Anda di halaman 1dari 3

Perbincangan tentang perubahan iklim dan pemanasan global semakin rancak apabila

penduduk dunia makin kerap menghadapi bencana alam seperti banjir, ribut, cuaca panas
dan kemarau.

Laporan 2007 Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) kepada Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyimpulkan lebih daripada 90 peratus penyebab
pemanasan sejak 50 hingga 60 tahun disumbangkan oleh manusia.

Antara alasan utama perubahan iklim dan pemanasan dunia adalah disebabkan pelepasan
karbon dioksida (CO2) yang tinggi hasil daripada pembakaran hutan dan aktiviti industri.

Ketulan ais purba Antartika menunjukkan tahap CO2 lebih tinggi dari 650,000 tahun dahulu.
Lebih banyak CO2 di atmosfera boleh menyebabkan suhu semakin panas.

Perubahan iklim ini menakutkan penduduk dunia kerana saintis dari IPCC meramalkan
pemanasan laut dan pencairan glasier boleh meningkatkan aras laut kepada antara tujuh
hingga 23 inci menjelang 2100 dan berkemungkinan negara kepulauan Pasifik akan
ditenggelami air.

Sebanyak 18 peratus kawasan di Malaysia terutama kawasan pesisir pantai juga diramalkan
terkesan oleh perubahan iklim.

Oleh kerana perubahan iklim dan pemanasan global adalah isu dunia, maka semua negara
perlu bekerjasama dalam mengenal pasti perkara-perkara yang menyebabkan perubahan
iklim dan pemanasan global.

Seluruh dunia perlu bersama-sama mengawal pemanasan global sama ada dari segi
persefahaman, berkongsi pengalaman dan pembangunan teknologi.

Glasier atau sungai ais yang bergerak perlahan asalnya terbentuk daripada salji. Hasil tarikan
graviti dan pemanasan global salji yang membeku turun ke kaki gunung melalui lurah sungai.

Salji cair masuk ke laut dan menaikkan paras laut yang boleh menyebabkan banyak pulau
dan kawasan tanah rendah yang padat penduduk tenggelam.

Di seluruh dunia, masyarakat yang menghuni pesisiran pantai dan infrastruktur yang
menyokong mereka seperti bangunan dan rumah, jalan, pelabuhan dan loji rawatan air boleh
terjejas.

Lifescience melaporkan antara 2003 hingga 2009, glasier kehilangan 260 gigatan (GT) air
setiap tahun. Fenomena ini menyebabkan paras air laut meningkat dan mengancam
keselamatan manusia.

Kehilangan glasier bukan sahaja membawa air ke laut tetapi juga mendedahkan organisma
lama yang terperangkap dalam ais dan memerlukan kajian yang mendalam terutama
berkaitan ancaman penyakit baharu.

Perubahan iklim berlaku dalam tempoh masa berpuluh-puluh tahun hingga berjuta-juta tahun.
Perubahan boleh berlaku dari segi perubahan musim, keadaan cuaca melampau atau mana-
mana bahagian iklim seperti suhu, kepanasan cahaya matahari, kelembapan atau angin.

Oleh kerana isu perubahan iklim global adalah isu kritikal, maka Persidangan Rangka Kerja
PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) telah mengariskan lima perkara penting bagi
menangani dan mendepani isu berkaitan. Perkara itu ialah adaptasi, mitigasi, kewangan,
pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti teknologi dan sumber manusia.
Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi bersama, maka seluruh dunia akan berhadapan dengan
perubahan iklim. Bencana seperti kejadian banjir, kemarau dan ribut boleh berlaku lebih
kerap dan boleh memberikan kesan kepada ekonomi negara, kehilangan harta benda dan
kematian.

Perubahan iklim mikro sesuatu tempat memberikan kesan kepada ekosistem semula jadi,
hutan, hidupan liar, sumber air, bekalan makanan, penggunaan tenaga dan pengangkutan,
yang mana secara amnya memberi kesan kepada kehidupan manusia.

Sehubungan itu, perkara-perkara berkaitan perubahan iklim dibincangkan di seluruh dunia


dan Malaysia adalah antara negara yang menandatangani pejanjian-perjanjian berkaitan.

UNFCCC adalah perjanjian alam sekitar antarabangsa yang telah dirundingkan pada Sidang
Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada Jun 1992.

Perjanjian itu telah mula berkuat kuasa pada 21 Mac 1994.

Objektif UNFCCC adalah untuk “menstabilkan ketepuan gas rumah hijau di atmosfera pada
tahap yang akan menghalang gangguan antropogenik berbahaya dengan sistem iklim”.

Negara-negara ahli persidangan ini bertemu pada setiap tahun sejak tahun 1995 untuk
menilai kemajuan dalam menangani perubahan iklim.

Pada tahun 1997, Protokol Kyoto membuat kesimpulan bagi negara-negara maju untuk
mengurangkan pelepasan gas rumah hijau mereka dalam tempoh 2008-2012.

Perjanjian Cancún 2010 pula menyatakan bahawa pemanasan global masa depan harus
dihadkan kepada di bawah 2.0 darjah Celsius (C) berbanding dengan peringkat praindustri.

Protokol tersebut telah dipinda pada tahun 2012 untuk merangkumi tempoh 2013-2020 dalam
Pindaan Doha. Pada tahun 2015, Perjanjian Iklim Paris diterima pakai, yang mengawal
pengurangan pelepasan dari 2020 melalui komitmen negara-negara ahli.

Bawah Perjanjian Paris, semua 196 negara terlibat akan merancang dan melaporkan secara
berkala tentang mitigasi untuk pemanasan global.

Walaupun tiada tekanan tertentu, setiap negara patut menyasarkan lebih baik berbanding
tahun sebelumnya.

Misalnya negara Perancis mengumumkan perancangan lima tahun untuk mengharamkan


semua kenderaan petrol dan diesel menjelang 2040 dan tidak lagi menggunakan arang batu
dalam menghasilkan elektrik selepas 2022. Sejumlah empat bilion Euro dilaburkan untuk
menggalakkan kecekapan tenaga.

Norway pula akan mengharamkan kenderaan petrol dan diesel pada 2025, Belanda 2030
dan mereka akan mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 95 peratus bagi mencapai
matlamat Perjanjian Paris.

Malaysia juga perlu memikirkan teknologi kenderaan tanpa petrol atau diesel bagi projek
kereta baharu yang akan datang.

Karbon dioksida merupakan 72 peratus daripada GHG dan terus meningkat sehingga 1.6 kali
ganda. Walaupun tidak tersenarai sebagai sebuah negara pengeluar CO2 utama, tetapi
Malaysia terus memberikan perhatian kepada pencemaran udara.

Peningkatan GHG di Malaysia berkait rapat dengan industri, pertanian dan pertambahan
penduduk. Ini menggalakkan kerajaan melabur untuk pengurangan GHG.
Malaysia berhasrat mengurangkan 45 peratus pelepasan GHG pada tahun 2030. Pada tahun
2011, Malaysia mewakili 0.6 peratus daripada pelepasan GHG dunia.

Malaysia ada Dasar Perubahan Iklim

Keprihatinan Malaysia terhadap Perjanjian Paris tentang Perubahan iklim telah menyediakan
Dasar Perubahan Iklim Negara.

Dasar Perubahan Iklim Negara berperanan sebagai rangka kerja untuk menggerakkan serta
memberikan panduan kepada agensi kerajaan, industri, komuniti serta pihak berkepentingan
dalam menghadapi cabaran perubahan iklim secara holistik.

Dasar ini akan membantu mengenal pasti tindakan secara bersepadu yang perlu diambil bagi
mencapai matlamat pembangunan lestari. Pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara ini
adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi bumi ini bagi generasi akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), Malaysia fokus kepada pertumbuhan lestari
dan memperkenal mitigasi bagi mengurangkan pelepasan gas GHG. Kerajaan memperkasa
pertumbuhan hijau, mengguna pakai konsep penggunaan dan penghasilan yang lestari,
pemuliharaan sumber semula jadi dan memperkasa daya tahan perubahan iklim dan
bencana alam.

Dalam pada itu, plastik digunakan setiap hari seperti botol minuman hingga pembungkus
makanan boleh menghasilkan GHG apabila terdedah kepada cahaya matahari.
Kebimbangan plastik mencemari lautan berterusandan terus menerus dibincangkan dalam
kalangan aktivis alam sekitar apabila pencemaran plastik di Lautan Pasifik bertambah serius.

Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam rantai makanan dan membunuh hidupan laut
tetapi juga boleh memanaskan bumi. Ahli sains telah menemukan plastik menghasilkan GHG
seperti gas metana dan etilena yang memanaskan dunia.

Penghasilan gas metana akibat pembakaran bahan api fosil merupakan penyumbang utama
kepada pemanasan dunia.

Sembilan bilion tan plastik telah dihasilkan sejak 1950 yang banyak dibuang ke tapak
pelupusan sampah atau persekitaran.

Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC)
sudah tentu selari dengan hasrat negara-negara lain tentang perubahan iklim. Perancangan
teliti dan penyelidikan secara bersepadu perlu dilihat oleh kementerian baharu ini agar
Malaysia menyumbang kepada kestabilan iklim dunia seiring dengan mega biodiversiti
negara.

Anda mungkin juga menyukai