah murid mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang membudayakan
amalan STEM melalui strategi inkuiri, penyelesaian masalah dan projek dalam konteks dunia
sebenar.

Perkara keenam : Revolusi Industri (RI) 4.0

Apakah yang dimaksudkan dengan Revolusi Industri? Revolusi Industri 4.0 adalah istilah yang
sering digunakan untuk merujuk kepada proses pembangunan dalam industri pengeluaran
dan automasi ke tahap lebih pintar dari yang sedia ada dengan teknologi yang lebih sesuai
dan fleksibel. Ini bermakna mesin akan beroperasi secara bebas, atau bekerjasama dengan
manusia. Mesin akan beroperasi secara autonomi iaitu menjadi entiti bebas yang akan
mengumpul data dan menganalisa. Pendidikan perlu mengadaptasi kepada kaedah baharu
selari dengan perkembangan pantas teknologi. Teknologi sudah menyerap kepada
sebahagian besar dalam alam pekerjaan dan kehidupan kita. Malah, ada yang mengatakan
kemahiran yang kita belajar dalam pendidikan formal kini sudah tidak relevan untuk masa
akan datang. Kini perkataan seperti “robot kecerdasan buatan”, inovasi dan teknologi
disruptif sering kita dengar apabila membicarakan tentang revolusi industri 4.0. Adakah kita
sebagai guru sudah bersedia sebagai contoh untuk mengintegrasi luasan realiti dalam
pengajaran? Pengintegrasian luasan realiti dalam pengajaran membolehkan murid
memahami sesuatu konsep dengan lebih baik. Pengajaran dan pembelajaran kini perlu
penekanan kepada aspek kreatif serta inovatif. Selain itu, pendekatan pengajaran dan
pembelajaran perlu kepada pendekatan berfokus kepada murid yang berkolaborasi serta
saling bergantung antara satu sama lain. Pembelajaran aktif, pembelajaran berasaskan
projek, penyelesaian masalah dan inkuiri dengan peluang untuk terbabit dengan dunia
sebenar perlu menjadi amalan. Dengan berkembangnya sumber maklumat terbuka dan
kandungan secara atas talian, guru bukan lagi sebagai sumber utama maklumat. Ini bukan
bermakna guru tidak diperlukan tetapi peranan mereka sebagai gaya kepemimpinan
mengarah berubah kepada gaya kepemimpinan konsultatif. Murid diberi kebebasan untuk
menyesuaikan proses pembelajaran mereka melalui Pembelajaran Teradun Kelas Berbalik
atau membawa peranti sendiri. Pembelajaran juga diperibadikan (Personalised Learning) iaitu
pembelajaran yang disesuaikan dengan kehendak murid. Pembelajaran juga kini bukan
hanya tertumpu dalam kelas. Oleh itu, kebanyakan guru telah mengikuti banyak program
sebagai persediaan untuk menghadapi resolusi baharu ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Maka berakhirlah 6 perkara yang perlu saya sampaikan dalam mesyuarat kali ini.
Penerangan yang serba ringkas dan pendek ini tidak mencukupi untuk tuan-tuan dan puan-
puan memahami kesemua yang saya perkatakan sebentar tadi namun secara asasnya tuan-
tuan dan puan-puan telah mengetahui gerakan serta gagasan dalam dunia pendidikan
masa kini. Tidak sukar untuk mendapatkan semua maklumat ini kerana semua maklumat kini
berada di hujung jari kita.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, hasrat saya selaku guru besar di sekolah ini
agar semua ibubapa murid SK ___ akan bersama-sama menggalas tanggungjawab dan apa
yang telah diamanahkan oleh KPM. Dengan perkembangan semasa yang kita sedia maklum,
PIBG tentunya menghadapi pelbagai cabaran membantu pihak sekolah dalam semua aspek
khasnya kemajuan dan kecemerlangan pendidikan anak-anak dari semasa ke semasa.
Tanpa kesepakatan dan kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita mencapai kejayaan yang
diharapkan. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk ibubapa dan
komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Peranan
ibubapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah tidak dapat dinafikan. Saya
juga ingin memperingati kepada semua ibu bapa untuk hadir program atau aktiviti yang
dianjurkan oleh sekolah. Kami mengalu-alukan penglibatan ibu bapa. Apabila ibubapa
terlibat sama, sekolah mendapat banyak manfaat antaranya pencapaian murid meningkat,
kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan dan hubungan pihak sekolah dengan ibu
bapa menjadi lebih baik. Selain itu, saya berharap ada ibu bapa yang bersedia memberi
khidmat bantu dari segala aspek. Sama ada kemahiran, kepakaran, pengalaman dan
pengumpulan dana bagi membantu pihak sekolah merealisasikan apa jua program yang
menjurus kepada kemenjadian murid. Kolaborasi yang baik dan mantap di antara ibubapa
dan pihak sekolah akan melonjakkan lagi kecemerlangan SK ___.

Tuai padi antara masak


Esok jangan layu-layuan.
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian, terima kasih dan wassalamualaikum warahmatuillahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai