Anda di halaman 1dari 4

1.

0 Pengenalan

Pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif (PPI) telah termaktub dalam Peraturan-


peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan
murid berkeperluan khas (MBK) menghadiri kelas yang sama dengan murid lain di sekolah
kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan. Matlamat PPI adalah untuk meningkatkan
penyertaan dan memberi peluang kepada MBK mengikuti program akademik dan bukan
akademik bersama-sama murid di arus perdana. PPI juga memberi kesedaran kepada
masyarakat supaya tidak menafikan potensi MBK dan percaya bahawa ketidakupayaan
mereka boleh diminimakan jika diberi peluang yang sama. Di samping itu, objektif PPI
adalah memastikan MBK mendapat hak yang sama rata untuk belajar dalam persekitaran
tanpa halangan, membina keyakinan diri MBK bagi mencapai potensi yang optimum,
memastikan MBK dapat menyesuaikan diri dengan murid arus perdana bagi meningkatkan
kemahiran kehidupan harian mereka dan meningkatkan kesedaran dan penerimaan warga
sekolah serta komuniti tentang kepelbagaian keupayaan MBK. Pelaksanaan program
inklusif banyak memberi kebaikan kepada MBK malah mampu bersaing dengan rakan
sebaya normal yang lain (Cheong, Keok Lee, 2018).

2.0 Tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menjayakan PPI

2.1 Ibu bapa perlu menyokong Program Pendidikan Inklusif

Pengaruh ibu bapa amat penting untuk membantu pihak sekolah menjayakan
pelaksanaan program pendidikan inklusif (Leyser& kirk, 2011). Peranan ibu bapa dalam
menjayakan PPI ialah sebagai seorang penyokong dengan menghantar anak berkeperluan
khas ke PPI. Sebagai seorang penyokong yang baik, ibu bapa perlu bekerjasama dengan
pihak sekolah. Ibu bapa perlu melibatkan diri secara aktif dalam program yang diadakan
oleh pihak sekolah seperti hari sukan. Melalui hari sukan, ibu bapa boleh memerhati dan
memahami prestasi MBK. Selain itu, ibu bapa juga boleh menyertai kempen tentang MBK
yang diadakan di dalam sekolah. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang
kepentingan dan manfaat amalan dan budaya inklusif. Ibu bapa juga perlu sentiasa
berinteraksi dengan guru supaya lebih memahami kurikulum dan mengetahui tahap
perkembangan anak mereka. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap
pihak sekolah dan program Pendidikan inklusif. Keyakinan yang dipupuk oleh ibu bapa ialah
percaya kemahiran guru kelas biasa dapat mengendalikan keperluan khas bagi MBK dan
masih dapat menumpuhkan perhatian kepada murid normal. Tegasnya, sokongan ibu bapa
terhadap pelaksanaan pendidikan inklusif dan kesediaan melibatkan diri dalam program
yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat memperkukuhkan struktur dan amalan sekolah ke
arah mewujudkan budaya sekolah yang inklusif.
2.2 Ibu bapa perlu menjadi pembimbing kepada anak mereka

Peranan ibu bapa yang menyumbang ke arah kejayaan PPI ialah menjadi seorang
pembimbing yang baik untuk memenuhi keperluan MBK. Ibu bapa perlu berusaha
mendapatkan maklumat dan kemahiran khusus untuk melengkapkan diri mereka supaya
dapat membimbing MBK berdikari dan menyesuaikan diri dalam PPI. Sebagai contoh, ibu
bapa perlu menentukkan terlebih dahulu jenis masalah yang dihadapi oleh anak mereka
seperti hiperaktif lalu memahami secara mendalam tentang cara membantu anak hiperaktif
menyesuaikan diri dalam kehidupan harian. Hal ini dapat membantu proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan lancar dalam PPI. Selain itu, ibu bapa boleh memberi motivasi
kepada murid berkeperluan khas jika mendapati emosi mereka tidak stabil. Ibu bapa perlu
peka akan perasaan anak mereka dengan memahami perkara yang dihadapi oleh MBK di
sekolah kerana MBK mungkin didiskriminasikan dan dibuli oleh rakan mereka. Oleh itu, ibu
bapa perlu mencari jalan penyelesaian dan membimbing MBK mengurus emosi mereka.
Oleh kerana tahap kognitif MBK tidak sama dengan murid normal, pengetahuan yang
diperolehi oleh MBK tidak seperti dengan murid normal (Jamila, 2005). Jadi, ibu bapa perlu
membantu MBK mengulangkaji pelajaran di rumah. Hal ini dapat membantu MBK
memahami pelajaran yang diajar oleh guru. Tidak hanya sedemikian, ibu bapa perlu
menyediakan satu ruang yang sihat kepada MBK mengulangkaji pelajaran supaya mereka
tidak berasa tekanan. Tegasnya, MBK memerlukan bimbingan daripada ibu bapa supaya
mempunyai emosi yang baik, menyesuaikan diri dalam PPI dan dapat mengikut silibus PPI.

3.0 Isu dan cabaran yang sering dihadapi oleh murid sewaktu program PPI

3.1 Isu pemahaman yang terhad tentang murid berkeperluan khas (MBK)

Murid-murid normal biasanya mempunyai tahap pemahaman yang terhad tentang


masalah pembelajaran dan keadaan sebenar murid-murid yang berkeperluan khas
(Norliah& Hanafi, 2016). Murid-murid berkeperluan khas mempunyai ciri-ciri seperti
keterencatan fizikal, tahap kebolehan bertutur atau kognitif yang rendah, pendengaran atau
pergerakan yang terhad dan lain-lain. Murid-murid normal tidak dapat memahami keunikan
murid berkeperluan khas (MBK) iaitu mempunyai emosi yang sensitif dan mempunyai
masalah fizikal dan mental sekiranya tidak didedahkan pengetahuan tentang MBK sejak
kecil lagi. Kekurangan maklumat tentang MBK akan menyebabkan persepsi negatif dan
penerimaan murid-murid normal terhadap MBK. Lama kelamaan tahap integrasi sosial
antara murid-murid normal dan MBK menjadi kurang walaupun belajar bersama di satu
kelas yang sama. Keadaan ini akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran
terganggu terutamanya aktiviti berkumpulan atau berpasangan. Murid-murid normal akan
berasa tidak selesa dan enggan berkumpulan dengan MBK kerana ketidaksamaan antara
mereka. Selain itu, kes buli juga akan diwujudkan dalam kelas (Murnie Bte Hassan, 2013).
Murid-murid normal kemungkinan mengusik MBK untuk menyeronokan sendiri jika mereka
tiada kefahaman tentang cara menjalinkan hubungan dengan MBK. Hal ini menyebabkan
murid berkeperluan khas berasa terpinggir dan rendah diri. Tegasnya, tahap kefahaman
tentang MBK yang terhad bagi murid normal akan menyebabkan program pendidikan
inklusif tidak dapat dijalankan secara berkesan.

4.0 Penutup

Kesimpulannya, PPI merupakan satu peluang yang disediakan bagi MBK belajar
dalam kelas arus perdana. Akan tetapi, terdapat lagi isu dan cabaran yang melingkari
sepanjang pelaksanaan PPI. Untuk menjayakan program pendidikan inklusif, peranan ibu
bapa iaitu sebagai seorang penyokong dan pembimbing adalah penting kerana mereka
dapat menggalakkan penglibatan murid secara berkesan dalam suasana inklusif. Selain
daripada ibu bapa, sokongan dan kerjasama semua pihak amat diperlukan agar
keberkesanan program dapat dicapai. Hal ini amat penting kerana melalui kejayaan PPI,
MBK dapat berinteraksi dengan semua murid normal dan mengambil bahagian dalam
aktiviti-aktiviti masyarakat setempat. Dengan ini, MBK boleh menjadi seorang yang berdikari
dan berguna kepada negara supaya menjadi modal insan yang gemilang pada masa depan.
Rujukan

Abidah binti Abd. Rahman. (2014). Penglibatan Ibu Bapa Dalam Pelaksanaan Rancangan
Pendidikan Individu Murid Berkeperluan Khas. Universiti Pendidikan Sultan Idris:
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.

Cheong, Keok Lee (2018). Pendidikan Inklusif. Siri Pendidikan Guru. Oxford Fajar

Jamila K. A Mohamad. (2005). Pendidikan Khas Untuk Kanak-kanak Istimewa. Kuala


Lumpur. PTS Publiction & Distributions Sdn. Bhd.

Leyser, Y., & Kirk, R. (2011). Parents’ perspectives on inclusion and schooling of students
with angelman syndrome: suggestions for educators. International Journal of Special
Education, 26(2), 1-14.

Murnie Bte Hassan. (2013). Pelaksanaan Program Inklusif bagi Pelajar Pendidikan
Bermasalah Pembelajaran di Program Integrasi. Fakulti Pendidikan, Universiti
Teknologi Malaysia.

Norliah Mohd Amin & Mohd Hanafi Mohd Yasin (2016). Pelaksanaan program pendidikan
inklusif murid berkeperluan khas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. A
paper presented at the International Conference on Special Education in Southeast
Asia Region 6th Series 2016. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Norliah Mohd. Amin & Mohd Hanafi Mohd Yasin. (2016). Pelaksanaan Program Pendidikan
Inklusif Murid Berkeperluan Khas. Seminar Antarabangsa Pendidikan Khas Rantau
Asia Tenggara Siri Ke-6, 29-35.

Siti Rahaimah. (2017). Program Pendidikan Inklusif. Retrieved from


https://www.scribd.com/document/356194403/PROGRAM-PENDIDIKAN-INKLUSIF-
pdf