Anda di halaman 1dari 13

INSAN MORAL

Dimensi Moral

Konsep moral boleh difahami dengan lebih lanjut berdasarkan


dimensi moral. Seorang insan yang berakhlak mulia yang
seharusnya mengamalkan ketiga-tiga dimensi moral. Secara
amnya, kita boleh membahagikan moral kepada tiga dimensi,
iaitu penaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan
moral.

4.1.1 Penaakulan Moral

Disebut juga sebagai pemikiran moral dan pertimbangan yang


dibuat secara rasional dan bebas. Ini bermaksud seseorang
individu yang mempunyai pemikiran moral dapat memikirkan
sesuatu dilema moral dan membuat pertimbangan berasaskan
prinsip moral dan nilai-nilai moral yang diterima oleh
masyarakat setempat. Prinsip keadilan dipentingkan semasa
membuat sesuatu keputusan. Penaakulan moral juga boleh
dikaitkan dengan membuat keputusan secara rasional
berasaskan fakta tanpa dipengaruhi oleh emosi dan
persekitaran.

Contoh 1:

Seorang guru disiplin telah menjatuhkan hukuman gantung


kelas selama 2 minggu kepada pelajar yang didapati merokok
di kawasan sekolah walaupun pelajar itu merupakan anaknya
sendiri. Keputusan yang dibuat oleh guru disiplin adalah
berdasarkan penaakulan moral tanpa dipengaruhi oleh emosi
dan persekitaran.

Contoh 2:

Seorang murid meniru dalam peperiksaan akhir tahun buat


pertama kali kerana ayahnya sangat garang dan telah
mengugutnya jika dia tidak dapat tempat pertama, dia tidak
akan dapat pergi ke Australia menghadiri majlis konvokesyen
kakaknya. Sahsiah murid ini cukup menyenangkan guru
kelasnya. Walau bagaimanapun sebagai guru yang tegas dan
adil, guru itu terpaksa mengambil tindakan mengikut peraturan
sekolah.

4.1.2 Perasaan Moral

Merupakan kehalusan emosi individu yang mengandungi


sentimen, empati, simpati, prihatin, belas kasihan, bermotivasi
dan murah hati. Perasaan yang bermoral ini membawa kepada
tindakan yang bermoral. Perasaan ini akan membawa kepada
perlakuan individu secara moral. Oleh itu, emosi moral ini
adalah penting untuk mengawal perlakuan, menghalang
seseorang individu membuat sesuatu yang bersifat anti sosial.
Misalnya, perasaan empati dan simpati akan menyebabkan
seseorang individu sentiasa membantu orang miskin atau cacat
tanpa mengira kepentingan diri sendiri.
Contoh:

● Merasa sedih dengan mangsa-mangsa tsunami di


Jepun.
● Bergembira dengan kejayaan yang dicapai oleh rakan-
rakan dalam peperiksaan.
● Marah kepada sesiapa sahaja yang membuang sampah
di merata-rata tempat.
● Bersimpati dengan nasib rakan-rakan yang ditimpa
musibah banjir.

4.1.3 Perlakuan Moral

Merupakan tingkah laku dan perlakuan individu terhadap


semua keputusan yang ditunjukkan dengan penuh
tanggungjawab tetapi mengikut kemampuan dirinya. Tindakan
moral ini adalah hasil daripada pemikiran moral dan perasaan
moral yang mendorong seseorang bertindak secara bermoral.

Contoh:

● memulangkan dompet yang dijumpai di kantin kepada


guru bertugas dengan hati yang ikhlas
● memimpin orang buta menyeberang jalan
● tidak terjebak dalam rasuah walaupun pekerja-pekerja
lain dalam unit tersebut melakukannya kerana dia sedar
bahawa rasuah akan merosakkan sistem pekerjaan dan
ditegah oleh agama.
● sebagai ibu tunggal yang mempunyai seorang anak

cacat iaitu tiada tangan dan kaki sanggup mendokong anaknya


pergi balik ke sekolah sejak Tahun Satu hingga Tahun 6.

4.2 Sifat-sifat Individu Bermoral

Bagaimana kita mengganggap seseorang itu bermoral? Sifat


moral seseorang individu biasanya dapat dilihat melalui
perlakuan yang menggambarkan sifat pemikiran dan
kejiwaannya. Namun begitu kadangkala seseorang itu
bertindak kerana terpaksa. Kemoralan bukan sahaja
melibatkan perlakuan tetapi juga merangkumi aspek-aspek
kerohanian dan pemikiran. Adakah anda dan orang-orang di
sekeliling anda orang yang bermoral? Mari kita renungkan
bersama.

4.2.1 Prinsip-Prinsip/Ciri-ciri Individu Bermoral

Terdapat berbagai pendapat dalam menentukan sifat-sifat


insan bermoral kerana masing–masing mempunyai fahaman
yang tersendiri. Terdapat teori-teori yang meletakkan kepuasan
hati dan keseronokan sebagai sifat moral. Ada yang
mempertahankan egoisme sebagai moral dan sebagainya,
yang mempunyai kelemahan dan menerima pelbagai kritikan.
Ada yang menganggap peraturan masyarakat sebagai asas
penentuan nilai moral tetapi hakikatnya nilai-nilai dalam
masyarakat juga berbeza dan banyak bercanggah di antara
satu sama lain. Hakikatnya sukar dicari suatu persepakatan
dalam menentukan nilai-nilai moral. Pemikir-pemikir Pendidikan
Moral mengemukakan tiga prinsip sebagai panduan
menentukan insan bermoral iaitu prinsip keadilan, prinsip
altruisme dan prinsip autonomi.

(i) Prinsip Keadilan

Ramai orang memperkatakan tentang keadilan. Ada pihak


yang mengatakan bahawa adil itu saksama, seimbang, sama
rata, dan sama rasa. Namun begitu sama rata tidak juga
menunjukkan keadilan apabila seorang yang bekerja lebih
masa tetapi masih mendapat bayaran yang sama. Bayaran
setimpal adalah keadilan bagi mereka, bukan hanya sama
dengan orang lain. Agama Islam pula mendefinisikan keadilan
sebagai “meletakkan sesuatu pada tempatnya,” iaitu tempat
yang sesuai dan sepatutnya.

Bagi Aristotle yang banyak menulis tentang konsep keadilan


menyatakan adil itu sebagai “ fair-minded”, tidak berat sebelah,
sesuai dan berpatutan (reasonable way). Di antara prinsip
keadilan yang telah disebut oleh beliau ialah Prinsip Keadilan
Umum iaitu keadilan sosial yang mana masyarakat
diorganisasikan supaya semua individu memberi sumbangan
kepada kebajikan umum. Keadilan “distributive” ialah adil
dalam agihan kebaikan dan beban juga menunaikan perjanjian
antara manusia. Ianya juga merangkumi kemahuan kepada
peraturan, kejujuran, equity, integrity dan lawfulness.

Keadilan merupakan satu piawai penting dalam penilaian moral


dan prinsip ini amat berkaitan dengan Teori Keadilan Sosial.
Prinsip keadilan merupakan prinsip moral yang
mempertimbangkan prosedur untuk mengagihkan keuntungan
antara individu dan masyarakat. Tentunya juga keadilan
membawa makna tidak pilih kasih, tidak tamak untuk
kepentingan diri sendiri.

(ii) Prinsip Altruisme

Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh individu akan melibatkan


orang lain terutamanya dalam membuat sesuatu pertimbangan.
Pertimbangan tersebut akan lebih berperikemanusiaan dan
bermoral jika perhubungan itu berdasarkan belas kasihan,
simpati, memandang penting dan mengambil berat tentang
kebajikan orang lain. Amalan prinsip altruisme juga bermaksud
individu akan menjauhi daripada kejahatan dan mementingkan
diri sendiri. Bak kata pepatah bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing.

Prinsip altruisme melibatkan perlakuan yang mempunyai ciri-


ciri bertujuan untuk menjaga kebaikan orang lain lebih daripada
kepentingan diri sendiri. Biasanya keputusan yang diambil atau
perlakuan yang dijelmakan bersifat moral dan
berkeperimanusiaan. Perasaan kasih sayang, simpati dan
empati menghilangkan rasa kepentingan diri sendiri,
kebencian dan tamak.

(iii) Prinsip Autonomi

Adakah kita bebas membuat pertimbangan? Persoalan ini ada


kaitannya dengan prinsip autonomi kerana prinsip ini
menerangkan konsep pertimbangan bebas. Andaian bahawa
pertimbangan dan tingkah laku yang dibuat oleh seseorang
akibat paksaan dari luar tidak boleh dikategorikan sebagai
moral. Ini disebabkan individu yang berkenaan tidak berupaya
bertingkahlaku secara rasional dan adil. Individu itu tidak
mengakuri tanggungjawab moral, tetapi hanya mematuhi
perintah dari kuasa luar. (Koo, 1990). Adakah anda setuju
dengan pendapat ini?

Dari perspektif bahasa pula autonomi berasal dari suku kata


Autos bererti diri sendiri dan Nomos bererti undang-undang. Ini
boleh diertikan sebagai penentuan sendiri tentang peraturan
dan kawalan berdasarkan pengalaman dan alasan sendiri.
Prinsip ini meliputi pertimbangan bebas dan kebebasan
memilih. Perlakuan dan pertimbangan individu merupakan hasil
tekanan kuasa atasan contohnya seorang guru disiplin
mengenakan peraturan kepada pelajar-pelajar atas arahan
pihak atasan.
Kant menyatakan individu perlu dihormati kerana mereka
adalah agen autonomi untuk membuat keputusan dalam
mengambil sesuatu tindakan. Sepatutnya prinsip-prinsip yang
universal, sejagat boleh dijadikan undang-undang yang
rasional pada mana-mana tempat sama ada di peringkat
negara atau institusi, syarikat, keluarga dan sebagainya.

4.2.2 Profil Insan Bermoral

Konsep insan bermoral ini berkait rapat dengan pendidikan


agama. Insan Bermoral merupakan seseorang yang
berkelakuan yang boleh diterima oleh masyarakatnya dengan
cara mematuhi segala set peraturan yang telah ditetapkan oleh
autoriti. Seharusnya orang yang bermoral mempunyai hemah
tinggi seperti:

a. Berbudi pekerti, bertingkah laku mulia serta berbudi


bahasa.
b. Tidak sombong, tidak menunjuk-nunjuk dalam pergaulan
seharian.
c. Bergaul mesra, tidak mengasingkan diri serta sedia
mengakui kelemahan dan kekurangan diri.
d. Jujur- niat baik, amanah, ikhlas tanpa mengharapkan
balasan.
e. Orang bermoral juga mempunyai sifat hormat-menghormati
terhadap:

i) Raja dan negara


ii) Orang yang lebih tua, guru, rakan, dan jiran
iii) Ibu bapa
iv) Hak asasi manusia
v) Kepercayaan dan adat resam pelbagai kaum
vi) Sifat-sifat yang tersendiri pada setiap individu
vii) Undang-undang
viii) Maruah diri

Walaupun begitu pemikiran, kefahaman dan autoriti moral


pelajar haruslah dikembangkan untuk melahirkan Insan
Bermoral yang berkesan dengan mengembangkan penaakulan
mereka dalam menangani sesuatu masalah. Ini penting supaya
tidak terjadi kekeliruan atau konflik di antara nilai tradisi dengan
nilai Barat disebabkan pengaruh daripada media massa. Oleh
sebab itu seseorang insan bermoral seharusnya mampu:

(a) mengenalpasti sesuatu situasi moral;


(b) berfikir secara rasional mengenai sesuatu situasi itu serta
membuat pelbagai pilihan perlakuan yang berkaitan
dengan situasi tersebut;
(c) memilih sesuatu tindakan berasaskan sesuatu
pertimbangan tertentu; dan
(d) bertindak terhadap sesuatu pilihan yang telah dipilih
berdasarkan peraturan dan prinsip moral yang asas.

Selain itu seseorang insan moral perlu menguasai dimensi


emosi simpati dan empati. Mereka boleh meluahkan perasaan
mereka secara betul dan bukan sesuka hati sahaja. Di
harapkan dimensi emosi atau perasaan ini akan membuat
pelajar memahami emosi diri sendiri secara rasional di samping
memahami perasaan orang lain.

4.2.3 Ciri-ciri Insan Bermoral

1. Menghormati autoriti (ibu bapa, guru, pemimpin negara


dan agama) yang menunjukkan contoh teladan serta amalan
yang bermoral. Menghormati agama dan kepercayaan orang
lain serta menghargai nyawa sendiri dan orang lain. Orang
yang bermoral juga akan membuat keputusan moral secara
autonomous setelah menimbangkan segala fakta, alternatif dan
kesannya.

2. Melakukan sesuatu secara bebas tanpa sebarang


tekanan, tetapi mestilah berdasarkan sebab yang munasabah
serta motif dan tujuan yang rasional. Segala fakta yang
berkaitan dengan isu yang dipersoal akan dipertimbangkan
secara objektif sebelum sesuatu keputusan dibuat.

3. Mempunyai pengetahuan dan pemahaman tentang


perasaan orang lain di dalam satu-satu situasi. Kesedaran
tentang perasaan dan kepentingan orang lain haruslah
dititikberatkan dalam sesuatu situasi dan keputusan moral.

4. Mempunyai emosi atau motivasi moral untuk


melakukan sesuatu yang benar selepas keputusan moral
diambil. Seseorang akan sukar untuk bertindak sekiranya dia
tidak bermotivasi untuk melakukannya.

5. Mempunyai iltizam untuk melakukan sesuatu yang patut


dilakukan secara berterusan berdasarkan prinsip-prinsip dan
peraturan yang asas.

4.3 Peranan guru dalam pembentukan insan bermoral

Guru Pendidikan Moral harus sedar bahawa kanak-kanak yang


datang ke sekolah telah mempelajari pendidikan moral di
rumah daripada keluarga dan masyarakat. Ini bermakna kanak-
kanak telah mempunyai sikap, kepercayaan dan tabiat tentang
moral yang dipelajari mereka daripada pelbagai sumber
sebelum mereka ke sekolah. Kerencaman latar belakang ini
mewujudkan pelbagai persoalan moral dari segi pengetahuan
amalan dan prinsip hidup kanak-kanak yang masih boleh
dilentur.

Guru Pendidikan Moral juga harus sedar bahawa sekolah itu


sendiri merupakan sumber pembelajaran moral secara tidak
langsung. Suasana sosial di sekolah, cara sekolah itu ditadbir
dan bagaimana guru-guru bertingkah laku akan memberikan
pengaruh secara tidak langsung kepada pembelajaran moral
kanak-kanak di sekolah. Kanak-kanak yang belajar di sekolah
ternama dan tinggi penghayatan moralnya sudah tentu lebih
beruntung dan lebih mudah proses pemupukan nilai dilakukan
berbanding dengan sekolah yang sebaliknya.

Guru Pendidikan Moral mesti menerima hakikat bahawa nilai-


nilai moral sudah tertanam dalam diri murid-murid. Guru
haruslah bersedia untuk mengajar Pendidikan Moral dengan
mengambil kira pengetahuan dan pembelajaran moral yang
sedia ada. Guru dikehendaki memperkembangkan
pengetahuan moral murid-murid ini dan membimbing mereka
semasa pengajaran Pendidikan Moral dilaksanakan.
Pendidikan Moral di sekolah digunakan untuk
memperkembangkan pengetahuan moral kanak-kanak ke arah
mencapai matlamat kurikulum untuk melahirkan individu yang
bermoral tinggi.

Selain itu, guru Pendidikan Moral haruslah bertanggungjawab


menyalurkan objektif-objektif seiring dengan penerapan nilai-
nilai murni Pendidikan Moral di kalangan anak didiknya. Di
bawah rancangan KBSR dan KBSM, nilai-nilai murni diterapkan
bukan sahaja dalam mata pelajaran Pendidikan Moral tetapi
juga dalam semua mata pelajaran yang lain. Selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan, KBSR dan KBSM digubal
berdasarkan kepada prinsip kesepaduan unsur-unsur ini yang
membolehkan potensi individu berkembang secara menyeluruh
dan seimbang. Justeru itu, untuk mencapai Matlamat
Pendidikan Kebangsaan, pelajar-pelajar sekolah akan diberi
peluang menghayati nilai-nilai murni serta mengamalkannya
dalam kehidupan mereka melalui mata pelajaran Pendidikan
Moral secara langsung, dan melalui mata pelajaran-
Mata pelajaran lain secara tidak langsung. Objektif-objektif
khusus Pendidikan Moral di bawah rancangan KBSM adalah
untuk membolehkan pelajar:

● Mengukuhkan amalan, tingkah laku dan sikap moral


yang telah diperoleh di bawah rancangan KBSR,
● Menyedari, memahami dan menghayati nilai-nilai murni
yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan;
● Dapat membuat pertimbangan yang rasional dan
bertindak berasaskan prinsip-prinsip moral;
● Boleh memberi sebab yang munasabah berdasarkan
prinsip-prinsip moral semasa membuat sesuatu keputusan; dan
● Mengamalkan nilai-nilai murni sebagai panduan dalam
kehidupan.

Sehubungan itu, tugas menyemai dan memupuk nilai-nilai


murni dalam jiwa pelajar kita adalah tanggungjawab guru
Pendidikan Moral. Dengan menjalankan tugas penuh dedikasi
sebagai seorang pendidik, adalah diharapkan bahawa
matlamat pendidikan kebangsaan dapat dicapai, iaitu
menghasilkan pelajar-pelajar yang bertanggungjawab dan
mempunyai akhlak yang bermoral tinggi serta mulia.