Anda di halaman 1dari 7

DAFTAR KANDUNGAN

TUGASAN 2 (BMMB2053M): KRITIKAN TEKS

1.0 Pendahuluan 1
2.0 Teori Takmilah 1
3.0 Analisis Aplikasi Teori Takmilah dalam Cerpen Bukit Janna 2
4.0 Rumusan 5
5.0 Rujukan 6
TUGASAN 2
1.0 PENDAHULUAN
Penulisan ini merangkumi analisis aplikasi teori takmilah dalam Cerpen Bukit Janna karya Amida
Abdul Hamid (Anis). Cerpen ini telah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera Bil. 7 2018.
Pengarang pernah menerima Hadiah Sastera Kumpulan bagi eseinya yang bertajuk ‘Estetika
Alam Sekitar dalam Puisi’. Tidak hairanlah apabila cerpen Bukit Janna turut membawa tema alam
sekitar, dengan sentuhan islami serta penerapan budaya setempat. Cerpen ini berkisarkan
peristiwa mistik yang berlaku kepada Dali - seorang kanak-kanak lembam dari Desa Rahmat -
berikutan pembinaan rel kereta api menembusi Bukit Janna yang ditentang keras penduduk Desa
Rahmat dan penduduk Bukit Janna. Teori takmilah yang diperkenalkan oleh Shafie Abu Bakar
yang mengangkat sifat Kamal Allah dengan prinsip-prinsip yang dinyatakan akan digunakan
untuk meneliti cerpen Bukit Janna.

2.0 TEORI TAKMILAH


Teori ini berasal daripada perkataan ‘kamal’ sempurna kemudian menjadi ‘takmilah’ iaitu
‘menyempurnakan’ Hal ini menunjukkan bahawa sesuatu karya apabila dikaji dengan
menggunakan teori takmilah ia menjadi sempurna lagi menyempurnakan. Secara umumnya,
teori Takmilah bersifat holistik yang melibatkan hubungan manusia, iaitu pengkarya dan khalayak
menerusi karyanya dengan ketuhanan, kenabian dan keilmuan. Teori ini didasari 7 prinsip seperti
berikut:

• Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal


• Prinsip kerasulan sebagai insan Kamil
• Prinsip keislaman yang bersifat Akmal
• Prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat Takamul.
• Prinsip sastera sendiri yang berciri estetik dan bersifat Takmilah
• Prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri.
• Prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan Kamil.

Cerpen Bukit Janna banyak menonjolkan penggunaan prinsip-prinsip daripada teori


Takmilah ini. Tambahan pula, cerpen ini berlatarkan masyarakat luar bandar yang mengamalkan
ajaran Islam seperti mengaji al-Quran, solat berjemaah, dan mengadakan majlis ilmu. Bahkan
nama kampung 'Desa Rahmat' yang digunakan sebagai latar tempat juga menunjukkan
perkaitan kesejahteraan kampung tempat tinggal penduduk dengan belas kasihan Tuhan. Selain
itu, masyarakat Desa Rahmat turut mempercayai kewujudan makhluk ghaib sebagai penghuni

1
Bukit Janna yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau dalam erti kata lain, Bukit Janna
dipercayai sebagai perkampungan bunian.

3.0 ANALISIS APLIKASI TEORI TAKMILAH DALAM CERPEN BUKIT JANNA


Prinsip pertama iaitu ‘Tuhan bersifat kamal’ dapat dilihat melalui frasa ‘tenggelam dalam hikmah
alam Maha Pencipta’ semasa peristiwa Dali mengalunkan ayat suci al-Quran dengan tarannum
yang indah biarpun pada hakikatnya dia seorang kanak-kanak 10 tahun yang tidak mampu
membaca muqaddam. Perwatakan Dali juga ditulis seolah-olah dia seorang anak lembam
('terkebil-kebil melihat kekecohan yang mengelilinginya', 'melentok ke kanan, mengereng ke kiri')
dan cerita pengembaraannya perlu diteliti oleh Majid sebelum diterjemahkan kepada Dato Kayat
yang menambahkan lagi intensiti keajaiban peristiwa tersebut.

Perincian penulis tentang penduduk Bukit Janna yang berkebolehan mengaji al-Quran
dengan baik serta berpakaian serba putih dengan penggunaan tetapi ‘yang kehadirannya
terselindung di sebalik keperkasaan pancaindera’ juga memberi gambaran bahawa penduduk-
penduduk ini adalah merupakan makhluk ghaib yang hanya mampu dilihat orang tertentu dengan
izin Yang Maha Kuasa. Keterhadan pancaindera ini sahaja jelas menunjukkan keterbatasan
serta kekerdilan manusia sebagai hamba Allah.

Selain itu, penulis banyak menggarap keperibadian Rasulullah sebagai insan kamil melalui
watak-watak seperti Dato Kayat dan Ustaz Zamir. Dato Kayat digambarkan sebagai seorang
yang sangat tenang berbeza dengan Razif, pemuda yang terlibat dengan pembinaan rel kereta
api menembusi Bukit Janna, dia malah rasa terganggu dengan senyuman dan aura tenang Dato
Kayat yang dikatakan tidak pernah meletuskan nyalaan emosi. Peribadi ini sesuai dengan
tuntutan agama sebagaimana disampaikan oleh Rasulullah melalui hadith-hadithnya. Dalam
riwayat Abu Hurairah misalnya, Nabi SAW mengatakan; “Orang yang kuat tidaklah yang kuat
dalam bergaduh, namun mereka yang bisa mengendalikan dirinya ketika marah.”

Bukan itu sahaja, Dato Kayat segera mencapai tuala untuk mandi setelah berhadapan
dengan Razif yang mula dikuasai amarah. Hal ini bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad
s.a.w melalui riwayat Abi Daud, "Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan
daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salah seorang
antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk." Pensyarah Jabatan Undang-Undang Islam,
Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail juga mengulas tentang saranan berwuduk bagi mengatasi
panas baran kerana air yang digunakan untuk berwuduk mampu meredakan kemarahan
(Zuhayati, 2011).

2
Perwatakan Ustaz Zamir yang menggesa Majid dengan lembut untuk menterjemahkan
pengembaraan Dali di Kampung Bunian mengingatkan pembaca kepada sifat Rasulullah yang
sentiasa berlembut dalam menyampaikan dakwahnya. Selain itu, Datin Jijah juga tidak terus
mengherdik ibu Dali, Aidah kerana tidak berkelubung akibat terlampau terkejut sebaliknya lekas
mencapai tuala mandi di ampaian dan menyerkupkannya pada Aidah. Keadaan pasti akan
menjadi keruh sekiranya Ustaz Zamir dan Datin Jijah mengendalikan situasi-situasi tersebut
dengan kekerasan. Muh. Ramli et. al. (2017) menekankan bahawa kelembutan mampu
melunakkan hati yang keras dan meluluhkan hati yang sombong dengan menampilkan hadith
riwayat Abu Dawud, "Sesungguhnya lemah lembut tidaklah ada pada sesuatu kecuali akan
menghiasinya, dan tidaklah dicabut dari sesuatu kecuali akan memperkeruhnya."

Secara tidak langsung, cerpen ini juga menerapkan prinsip Islam yang bersifat 'akmal'
dengan menerapkan nilai-nilai hidup yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Melalui
gambaran dan jalan cerita ini jelas pengarang mengajak khalayak pembaca ke arah memelihara
alam sekitar di samping menjaga hubungan sesama makhluk ciptaan Allah tanpa mengetepikan
tuntutan untuk menuju kejayaan dalam pelbagai bidang lain. Sebagai contoh, di pengakhiran
cerita, pembinaan rel kereta api tetap dilaksanakan dengan berjaya tanpa perlu memusnahkan
atau menembusi Bukit Janna dengan cara mereka bentuk relnya melalui kaki bukit. Penduduk
Desa Rahmat langsung tidak menafikan manfaat pembinaan rel dan terminal seperti yang tertulis
pada dua perenggan terakhir cerpen:

“Beberapa bulan berlalu, Majid sudah mula berulang-alik ke


sekolah menaiki kereta api. Kawan-kawannya begitu juga.
Di terminal kereta api itu, terdiri sebaris kedai menjual
pelbagai buku, kitab, akhbar, makanan dan minuman. Dari kedai
buku terdengar bacaan Surah al-Baqarah. Suara Dali masih
lantang dan syahdu.”

Prinsip Islam sebagai agama yang 'akmal' dan karya yang membawa khalayak ke arah insan
'kamil' turut diaplikasikan dalam cerpen Bukit Janna ini. Islam merupakan agama yang sangat
mementingkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi. Shafie Abu Bakar (1996)
menegaskan bahawa agama Islam yang sempurna melengkapi pelbagai aspek kehidupan
termasuklah sastera yang memiliki nilai estetika yang sejajar dengan sifat jamal Allah. Islam
sebagai agama syumul juga harus memancarkan sastera yang mencerminkan keperibadian
umat yang syumul. Allah telah berfirman di dalam surah an-Nahl ayat 12 yang bermaksud “Dan

3
ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang
dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum
yang mahu memahaminya.” serta memberi peringatan di dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang
bermaksud “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan
sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka
telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Tindakan penduduk Desa Rahmat
amat bertepatan sebagai contoh respons yang boleh diambil bagi menjalankan tanggungjawab
kita sebagai khalifah.

Penulis turut menjadikan cerpen Bukit Janna satu hasil karya yang sarat dengan ilmu tentang
agama Islam dengan menyelitkan ayat-ayat al-Quran serta aspek fiqah islamiah seperti
kewajipan menutup aurat dan aqidah islamiah tentang kewujudan makhluk ghaib. Bukan itu
sahaja, pengarang juga berjaya mengolah karya dengan bahasa yang indah. Pengarang tidak
perlu menulis dengan terperinci tentang satu-satu babak tetapi sekadar menggunakan
perkataan-perkataan yang berkaitan untuk diinterpretasikan pembaca. Sebagai contoh, "jentolak
jatuh ke dalam gaung" memberi gambaran kepada pembaca bahawa satu kemalangan telah
berlaku di tapak pembinaan akibat meneruskan pembinaan tanpa mendapat keizinan penduduk.
Pengarang juga menceritakan perihal perkampungan bunian tanpa menyebut perkataan 'bunian'
itu sendiri sebaliknya memperincikan penduduk Bukit Janna sebagai golongan yang
berkebolehan mengaji al-Quran dengan baik serta berpakaian serba putih ‘yang kehadirannya
terselindung di sebalik keperkasaan pancaindera’ memberi gambaran bahawa penduduk-
penduduk ini adalah merupakan makhluk ghaib yang dikenali sebagai bunian dalam kalangan
masyarakat Melayu.

4
4.0 RUMUSAN
Jelaslah karya Bukit Janna mempraktikkan kesemua 7 prinsip teori takmilah dalam
penghasilannya. Bahkan penglibatan penulis sendiri menyumbang kepada kehadiran penulisa
wanita dalam penulisan karya islami, menjadikannya sebagai seorang penulis yang
mengistikmalkan dirinya. Sebagaimana kita sedia maklum, teori takmilah ini merupakah teori
baharu kritikan sastera jika dibandingkan dengan teori-teori lain seperti psikoanalisis, semiotik
dan pengkaedahan Melayu.

Antara permasalahan yang dikemukakan ialah kekurangan penulis bernuansa Islami,


terutamanya penulis wanita. Aminah Mokhtar seorang jururawat yang aktif menghasilkan karya-
karya berunsur agama berpendapat penglibatan penulis wanita dengan karya berunsur Islam
tidak begitu ketara kerana kita juga kekurangan penulis wanita.” Masih terdapat banyak ruang
untuk diperkembangkan seperti meneliti karya-karya rohani yang tidak semestinya berpandukan
al-Quran dan as-Sunnah secara langsung tetapi boleh dikaji bagi menambahkan kefahaman
seseorang pembaca terhadap kekuasaan Pemilik alam serta tujuan kewujudannya di dunia.

Saya kira sekiranya syarat sesuatu karya untuk diterima sebagai karya yang menepati teori
takmilah ialah penulisnya perlu beragama Islam, seolah-olah menyempitkan ruang lingkup
hikmah Islam itu sendiri. Tambahan pula, Saidina Ali bin Abi Talib terkenal dengan ungkapan
“Lihatlah apa yang dikatakan jangan melihat siapa yang mengatakan.” Apatah lagi Rasulullah
mengatakan bahawa hikmah itu ialah milik siapa saja yang menemukannya walau di mana
sekalipun, seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA. ia berkata, Rasulullah SAW.
bersabda ‘Kalimat hikmah adalah senjatanya orang bijak. Di mana saja ia menemukannya, maka
ia berhak atasnya.’

Keindahan Islam dalam dunia sastera pasti mampu dilonjakkan lagi ke persada dunia
dengan penambahbaikan dan eksplorasi perkongsian ilmu antara sasterawan pelbagai latar
belakang yang menulis untuk tujuan yang sama – mendekatkan diri dan pembaca kepada Yang
Maha Kuasa.

5
5.0 RUJUKAN

Anis (2018, Julai) Bukit Janna, Dewan Sastera, m/s 87-89.

Muh. Ramli & Abdullah Sa'id (2017). Dekati Aja Allah, Pasti Mudah! Jakarta: PT Elex
Media Komputindo

Quran, Surah An-Nahl (16:12), Al-Islam.

Quran, Surah An-Nahl (16:12), Al-Islam.

Quran, Surah Ar-Ruum (30:41), Al-Islam.

Shafie Abu Bakar. 1996. ‘Takmilah: Teori, Falsafah dan Prinsip.’ Dewan Sastera.
November: 25-33.

Zuhayati Yazid (2011, Mei 11). Marah itu dari syaitan. Utusan Malaysia, diambil
daripada
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malay
sia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm