Anda di halaman 1dari 6

1.

0 Refleksi

Pertama sekali, saya Nur Syahirah binti Abd Razak ingin menzahirkan kesyukuran
saya kepada Allah s.w.t kerana dipermudahkan segala urusan untuk menyelesaikan
kerja kursus Makmal Kaunseling Kelompok ini. Saya sangat bersyukur kerana kerja
kursus Makmal Bimbingan dan Kaunseling Kelompok ini mendapat kerjasama yang
baik daripada pensyarah yang terlibat iaitu Pn Nor Fazillah binti Sajat, klien saya,
Syahmi, Nasuha, Sakinah dan Atiqah, sahabat sekelas saya dan tidak dilupakan
kepada keluarga saya yang tercinta yang sentiasa memberi sokongan moral kepada
saya dalam melaksanakan kerja kursus ini.

1.1 Refleksi sebelum sesi bimbingan dan kaunseling

Pertama sekali, kaunselor telah membuat ulang kaji semula berkenaan dengan
matlamat bimbingan dan kaunseling kelompok sebelum melaksanakan sesi
bimbingan dan kaunseling kelompok bersama ahli kelompok yang terdiri daripada 4
orang. Hal ini bertujuan bagi proses mengingat semula dengan matlamat bimbingan
dan kaunseling itu sendiri iaitu bagi menggalakkan pertumbuhan dan kefahaman
kendiri ahli kelompok. Pertumbuhan dan kefahaman diri klien itu bertujuan bagi
membentuk sikap celik akal klien terhadap permasalahan yang dihadapi (Lee, K. C.,
et. al., 2014). Selain itu, bagi meningkatkan kesediaan kaunselor terhadap ahli
kelompok, maka, kaunselor telah mengkaji latar belakang ahli kelompok dengan
berhubung dengan rakan sekelas mereka. Kaunselor juga telah menyemak rekod-
rekod ahli kelompok agar kaunselor dapat melihat individu yang bakal diterima
sebagai klien tanpa membuat sebarang label dan menghukum klien berdasarkan
rekod yang telah diterima. Hal ini adalah kerana, seorang kaunselor yang baik
hendaklah melaksanakan penerimaan tanpa syarat dalam menjalankan sesi
bimbingan dan kaunseling. Seterusnya sebelum sesi bimbingan dan kaunseling
dilaksanakan, kaunselor telah memikirkan dan menetapkan suatu tempat sesi
kaunseling yang hendak dijalankan sesuai dengan keselesaan klien dengan
mengutamakan keadaan bilik yang kondusif dan bersih, bau yang menyenangkan,
suhu yang sesuai dengan sesi bimbingan dan kaunseling yang hendak dijalankan.
Hal ini adalah bagi menyokong dan meningkatkan keberkesanan sesebuah sesi
bimbingan dan kaunseling yang dijalankan (Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh,
Hapsah Md Yusof, 2002). Kaunselor juga berusaha untuk memastikan kaunselor dan
klien mampu dan bersedia untuk melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling
dengan memilih masa yang sesuai dengan kemampuan dan kesediaan klien dan
kaunselor. Sebelum saya mengadakan sesi kaunseling kelompok ini, saya bertanya
akan masa yang sesuai bagi melaksanakan sesi kaunseling kelompok agar ahli
kelompok dapat memberi kerjasama yang baik dalam sesi yang dijalankan. Antara
sebab saya memilih ahli kelompok adalah kerana ahli kelompok merupakan dari
kelas yang sama maka mereka lebih mengetahui tentang sesama mereka dan
perkara ini sangat membantu dalam mewujudkan kejelekitan yang berlaku dalam
perhubungan sesi kaunseling kelompok ini.

1.2 Refleksi semasa sesi bimbingan dan kaunseling

Fasa-fasa yang telah dilalui sepanjang sesi bimbingan dan kaunseling


kelompok ini

Kaunselor memiliki prinsip bahawa pandangan pertama merupakan perkara yang


sangat penting dalam melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling bersama ahli
kelompok. Maka, penampilan diri kaunselor telah dipastikan berada pada tahap yang
baik dan kemas agar keselesaan antara kaunselor dan ahli kelompok dapat dicapai.
Menurut Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md Yusof (2002),
penampilan diri kaunselor yang bersesuaian dengan norma tempatan juga
dititikberatkan dalam hal ini kerana ia mampu mewujudkan suatu keadaan di mana
ahli kelompok melihat kaunselor sebagai seorang yang professional dalam
melaksanakan sesi bimbingan dan kaunseling. Semasa sesi dilaksanakan, kaunselor
telah mewujudkan unsur kecindan agar kemesraan ahli kelompok terhadap
kaunselor dapat ditingkatkan memandangkan sesi tersebut merupakan sesi pertama
antara kaunselor dan ahli kelompok. Malah, terdapat ahli kelompok yang tidak
pernah tahu apa itu bimbingan kaunseling kelompok, maka kaunselor hendaklah
mewujudkan suatu suasana yang selesa dan sistematik dalam sesi kaunseling
kelompok. Meskipun, kaunselor dan ahli kelompok baru melaksanakan sesi
kaunseling yang pertama, perhubungan positif antara kaunselor dan ahli kelompok
jelas kelihatan apabila ahli kelompok dapat memahami mesej yang ingin
disampaikan oleh kaunselor meskipun kaunselor belum melengkapkan pernyataan
kaunselor dengan lebih jelas.

Seterusnya, kaunselor telah banyak menggunakan kemahiran menyoal


dalam sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan bagi memperoleh sesuatu
maklumat dengan lebih jelas. Maka, hal ini selaras dengan pernyataan Khoo, B. L.
(2016) yang menyatakan bahawa kemahiran menyoal membantu kaunselor untuk
memperoleh sesuatu maklumat dengan lebih terperinci dan lebih banyak. Kemahiran
menyoal yang diaplikasi dalam sesi kaunseling telah banyak mendorong ahli
kelompok untuk lebih banyak berkongsi luahan hati kerana ahli kelompok mudah
bercerita maka, kaunselor hanya perlu memberikan galakan dan dorongan yang
minimum dalam pelaksanaan sesi bimbingan dan kaunseling kelompok. Hal ini
adalah kerana, ahli kelompok yang lain mampu memberi galakan dalam sesi yang
dijalankan untuk meluahkan permasalahan yang dimiliki tanpa ada rasa canggung.
Nada suara yang sesuai semasa sesi bimbingan kaunseling dijalankan juga telah
digunakan bagi membawa ahli kelompok bersama-sama dengan emosi yang lahir
dengan pernyataan yang telah dinyatakan dalam sesi kaunseling. Hal ini selaras
dengan pernyataan Mohamed Sharif Mustaffa, Roslee Ahmad, Sulaiman Shakib
Mohd Noor (2003) yang menyatakan bahawa nada suara kaunselor dalam
melaksanakan sesi merupakan suatu perkara yang sangat pentig bagi mencungkil
emosi ahli kelompok. Kaunselor juga memastikan bahawa terdapat kontak mata
antara kaunselor dan ahli kelompok dalam sesi kaunseling yang dijalankan agar ahli
kelompok merasakan bahawa kaunselor benar-benar ingin membantu diri mereka
dan melihatkan fokus yang diberikan kaunselor dan ahli kelompok dalam sesi yang
dilaksanakan. Konsep mirroring juga telah diaplikasikan semasa sesi bimbingan dan
kaunseling. Kaunselor telah menggunakan mirroring dalam sesi bimbingan dan
kaunseling dengan meniru keadaan dan posisi tangan klien agar hubungan yang
positif dan lancar antara kaunselor dan klien dapat diwujudkan. Menurut Richard
Webster (2015), mirroring merupakan suatu peniruan pergerakan dan bahasa tubuh
seseorang bagi meningkatkan rapport seorang individu dengan individu yang lain.

Terdapat beberapa kelemahan yang telah kaunselor laksanakan di dalam


sesi. Antaranya ialah kaunselor memberi cadangan kepada ahli kelompok secara
terus untuk menyelesaikan konflik dan isu yang dihadapi tanpa membuat
perbincangan dengan ahli kelompok yang lain. Hal ini jelas mempamerkan bahawa
kaunselor merupakan seorang yang tidak memberi peluang kepada ahli kelompok
untuk memilih kaedah yang sesuai dengan diri ahli kelompok. Kaunselor telah
memberi cadangan yang membuatkan ahli kelompok perlu melaksanakan cadangan
tersebut. Meskipun tiada tanda-tanda negatif yang dipamerkan oleh ahli kelompok
berkenaan dengan cadangan diberikan, akan tetapi profesionalisme seorang
kaunselor telah tercalar dengan pemberian cadangan kepada ahli kelompok yang
jelas mempamerkan bahawa kaunselor yang menguasai keputusan yang hendak
dilaksanakan oleh ahli kelompok itu sendiri. Seterusnya, kelemahan yang telah
dilakukan oleh kaunselor apabila kaunselor tidak meneroka dengan mendalam akan
isu-isu yang diutarakan oleh klien. Maka, isu-isu tersebut hanya disebut oleh ahli
kelompok tanpa sebarang tindakan perbincangan dalam sesi kaunseling kelompok
tersebut. Selanjutnya, kelemahan yang telah dilakukan oleh kaunselor dalam sesi
yang dijalankan ialah ketidaksediaan kaunselor dari segi teknikal. Memandangkan
sesi ini merupakan sesi yang perlu dirakam, terdapat beberapa kekangan yang
berlaku antaranya ialah sesi tidak dapat dirakam kerana kaunselor tidak bertindak
untuk memadamkan media-media yang terdapat di dalam telefon bimbit sehingga
kadar simpanan memori telefon bimbit saya menjadi penuh.

1.3 Refleksi selepas sesi bimbingan dan kaunseling

Selepas sesi bimbingan dan kaunseling yang dijalankan, kaunselor telah bertanya
akan perasaan sebenar ahli kelompok terhadap sesi yang dilaksanakan di luar sesi
rakaman kerana ia membuatkan ahli kelompok merasa tidak selesa untuk
meluahkan segala yang dirasakan. Luahan hati ahli kelompok terhadap sesi yang
telah dilaksanakan sedikit sebanyak membantu ahli kelompok dalam pemilihan
strategi dan langkah yang bersesuaian bagi menyelesaikan konflik yang dihadapi.
Kaunselor juga telah melaksanakan pemerhatian dan soal selidik terhadap rakan ahli
kelompok berkenaan dengan perkembangan diri ahli kelompok dan beliau
menyatakan bahawa ahli kelompok telah mempamerkan hasil yang positif dalam
menyelesaikan konfliknya.
2.0 Cadangan penambahbaikan dalam sesi bimbingan dan kaunseling yang
dijalankan

Antara cadangan penambahbaikan yang hendak dilakukan dalam sesi bimbingan


dan kaunseling yang dijalankan ialah saya hendaklah menggunakan bahasa Melayu
yang standard agar pemahaman saya dan ahli kelompok berada pada tahap yang
sama. Meskipun tiada aduan atau ketidakselesaan yang ditonjolkan ke atas
penggunaan bahasa Melayu yang digunakan dalam sesi, akan tetapi saya
mendapati bahawa untuk menjadi kaunselor yang hebat, saya hendaklah
memperbaiki penggunaan bahasa saya dengan menggunakan perbendaharaan kata
yang pelbagai dan luas serta sesuai dengan isu yang dibincangkan. Selain itu, saya
juga hendaklah membaiki struktur ayat sepanjang sesi bimbingan dan kaunseling
kelompok dilaksanakan. Hal ini adalah kerana saya berfikir bahawa sekiranya klien
saya merupakan klien berbangsa Melayu, maka mereka akan memahami maklumat
yang hendak saya sampaikan. Akan tetapi, sekiranya klien saya bukan berbangsa
Melayu, kebarangkalian untuk mereka memahami sesi bimbingan dan kaunseling
kelompok dengan jelas adalah sangat sedikit. Jelaslah bahawa, cadangan
penambahbaikan yang hendak dilakukan oleh saya dalam sesi bimbingan dan
kaunseling pada masa akan datang.
RUJUKAN

Amir Awang (1987). Teori dan Amalan Psikoterapi. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.

George Boree (1997). Personality Theories, Alfred Adler. Dimuat turun pada 19
September 2017 daripada http://webspace.ship.edu/cgboer/adler.html

Khoo, B. L., Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak. (2016). Petaling Jaya:


Sasbadi Sdn. Bhd.

Lee, K. C., Ee, A. M., Suppiah Nachiappan & Taqiuddin Abd Mukti (2014).
Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Malek Muhamat Said. (2007). Mengurus Khidmat Bimbingan & Kaunseling Sekolah.
Batu Caves: PTS Professional Pendidikan Sdn. Bhd.

Melati Sumari, Ida Harlina Ahmed Tharbe, Norfaezah Md Khalid, Azmawaty


Mohamad Nor. (2014). Teori Kaunseling dan Psikoterapi. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.

Mohamed Sharif Mustaffa, Roslee Ahmad, Sulaiman Shakib Mohd Noor (2003).
Kemahiran Asas Seorang Kaunselor. Seminar Antarabangsa Guru-Guru
Agama Singapura (PERGAS).

Molly Fisher. (May, 2001). Alfred Adler. Dimuat turun pada 20 Ogos 2017 daripada
http://www.muskingum.edu/~psych/psycweb/history/adler.htm

Richard Webster. (2015). Mind Reading Quick and Easy. Petaling Jaya: Advantage
Quest Publications.

Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh & Hapsah Md. Yusof. (2002). Kaunseling
Individu. Petaling Jaya: Prentice Hall.

Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). Psikologi
Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai