Anda di halaman 1dari 4

Assalaualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Terima kasih tuan pengerusi majlis,


para hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang tidak lari dari landasan
waktunya, tidak lupakan saudara dan saudari yang dihormati. Tampilnya saya selaku
anak nusa mengepal segengam harapan, menjinjing seribu impian menerusi
sentuhan rasa topik syarahan saya yang berbunyi “ gejala buli di sekolah berasrama
dan langkah mengatasinya’.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi
kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan
sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya.Menurut kajian,
kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar di
asrama dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok
bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada
gejala buli di sekolah berasrama ini.

Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan


penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat. Agama Islam
contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan
tuntutan agama. Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-
sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya. Namun,
mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan
suruhan agama. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan
perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,
ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka menyebabkan gejala buli ini
semakin berleluasa.

Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini. Pada
zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya
masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Hal ini menyebabkan
mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada
anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja
seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil
tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja. Tugas dan tanggungjawab
menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah. Justeru,
kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.
. Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah
satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.
Para pelajar yang masih terlalu muda, dikatakan berumur setahun
jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh
berfikir dengan matang. Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan
tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan
mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan
terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.
Jelaslah, rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain
ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.
Bagaimana dengan pihak media massa? Seperti yang kita ketahui, media
masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur
keganasan, pergaduhan dan sebagainya. Filem dan rancangan terutamanya dari
barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti,
filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk
kepada remaja kita. Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli
rakan-rakan mereka yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’. Terdapat


pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan
membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian
Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam
kurikulum di sekolah. Contohnya, melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Moral,
Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala
negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam
sukatan. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan
satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa hadapan meeka. Pelajar juga
didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan
membuli dan cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh
diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi
menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Pihak luar seperti
NGO boleh dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli
ini. Selain itu pihak sekolah sendiri boleh menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato
dan sebagainya tentang kes buli dan juga boleh menggalakkan para pelajar supaya
menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para
pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah
masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar
juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain
agar semua pelajar tahu akannya.

Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri. Para pelajar juga
harus pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke
arah kebaikan dan begitulah sebaliknya. Umpama berkawan dengan penjual minyak
wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan sentiasa wangi. Contohnya, jika
berkawan dengan orang yang minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga
akan dipengaruhi dan gemar membaca bersama-sama. Oleh itu, jika pelajar mesti
bijak memilih kawan, supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak
sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar boleh menjadi mata
dan telinga kepada para guru di sekolah. Contohnya jika para pelajar ternampak kes
buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri
untuk melaporkan kepada guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar
masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Hadirin yang dihormati sekalian,


. Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan peranan
penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang diterima daripada guru
atau pelajar mesti diambil tindakan dengan segara. Pihak sekolah boleh berjumpa
dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya
untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan
mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus berkompromi dengan kes
buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar
dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada
pelajar yang lain.

Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha
untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik
kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa
mereka. . Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang
baik, contohnya tidak bertengkar atau bergaduh di hadapan anak-anak , bergaul
dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran tetangga dan orang lain. Bak
kata bidalan, bagaimana acuan , begitulah kuihnya. Ibu bapa yang baik akan
melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.

. Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan


sibuk bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan anak-anak dan
sentiasa mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di
sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa anak-
anak bercuti untuk mempererat kemesraan keluarga. Perhatian dan belaian kasih
sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan mereka tidak berasa
sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam sanubari
anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Dengan ini anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang
ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal
sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020
juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana
para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini
pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa
dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi
liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih,
kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan
mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Hadirin yang dikasihi sekalian,


Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon
kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.
Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat
kepada kita semua. Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.

Kalau ada jarum yang patah,


Jangan di simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Padi muda jangan ditampi;


Padi huma si beras jati;
Generasi muda harapan pertiwi,
Didiklah mereka seikhlas hati.

Sekian. Terima kasih

Anda mungkin juga menyukai