Anda di halaman 1dari 1

Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar adalah sumber keperluan hidup kita. Misalnya, sungai amat penting
untuk kehidupan kita seharian kerana sumber air adalah daripada sungai. Jika sungai
tercemar akibat sisa buangan kilang dan sebagainya, tentulah kita sukar untuk
mendapatkan air yang bersih. Lautan pula boleh tercemar akibat pelbagai punca
seperti tumpahan minyak dari dermaga minyak atau kapal tangki ke lautan. Hal ini
akan menjejaskan kehidupan lautan yang menjadi sumber makanan kita. Justeru,
semua pihak haruslah sedar dan mengambil berat akan pemeliharaan sungai dan
lautan yang menjadi sumber air dan makanan kita ini.

Di samping itu, alam sekitar yang bersih dan terpelihara akan menjadi daya tarikan
para pelancong. Kedatangan para pelancong akan menjadi sumber ekonomi negara
dan akan memajukan sektor-sektor perniagaan di negara kita. Hotel-hotel,
syarikat-syarikat pelancongan, para peniaga dan gedung-gedung perniagaan tentu
mendapat keuntungan dengan kedatangan para pelancong yang berbelanja di negara
kita ini. Oleh sebab itu, kita mesti menjaga alam sekitar untuk menarik kedatangan
para pelancong, lantas memajukan ekonomi negara kita.

Pemelihara alam sekitar juga akan menjamin keseimbangan alam. Sains menyatakan
bahawa oksigen yang diperlukan untuk bernafas diperoleh daripada
tumbuh-tumbuhan di sekitar kita. Oleh sebab itu, tumbuh-tumbuhan yang
terpelihara akan menjadikan udara disekeliling kita lebih bersih, sejuk dan segar.
Hutan pula menjadi habitat semula jadi haiwan. Oleh sebab itu, alam sekitar yang
terpelihara akan memastikan haiwan tidak pupus agar generasi seterusnya juga
dapat melihat pelbagai jenis kehidupan haiwan di dunia ini.

Kesihatan kita juga amat dipengaruhi oleh alam sekitar. Pencemaran alam seperti
pencemaran udara, air dan lain-lain lagi akan menyebabkan kita mudah jatuh sakit
seperti demam, batuk dan sebagainya. Selain itu, banyak tumbuhan-tumbuhan
seperti pokok pegaga merupakan sumber ubat-ubatan kepada manusia. Oleh sebab
itu, tumbuh-tubuhan ini perlu sentiasa dipelihara supaya kita mudah untuk
mendapatkan sumber ubat-ubatan disekeliling kita.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama memelihara alam sekitar


daripada pencemaran. Ini kerana alam sekitar yang terpelihara merupakan hadiah
yang tidak ternilai kepada generasi yang akan datang. Marilah kita sama-sama
menyayangi dan menyelamatkan alam sekitar daripada dimusnahkan.