Anda di halaman 1dari 7

1.

0 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat (2005), kerjaya ditakrifkan sebagai
perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan. Setiap
individu di muka bumi ini akan melalui fasa-fasa kerjaya dalam kehidupannya. Manakala
menurut Sidek Mohd Noah (2002), pendidikan kerjaya didefinisikan sebagai program
pendidikan yang tuntas bagi membantu individu dalam skop kerjaya. Maka, pendidikan
kerjaya merupakan suatu perkhidmatan bimbingan kaunseling yang tidak seharusnya
dipandang mudah oleh mana-mana pihak khususnya bagi guru Bimbingan dan
Kaunseling. Hal ini adalah kerana, pendidikan kerjaya sangat membantu individu dalam
menentukan hala tuju kehidupan dalam mencapai cita-cita selaras dengan minat dan
personaliti diri. Maka, teori-teori perkembangan kerjaya sangat diperlukan dalam
pendidikan kerjaya kerana teori tersebut sangat membantu dalam memilih kerjaya
dengan tepat.

2.0 Faktor-faktor yang mempengaruhi dalam pemilihan kerjaya sebagai guru

2.1 Personaliti diri

Antara faktor yang mempengaruhi saya dalam memilih kerjaya sebagai guru ialah saya
mendapati bahawa personaliti diri saya agak sesuai dalam kerjaya sebagai seorang
guru. Saya telah menjawab Inventori Minat Kerjaya Holland yang diperkenalkan oleh
John. L. Holland dan telah dialih bahasa oleh Sidek Mohd Noah sebelum saya
memasuki ke dalam profesion perguruan. Analisis inventori tersebut memaparkan
bahawa saya memperoleh kod 3 huruf SEA yang mewakili kepada social, enterprising
dan juga artistic. Menurut Holland (1985), kod sosial merupakan kod yang terbaik bagi
pemilihan kerjaya sebagai seorang guru atau pendidik. Hal ini adalah kerana menurut
Roslinda Mohd Subbian (2014), personaliti bagi individu yang memiliki kod sosial
sebagai kod tertinggi merupakan individu yang senang bekerja dengan manusia dalam
mendidik atau mengajar tentang sesuatu perkara. Maka, saya telah memilih kerjaya

1
sebagai seorang guru dengan berlandaskan personaliti yang dimiliki oleh diri saya. Hal
ini adalah kerana menurut Bretz & Judge (1994), personaliti individu di dalam sesebuah
pekerjaan sangat mempengaruhi keberkesanan dalam sesuatu kerjaya.

Selain itu, saya juga telah menjawab inventori Big Five yang menekankan 5
aspek utama iaitu Ekstrovert, Sikap Menyetujui , Kesungguhan, Kestabilan Emosi dan
Terbuka kepada Pengalaman. Maka, hasil analisis yang diperoleh daripada inventori Big
Five mendapati bahawa kerjaya sebagai seorang guru merupakan pilihan yang tepat
dan bersesuaian dengan personaliti yang dimiliki oleh diri saya. Maka, personaliti yang
dimiliki telah mendorong minat saya untuk terus berkembang dan akhirnya memilih
profesion perguruan sebagai kerjaya saya pada masa hadapan. Hal ini selari dengan
pernyataan Noraizah Damiri dan Azizi Yahaya (2004) bahawa pendekatan psikologikal
dalam teori perkembangan kerjaya berfungsi bagi melihat perkembangan kerjaya
seseorang individu itu bergantung kepada keselarasan struktur personaliti dengan
kerjaya yang dipilih.

Berdasarkan Teori Kecerdasan Pelbagai yang telah dipelopori oleh Howard


Gardner, saya telah mendapati bahawa kecerdasan intrapersonal dan interpersonal
saya di tahap yang tinggi, maka saya berpendapat bahawa kerjaya sebagai seorang
guru sangat menepati dengan personaliti dan kecerdasan yang dimiliki oleh diri saya.
Menurut Kokkonen, L. & Almonkari, M. (2015), seorang guru yang kompeten perlu
memiliki kecerdasan interpersonal dan intrapersonal yang cemerlang bagi menjalani
cabaran dalam bidang pendidikan kini. Guru dikehendaki untuk memiliki kecerdasan
interpersonal kerana bidang tugas guru tidak akan pernah lari daripada melakukan
interaksi dengan individu sekeliling seperti murid-murid, rakan sejawat, majikan dan
terutama sekali ibu bapa. Manakala bagi kecerdasan intrapersonal sangat diperlukan
dalam kerjaya sebagai guru untuk memahami diri sendiri agar peningkatan prestasi dan
pencapaian dalam kehidupan seharian dapat dilakukan. Jelaslah, personaliti merupakan
salah satu faktor yang mempengaruhi saya memilih kerjaya sebagai seorang guru.

2
2.2 Dorongan ibu bapa dan individu signifikan

Antara faktor utama saya memilih guru sebagai kerjaya utama adalah kerana dorongan
ibu bapa dan individu signifikan di dalam hidup saya. Memandangkan ibu saya
merupakan seorang guru, maka beliau mengharapkan saya untuk menjadi pewaris
keluarga dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat sekeliling
khususnya kepada murid-murid di sekolah. Hal ini adalah kerana ibu dan ayah saya
sering memberi sokongan kepada saya agar saya menceburi profesion perguruan
semenjak sekolah menengah lagi kerana ibu dan ayah saya melihat saya sebagai
seorang individu yang sentiasa ingin membantu individu sekeliling untuk memahami isi
pelajaran dalam setiap subjek dengan mendalam. Perkara ini selari dengan Teori
Pembelajaran Sosial Krumboltz di dalam Sidek Mohd Noah (2002) yang menyatakan
bahawa faktor pemilihan kerjaya berlandaskan peristiwa persekitaran dan pengalaman
pembelajaran dan kognitif.

Memandangkan ibu saya merupakan seorang guru, maka pendedahan terhadap


profesion perguruan sudah berlaku di dalam diri saya semenjak kecil lagi. Individu
signifikan seperti guru sekolah menengah saya juga menjadi salah satu faktor pemilihan
kerjaya saya sebagai guru. Hal ini adalah kerana, beliau sering menjalankan inventori
kerjaya seperti Inventori Minat Kerjaya Holland, Inventori Personaliti Warna ke atas diri
saya bagi membolehkan saya mengenali potensi dan personaliti diri saya dengan lebih
mendalam. Individu signifikan itu juga sering menggalakkan saya untuk memilih kerjaya
yang dekat dengan jiwa saya agar tekanan yang akan dimiliki dalam profesion tersebut
dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

3
3.0 Kepentingan pendidikan kerjaya

3.1 Mewujudkan konsep kendiri yang positif

Antara kepentingan pendidikan kerjaya ialah ia mampu mewujudkan konsep kendiri


yang positif. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat (2005), kendiri ditakrifkan
sebagai sendiri, kekendirian keadaan atau sifat kendiri. Kendiri juga didefinisikan
sebagai nilai, kepercayaan, sikap yang kita percayai tentang diri kita sendiri (Zaiton
Mohamad, 2013). Maka, kendiri boleh disimpulkan sebagai kepercayaan atau sifat yang
dimiliki oleh seseorang terhadap dirinya dalam menjalani kehidupan seharian.
Pendidikan kerjaya merupakan salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh guru
Bimbingan dan Kaunseling bagi mewujudkan konsep kendiri yang positif dalam diri
murid-murid di sekolah. Hal ini adalah kerana, murid-murid di sekolah masih lagi
memiliki kekeliruan berkenaan dengan hala tuju kehidupan mereka terutamanya dalam
konteks personaliti diri yang sesuai dengan kerjaya dan cita-cita. Antara aspek yang
diambil kira dalam konsep kendiri seseorang individu ialah keyakinan diri, kebolehan
seseorang individu itu dalam menyelesaikan konflik dan isu yang dimiliki dan penilaian
diri individu tersebut terhadap dirinya. Secara tidak langsung, pendidikan kerjaya yang
dilaksanakan akan meningkatkan motivasi seseorang individu dalam mencapai kerjaya
yang diimpikan. (Siti Amely Jumaat, et. al., 2008). Pendidikan kerjaya yang dijalankan ke
atas murid-murid akan melahirkan konsep kendiri yang positif apabila murid-murid mula
menilai dirinya dengan positif dan sentiasa mengambil peluang untuk memperbaiki
segala kekurangan diri yang dimiliki.

3.2 Memberi kesedaran tentang dunia pekerjaan

Kepentingan pendidikan kerjaya yang seterusnya ialah ia mampu memberi kesedaran


tentang dunia pekerjaan dalam kalangan murid-murid dan pihak sekolah. Meskipun
pendidikan kerjaya ini lebih memfokuskan ke arah perkembangan murid-murid, akan
tetapi ia juga mampu meningkatkan pengetahuan para guru dan murid-murid tentang

4
dunia pekerjaan yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Dengan adanya
pendidikan kerjaya, murid tersebut dapat mengetahui tentang dunia pekerjaan yang
hendak diceburi dengan lebih mendalam dan spesifik. Hal ini akan membantu murid
tersebut dalam menyesuaikan personaliti dirinya dengan persekitaran kerjaya yang
hendak diceburi. Tanpa ada keselarasan personaliti dengan persekitaran kerjaya,
seseorang individu akan mengalami beberapa implikasi negatif dan masalah semasa
memasuki bidang kerjaya tersebut sekiranya individu tersebut tidak berjaya
menyesuaikan diri dengan kerjaya tersebut. Menurut Sidek Mohd Noah (2002),
pendidikan kerjaya sangat penting dalam menyediakan ilmu pengetahuan kepada
seseorang individu sebelum individu tersebut meninggalkan alam persekolahan dan
memasuki ke alam pekerjaan. Hal ini adalah kerana keperluan sesebuah kerjaya itu
sentiasa berubah berdasarkan keperluan sesuatu zaman.

4.0 Cabaran dalam pendidikan kerjaya

4.1 Penguasaan teknologi yang lemah

Penguasaan teknologi yang diaplikasikan dalam pendidikan kerjaya di Malaysia dalam


kalangan guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah boleh dikategorikan sebagai agak
lemah. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan teknologi
dalam kalangan guru Bimbingan dan Kaunseling seperti pengetahuan dan kemahiran
teknologi dalam pendidikan yang kurang, minat yang tidak mendalam terhadap
teknologi, tiada kemudahan dan kebolehcapaian teknologi di sekolah dan kurang
keberkesanan kendiri terhadap penggunaan teknologi. Hal tersebut sedikit sebanyak
memberi kesan dalam aspek pendidikan kerjaya kerana era ini sangat menekankan
penggunaan pelbagai media dan teknologi dalam menyampaikan sebarang maklumat
tentang pendidikan kerjaya memandangkan pelajar-pelajar di sekolah juga merupakan
golongan muda yang celik akan teknologi maklumat.

5
Menurut Falsafah Teknologi Pendidikan Malaysia (2000), penggunaan pelbagai
media dan teknologi pendidikan secara terancang boleh mengukuhkan proses
penyampaian ilmu di sekolah-sekolah serta memberi peluang kepada setiap pelajar
untuk menguasai ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik dan berkesan
sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1966) untuk mengembangkan potensi
setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu. Maka, jelaslah bahawa keperluan
ilmu dan pengetahuan bagi para guru Bimbingan dan Kaunseling mengenai teknologi
maklumat sangat dititikberatkan dalam pendidikan kerjaya. Pernyataan ini selari dengan
kajian Yahya Othman dan Roselan Baki (2013) : Penguasaan guru yang terbaik dalam
aplikasi komputer yang hanya terhad kepada Microsoft Word, Microsoft Powerpoint dan
Microsoft Excel.

Jadual 1 : Tahap penguasaan penggunaan komputer

Kajian yang dilaksanakan mempamerkan bahawa penguasaan guru-guru di


Malaysia terhadap teknologi maklumat dan komunikasi masih di tahap yang tidak
memuaskan. Para guru hendaklah memiliki minat dan pengetahuan yang mendalam
dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi bagi melahirkan murid-murid yang
menguasai semua bidang khususnya bidang teknologi maklumat & komunikasi bagi
memudahkan sesi pembelajaran dan pengajaran. Menurut Craft (2002) dalam Syed
Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2013) menyarankan seseorang
pendidik yang profesional perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini. Manakala
Mok Soon Sang (2007) menegaskan guru Bimbingan dan Kaunseling hendaklah
melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk
memperoleh maklumat tentang perkembangan pendidikan kerjaya. Kesimpulannya,
para guru Bimbingan dan Kaunseling hendaklah berusaha bagi menjadi guru yang

6
kompeten dalam bidang teknologi maklumat & komunikasi agar kualiti sistem Bimbingan
dan Kaunseling dalam aspek pendidikan kerjaya di negara kita dapat ditingkatkan.

5.0 Penutup

Konklusinya, pendidikan kerjaya merupakan salah satu persediaan yang sangat


diperlukan bagi seseorang individu sebelum memasuki alam pekerjaan agar produktiviti
dalam prestasi kerjaya dapat dicapai pada tahap yang cemerlang. Pendidikan kerjaya
sangat membantu seseorang individu bagi memilih kerjaya yang sesuai dengan dirinya.
Maka, pelbagai faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan kerjaya agar kerjaya yang
dipilih akan melahirkan pekerja-pekerja yang cemerlang dalam sesebuah institusi
kerjaya. Pendidikan kerjaya adalah sangat penting bagi melahirkan individu yang
mengenali potensi dan kelebihan yang dalam diri dan memperbaiki kekurangan diri bagi
mencapai keberhasilan dalam sesebuah kerjaya yang diceburi oleh individu tersebut.

Anda mungkin juga menyukai