Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN

PERASMIAN

MESYUARAT
AGUNG PIBG
SK PANGKALAN TLDM KALI KE
35 TAHUN 2019

TARIKH : 13 MAC 2019


Bismillah Hirrahman Nirrahim Assalamualaikum wbt & Selamat Sejahtera
Terima kasih Pengacara Majlis.

1. Yang Berbahagia, En Aimran Bin Mohamed Yasin Aini, DSP (District School Partners)
dari PPD Manjung,
2. Yang Berbahagia, Mejar Mohd Asri bin Osman, Pegawai Perhubungan Pendidikan KD
Malaya
3. Yang Berusaha, Lt Nor Azmi Bin Ibrahim TLDM, YDP PIBG SK Pangkalan TLDM,
4. Yang Berusaha, En Rohaizan Bin Mohamed Hanif, Guru Besar SK Pangkalan TLDM,
5. Penolong-penolong kanan,
6. Barisan AJK PIBG,
7. Guru-guru, ibu bapa, serta hadirin yang dikasihi sekalian.

Ibu bapa, waris serta hadirin yang dikasihi sekalian.


Syukur alhamdulillah dan salam serta selawat ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad
SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Saya ingin memanjatkan kesyukuran yang
tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmat-Nya dapat kita bertemu dalam
majlis yang amat bermakna ini. Saya berasa gembira melihat semangat, kerjasama dan
iltizam yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam melibatkan diri secara bersungguh-sungguh
bagi menjayakan majlis ini. Saya amat prihatin terhadap usaha, keringat, semangat dan
kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak .

Para hadirin sekalian,


Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi
tradisionalnya. Para murid bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk dididik
sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini
selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan
akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri
merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk
memantapkan kualiti pendidikan negara. Perubahan dalam sistem pendidikan negara
menuntut pengorbanan yang bukan kepalang daripada guru dan sokongan daripada ibu bapa.
Oleh itu, para guru dan ibu bapa memlalui SARANA sekolah perlu mempersiapkan
diri dengan segala ilmu di dada agar aspirasi negara ini dapat direalisasikan. Saya menyeru
kepada semua para guru dan ibu bapa bagar bergenggam tangan, berganding bahu, bangun
sederap, mara sepakat, mengukuhkan tekad dan memantapkan komitmen demi
menyempurnakan amanah yang diberi dengan jujur, amanah dan penuh kerelaan dan suci
hati untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sepanjang masa, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan sedang, serta telah
dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi serta produktiviti. Melalui 12 inisatif yang
dikemukakan oleh Menteri Pedidikan yang baharu, Dr Mazszlee Malik, salah satunya
menyatakan betapa pentinganya telefon pintar ”dimanipulasikan” untuk tujuan pendidikan.
Dengan berkembangnya teknologi dan capaian internet tanpa sempadan yang semakin
canggih, saya berharap agar guru dan ibu bapa sentiasa peka dengan teknologi yang terkini
yang memudahkan proses perhubungan demi kepentingan sekolah dan anak murid.
Saya juga suka mengingatkan kepada semua ibu bapa agar memberi sokongan padu yang
tidak berbelah bahagi terhadap segala usaha murni pihak sekolah. Saya yakin dengan
penggemblengan tenaga dan penyatuan minda akan menyemarakkan budaya
permuafakatan yang seterusnya akan pasti melahirkan generasi yang berwibawa dan maju
dalam semua aspek. Perkara ini bersesuaian dengan hadis nabi yang
bermaksud: Hubungan orang mukmin dengan mukmin yang lain, seperti sebuah binaan
yang saling kait mengait antara satu sama lain.

Hadirin sekalian,
Dalam hal ini juga saya ingin mengambil kesempatan dengan mengingatkan para ibu bapa
sekalian agar tidak membuat keputusan atau tindakan melulu berlandaskan perasaan tanpa
usul periksa terhadap pihak seklolah sekiranya mendapat aduan daripada anak-anak tuan
puan. Sebagai golongan yang berfikiran matang, para ibu bapa seharusnya berbincang
dengan pihak sekolah untuk mendapat gambaran yang sebenar sekiranya berlaku sebarang
masalah. Jangan mendengar daripada sebelah pihak sahaja.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,


Cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit
hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para murid sebagai peneroka
ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan
keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan
pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan
perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh
melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat
menyumbang kepada kejayaan anak-anak. Seyogianya, ibu bapa menitikberatkan soal
pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.
Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah, apakah
memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada para pensyarah dan pihak
kolej semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di kolej akan diteruskan
apabila para murid balik ke rumah.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian kepada kata-
kata Saidina Ali r.a kepada Kamil Bin Ziyad dalam membezakan antara ilmu pengetahuan
dengan harta kekayaan:

Ilmu itu lebih baik daripada harta


Ilmu akan menjagamu
Tetapi
Harta kamu yang menjaganya
Ilmu semakin bertambah jika diinfakkan
Tetapi
Harta sebaliknya semakin berkurangan jika dibelanjakan

Ilmu pembimbing tetapi harta dibimbing


Ilmu akan memberi ketenangan dalam hidup
Dan meninggalkan nama baik setelah wafatnya

Hasil harta akan hilang dengan hilangnya harta


Pemegang wang boleh sahaja mati dalam keadaan hidup
Tetapi
Ilmu tetap kekal sepanjang masa

Dengan itu, saya dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim merasmikan Mesyuarat Agung
PIBG SK Pangkalan TLDM kali ke 35 Tahun 2019.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah , Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.