Anda di halaman 1dari 7

LAPORAN PELAKSANAAN INTERNSHIP

NAMA PELAJAR : Zuraida Binti Zabidin

PROGRAM : PISMP Ambilan Jun 2015

NAMA SEKOLAH : Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri

NAMA PROJEK/AKTIVITI: Program Senaman Pagi Murid Tahap 2

TEMPOH PELAKSANAAN: 26 Februari (Selasa) 2019 hingga 28 Februari 2019


(Khamis)

OBJEKTIF:
I. Mengeratkan hubungan antara guru dan murid.
II. Meningkatkan keyakinan diri murid melalui aktiviti senaman.
III. Meningkatkan kesedaran murid supaya mengamalkan gaya hidup sihat melalui
senaman.
IV. Melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan
sosial.

STRATEGI PELAKSANAAN:

Saya dan rakan internship saya telah berbincang untuk membuat senaman pagi bagi
murid tahap 2 sebagai salah satu projek Internship kami di sini. Kami telah membuat
perancangan pelaksanaan projek secara teliti dengan mengambil kira semua aspek
dari segi kumpulan sasaran, tempat, tarikh serta masa yang sesuai dan penyediaan
kertas cadangan projek. Kami juga membuat perbincangan bersama mentor iaitu
Encik Syafiq Bin Sobri mengenai projek senam pagi murid tahap 2 yang ingin
dilaksanakan. Kami menyuarakan idea projek kami dan kemudian ditambah baik oleh
Encik Syafiq. Langkah seterusnya, kami menyediakan kertas kerja bagi projek ini.
Kertas projek ini bertujuan untuk mendapatkan kebenaran serta kelulusan daripada
pihak pentadbir sekaligus menjadi tunggak asas kepada projek kami semasa waktu
Internship ini. Bagi mendapatkan satu kertas kerja yang baik, kami telah beberapa
kali membuat pembetulan dan penambahbaikan berdasarkan nasihat dan saranan
Encik Syafiq. Melalui proses ini saya sedar bahawa adalah amat penting sesebuah
komunikasi antara guru dan rakan sekerja bagi memastikan sesuatu perkara itu
berjalan lancar dan mengikut pelan yang telah dirancang.

Seterusnya, kami membuat pemilihan muzik senaman yang sesuai digunakan


sebagai panduan kepada kumpulan sasaran dalam melaksanakan projek senam pagi
ini. Oleh kerana, kumpulan sasaran kami adalah tahap dua, kami memilih pelbagai
lagu yang berlainan tempo dan pelbagai jenis rentak lagu untuk memenuhi kesesuaian
jiwa murid – murid tersebut. Kami juga memilih lagu yang sesuai untuk kanak-kanak
seperti lagu Gummy Bear. Pemilihan lagu yang sesuai dengan tahap umur murid
adalah penting kerana ia dapat menarik minat murid untuk kekal fokus dan menyertai
senam pagi tersebut. Jika murid tidak berminat untuk menyertai senaman ini, kawalan
murid dan objektif projek ini tidak akan berjaya.

Kami membuat latihan awal senaman pagi sebagai persediaan untuk


memastikan kami dapat memberikan yang terbaik semasa hari sebenar. Kami
mengedit lagu dan memilih pergerakan senamrobik yang sesuai untuk murid-murid
tahap dua dan guru-guru sekolah. Kami berlatih bersama – sama setiap hari petang
di kawasan IPG untuk sama – sama membuat pergerakan yang sesuai mengikut
rentak lagu. Kami berkolaborasi dengan guru yang mengurus siar raya bagi
menyediakan peralatan yang sesuai seperti alat pembesar suara dan Cordless Mic,
dan guru – guru yang bertugas untuk mengawal murid bagi memastikan murid
mengikut arahan dan tidak bising.

Pada 26 Februari, tepat jam 7.40 pagi Program Senaman Pagi Murid Tahap
Dua telah dimulakan di tapak perhimpunan dengan sesi taklimat bagi aktiviti yang
bakal dilangsungkan sepanjang hari tersebut. Guru yang bertugas telah memberi
taklimat ringkas kepada semua murid mengenai program senaman pagi tersebut dan
juga aktiviti sukantara sekolah yang dijalankan selepas itu. Taklimat ini penting kerana
ia bertujuan untuk memastikan semua murid berada di kawasan acara sukantara yang
betul mengikut rumah sukan mereka. Pada awalnya semua murid diminta untuk
masuk ke kelas masing-masing untuk mengambil kehadiran dan turun semula ke
tapak perhimpunan untuk melakukan senaman pagi. Pada jam 7.50 pagi, kami telah
memulakan sesi senaman pagi di tapak perhimpunan. Guru kelas telah disuruh
mengawal disiplin murid mengikut kelas masing - masing. Semua warga sekolah
sangat aktif dan begitu bertenaga semasa mengikuti senaman pagi ini. Kami juga
sangat dimotivasi untuk mengendalikan program ini dengan lebih baik kerana
mendapat sokongan yang baik daripada pihak guru.

REFLEKSI:
1) KEKUATAN PROJEK/AKTIVITI:

Terdapat banyak kekuatan dalam program ini. Kekuatan pertama projek ini
ialah dari segi pergerakan. Pergerakan senaman pagi yang telah dicipta amat sesuai
dengan tahap murid-murid yang terlibat dan mudah untuk dilakukan. Hal ini kerana,
pergerakan yang dicipta tidak terlalu ekstrim oleh kerana kami memilih pergerakan
yang agak mudah namun masih boleh memberikan impak yang tinggi kepada murid.
Pemilihan yang teliti adalah penting kerana ia mampu mengurangkan risiko
kecederaan kepada murid yang bakal menyertai sukantara selepas senaman pagi
tersebut. Perancangan latihan juga telah dirancang dengan rapi bagi memastikan
perlaksanaan projek ini berjalan dengan lancar. Guru-guru dan murid-murid juga telah
memberikan kerjasama yang baik semasa perlaksanaan program senaman pagi ini.

Ia juga memberikan satu kelainan dan mewujudkan satu aktiviti yang sihat
untuk murid-murid mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini dapat memberi
pendedahan kepada murid untuk melakukan pergerakan yang sesuai dengan rentak
atau tempo muzik. Melalui Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran Pendidikan
Jasmani, pergerakan berirama merupakan salah satu standard yang terdapat dalam
dokumen itu. Ini menunjukkn bahawa murid telah diajar bagi memahami tempo lagu
dan menghasilkan pergerakan yang sesuai dengan tempo lagu. Sedikit sebanyak
senaman pagi ini memberikan idea kepada murid untuk mewujudkan pergerakan baru
di dalam kelas kelak. Tambahan lagi, ia mampu menggalakkan murid untuk lebih
meminati aktiviti yang melibatkan pergerakan.
Kekuatan yang kedua dalam projek ini ialah dari segi kerjasama dengan pihak
sekolah. Pihak sekolah telah memberikan kerjasama bagi memastikan projek ini
berjalan dengan lancar. Pihak pentadbiran seperti Guru Besar, Guru Penolong Kanan
amat menyokong projek kami dan memberikan respon yang positif kepada kami.
Melalui kerjasama yang baik ini kami dapat menguruskan projek ini dengan baik.
Sebagai contoh, meminta kelulusan melakukan projek, pengurusan alatan, dan
pengurusan murid. Melalui kerjasama ini saya menyedari adalah penting untuk
mempunyai hubungan yang baik dengan pihak pentadbiran dan rakan sekerja. Hal
ini akan memudahkan segala pengurusan dalam segala perkara. Sebagai contoh,
pengurusan program dan hal – hal di sekolah.

Kekuatan ketiga program ini ialah, program ini juga dapat membina keyakinan
diri murid agar tidak malu dalam melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kecergasan
seperti senamrobik dan sukan. Selari dengan objektif program iaitu bagi menghasil
kan murid yang seimbang daripada JERIS iaitu Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan
Sosial, program ini mampu mendorong murid untuk memperbaiki kemahiran bersosial
dengan orang lain iaitu mempunyai keyakinan untuk bergaul dan melakukan aktiviti
sukan bersama orang lain. Apa yang dapat diperhatikan kini, murid perempuan
terutamanya tahap dua sudah mulai ada yang bersikap malu untuk melibatkan diri
dalam aktiviti kecergasan oleh kerana mempunyai perspektif bakal diejek oleh rakan
– rakan sekeliling. Oleh itu, program ini sedikit sebabanyak menaikkan keyakinan diri
murid tersebut. Program ini juga menggalakkan murid untuk mempraktikkan gaya
hidup sihat, mengeratkan silaturrahim antara murid dan guru dan dapat melahirkan
murid-murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan sosial.

Kekuatan keempat adalah dari segi pengalaman mengurus dan mengadakan


sesuatu program. Saya dan rakan-rakan saya bersyukur dapat menimba pengalaman
untuk mengendalikan sesuatu program sekolah seperti ini. Sejujurnya banyak perkara
yang perlu diambil kira apabila mengendalikan sesuatu program di sesebuah sekolah.
Setelah saya mengendalikan program ini, saya sedar bahawa perkara yang telah
dirancang dan dibincang bersama tidak akan berjalan seperti yang diharap pada hari
kejadian oleh kerana masalah yang timbul kadang kala berlaku di luar jangkaan kami.
Melalui pengalaman mengendalikan program ini, saya telah menyedari bahawa
pengurusan sesuatu program di sekolah jauh berbeza dengan di sekolah. Hal ini
kerana, di sekolah murid sekolah berumur 12 tahun kebawah jauh berbeza tahap
kematangannya dibandingkan dengan pelajar di Institut Pendidikan Guru. Bagi murid
sekolah, kawalan murid adalah penting bagi memastikan kelancaran program tidak
terganggu oleh kerana pada tahap umur begini mereka lebih suka bermain dan tahap
focus mereka adalah kurang. Selain itu, faktor cuaca yang baik juga menjadi salah
satu kekuatan. Saya bersyukur kerana cuaca pada setiap pagi program tersebut
adalah baik dan tidak hujan. Oleh itu, tapak perhimpunan tidak basah dan murid dapat
melakukan senaman pagi dengan selesa. Jika pada hari kejadian hujan, kami sudah
mempunyai perancangan lain iaitu dengan menukar tempat aktiviti daripada di tapak
perhimpunan ke dewan terbuka sekolah. Walaupun kawasan dewan terbuka agak
kecil namun ia adalah lebih sesuai jika hujan berbanding di padang sekolah dan tapak
perhimpunan.

2) KELEMAHAN PROJEK/AKTIVITI:

Terdapat beberapa kelemahan yang berlaku selama menjalankan program ini.


Kelemahan pertama ialah dari segi kawalan murid. Terdapat murid yang tidak mahu
mendengar arahan guru yang bertugas walaupun sudah beberapa kali ditegur. Hal
ini berlaku akibat daripada kurangnya guru yang bertugas untuk mengawal murid.
Kami telah meminta guru kelas untuk turut sama di tapak perhimpunan menjaga murid
akan tetapi terdapat guru yang tidak ke tapak perhimpunan dan hanya berada di bilik
guru menyiapkan tugas mereka.

Selain itu, terdapat masalah pada alat pembesar suara iaitu speaker. Hal ini
mengakibatkan kami terpaksa berhenti dan memulakan semula senaman tersebut
oleh kerana lagu yang dimainkan tersekat – sekat dan menyebabkan murid hilang
fokus untuk mengikuti pergerakan kami. Ini juga mengganggu keaktifan murid-murid
apabila tiba-tiba berlaku masalah ini. Kami terpaksa berhenti seketika untuk menukar
speaker yang disimpan di stor sukan.
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN:

Cadangan penambahbaikan yang saya boleh berikan adalah kami haruslah


memastikan dapat memberikan taklimat yang jelas kepada semua guru yang terlibat
dengan program ini agar semua guru jelas dengan tugas mereka dan dapat
memberikan kerjasama yang terbaik bagi memastikan kelancaran program ini. Hal ini
kerana mungkin terdapatnya guru yang tidak begitu jelas dengan taklimat yang diberi
sebelum ini dan menyebabkan mereka hanya duduk di bilik guru dan tidak membantu
untuk mengawal murid di tapak perhimpunan. Hubungan dua hala yang baik dengan
guru dapat menjamin setiap guru menggalas tanggungjawab diberi sebaiknya.

Selain itu, kami boleh menyemak keadaan speaker sebelum memulakan


program senaman pagi ini untuk mengelakkan masalah speaker. Jika terdapat pada
speaker seperti tidak mengeluarkan bunyi atau tidak menyala apabila dihidupkan,
pihak sekolah boleh menukar speaker kepada yang lain untuk memastikan pelancaran
program yang baik. Hal ini akan membantu dalam kelancaran program tersebut.

KESIMPULAN:

Secara keseluruhannya, program senam pagi ini dapat dilaksanakan dengan


jayanya di sekolah ini dan menjadi satu tapak bagi warga pendidik memulakan amalan
budaya bersukan dengan cara yang mudah dan menyeronokkan. Ini memberi
peluang kepada murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti gaya hidup sihat.
Mereka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan pelajar guru,
guru-guru sekolah dan murid-murid.

Bagi pihak guru pelatih pula, melalui program ini saya dapat memberikan
pengetahuan dan pengalaman yang bermakna sebagai bekalan ilmu ketika bergelar
guru kelak. Di samping itu, pelaksanaan program ini juga dapat memberi impak
kepada konsep kendiri guru pelatih terhadap kemahiran mengurus, mengelola dan
memimpin.
Rajah 1. Siswa guru sedang mengetuai senaman pagi bagi murid tahap dua.

Anda mungkin juga menyukai