5 138669611926160250

Anda mungkin juga menyukai

Anda di halaman 1dari 3

AYAT TANYA TANPA KATA TANYA

Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum
kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?).

Contohnya:

1. Encik Zulkifli pengurus syarikat itu?

2. Puan Mariam guru sekolah?

3. Adik masih menangis?

4. Dia terperanjat?

5. Emak membasuh kain?

Ayat tanya jenis ini boleh disertai partikel tanya -kah yang diletakkan pada unsur yang dijadikan fokus
atau judul ayat. Dalam bahasa Melayu, lisan, partikel -kah biasanya diletakkan pada hujung ayat seperti
yang berikut:

6(a) Dia ke sekolah?

6(b) Dia ke sekolahkah?

7(a) Mereka berlepas pagi tadi?

7(b) Mereka berlepas pagi tadikah?

8(a) Ayah hendak membaca akhbar sekarang juga?

8(b) Ayah hendak membaca akhbar sekarang jugakah?

9(a) Istana itu cantik?

9(b) Istana itu cantikkah?


10(a) Minggu lalu kamu ke Melaka?

10(b) Minggu lalu kamu ke Melakakah?

Ayat (b) dalam kelima-lima contoh (ayat 6-10) di atas mengandungi unsur yang dijadikan fokus yang
ditandai oleh partikel -kah. Kelihatan bahawa tidak berlaku apa-apa perubahan pada struktur ayat
apabila -kah dimasukkan.

Dalam bahasa lisan, unsur fokus dalam sesuatu ayat mengalami proses penjudulan, iaitu pendepanan
konstituen-konstituen yang menjadi fokus itu. Struktur ayat berubah, iaitu mempunyai susunan yang
berikut:

konstituen yang dijadikan fokus diikuti oleh –kah + subjek + unsur predikat lain (jika ada)

Ayat “Dia ke sekolahkah?”, misalnya berubah menjadi “Ke sekolahkah dia?” Frasa “ke sekolahkah”
merupakan konstituen yang dikedepankan, iaitu mendahului konstituen subjek “dia”. Unsur preditkat
yang lain wujud dalam ayat ini.

Pendepanan ayat 7-10 disertai partikel -kah menghasilkan ayat-ayat berikut:

7(c) Pagi tadikah mereka berlepas?

8(c) Sekarang jugakah ayah hendak membaca akhbar?

9(c) Cantikkah istana raja itu?

10(c) Ke Melakakah kamu minggu lalu?

Ayat-ayat di atas telah mengalami proses pendepanan konstituen predikat atau bahagian-bahagiannya.
Subjek tidak boleh sama sekali mengalami proses pendepanan dengan partikel -kah. Walau
bagaimanapun, ada beberapa ayat yang subjeknya kelihatan mengalami pendepanan dengan partikeh
-kah seperti contoh yang berikut:
11. Encik Alikah guru itu?

12. Orang muda itukah pengurusnya?

13. Mariamkah ibunya?

Sebenarnya, kesemua ayat di atas merupakan ayat songsang, hasil daripada proses pendepanan
predikat.

Mohon rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 442. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai