Anda di halaman 1dari 12

1.

0 PENGENALAN

Undang-undang merupakan sebuah perkara yang sangat penting dalam pentadbiran


sesebuah negara yang maju. Hal ini kerana, dengan adanya undang-undang maka terhasillah
sikap dan gaya hidup masyarakat yang lebih teratur dan boleh dicontohi oleh penduduk di
serata dunia. Di Malaysia, undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan yang
menjadi rujukan dalam segala aspek.

Beberapa definisi undang-undang serta penggubalan akan diberikan. Menurut Kamus


Dewan Edisi Keempat, undang-undang merujuk kepada sesuatu peraturan atau keseluruhan
peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang
berkenaan. Definisi penggubalan mengikut kamus yang sama pula adalah perihal ataupun
perbuatan, tindakan dan sebagainya yang mengubah atau menggubal. Maka, definisi
penggubalan undang-undang adalah perbuatan merangka undang-undang sebelum
diluluskan dan dikuatkuasakan untuk dipatuhi oleh rakyat. Dasarnya, perkataan undang-
undang ini mempunyai makna yang sangat pelbagai bergantung kepada siapa atau pihak
mana yang mentafsirkannya mengikut perspektif dan kepentingan masing-masing. Mengikut
kamus undang-undang Oxford, perkataan undang-undang membawa maksud ‘suatu
kumpulan peraturan-peraturan yang di kuatkuasa dengan tujuan untuk mentadbir sesebuah
masyarakat’.

2.0 ISU-ISU DALAM PERLEMBAGAAN

Seperti yang telah dijelaskan, Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan undang-


undang tertinggi yang menjadi dasar kepada setiap peraturan yang dibuat dalam segenap
aspek. Sepanjang penubuhan Malaysia bermula dari tahun 1957 sehingga lah kini,
Perlembagaan Persekutuan telah mengalami pelbagai perubahan dan penambahbaikan
akibat dari beberapa faktor luaran dan juga dalaman. Terdapat lima perkara yang sering kali
menimbulkan sensasi di negara ini setiap kali Perlembagaan diutarakan di media-media
utama. Antaranya adalah kedudukan Bahasa Melayu, Sultan atau raja selaku ketua agama
Islam, hak istimewa orang Melayu, hak kewarganegaraan dan hak asasi.
i. Kedudukan Bahasa Melayu

Cabaran awal terhadap kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan


dapat dilihat pada sekitar Pilihan Raya Umum 1959. Cabaran ini datangnya dari Malaysian
Chinese Association (MCA) yang bertukar kepimpinan. Pada pemilihan MCA pada Mac 1958,
Dr. Lim Chong Eu telah dipilih sebagai presiden MCA mengalahkan Tun Tan Cheng Lock. Dr.
Lim dianggap radikal dalam memperjuangkan kepentingan orang Cina. Menurut Chamil
Wariya (2010), Diane K Mauzy yang merupakan antara jawatankuasa baru MCA di bawah
pimpinan Dr. Lim telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk Barisan Nasional, Coalition
Government in Malaysia berjaya mempengaruhi kepimpinan MCA untuk mengkaji semula apa
yang telah dipersetujui oleh parti itu sewaktu menuntut kemerdekaan. Secara lebih khusus,
mereka mahu agar dasar berkaitan bahasa dan pendidikan disemak semula dan menuntut
agar dasar yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dikaji semula. Segala
tuntutan ini sebenarnya mencabar UMNO yang pada masa itu merupakan parti utama dalam
Perikatan yang rata-ratanya dianggotai oleh orang Melayu.

Dr. Lim yang taksub memperjuangkan kepentingan bangsanya, telah menulis sepucuk
surat yang rahsia kepada Tunku Abdul Rahman yang meminta agar dasar-dasar bahasa dan
pendidikan dikaji semula disamping menuntut agar parti MCA diberi 40 kerusi dalam
pilihanraya 1959. Namun, belum pun rundingan ini dibincangkan, Dr. Lim telah membocorkan
surat rahsia ini kepada akhbar dan perbuatan Dr Lim ini menyebabkan Tunku Abdul Rahman
berang kerana mendedahkan tuntutan ini kepada umum dan menunjukkan bahawa surat
tersebut merupakan bukti niat MCA untuk keluar dari Perikatan. Perbuatan Dr. Lim ini
menyebabkan beliau dipecat sebagai presiden MCA apabila cadangan Tunku Abdul Rahman
supaya semua golongan radikal dalam MCA dipecat. Beliau bertindak keluar parti pada tahun
1961 dan menubuhkan parti United Democratic Party (UDP).

Peruntukan berkaitan dengan bahasa disebutkan di bawah Perkara 152 yang


menegaskan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu. Akta Bahasa
Kebangsaan 1963 (pindaan 197), Perkara 150 Fasal 6A dan Dasar Pelajaran Kebangsaan
turut memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa
Kebangsaan 1967 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi
tunggal. Seksyen 17(1) Akta Pendidikan meletakkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu juga diwartakan dalam Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550) yang memansuhkan Akta Pendidikan 1961. Namun, peruntukan
terbabit tidak menghalang atau mengengkang kaum-kaum lain menggunakan bahasa ibunda
mereka termasuk dalam sistem pendidikan. Pengecualian penggunaan Bahasa Melayu
dibenarkan di bawah Seksyen 17(2) Akta Pendidikan bagi institusi pendidikan yang bahasa
pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan tetapi Bahasa Melayu hendaklah diajar
sebagai mata pelajaran wajib.

Hakikatnya Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menjadi
medium penyatuan nasional dan sekali gus menjadi lambang dan identiti bagi negara. Ia
menjadi sebahagian daripada jati diri nasional yang berfungsi sebagai bahasa penyatu
bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Proses pemilihan dan penetapan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah melalui kesepakatan dan tolak ansur
dalam kalangan kesemua kaum di negara ini.

ii. Sultan, Raja ketua agama Islam

Berhubung dengan agama pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan


agama bagi Persekutuan ialah agama Islam, tetapi agama-agama lain boleh dianuti secara
aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan. Institusi yang ada kaitan langsung
dengan kedudukan agama Islam ialah Sultan atau Raja. Perlembagaan menyatakan bahawa
Sultan atau Raja sesebuah negeri ialah ketua agama Islam bagi negeri tersebut. Bagi negeri-
negeri yang tidak diperintah oleh Sultan atau Raja pula akan diketuai oleh Yang di-Pertuan
Agong. Peruntukan ini sepatutnya diketahui, difahami dan dihormati oleh setiap rakyat
Malaysia kerana ia bukan sahaja meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi
Persekutuan tetapi juga menjunjung tinggi pengamalan keagamaan yang dilihat selari dengan
prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

Pada dasarnya, pemilihan agama Islam sebagai agama Persekutuan dibuat


berdasarkan faktor sejarah dan warisan sosiobudaya di negara ini. Namun, agama lain di
negara bebas diamalkan dan mereka diberi hak untuk membina rumah-rumah ibadat mereka
bagi menjalankan upacara dan peribadatan keagamaan masing-masing. Pembinaan rumah-
rumah ibadat ini mestilah mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. Kebebasan
beragama ini selari dengan Perkara 11 perlembagaan. Pun begitu, Perkara 11 (4)
Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau
menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang
menganuti ugama Islam”.

iii. Hak istimewa orang Melayu

Isu hak istimewa orang Melayu ini diisytihar sebagai isu sensitif yang tidak harus
dibagkitkan sebagaimana yang termaktub dalam Akta Hasutan 1971 tetapi sampai sekarang
perkara ini terus dibangkitkan secara senyap atau terang-terangan.

Berita Harian 1 September 2004 melaporkan tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia
(Gerakan) yang mengemukakan usul mendesak kerajaan mempercepatkan pemansuhan
kategori Bumiputera dan bukan Bumiputera di dalam negara. Alasan bahagian Gerakan ini
kononnya untuk membentuk negara yang adil dan saksama tanpa mengira kaum. Bagi
Gerakan, mereka menganggap pemansuhan ini merupakan satu usaha murni kerana ingin
melahirkan satu bangsa Malaysia tanpa mengira mereka adalah Cina, Melayu, India, Dayak,
Kadazan, Iban dan sebagainya.

Apabila usul ini diselami, perbuatan ini sebenarnya cuba mempersoalkan hak istimewa
orang Melayu. Mengikut pandangan kumpulan ini, dengan mewujudkan kategori yang
membeza-bezakan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, selagi itulah usaha untuk
menyatupadukan rakyat berbilang kaum negara ini tidak akan berkesan dan terus
menghadapi kesulitan. Menurut Parti Gerakan , perpaduan yang diinginkan hanya akan wujud
sekiranya rakyat Malaysia menikmati peluang yang sama dalam segala kegiatan seperti
ekonomi yang merangkumi perniagaan, perdagangan, dan perindustrian.

Tindakan Parti Gerakan ini telah mencabar Perkara 153 yang termaktub dalam
perlembagaan yang memberi hak dan keistimewaan kepada orang Melayu dalam beberapa
bidang. Contohnya, Perkara 153 (6) menjelaskan ;” jika sesuatu permit atau lesen untuk
menjalankan apa-apa tret atau perniagaan adalah dikehendaki oleh undang-undang
persekutuan yang ada, maka Yanag di-Pertuan boleh menjalankan tugas-tugas dibawah
undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau member apa-apa arahan am kepada mana-
mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab di bawah undang-undang di atas pemberian
lesen dan permit itu, sebagaimana yang dikehendaki bagi menentukan perezapan apa-apa
kadar mengenai permit dan lesen itu untuk orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri
Sabah dan Serawak sebagaimana yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong dan
pihak berkuasa hendaklah mematuhi arahan itu dengan sempurna”. (Chamil Wariya, (2010)).

153(6) ini menjelaskan bahawa kuasa dalam menentukan pembahagian dalam ekonomi
orang Melayu tertakluk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dan semua pihak tidak boleh
mempertikaikannya. Hak istimemewa orang Melayu berada di bawah bidang kuasa Yang di-
Pertuan Agong dan tindakan Parti Gerakan yang mempertikai hak eksklusif orang Melayu ini
telah mencabar kedudukan Sultan sebagai ketua kepada orang Melayu.

Berdasarkan peruntukan 153 maka dapat difahami bahawa terdapat tiga bidang yang
menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak, iaitu
perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Peruntukan hak keistimewaan ini adalah
diletakkan di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Baginda atas nasihat jemaah menteri
berhak untuk menentukan perizaban jawatan di dalam sektor awam bagi orang Melayu dan
bumiputra Sabah dan Sarawak.

Berkaitan aspek ekonomi, orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak
digalakkan untuk menyertai sektor ekonomi, industri dan perniagaan. Ini bagi mengimbangi
kedudukan ekonomi kaum lain yang jauh lebih maju berbanding mereka kesan daripada
amalan penjajah. Justeru, mereka perlu dibantu melalui dasar affirmative termasuk
mempermudah kelulusan permit atau bantuan kepada mereka dalam hal-hal berkaitan
ekonomi. Manakala di dalam bidang pendidikan pula, keistimewaan harus diberi kepada
mereka dalam soal pemberian biasiswa.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah Perkara 89 dan 90 yang
memberikan kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang sedia ada
melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.
iv. Hak Kewarganegaraan

Malaysia sebelum tahun 1948, kita tidak mempunyai undang-undang kewarganegaraan


yang khusus. Pada masa itu, yang ada hanyalah undang-undang mengawal kemasukan
orang-orang asing keluar masuk dalam negara ini sahaja. Keadaan ini berlaku kerana dasar
pemerintahan British yang membuka pintu negara ini seluas-luasnya kepada orang-orang
asing. Dasar tersebut dikenali sebagai Dasar Pintu terbuka. Sebelum Persekutuan Tanah
Melayu ditubuhkan pada 2 Februari 1948, Pemberian kewarganegaraan sebenarnya telah
muncul dalam Malayan Union yang diistiharkan pada 1 April 1946 namun, ianya mendapat
tentangan daripada kaum Melayu. Hal ini kerana Perlembagaan Malayan union itu telah
memberikan kewarganegaraan kepada semua kaum berdasarkan prinsip jus soli. Hal ini
ditentang keras oleh kaum Melayu kerana mereka berasa telah ditipu oleh pihak British.

Kewarganegaraan Malayan Union yang longgar ini dilihat akan memberikan hak-hak yang
sama kepada kaum bukan Melayu. Syarat kerakyatan berdasarkan jus soli ini dilihat terlalu
longgar sehingga membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak yang sama dengan
orang Melayu. Orang Melayu masih lagi meragui taat setia orang Cina dan India pada waktu
itu kerana sebelum Perang Dunia Kedua, semangat nasionalisme mereka masih lagi terarah
kepada negara asal masing-masing. Sekiranya Malayan Union dilaksanakan, dianggarkan
bahawa kira-kira 85 peratus orang cina dan 75 peratus orang India akan mendapat taraf
kewarganegaraan di Tanah Melayu. Jika orang bukan Melayu mendapat hak yang sama
dengan orang Melayu, keadaan ini akan menyebabkan hak istimewa dan kedudukan politik
orang Melayu akan tergugat. Situasi ini dianggap berbahaya untuk kedudukan ekonomi, politik
dan masa depan orang Melayu.

Berikutan penentangan yang hebat daripada orang Melayu terhadap Malayan Union
antaranya dalam soal pemberian kewarganegaraan secara liberal berasaskan prinsip jus soli,
pelaksanaannya terpaksa dimansuhkan. Sebagai ganti, diperkenalkan pula warganegara
Persekutuan Tanah Melayu yang dikuatkuaskan mulai 1 April 1948. Taraf kewarganegaraan
orang bukan Melayu dalam gagasan baru ini diberi secara lebih ketat bergantung kepada
tempoh pemastautinan mereka di Tanah Melayu. Kewarganegaraan Persekutuan Tanah
Melayu 1948 itu kemudiannya diliberalkan syarat-syaratnya pada tahun 1952. Di bawah
undang-undang baru itu pemberian kewarganegaraan automatik diperluaskan dan perolehan
kewarganegaraan secara pendaftaran dan naturalisasi dilonggarkan berbanding sebelum ini.
Kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang dipinda inilah yang menjadi asas
kewarganegaraan Tanah Melayu yang merdeka pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya
kewarganegaraan Malaysia apabila Persekutuan yang lebih besar ditubuhkan pada 16
September 1963.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, penting untuk kita mengambil tahu perkara-perkara
asas berkaitan dengan hak-hak kewarganegaraan. Perkara mengenai Kewarganegaraan ini
terkandung di dalam Bahagian 3 Perlembagaan Malaysia. Dalam konteks ini, Perkara 14
hingga 22 menyatakan mengenai hak serta cara-cara mendapatkan kewarganegaraan
Malaysia. Manakala Perkara 23 hingga 28 pula adalah berkaitan cara bagaimana seseorang
wargannegara boleh terlucut dan dilucutkan hak kewarganegaraanya.

Secara umumnya kewarganegaraan seseorang itu boleh didapatkan melalui kuat kuasa
Undang-Undang, secara pendaftaran atau permohonan melalui cara kemasukan dan melalui
percantuman wilayah. Kewarganegaraan Malaysia melalui cara Kemasukan terbuka bagi
individu atau warga asing yang berumur lebih daripada 21 tahun dan berminat untuk menjadi
warganegara Malaysia. Antara syarat-syaratnya ialah individu terbabit telah menetap di
Persekutuan Malaysia selama sepuluh daripada dua belas tahun sebelum tarikh permohonan,
berniat menjadi pemastautin tetap di Malaysia, mempunyai tingkah laku yang terpuji dan
mempunyai pengetahuan Bahasa Malaysia.

Di sisi yang lain, hak-hak kewarganegara Malaysia boleh terlucut atau dilucutkan oleh
Perlembagaan Malaysia jika melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan
kehendak perlembagaan. Antaranya individu itu tidak lagi berminat untuk mengekalkan
kewarganegaraan dengan menjadi warganegara asing. Kewarganegaraan juga boleh
dilucutkan jika individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau
percakapannya. Ini termasuk menjalankan perhubungan atau perniagaan dengan negara
atau musuh negara seperti Israel. Begitu juga dengan individu yang telah bermastautin di
negara asing selama lebih daripada lima tahun secara berterusan dan tidak pernah melapor
atau mendaftar di Pejabat Konsul Persekutuan boleh dilucutkan kewarganegaraannya.
Proses pelucutan kewarganegaraan ini boleh dilakukan oleh pihak kerajaan melalui proses
kehakiman.
v. Hak asasi

Satu lagi isu yang sering mengundang kontroversi ialah perkara berkaitan dengan hak
asasi. Hak Asasi adalah perkara asas yang perlu dinikmati oleh rakyat. Terdapat sembilan
peruntukan hak asasi di dalam perlembagaan (perkara 5 hingga Perkara 13). Jelaslah bahawa
Perlembagaan Persekutuan memperakui dan mengiktiraf hak setiap individu seperti hak untuk
beragama, hak untuk mengumpul harta, hak untuk mendapat peluang pendidikan, kebebasan
bergerak, kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Selain itu, setiap
warganegara Malaysia tidak boleh dijadikan abdi atau menjadi buruh paksa oleh mana-mana
pihak.

Semua rakyat mendapat perlindungan dan kesamarataan di sisi undang-undang dan


seseorang yang didakwa perlu mendapat perbicaraan yang adil. Malah, tertuduh juga tidak
boleh dituduh dengan tuduhan yang sama buat kali kedua, sekiranya telah dilepas dan
dibebas oleh mahkamah atas tuduhan yang sama.

Hakikatnya, perlembagaan tidak menyekat kebebasan dan pergerakan seseorang


kecuali atas sebab-sebab keselamatan, kesihatan awam dan hukuman seperti hukuman
kediaman terhad. Bagaimanapun, pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak
adalah tertakluk kepada undang-undang imigresen negeri terbabit seperti yang telah
dipersetujui ketika pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.

Justifikasinya, sayugia diingat bahawa kebebasan yang diberi oleh perlembagaan itu
tidak bermakna semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka kerana isu-isu sensitif
seperti isu berkaitan agama, bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan
Raja-raja adalah dilarang dibicarakan secara terbuka. Isu terbabit perlu difahami dan tidak
disentuh sewenang-wenangnya demi menjadi perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat
Malaysia. Hayatilah sebahagian daripada petikan Pemasyuran Kemerdekaan 1957:

“Dan bahawa sanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada
disediakan syarat untuk menjaga keselamatan dan keutamaan hak-hak Duli-Duli Yang Maha
Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan
Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan
yang mempunyai Raja yang Berpelembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen”.
3.0 PINDAAN PERLEMBAGAAN SECARA BERETIKA

Sungguhpun Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi namun ia tetap boleh


dilentur (flexible). Ini bermakna dalam perlembagaan tersebut boleh dibuat pindaan demi
kepentingan rakyat dan negara. Sungguh pun bengitu pindaan perlembagaan Malaysia tidak
boleh dibuat sewenang-wenangnya. Sejak tahun 1957, Perlembagaan Malaysia telah
beberapa kali dipinda dengan tujuan melindungi kepentingan rakyat, menjaga keselamatan
negara dan melicinkan urusan pentadbiran negara.

Perlembagaan Malaysia boleh dipinda melalui empat cara sepertimana yang digariskan di
bawah Perkara 159 dan 161E:

i. Mendapat pungutan suara majoriti biasa dari tiap-tiap buah Majlis Parlimen (a
simple majority at both the Senate and the House of Representatives);

ii. Mendapat suara dua pertiga dari tiap-tiap Majlis Perlimen (two-thirds majority of
the members of both houses);

iii. Mendapat suara dua pertiga dari tiap-tipa Majlis Perlimen dan mendapat keizinan
daripada Majlis Raja-raja (consent of the Conference of Rulers);

iv. Perkara yang menyentuh Sabah dan Sarawak memerlukan pungutan suara dua
pertiga Parlimen dan persetujuan Yang di-Pertua Negeri (consent of either the
Yang diPertua negeri of Sabah or Sarawak).

Untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan mestilah mengikut etika serta tatacara
yang betul. Sesuatu rang undang-undang yang hendak dipinda perlu dibahaskan di Dewan
Parlimen terlebih dahulu. Merujuk kepada Noor Aziah (2013), undang-undang dibahaskan
dalam beberapa peringkat, iaitu Bacaan Pertama, Bacaan Kedua, Peringkat Jawatankuasa
dan seterusnya Bacaan Ketiga.

Setelah dibahaskan, rang undang-undang Akta Perlembagaan ( Pindaan) 1993 yang telah
diluluskan adalah mengikut peruntukan Perlembagaan dengan lebih daripada 2/3 majoriti ahli
Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Rang undang-undang dihantarkan kepada Yang di-
Pertuan Agong untuk diperkenalkan. Setelah menerimanya, Yang di-Pertuan Agong mengikut
perlembagaan yang dua pilihan, iaitu:
i. Baginda memberi perkenan kepada rang undang-undang tersebut dalam tempoh
30 hari.
ii. Baginda memulangkan semula kepada Perlimen dengan menyatakan sebab rang
undang-undang tersebut tidak diperkenalkan untuk dipertimbangkan semula atau
diubahsuaikan oleh Parlimen.

Pengubahsuaian yang dibuat terhadap rang undang-undang berkenaan ialah hasil daripada
beberapa perbincangan antara pihak kerajaan dengan pihak raja-raja. Pengubahsuaian ini
tidak menjejaskan tujuan utama Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993
yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu menentukan raja boleh didakwa di bawah undang-undang
negara.Perbezaannya ialah raja-raja akan dihadapkan ke Mahkamah Khas
sahaja.Peruntukan asal dalam Perlembagaan menyatakan raja tidak boleh dihadapkan ke
mahkamah biasa dikekalkan. Rajah berikut menunjukkan tatacara membuat pindaan
perlembagaan yang betul:

Rang undang-undang dibahaskan di Dewan Parlimen

Bacaan Pertama

Bacaan Kedua

Peringkat Jawatankuasa

Bacaan ketiga sekiranya mendapat majoriti 2/3 daripada ahli


DewanRakyat dan Negeri
4.0 RUMUSAN

Kesimpulannya, dalam setiap pindaan undang-undang ini sewajarnya dibuat oleh individu
yang berpengalaman dalam menggubal sesuatu undang-undang disebabkan oleh proses
pindaan undang-undang yang sangat rumit dan memerlukan ketelitian yang sangat mendalam
demi menjaga keselamatan dan keamanan rakyat serta negara. Menteri yang membuat
penggubalan undang-undang ini juga perlu telus dan jujur dalam menggubal undang-undang
kerana ia merupakan suatu tanggungjawab yang sangat besar dan berat untuk dipikul. Hal ini
demikian lagi apabila negara kita sudah pernah mengalami detik-detik peristiwa hitam
melibatkan factor ketidakpuasan hati individu terhadap Perlembagaan Persekutuan ini. Setiap
rakyat Malaysia juga semestinya perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi akan
kepentingan menjunjung undang-undang tertinggi negara demi memastikan keharmonian dan
keaman negara akan sentiasa terjaga.
RUJUKAN

Chamil Wariya (2010). Asas Pembinaan Negara Bangsa. Kuala Lumpur : Media Global Metrik.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2013). Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Undang-Undang Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu. (2005). Oxford Faja

Noor Aziah Mohd Awal. (2013). Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Malaysia.
Selangor.

Perlembagaan Persekutuan (2009). Selangor: International Law Book Services