Anda di halaman 1dari 1

HURAIKAN KEPENTINGAN BERSARAPAN KEPADA MURID-MURID

SEKOLAH

Sarapan atau makan pagi adalah makanan pertama setiap hari, yang diambil
pada waktu pagi. Kebanyakan murid sekolah memandang remeh akan kepentingan
bersarapan. Hal ini kerana mereka mengejar masa untuk ke sekolah dan mereka
hanya bersarapan jam 10 pagi pada waktu rehat di sekolah.

Antara kepentingan bersarapan adalah untuk mendapatkan kesegaran


tubuh badan. Murid-murid yang bersarapan akan dapat tubuh yang segar
dan sihat sekali gus memudahkan belajar. Kita perlulah makan pagi
walaupun sekadar segelas susu, sekeping roti atau sedikit bijirin. Makanan
yang berkahsiat membantu menyihatkan badan kerana otak yang cerdas
datangnya daripada badan yang sihat.

Selain itu, bersarapan juga dapat mengelakkan kita daripada


mengalami sakit perut seperti gastrik kerana perut yang kosong. Apabila
perut kosong, kita tidak mampu melakukan pelbagai aktiviti malah jika
dibiarkan kita boleh pitam secara tiba-tiba. Dengan itu, kita perlu bijak
memilih sarapan. Pemilihan sarapan, terutama kaya karbohidrat dapat
membekalkan tenaga dan mampu menahan rasa lapar.

Seterusnya, bersarapan juga memudahkan kita fokus ketika belajar terutama


apabila berhadapan dengan topik-topik yang sukar. Karbohidrat yang diambil pada
waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak.
Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin dikenal pasti
mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.

Kesimpulannya, bersarapan amat penting kepada badan kita bukan


sahaja kepada murid sekolah malah kepada semua orang. Makanan yang
kita makan pada awal pagi dapat membekalkan tenaga dan menyihatkan
badan. Sarapan juga dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti
otak yang lebih cergas, peka dan fokus.