Anda di halaman 1dari 6

1/23/2018 10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus | The Patriots

10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus


By Moustapha Abbas January 21, 2018 0 842 views

Sejak dari bangku sekolah, kita sentiasa diingatkan bahawa Christopher Columbus merupakan orang
pertama yang menemui benua Amerika atau lebih tepat Dunia Baru walaupun pada awalnya
menyangka sudah berada di benua Asia. 12 Oktober 1492 menjadi saksi kepada ketibaan beliau di
Kepulauan Bahamas dan menandakan kepulauan tersebut sebagai wilayah yang dikuasai Raja
Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Baik atau buruk, ia mengubah lembaran sejarah yang diketahui
pada ketika itu. Di sebalik jasanya itu, terdapat beberapa anekdot menarik berkenaan peneroka ini.

1. BUKAN BERLAYAR UNTUK BUKTIKAN BUMI ITU BULAT

Semasa memulakan pelayaran ke sebelah Barat, Columbus melakukannya bukan untuk buktikan
bahawa bumi itu bulat. Beliau tidak perlu lakukannya kerana cendekiawan-cendekiawan Yunani sudah
membuktikan teori mengarut geng bumi rata (FE) sejak abad keenam Sebelum Masihi (BC).
Berdasarkan pemerhatian dan pengiraan mereka berkenaan kedudukan matahari terbit dan terbenam,
bayang-bayang dan aspek fizikal bumi itu sendiri, mereka menyimpulkan bahawa bumi itu bukan saja
bulat tetapi juga berbentuk sfera. Dan kajian mereka ini diteruskan dan diwarisi oleh generasi-generasi
seterusnya termasuklah ilmuan-ilmuan Islam dan cendekiawan-cendekiawan Eropah yang berkongsi

https://www.thepatriots.asia/10-fakta-menarik-mengenai-christopher-columbus/ 1/6
1/23/2018 10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus | The Patriots

kesimpulan sama. Maka amat mustahil dan tidak mungkin bagi Sepanyol dan Columbus untuk tidak
mengetahui fakta ini.

Cerita sebenar di sebalik pelayaran ini ialah Columbus mahu membuktikan ada laluan dari sebelah
Barat untuk sampai ke benua Asia. Keyakinan ini disokong berdasarkan dakwaan beliau bahawa
lilitan bumi ini kecil dan ia boleh dieksploitasi untuk sampai ke Asia dari sebelah situ. Columbus cuba
melobi ekspedisi ini pada tiga negara iaitu England, Portugal dan Perancis tetapi gagal berikutan
kebimbangan mereka berkenaan jarak dan kos ekspedisi. Raja Ferdinand juga hampir-hampir
menarik diri dari projek ini sebelum akhirnya memberi lampu hijau kepada ekspedisi Columbus.

Tetapi bagaimana mitos ini boleh tersebar? Jawapannya terletak kepada penulis kisah Sleepy Hollow,
Washington Irving. Pada awal abad ke-19, Irving dijemput oleh perwakilan Amerika Syarikat ke
Sepanyol, Alexander Hill Everett untuk menginap di kediamannya di Madrid. Semasa melawat bandar
tersebut, beliau mendapati banyak rekod yang mencatatkan tentang kehidupan Columbus dan mahu
menulis biografi berkenaan pelayar hebat ini. Tetapi sebagai seorang penulis, Irving tidak dapat
menahan dirinya dari menambah elemen fiksyen pada kisah hidup Columbus iaitu ahli-ahli geografi
Sepanyol memperlekeh idea Columbus bahawa bumi itu bulat. Akhirnya yang diperbodohkan ialah
pembaca-pembaca karya Irving dan buku biografi tersebut mendapat sambutan hangat dalam
kalangan pembaca. Bila itu berlaku, anekdot fiksyen Irving ini dianggap sebagai fakta yang masih
kekal sehingga ke hari ini.

Figure 1: Irving
bertanggungjawab
menyebarkan mitos Columbus
berlayar atas sebab buktikan
bumi itu bulat.

2. BUKAN ORANG PERTAMA SEBERANG LAUTAN ATLANTIK

https://www.thepatriots.asia/10-fakta-menarik-mengenai-christopher-columbus/ 2/6
1/23/2018 10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus | The Patriots

Jika Columbus menyangka beliau orang Eropah pertama berjaya menyeberangi Lautan Atlantik,
anggapan beliau salah. Ini kerana rekod tersebut dipegang oleh pemimpin Viking, Leif Eriksson
dipercayai berjaya mendarat di Newfoundland pada 1000 Masihi, 400 tahun sebelum beliau berjaya
mendarat di benua Amerika. Belum dicampur lagi dengan fakta bahawa sudah banyak tamadun yang
dikatakan berjaya menjejakkan kaki ke benua Amerika atau sekurang-kurangnya tahu kewujudan
benua tersebut. Bilang saja siapa yang dikatakan pernah sampai ke situ dari bangsa Phoenician dan
tamadun China sampailah orang-orang Celtic dan Saint Brendan dari Ireland. Malah dikatakan orang-
orang dari sebelah Afrika Barat juga pernah mendarat di benua Amerika dan berinteraksi dengan
orang asli Amerika. Ironinya, hari ini Amerika Syarikat mengiktiraf dan meraikan satu hari sebagai Hari
Columbus dengan meriah walaupun beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke situ sedangkan Hari Leif
Eriksson yang diraikan pada 9 Oktober dipandang sepi.

3. ‘BETA TAK BAGI BERSEBAB’

Sedekad sebelum ekspedisi tersebut dilancarkan, Columbus cuba melobi sokongan raja-raja Eropah
untuk membiayai ekspedisinya. Pada Columbus, ekspedisi ini boleh membuka jalan kepada
penerokaan benua Asia dari sebelah Barat. Namun seperti dijangka, raja-raja England, Perancis dan
Portugal enggan melayan permintaan mereka. Alasannya ialah perkiraan Columbus tersebut salah
dan pelayarannya mungkin mengambil masa lebih lama dari tempoh yang dijangkanya. Penasihat-
penasihat Raja Ferdinand turut membangkitkan perkara sama apabila Columbus cuba melobi
ekspedisinya kepada baginda. Dan apa yang diperkatakan pengkritik-pengkritik beliau ada benarnya.
Beliau lupa mengira ukuran sebenar lilitan bumi dan keluasan saiz lautan. Tetapi Columbus bernasib
baik, pelayarannya itu membawanya ke Dunia Baru.

Figure 2: Raja Ferdinand sendiri


ragu-ragu dengan projek
Columbus sebelum diyakinkan
oleh Ratu Isabella untuk
menunaikan permintaan beliau.

https://www.thepatriots.asia/10-fakta-menarik-mengenai-christopher-columbus/ 3/6
1/23/2018 10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus | The Patriots

4. NINA DAN PINTA BUKAN NAMA SEBENAR BAGI DUA DARIPADA TIGA KAPAL COLUMBUS

Pada abad ke-15 Sepanyol, kapal-kapal biasanya dinamakan sempena nama wali atau orang suci
yang berjasa kepada agama Kristian. Tetapi bagi pelayar-pelayar, mereka ada nama-nama kurang
enak untuk kapal mereka. Contohnya, salah satu kapal yang digunakan Columbus semasa berlayar
ke Dunia Baru iaitu Pinta yang diterjemahkan sebagai pelacur dalam Bahasa Sepanyol. Santa Clara
diberi gelaran Nina sebagai tanda penghormatan kepada pemilik kapal tersebut, Juan Nino.
Sementara Santa Maria pula walaupun dipanggil dengan nama rasminya, ia diberi gelaran La Gallega
sempena nama wilayah Galicia di mana ia dibina.

5. SANTA MARIA KARAM SEMASA PELAYARAN BERSEJARAH COLUMBUS

Pada 24 Disember 1492, salah seorang daripada anak kapal Santa Maria melanggar kawasan batu
karang di utara perairan Hispaniola, berhampiran Cap Haitien, Haiti. Akibatnya, ini memaksa anak-
anak kapal Columbus menyelamatkan saki-baki muatan Santa Maria semasa Krismas 1492. Dan ini
juga memaksa Columbus kembali semula berlayar ke Sepanyol dengan Nina. Sepeninggalannya, 40
orang anak kapal yang ditinggalkan di situ membina petempatan Eropah pertama di benua Amerika
iaitu La Navidad. Tetapi kisah La Navidad berakhir dengan tragis kerana apabila Columbus kembali ke
situ pada musim luruh 1493, semua 40 anak kapal di situ sudah mati.

6. KEKEJAMAN DAN SALAH URUS TADBIR

Walaupun dikenali sebagai seorang pelayar dan peneroka hebat. Columbus turut dikenali kerana
bersikap zalim terhadap penduduk tempatan dan peneroka-peneroka Sepanyol di Hispaniola.
Penduduk tempatan yang gagal mengutip sejumlah besar emas akan dipotong tangan. Sekiranya ada

https://www.thepatriots.asia/10-fakta-menarik-mengenai-christopher-columbus/ 4/6
1/23/2018 10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus | The Patriots

peneroka Sepanyol mahu memberontak dan menggugat pemerintahannya sebagai gabenor, siap
sedialah berhadapan hukuman gantung sampai mati. Berang dengan tindakannya ditambah dengan
dakwaan berlakunya salah laku pentadbiran, peneroka-peneroka ini mengadukan hal mereka kepada
Raja Ferdinand. Akibatnya, sebuah suruhanjaya diraja tiba di Hispaniola dan membawa pulang
Columbus dalam keadaan dirinya dirantai pada Ogos 1500. Walaupun baginda memecat Columbus
dari jawatannya sebagai Gabenor Hispaniola, beliau bernasib baik kerana Raja Ferdinand
membebaskannya dan sedia membiayai ekspedisi keempat yang dirancangnya.

7. GERHANA BULAN

Empat tahun selepas insiden beliau ditahan dan dirantai, Columbus kembali semula berlayar dan
pada Februari 1504, kapalnya terkandas di Jamaica. Tambah memburukkan keadaan, separuh
daripada anak kapal meninggalkannya dan penduduk tempatan enggan memberi makanan kepada
mereka. Tetapi hasil daripada pengetahuannya dalam bidang astronomi, Columbus tahu gerhana
bulan akan berlaku pada 29 Februari 1504. Atas sebab itu, Columbus mengancam sekiranya mereka
berterusan dengan pendirian mereka ini, Tuhan beliau akan murka berkenaan tindakan mereka ini
dan bulan akan muncul dalam keadaan marah sebagai tanda kemurkaan-Nya. Dan seperti dijangka,
gerhana bulan berlaku yang menggelapkan bulan dan menukarnya jadi merah. Bimbang akan
keselamatan mereka, penduduk tempatan yang ketakutan segera memberi bekalan makanan kepada
beliau dan krewnya serta merayu belas kasihan Tuhannya kepada mereka.

8. BERLAYAR PADA MASA HIDUP DAN MATI

Dua tahun selepas ekspedisi terakhirnya, Columbus mati dan dikebumikan di Valladolid, Sepanyol
pada 1506 sebelum dipindahkan ke Seville. Atas permintaan menantu perempuannya, mayat
Columbus dan anaknya, Diego dibawa menyeberangi Lautan Atlantik menuju ke Hispaniola dan
dikebumikan di Gereja Santo Domingo. Selepas Perancis menawan Hispaniola pada 1795, pihak
Sepanyol yang berundur segera membawa lari mayat Columbus dan mengebumikannya di Cuba
sebelum dibawa pulang ke Seville selepas Perang Sepanyol-Amerika Syarikat pada 1898. Namun ada
satu kejutan menanti di Santo Domingo iaitu sebuah keranda mengandungi mayat dan nama pelayar
tersebut ditemui pada tahun 1877. Jadi, mana satu sebenarnya mayat Columbus? Ujian DNA yang
dijalankan pada 2006 mengesahkan mayat yang dikebumikan di Seville memang milik Columbus.
Namun bila para saintis mahu menguji DNA mayat yang dikebumikan di Hispaniola atau Republik
Dominica, permintaan tersebut ditolak. Ramai berpandangan sebahagian jasad Columbus berada di
Dunia Lama dan Dunia Baru.

9. PERTELAGAHAN DUIT

https://www.thepatriots.asia/10-fakta-menarik-mengenai-christopher-columbus/ 5/6
1/23/2018 10 Fakta Menarik Mengenai Christopher Columbus | The Patriots

Selepas kematian Columbus, waris-waris beliau melancarkan tindakan perundangan ke atas monarki
Sepanyol dengan mendakwa monarki tidak memberi mereka wang dan keuntungan sepatutnya yang
diraih hasil daripada ekspedisinya. Kebanyakan tuntutan ini dapat diselesaikan menjelang tahun 1536.
Tetapi ada tuntutan mengambil masa beratus tahun untuk diselesaikan dan melibatkan beberapa
generasi di mana ianya akhirnya berakhir pada ulangtahun ke-300 pelayaran Columbus ke Dunia
Baru iaitu pada tahun 1790.

10. ‘NAMAKU BANYAK’

Walaupun dikenali sebagai seorang pelayar dan pengembara, masih banyak misteri menyelubungi
kehidupannya. Kebanyakan sejarawan bersetuju Columbus dilahirkan di Genoa, Itali tetapi ada juga
berpandangan beliau berasal dari Sepanyol, Poland atau Greece. Namanya dalam Bahasa Itali ialah
Cristoforo Colombo yang diketahui sebagai nama sebenarnya dan dalam Bahasa Sepanyol sebagai
Cristobal Colon. Tetapi Columbus dan beberapa pihak merujuk dirinya sebagai Christoual,
Christovam, Christoferrus de Colombo dan Xpoual de Colon. Sesetengah berspekulasi nama beliau
ini diambil dari nama seorang lanun bernama Colombo.

SUMBER

1. Klein, Christopher. (2012). History. 10 Things You May Not Know About Christopher
Columbus. http://www.history.com/news/10-things-you-may-not-know-about-christopher-columbus
2. Blakemore, Erin. (2017). History. Christopher Columbus Never Set Out to Prove the Earth was
Round. http://www.history.com/news/christopher-columbus-never-set-out-to-prove-the-earth-was-
round
3. Eldridge, Alison. Britannica. 5 Unbelievable Facts About Christopher
Columbus. https://www.britannica.com/list/5-unbelievable-facts-about-christopher-columbus

https://www.thepatriots.asia/10-fakta-menarik-mengenai-christopher-columbus/ 6/6

Anda mungkin juga menyukai