Anda di halaman 1dari 8

ABSTRAK

Penulisan ilmiah ini membincangkan berkenaan masalah sosial iaitu rasisme yang berlaku dalam
kalangan pelajar, khususnya remaja. Remaja hari ini adalah tonggak dan harapan generasi akan
datang. Di usia remaja, para pelajar ini seharusnya tekun menelaah pelajaran mereka. Bidang
pendidikan adalah satu pelaburan yang amat berharga buat remaja dan para pelajar ini. Dengan
pendidikan, mereka akan menjadi manusia yang dapat menyumbang kepada negara, dan juga
di dunia dan akhirat. Justeru itu, peranan para guru seharusnya memainkan tanggungjawab
besar dalam pembentukan moral individu dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan supaya pengajaran mereka akan terkesan dalam hati para pelajar. Pengajaran
yang berkesan ini akan menyentuh hati pelajar dan seterusnya menjadi peringatan kepada
mereka dari terjebak dalam gejala sosial.

Kata kunci: Rasisme, Dimensi Moral, Peranan Guru.

PENDAHULUAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Keunikannya dapat diperhatikan daripada
banyak segi. Kepelbagaian penduduk yang sekaligus menganuti pelbagai agama dan
kepercayaan serta mempunyai aneka budaya dan cara hidup merupakan ciri istimewa yang
mendasari keunikan itu. Menurut Ting dan Chua (1989), kepelbagaian etnik dan budaya
merupakan cabaran kepada kerajaan dalam usaha mengintegrasikan rakyatnya. Masalah
perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik akan menjadi semakin kompleks jika anggota
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik tidak mengenali antara satu sama lain kerana
perbezaan ciri asas seperti agama, bahasa, budaya dan ekonomi politik, wilayah dan
pengalaman sejarah. Ciri-ciri perbezaan yang ketidaksamaan ini menjadi penghalang utama
dalam proses pembinaan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan
seterusnya berlaku masalah rasisme. (Rabuskha dan Shepsle, 1973). Bagi pandangan Ahmad
Fawzi (1987), institusi pendidikan merupakan pendekatan yang paling sesuai dan berkesan untuk
menghasilkan integrasi nasional. Polisi pendidikan Kebangsaan dengan jelas menyatakan
integrasi nasional adalah matlamat utama sistem pendidikan kebangsaan. Pengukuhan
perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan rakyat akan dapat dicapai melalui usaha
pembangunan pendidikan negara yang utuh. Perubahan dan pembaharuan dalam bidang
pendidikan negara perlu dilakukan demi memenuhi aspirasi negara maju yang beridentiti
Malaysia. Hal ini menggambarkan bahawa pendidikan ialah satu aspek yang amat penting dalam
pembinaan satu negara bangsa Malaysia bersatu, bersetia, beretika dan beragama,
berkeupayaan dan berketrampilan, memainkan peranan aktif dan produktif dalam masyarakat
negara dan masyarakat antarabangsa. Sebagai seorang siswa guru yang akan menjawat jawatan
sebagai seorang guru suatu hari nanti, pihak guru harus memainkan peranan untuk menerapkan
system kehidupan yang baik dalam menangani masalah moral tersebut melalui penerapan nilai
perpaduan dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc), penggalakan pergaulan
pelbagai kaum dan pemberian contoh teladan.

PERMASALAHAN KAJIAN

Berdasarkan Hishamuddin Rais (2013), rasisme merupakan satu bentuk kepercayaan,


sikap dan amalan yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya.
Pada dasarnya, kepercayaan ini mengandaikan bahawa manusia boleh dibahagikan kepada
kaum yang berbeza dan melaui pembahagian tersebut, nilai dan darjat seseorang boleh
ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya. Tidak dapat dinafikan bahawa isu perkauman ini
merupakan salah satu masalah sosial yang dihadapi di sekolah (Teo Kok Seong, 2015).
Masyarakat sekolah merangkumi murid-murid, guru dan pekerja-pekerja am yang boleh terdiri
daripada individu-individu yang berbilang kaum. Kepelbagaian tersebut tidak seharusnya dilihat
sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk membanding-bezakan antara satu sama lain. Isu
ini jarang dilaporkan dan kurang mendapat perhatian orang ramai. Mansor Mohd Noor (2017)
menyatakan bahawa isu murid dipulaukan dan selalu bersendirian akibat perbezaan kaum
selalunya dipandang remeh berbanding isu buli yang lebih fizikal. Namun, ramai yang tidak sedar
akan kesan-kesan isu tersebut terhadap emosi murid-murid. Seseorang murid yang tidak
mempunyai ramai rakan disebabkan oleh warna kulitnya akan membesar dengan perasaan malu
atau kesal terhadap perbezaan antara dirinya dengan orang lain. Oleh itu, peranan guru amat
penting dalam menghapuskan masalah sosial ini dalam kalangan pelajar.

MAKSUD MORAL

Moral merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia dalam hubungan
sesama manusia, yang nilainya ditentukan oleh masyarakat berdasarkan kepada pemikiran
umum yang tertentu (Abd Rahim, 2001). Dalam Kamus Dewan, moral bermaksud ajaran atau
pegangan berkenaan baik buruk sesuatu perbuatan atau yang berkaitan dengan betul atau salah.
Moral adalah tingkah laku manusia sejajar dengan ajaran, peraturan, adat dan agama yang
ditetapkan oleh masyarakat. Ajaran, peraturan, adat dan agama ini menentukan bagaimana
manusia harus hidup dan bertindak agar menjadi manusia baik. Manusia yang tidak memiliki
moral dikenali sebagai “amoral” yang bermaksud seseorang individu yang telah terpesong atau
lari dari landasan akhlak yang sebenar atau tidak memiliki nilai positif di mata masyarakat lain.

Moral secara ekplisit adalah hal-hal yang berhubungan dengan proses sosialisasi.Tanpa
moral proses sosialisasi tidak akan berlaku. Moral adalah nilai mutlak dalam kehidupan
bermasyarakat secara utuh. Penilaian terhadap moral diukur dari kebudayaan masyarakat
setempat. Oleh itu, pelajar yang mempunyai sikap rasisme menunjukkan mereka tidak bermoral.
Moral adalah produk dari budaya dan agama.

DIMENSI MORAL

Salah satu aspek konsep moral adalah dimensi moral. Seorang insan yang berakhlak
mulia yang sempurna mengamalkan ketiga-tiga dimensi moral, iaitu penaakulan moral, perasaan
moral dan tindakan moral. Berdasarkan Abd Rahim (2001), penaakulan moral bermaksud
seseorang individu yang mempunyai emosi moral seperti empati, simpati, prihatin, belas kasihan,
bermotivasi dan murah hati. Mereka dapat memikirkan sesuatu dilema moral ataupun tindak laku
moral dan membuat pertimbangan berasaskan prinsip moral dan nilai-nilai moral yang diterima
oleh masyarakat setempat. Secara ringkas, penaakulan, perlakuan, dan perasaan seseorang
individu akan membenarkan individu sentiasa berada dalam keadaan yang berjaga-jaga supaya
sesuatu yang dilakukannya adalah mengikut kehendak normatif di mana dia berada.

Individu yang tidak bermoral ini sentiasa tidak sensitif terhadap kesengsaraan mangsanya.
Hal ini kerana mereka sukar untuk memperoleh perasaan moral. Pelajar yang menunjukkan sikap
rasisme membuktikan mereka ini tidak mempunyai nilai bertolak ansur dalam diri mereka.
Perkara ini akan menyebabkan mereka tidak berfikiran rasional dan adil dalam membuat sesuatu
keputusan yang boleh melukakan perasaan pihak lain. Oleh itu, ketiga-tiga dimensi moral ini perlu
saling mempengaruhi antara satu sama lain untuk memupuk modal insan yang bermoral.
Seseorang insan yang bermoral adalah insan yang berautonomi dan rasional dalam penaakulan,
perasaan dan tingkah lakunya.

PERANAN GURU

Penerapan Nilai Murni dalam PdPc

Proses pendidikan yang melibatkan pembelajaran dan pemudahcaraan merupakan satu


proses yang biasanya dilakukan secara formal di dalam bilik darjah serta melibatkan dua pihak
iaitu pengajar dan pelajar. Pendidikan perlu mengambil peranan yang penting dalam membina
nilai-nilai yang positif kepada masyarakat ke arah menuju sebuah negara yang maju dan moden.
Tanpa penerapan elemen nilai-nilai murni ke arah pembangunan insan yang seimbang dari segi
akademik dan akhlak, manusia akan menjadi huru hara.

Dalam konteks sekolah, guru-guru tidak seharusnya hanya menerapkan nilai-nilai moral
dalam matapelajaran seperti Pendidikan Islam dan Pendidkan Moral sahaja. Matapelajaran lain
seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga harus diselitkan dengan pengajaran nilai-nilai
murni untuk mewujudkan Elemen Merentas Kurikulum (EMK). Menurut Wan Marzuki Wan Ismail,
Hafizoah Kassim dan Munira Abdul Razak (2016), EMK ialah unsur nilai tambah yang diterapkan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan.
Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan
yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Oleh itu, guru-
guru harus menitikberatkan nilai perpaduan dalam proses PdPc untuk melahirkan generasi muda
yang bersatu padu dan tidak mengambil kira perbezaan antara satu sama lain dari segi
perkauman.

Dari segi pelaksanaan, P Kamalanathan (2015) menyatakan bahawa guru-guru boleh


menggunakan topik yang berkaitan dengan kepelbagaian kaum dalam proses PdPc menurut
program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Sebagai contoh, guru boleh
mengetengahkan topik tentang kepelbagaian makanan, pakaian tradisional ataupun perayaan di
Malaysia. Murid-murid boleh diberikan tugasan untuk membincangkan manfaat atau kepentingan
perkara tersebut dan cara-cara untuk mengekalkan kewujudannya serta kesan-kesan jika
kepelbagaian itu terjejas pada masa yang akan dating. RIMUP perlu diperkukuhkan dengan
menambah peruntukan agar lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan oleh pihak sekolah supaya
guru-guru dapat menanamkan rasa kesyukuran akan keunikan negara dan seterusnya
menimbulkan rasa tanggungjawab dalam kalangan murid-murid untuk menjaga perpaduan
negara.

Penggalakkan Pergaulan Pelbagai Kaum

Guru juga harus menggalakkan pergaulan antara murid-murid berbilang kaum sama ada
di dalam atau di luar bilik darjah. Pergaulan tersebut boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.
Antaranya ialah kerja kumpulan atau pasangan, perbincangan, bersukan atau aktiviti riadah,
makan bersama-sama pada waktu rehat dan lain-lain. Peluang untuk mengalami interaksi
sebegitu amatlah tinggi di sekolah dan dengan adanya interaksi tersebut, nilai hormat-
menghormati serta toleransi dapat dipupuk dalam kalangan murid-murid.
Berdasarkan pernyataan Mayo Liyya (t.t.), kebanyakan sekolah di negara ini mempunyai
pelajar berbilang kaum, yang menjadi tempat mulanya perkenalan kanak-kanak dan remaja
dengan rakan-rakan dan remaja pelbagai kaum. Sekolah jugalah menjadi tempat di mana mereka
belajar dan mula tahu mengenai adat resam, budaya dan agama rakan-rakan daripada kaum lain.
Tambahan pula, persahabatan terjalin mesra dalam pergaulan mereka tanpa ada rasa
pengasingan atau peminggiran atas dasar kelainan itu. Pengalaman berkawan dengan rakan
daripada kaum lain di alam persekolahan ini membina perspektif unik dalam diri kanak-kanak dan
remaja sehinggalah dewasa apabila mereka mudah menerima serta mesra dalam pergaulan
dengan rakan-rakan dari kaum yang lain.

Menurut Hayati Ibrahim (2016), guru-guru boleh memainkan peranan mereka dengan
memastikan setiap kumpulan terdiri daripada murid-murid berbilang kaum dalam pembahagian
kumpulan untuk aktiviti sukan selaras dengan rancangan program 1Murid 1Sukan. Perkara ini
membuka peluang kepada murid-murid untuk mempelajari sesuatu yang baharu mengenai suku
kaum lain yang secara tidak langsung akan membantu dalam pembentukan pandangan serta
pemahaman yang lebih meluas dan mendalam (Zacchaeus, 2015). Murid-murid juga akan lebih
befikiran terbuka dan menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain. Guru juga harus
menggalakkan pergaulan sedemikian pada waktu lain. Contohnya, semasa waktu rehat, guru
boleh menyuruh murid-murid yang berlainan kaum untuk duduk bersama-sama dan berkongsi
tentang adat atau kepercayaan masing-masing. Hasil daripada perkongsian tersebut dapat
dikongsikan lagi bersama murid-murid yang lain dalam perhimpunan sekolah untuk menunjukkan
manfaat pergaulan mesra pelbagai kaum.

Pemberian Contoh Teladan

Di samping mengajar nilai perpaduan dan menggalakkan pergaulan, guru itu sendiri
haruslah memberikan contoh teladan yang baik kepada murid-murid. Pada peringkat
persekolahan, kebanyakan perkara yang dipelajari oleh murid-murid adalah melalui pengalaman
daripada penglihatan dan pendengaran mereka dalam kehidupan seharian. Oleh itu, amatlah
mudah untuk murid-murid untuk mencontohi perwatakan guru-guru mereka sama ada baik atau
buruk.

Guru-guru yang mempunyai idealisme yang tinggi terhadap pengajaran, pelajar dan
masyarakat akan menampilkan ciri-ciri personal, interpersonal, profesional, intelektual dan
kemahiran dalam pengajaran, pembelajaran dan urusan sehariannya dengan baik. Guru
merupakan model yang sangat penting dalam menyalurkan mesej tentang nilai-nilai moral,
kepercayaan, falsafah dan sikap kepada anak-anak didik mereka. Guru juga merupakan orang
yang penting dalam pembentukan sahsiah seseorang murid kerana mereka menghabiskan
sebahagian besar masa di sekolah sejak umur 7 tahun sehinggalah tamat persekolahan. Jika
seseorang guru mempamerkan sikap menghormati dan bertoleransi terhadap semua kaum,
maka murid-murid akan mencontohi amalan tersebut dalam persahabatan mereka.

Dalam usaha memberikan contoh amalan yang boleh mengeratkan hubungan silaturahim
antara murid-murid berbilang kaum, Program Guru Penyayang telah dilaksanakan di mana salah
satu hasratnya adalah guru-guru harus mengamalkan nilai saling menghormati dalam kalangan
mereka dan juga terhadap pelajar tanpa mengira perbezaan kaum (Khairul Abidin Nuar, 2012).
Guru perlu bersikap adil dan memberi layanan yang sama kepada semua muridnya. Guru mesti
sedar akan peranan penting yang perlu dimainkan dalam beramah mesra dengan kesemua murid
dan bukan hanya dengan segelintir sahaja. Guru juga tidak seharusnya memberi pengecualian
atau bersikap pillih kasih atas faktor perkauman. Guru harus mempunyai tanggapan yang sama
terhadap semua murid-muridnya. Perbuatan ini akan membawa kepada amalan yang serupa
dalam kalangan murid-murid yang secara tidak langsung akan mengelakkan berlakunya
pemilihan kawan berdasarkan perkauman.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, isu rasisme di sekolah sememangnya suatu perkara yang tidak
seharusnya dipandang sebelah mata lagi setelah sekian lama dipertikaikan. Guru-guru harus
lebih berusaha dalam pengendalian isu tersebut. Dengan huraian dan penjelasan yang diberikan
di atas, jelaslah bahawa pihak guru memegang tanggungjawab yang amat penting dalam
menangani masalah rasisme dalam kalangan pelajar di sekolah. Sebagai seorang bakal guru,
saya menyeru kepada semua pihak terutamanya pihak sekolah untuk bekerjasama dalam
mengatasi isu tersebut melalui penerapan nilai perpaduan dalam proses PdPc, penggalakan
pergaulan pelbagai kaum dan pemberian contoh teladan.
Rujukan

Abd Rahim Abd Rashid. (2001). Nilai-nilai murni dalam pendidikan menghadapi perubahan dan
cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Ahmad Fawzi, B. (1987). Isu-Isu Perpaduan Nasional : Cabaran, Pencapaian dan Masa Depan.
Kuala Lumpur: UUM.

Hayati Ibrahim. (2016, Oktober 8). Jalan Ria 1Murid 1Sukan meriah. Harian Metro. Diperoleh
dari https://www.hmetro.com.my/node/172415

Hishamuddin Rais. (2013). Rasisme perkauman dan sejarahnya. Diperoleh dari


https://www.malaysiakini.com/columns/225813

Khairul Abidin Nuar. (2012, Mei 16). 'Budayakan Guru Penyayang'. Utusan Online. Diperoleh
dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120516/dn_09/
Budayakan-Guru-Penyayang

Mansor Mohd Noor. (2017, Julai 4). Tangani ucapan kebencian, tolak perkauman. Berita
Harian. Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/node/298700

Mayo Liyya. (t.t.). Sekolah pembentuk perpaduan. Diperoleh dari


http://www.academia.edu/6870847/sekolah_pembentuk_perpaduan

P Kamalanathan. (2015, Oktober 22). RIMUP satukan murid sekolah berbilang kaum. Berita
Harian. Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/node/90742

Rabashka, A. dan Shepsle , K., A (1972). Politics in Plural Societies : A Theory of Democratic
Instability. Columbus: Ohio Charles E. Mervill Publishing Co.

Teo Kok Seong. (2015, Jun 4). Hindari sekam api perkauman demi keharmonian. Berita Harian.
Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/node/59044

Ting, C. P.dan Chua, Y. Y. (1989). ‘Keberkesanan Dasar Ekonomi Baru dalam Menyusun Semula
Masyarakat dan Mencapai Perpaduan Negara?’, dalam P. Mohd Hanafiah & S. Chamsuri
(Eds.), Rancangan Malaysia Kelima. Bangi: UKM.

Wan Marzuki Wan Ismail, Hafizoah Kassim & Munira Abdul Razak. (2016). Penerapan kreativiti
di dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Jawi: Kajian rintis.
Proceedings of The National Conference for Postgraduate Research, pp.512-518.
Zacchaeus, W. (2015, Mac 27). Sukan pemangkin terbaik perpaduan negara. Utusan Borneo
Online. Diperoleh dari http://www.utusanborneo.com.my/2015/03/27/sukan-pemangkin-
terbaik-perpaduan-negara

Anda mungkin juga menyukai