Anda di halaman 1dari 13

Isi Kandungan Mukasurat

1. Pengenalan 3
2. Integriti – Satu Etika di Jabatan Awam 4
3. Ciri - Ciri 6
4. Analisa Masalah Integriti 8
5. Cadangan 10
6. Rumusan 12
7. Rujukan 14

1
1. Pendahuluan

Kakitangan, staf atau penjawat awam yang berkualiti tinggi merupakan aset penting terhadap
kejayaan sesebuah organisasi dan negara. Sifat amanah, telus, bertanggungjawab dan berkhidmat
demi kepentingan awam merupakan intipati kepada istilah integriti dan etika. Dengan kata lain
integriti dan etika dalam pekerjaan dan organisasi bukan sekadar penglibatan diri individu untuk
menyediakan keperluan dirinya sahaja sebaliknya melibatkan tindakan baik yang dilakukan dalam
kerja dan semua ini mempunyai kaitan erat dengan ajaran agama dan tanggungjawab sebagai
manusia. Hakisan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam akan mengakibatkan kepincangan
pentadbiran dan salah laku dalam organisasi. Justeru, pengamalan dan pemahaman terhadap
integriti dan etika amat perlu dilaksanakan.

Masalah etika akan sentiasa wujud dan ianya akan melanda samada majikan atau pekerja. Antara
masalah etika yan sentiasa wujud dan mudah ditemui adalah integriti. Integriti adalah keutuhan
sesuatu struktur atau binaan. Pelbagai definisi integriti mula diketengahkan antaranya sebagai
kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip-prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu.
Selain itu, integriti turut ditakrifkan sebagai tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang
seseorang individu dengan cerminan tingkah laku (perkataan atau perbuatan) yang ditunjukkannya
(Abu Yazid, 2016).

Organisasi atau agensi-agensi kerajaan sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman
sama ada dari dalam mahupun luar persekitaran dan ncaman ini boleh menjejaskan prestasi,
produktiviti serta masa hadapan sesebuah organisasi. Dewasa ini, rata-rata ancaman ke atas
organisasi berpunca daripada individu-individu dalam organisasi itu sendiri dan seterusnya
melibatkan ahli-ahli lain yang merosakkan identiti organisasi kerajaan. Lazimnya, ancaman ini
mempunyai hubungkait yang erat dengan isu etika dan integriti. Pengabaian kedua-dua prinsip ini
boleh membuka peluang untuk berlakunya penyelewengan, rasuah, salah laku dan salah guna
kuasa dalam sesebuah organisasi (Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, 2013).

Tugasan ini akan membincangkan tentang latar belakang masalah etika iaitu ketiadaan integriti,
dan klasifikasi masalah dengan tiga ciri masalah serta analisa masalah etika di dalam pengurusan
dan cadangan unutk menyelesaikan masalah yang dikenalpasti.

2
2. Integriti – Satu Etika di Jabatan Awam

Integriti berasal daripada perkataan latin: ‘integer’ yang bermaksud menyeluruh, sempurna dan
kesatuan yang teguh (Widang & Fridlund, 2003). Pendefinisian terhadap istilah integriti boleh
diklasifikasikan kepada empat perspektif iaitu ketekalan nilai peribadi, komitmen terhadap nilai
peribadi, komitmen terhadap nilai komuniti dan komitmen terhadap nilai-nilai murni (Stanford
Encyclopedia of Philosophy, 2013).

Manakala menurut Pellegrino (1990), integriti sebagai tahap atau keadaan keseimbangan di antara
ruang peribadi, autonomi dan nilai individu. Roberts (1994), menghuraikan takrifan integriti
sebagai kesatuan di antara komitmen sepenuhnya kepada nilai yang dipegang dalam setiap ucapan
dan tindakan seseorang. Takrifan Roberts (1994) selari dengan Musschenga (2001), menakrifkan
integriti sebagai konsistensi dan koherensi dalaman keyakinan seseorang dengan penyataan dan
tindakannya.

Integriti merupakan konsep penting dalam pentaakulan etika (Widang & Fridlund, 2004) kerana
integriti berkait rapat dengan pembentukan dan pengukuhan etika yang baik (Mahathir, 2004) serta
melaksanakan perkara yang betul (Musatafar 2004). Justeru, integriti juga didefinisikan sebagai
kepercayaan terhadap komitmen dan kemampuan seseorang memelihara moral diri tanpa sebarang
kompromi (Gross, 2001). Integriti juga menerangkan elemen tingkahlaku pekerja dan kejayaan
yang melibatkan urusan yang adil, kejujuran dan kebolehpercayaan di tempat kerja (Mehrabian,
2000).

Masalah integriti boleh berlaku di dalam mana-mana organisasi, akan tetapi pemilihan organisasi
yang sesuai untuk menggambarkan masalah integriti adalah jabatan awam. Melalui kajian Nik,
Azmi Awang & Azmi (2012) menyatakan prestasi dan integriti penjawat perkhidmatan awam di
Malaysia masih berada di tahap bermasalah.

Di peringkat antarabangsa, salah satu bukti adalah daripada Laporan Indeks Persepsi Rasuah
Antarabangsa (CPI) yang sejak tahun 1995-2010 telah mengekalkan Malaysia dalam kalangan
negara tertinggi kadar rasuah iaitu di tangga ke 22 (1995) kepada 37 (2003) dan seterusnya tangga
ke 56 bagi tahun 2010 (International Transparency 1995-2010). Dalam tempoh 15 tahun
berkenaan, skor purata Indeks CPI Malaysia telah menguncup ketara dari 5.28 mata (1995) kepada
4.4 mata pada tahun 2010. Keadaan ini menunjukkan dalam tempoh berkenaan, isu-isu seperti

3
rasuah dan ketidakcekapan penyampaian perkhidmatan awam semakin bertambah serius. Fakta ini
disokong oleh beberapa kajian dalam negara seperti hasil kajian perunding Ernst dan Young
International (1996) yang mendapati 78 peratus kes-kes penipuan di dalam agensi kerajaan
dilakukan oleh para pegawai kerajaan itu sendiri. Dapatan ini konsisten dengan hasil Laporan
Kerajaan Persekutuan (2005) yang menegaskan wujudnya penglibatan penjawat awam dalam
pelbagai kes salah laku yang menjejaskan integriti perkhidmatan seperti ketidakhadiran kerja (61.4
peratus), perlanggaran disiplin (13.1 peratus), salah laku lain (12.6 peratus), penyalahgunaan
dadah (2.3 peratus), menerima hadiah dan rasuah hiburan (2.3 peratus), keberhutangan serius (0.3
peratus) dan kesalahan memiliki harta melebihi kemampuan kerjaya (0.1 peratus).

Integriti merupakan elemen penting kesejahteraan kakitangan awam. Kajian terdahulu mendapati
integriti mempunyai hubungan yang positif dengan kesejahteraan individu (Widang & Fridlund,
2003), kesejahteraan komuniti dan kesejahteraan organisasi (Ones et al., 2003). Integriti
membentuk staf yang mempunyai tingkah laku yang baik dan bebas daripada tingkah laku kaunter
yang negatif seperti mencuri, vandalisme, memanjangkan waktu rehat tanpa kebenaran dan
ponteng kerja. Kelemahan integriti akan menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan
kerosakan sesuatu profesyen pekerjaan.

4
3. Ciri – Ciri Masalah Integriti

Masalah integriti sepertimana yang dibincangkan sebelum ini adalah apabila penjawat awam di
jabatan awam tidak mempunyai integriti di dalam melakukan tugas mereka. Ini adalah
merungsingkan kerana integriti bukan sahaja satu etika tetapi merupakan satu bentuk disiplin yang
penting di dalam menjalankan tugas mereka. Penjawat awam tanpa integriti menunjukkan betapa
lemahnya sistem pengurusan jabatan awam, dan pengurusan jabatan awam menunjukkan
pengurusan kerajaan.

Setiap kecelaruan dan perlanggaran undang-undang oleh penjawat awam berpunca dari
pengurusan yang bermasalah. Di dalam perbincangan ini, pengurusan tanpa integriti di jabatan
awam akan melahirkan penjawat awam tanpa integriti.

3.1.Impak kepada Orang Awam – Akibat Berpanjangan

Masalah integriti akan memberikan impak kepada orang awam. Di mana, tanpa integriti akan
menjejaskan perkhidmatan terhadap orang awam. Orang awam boleh terlibat dalam pelbagai cara
samada urusan biasa seperti urusan imegresen di antara jabatan imegeresen dan orang awam atau
urusan urusniaga seperti pemohonan tender dengan Jabatan Kerja-Raya (JKR).

Apabila wujudnya aktiviti sedemikian menjadikan tindakan tanpa integriti diamalkan berleluasa.
Sebagai contoh, amalan rasuah kepada pegawai imegresen untuk memohon visa pekerjaan tanpa
melalui proses tertentu. Apabila ada penjawat awam yang melaukkan perkara sedemikian, amalan
itu akan berjangkit daripada peringkat bawahan sehingga peringkat atasan. Ini memberikan impak
kepada orang awam iaitu masyarakat.

3.2.Alternatif yang Pelbagai

Tanpa integriti, sesuatu jabatan awam akan mudah diperlekehkan selain daripada ketidaktelusan
pengurusan. Disebabkan ketidaktelusan di dalam pengurusan, menjadi satu dogma kepada
penjawat awam untuk memiliki dua jawaban bagi persoalan yang mereka ada iaitu adakah aku
meminta rasuah atau adakah aku tidak meminta rasuah.

Ini menjadikan peraturan jabatan, tatacara dan standard operasi menjadi satu helaian tulisan yang
hanya dicetak dan diletak di pejabat untuk perhiasan. Keadaan sebegini kemudian akan

5
menyebabkan penjawat awam yang lain juga merasakan dan memikirkan perkara yang sama – di
mana mereka diberi dua pilihan jawaban atau lebih.

3.3.Akibat tidak Pasti

Sesuatu jabatan dan penjawat yang tidak memiliki integriti akan dilanda akibat yang tidak
menentu. Selain daripada akibat tidak mengikut undang-undang, ianya menjadikan pengurusan
jabatan bercelaru. Ini kerana, sekiranya jabatan boleh menjalankan tugas tanpa mengikut prosedur
rasmi dan memberikan manfaat kewangan dan sebagainya kepada penjawat menyebabkan impak
yang tidak pasti pada masa hadapan.

Sebagai contoh, jabatan imigresen yang membenarkan orang asing datang bekerja seharusnya
melakukan saringan latar belakang untuk menyemak samada pemohon tersebut mempunyai kaitan
dengan jenayah di negara asal atau kaitan dengan organisasi jenayah atau keganasan. Ini adalah
demi menjaga keamanan dan kestabilan negara, sekiranya integriti tidak wujud maka ianya
membolehkan elemen jahat dan merbahaya mencerobohi negara. Akibatnya tidak pasti samada
jenayah akan berlaku atau tidak, sedangkan sekiranya integriti ditegakkan maka jenayah sudah
dibendung pada permulaan peringkat.

6
4. Analisa Integriti di Jabatan Awam

Setiap individu bertanggungjawab terhadap pembentukan integriti diri mereka. Menurut Aristotle,
individu adalah bermoral apabila melakukan tindakan yang betul kerana mengetahui tindakan itu
adalah betul secara konsisten dan sebati dengan dirinya. Oleh itu, adalah sangat penting untuk
membentuk nilai moral yang baik melalui kebiasaan dan latihan (Wakin, 1996).

Individu juga perlu mempunyai keberanian untuk menentukan sempadan dan mempertahankan
diri daripada perkara yang merosakkan dirinya sediri dan nilai yang dipegang (Widang & Fridlund,
2003). Pandangan Koonce (1998), menyatakan individu perlu menyerlahkan kreativiti, tidak
terlalu serius sehingga kehilangan sense of humor, melakukan perkara yang betul, tidak bersifat
taksub kepada pribadi tertentu dan mendengar pendapat orang lain untuk menjana integriti diri
mereka.

Di dalam analisa masalah integriti di jabatan awam, tiga bentuk analisa boleh digunapakai untuk
melihat struktur dan kerangka masalah etika tersebut;

4.1.Analisis Ekonomi

Antara bentuk masalah etika – integriti yang wujud di jabatan awam adalah gejala rasuah. Di mana,
rasuah diamalkan dan tidak merasa satu kesalahan untuk meminta dan menerima rasuah. Rasuah
kebiasaan menggunakan wang haram. Rasuah melalui wang haram juga disebut sebagai
penggubahan wang haram. Pengubahan wang haram adalah satu tindakan atau aktiviti penukaran
wang atau nilai harta lain yang diperolehi dari aktiviti haram seperti pengedaran dadah, rasuah,
perdagangan senjata haram, pemerdagangan manusia, samun, jenayah dan seumpamanya kepada
wang atau pelaburan yang kelihatan sah dari segi undang-undang. Aktiviti itu dijalankan supaya
sumber wang haram dan nilai-nilai material yang lain tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.
Menurut artikel 3(1)(b) Konvensyen Vienna 1988 jenayah pengubahan wang haram merujuk
kepada ‘penukaran atau pemindahan harta dengan pengetahuan bahawa harta tersebut diperolehi
hasil dari jenayah atau keterlibatan dalam melakukan jenayah bertujuan menyembunyikan atau
menyorok sumber asal harta tersebut’.

Menurut laporan oleh Bank Negara pada 2013, pengubahan wang haram bukan sahaja boleh
menjejaskan kestabilan dan keutuhan keselamatan sesebuah negara, ia juga akan menggugat
perkembangan ekonomi dan sistem kewangan negara terutamanya negara membangun seperti

7
Malaysia. Aktiviti penggubahan wang haram akan menyebabkan kehilangan keyakinan kepada
institusi kewangan kerana wang haram disatukan dengan wang sah (Rozaiha, Nafsiah & Siti
Aisyah 2015).

Kajian oleh Aluko dan Bagheri (2012) mendapati jenayah ini telah menyebabkan kemorosotan
ekonomi di Nigeria yang merupakan sebuah negara membangun. Menurut kajian tersebut, kesan
ini berlaku kerana negara membangun merupakan negara yang kurang rejim penguatkuasaan dan
lebih bersandarkan kepada pengeluaran dagangan dan perkhidmatan. Selain itu, medium transaksi
di negara membangun masih sebahagian besarnya menggunakan tunai.

Pada masa yang sama, jenayah pengubahan wang haram ini juga dapat memberi kuasa ekonomi
kepada penjenayah untuk menggunakan wang yang dikumpulkan daripada aktiviti haram untuk
tujuan mengukuhkan kedudukan mereka di kalangan masyarakat. Akibatnya lebih banyak
perusahaan berteraskan jenayah akan berkembang di pasaran domestik sesebuah negara
menyebabkan hilang kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara tersebut. Yang paling
menggerunkan adalah apabila penjenayah mula menguasai sesebuah negara melalui pelaburan
dalam syarikat-syarikat milik kerajaan, yang beroperasi secara sah pada asalnya, menggunakan
wang haram ini.

4.2.Analisis Undang-Undang

Rasuah dan perlanggaran integriti di jabatan awam adalah serius dan dipandang berat oleh orang
awam untuk melihat kebolehbergantungan masyarakat terhadap jabatan awam tersebut. Rasuah
dalam sektor awam dan swasta telah menjadi satu masalah utama bagi kerajaan. Rasuah
merupakan gejala serius yang sering menjadi topik perbincangan sejak akhir-akhir ini terutamanya
dalam media massa. Di samping itu juga, pelbagai kesan negatif yang akan timbul akibat daripada
masalah rasuah ini.

Syed Hussein Alattas (1995) dalam bukunya menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan
kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Beliau telah menyenaraikan beberapa ciri-ciri rasuah dan
di antaranya rasuah sentiasa melibatkan lebih dari satu orang atau pihak, secara keseluruhan rasuah
melibatkan rahsia di antara mereka yang terlibat, rasuah mempunyai elemen tanggungjawab
bersama dan keuntungan bersama, dalam bentuk wang atau yang lain, pengamal rasuah berusaha
untuk menyamakan aktiviti dengan menggunakan justifikasi dari segi undang-undang sebagai

8
jalan terakhir, orang yang terlibat dalam rasuah adalah orang yang mahukan keputusan yang pasti,
mereka juga mahukan pihak yang boleh mempengaruhi keputusan-keputusan tersebut, mana-mana
tindakan rasuah melibatkan penipuan, yang biasanya dilakukan terhadap sektor awam, swasta atau
masyarakat umum, dan rasuah juga melibatkan percanggahan dwifungsi bagi mereka yang
memerlukannya. Jika dilihat daripada ciri-ciri seperti yang dinyatakan menunjukkan rasuah adalah
pencurian melalui penipuan yang boleh mengkhianati sesuatu kepercayaan yang merupakan
amanah diberikan (Taqiuddin, Hafiz, 2008).

Rasuah yang datang daripada masalah integriti adalah salah di sisi undang-undang. Menurut
seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) mentakrifkan
suapan rasuah seperti berikut:

(a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan
mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat
seumpamanya;

(b) jawatan, kebesaran, pekerjaan atau perkhidmatan dan apa-apa perjanjian untuk
memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
(c) bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau
liabiliti lain sama ada keseluruhan atau sebahagian;

(d) apa-apa jenis balasan berharga, diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau
peratusan;

(e) perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau barang
berharga;

(f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain seperti perlindungan daripada penalti
atau ketakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau tindakan atau prosiding yang
bersifat tatatertib, sivil atau jenayah sama ada sudah dimulakan atau tidak dan termasuk
penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau kuasa atau
kewajipan rasmi; dan

(g) tawaran, aku janji atau janji sama ada bersyarat atau tidak bersyarat untuk memberikan
suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a)-(f). Oleh yang demikian, kesalahan

9
rasuah menurut Akta ini boleh dikategorikan seperti meminta dan menerima rasuah,
menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan
dan kedudukan.

4.3. Analisis Etika

Etika dan integriti dalam perkhidmatan perlu diperlihatkan oleh penjawat awam melalui
perlaksanaan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka demi kepentingan
umum. Sekiranya perbuatan tidak beretika dan tidak berintegriti dibiarkan berterusan tanpa usaha
menanganinya maka ia berupaya menghilangkan kepercayaan masyarakat dan menjejaskan imej
pekerja, negara serta melumpuhkan entiti korporat yang kukuh. Maka dapat difahami bahawa etika
dan integriti dalam kalangan penjawat awam amat penting untuk dipupuk demi melahirkan bangsa
Malaysia yang berdaya saing dan maju.

Akan tetapi, sekiranya sesuatu jabatan atau organisasi tidak mempunyai integriti bagaimana
sesbuah organisasi dikatakan memiliki etika di dalam pengurusan. Tanpa etika dan integriti,
pelbagai masalah yang timbul samada dalam bentuk moral, ekonomi dan undang-undang.
Kesedaran akan sesuatu perkara yang memberikan kesan buruk tetapi tidak dihiraukan bahkan
menjadi ejen kepada perkara tersebut adalah satu perbuatan yang tidak beretika.

10
5. Cadangan

Globalisasi tidak hanya membawa kesan-kesan ekonomi dan perdagangan semata-mata tetapi turut
meninggalkan impak dari segi sosio budaya. Arus globalisasi menjadikan sektor perkhidmatan
awam lebih terdedah kepada cabaran persaingan global khususnya dari segi keperluan
meningkatkan urus tadbir dan sistem penyampaian perkhidmatan yang telus serta berintegriti.
Fenomena dunia tanpa sempadan serta pergerakan bebas maklumat yang dipacu oleh kemajuan
ICT turut memberi kesan sampingan dari segi moral dan etika. Tanpa disedari, sifat-sifat terpuji
dan nilai-nilai moral dalam kalangan masyarakat Malaysia terhakis sedikit demi sedikit yang
seterusnya memberi kesan terhadap kualiti kerja dan produktiviti individu.Ajaran Islam sentiasa
mengingatkan setiap umatnya memegang kepada amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya.

5.1.Pemantapan Integriti

Pelan Integriti Nasional (PIN) yang telah dilancarkan pada 23 April 2004 merupakan antara
langkah penting yang diambil oleh Kerajaan dalam usaha meningkatkan integriti dan
pembudayaan nilai murni di kalangan semua lapisan rakyat dan institusi. Integriti merupakan
prasyarat kepada kejayaan peribadi seseorang dan untuk membangunkan kemahiran kepimpinan.
Individu-individu yang mempunyai integriti akan membina kepercayaan dalam hubungan mereka
dengan masyarakat, dinilai oleh rakan-rakan, mentor, ketua dan penyelia. Mereka dihormati dan
diharapkan untuk melakukan apa yang betul. Mereka mampu untuk mengimbangi rasa hormat dan
tanggungjawab serta dapat berkongsi nilai-nilai mereka dengan orang lain kerana menjadi insan
yang dipercayai dan dihormati kerana nilai-nilai baik yang telah diamalkan. Demikian itu, di
peringkat korporat, individu yang berintegriti akan diambil untuk membangunkan persekitaran
dengan nilai-nilai bersama untuk membina perbadanan dan membangunkan budaya integriti.
Seterusnya, budaya ini akan memberi kesan kepada hubungan interpersonal dalam organisasi dan
mewujudkan pekerja mempunyai nilai moral tinggi. Pekerja bermotivasi dan kreatif, berbangga
dengan kerja mereka dan menikmati rakan sekerja mereka. Budaya integriti juga memberi kesan
baik kepada tindakan dan dasar sesebuah pasukan kepimpinan serta kualiti sistem tadbir urus
korporat.

11
5.2.Penghayatan Integriti secara Internal

Sesebuah organisasi memerlukan persekitraran budaya kerja yang kondunsif untuk membolehkan
penjawat awam dan pengurusan menghayati integriti di dalam diri mereka. organisasi awam perlu
mempunyai penghayatan dan pengamalan integriti tinggi terhadap etika kerja murni,
penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Justeru itu, budaya
yang memartabatkan integriti akan mewujudkan persekitaran yang baik kepada warga kerja untuk
menghindari salah laku. Oleh itu, persekitaran amat penting dalam mempengaruhi individu dari
segi pembentukan nilai dan tingkah laku. Dalam aspek komunikasi berkesan ianya perlu bersifat
mudah difahami oleh semua peringkat dalam organisasi. Hal ini membantu pengukuhan integriti
melalui penggunaan pelbagai saluran komunikasi sebagai medium utama untuk memupuk nilai
murni dan mempertingkatkan integriti dan mengembangkan program peningkatan tahap
kesedaran. Sistem dan prosedur yang lapuk, kurang jelas dan wujudnya percanggahan akan
menjejaskan integriti dan kelemahan ini boleh menyebabkan ketidakcekapan dan memberi ruang
untuk salah guna kuasa. Justeru, amalan-amalan yang baik seperti integriti dan amalan etika kerja
yang baik perlulah menjadi budaya dalam diri setiap insan.

6. Kesimpulan

Etika dan integriti dalam perkhidmatan perlu diperlihatkan oleh penjawat awam melalui
perlaksanaan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka demi kepentingan
umum. Sekiranya perbuatan tidak beretika dan tidak berintegriti dibiarkan berterusan tanpa usaha
menanganinya maka ia berupaya menghilangkan kepercayaan masyarakat dan menjejaskan imej
pekerja, negara serta melumpuhkan entiti korporat yang kukuh. Maka dapat difahami bahawa etika
dan integriti dalam kalangan penjawat awam amat penting untuk dipupuk demi melahirkan bangsa
Malaysia yang berdaya saing dan maju.

12
Rujukan

1. Abdullah Sanusi Ahmad (1987), Kerajaan Pentadbiran Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka;
2. Ahmad Sarji Abdul Hamid (1999), The Public Service of Malaysia: Some Reflections On
Quality Productivity And Discipline, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN);
3. INTAN (1991), Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam, Kuala Lumpur: Institut
Tadbiran Awam Negara;
4. INTAN (2003), Citra Karya Falsafah, Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam. Cet.2,
Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara;
5. Mahathir Mohamad (2000), “Perkhidmatan Awam Dalam Alaf Baru: Cabaran Dan
Prospek” dalam Amanat Perdana: Perkhidmatan Awam Bertaraf Dunia, Koleksi Ucapan
Perdana Menteri (MAPPA 2000-2005), Kuala Lumpur: INTAN;
6. Muhammad Rais bin Abdul Karim (2004), “Efektif governan dalam sektor awam di
Malaysia: Perubahan-Perubahan Efektif Menurut Islam”, dalam Sharifah Hayaati Syed
Ismail (ed.), Efektif Governan Di Malaysia Menurut Perspektif Islam, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.;
7. Noordin Sopiee (2003), “Pembinaan Semula Malaysia”, Khidmat, vol.52, Kuala Lumpur:
MAMPU.;
8. Ho Jo Ann & Tee Keng Kok. (2013). Etika Profesional. Open University Malasyia

13