Anda di halaman 1dari 4

Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana telah mengadakan Hari Kantin pada 9

September 2016 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari Kantin telah dirasmikan oleh
Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin Haji Ramli yang juga merupakan
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan
Satria Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dan
tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari tersebut dibuka kepada orang ramai
dan kupon-kupon disediakan untuk melicinkan urus niaga pada hari tersebut. Semua
guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin dengan dibantu oleh para pelajar yang dipilih oleh
guru-guru berkenaan.
Antara program yang telah dijalankan semasa Hari Kantin ialah pesta jualan
makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata. Makanan pelbagai kaum
disediakan oleh para guru dan pelajar seperti nasi lemak, laksa, capati, mihun, keropok
lekor dan kuih bulan. Ada juga gerai yang menjual makanan tradisi pelbagai kaum
seperti lemang, wajik, penganan dan sebagainya. Air batu campur, air tebu, ais yang
dikisar dan air bergas turut dijual di bahagian gerai minuman. Rata-rata para
pengunjung berpuas hati dengan kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari
Kantin. Para guru dan pelajar yang berniaga pula tidak menang tangan sentiasa
melayan para pelanggan yang membeli makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun
ini terdapat banyak cenderamata dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T, alat
tulis yang bercetak nama sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga yang
berpatutan, kedai-kedai cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan terutama
dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sambutan
paling hebat dilihat di gerai makanan dan minuman kerana keghairahan pengunjung
untuk merasai juadah yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini, para pelajar dapat
mengenali makanan tradisi kaum lain di negara ini. Justeru, secara tidak langsung Hari
Kantin telah berjaya mempromosi makanan tradisional kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu, pada hari ini juga diadakan program pameran hasil kerja para pelajar
sekolah. Antara hasil kerja yang dipamerkan ialah model sebatang rokok sempena
kempen Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan Teknologi Kejuruteraan. Selain itu,
Kelab Pembimbing Rakan Sebaya juga telah mempamerkan hasil kerja mereka seperti
carta nilai-nilai murni dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di samping itu,
para pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan seni khat
secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang kejayaan sekolah
turut dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab Hoki yang telah
menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa orang pelajar yang telah
menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan sebagainya. Dengan mengadakan
pameran, para pengunjung dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah
dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2015. Sebagai serampang dua mata,
pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi pihak sekolah agar para
pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah pada - masa
depan. Manakala ibu bapa juga dengan senang hati membenarkan anak-anak mereka
menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Program lain yang diadakan sempena Hari Kantin ialah aktiviti permainan.
Sebagai contohnya rumah hantu yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah dan Geografi.
Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke rumah hantu adalah sebanyak RM2. Banyak
pengunjung beratur di luar kelas untuk merasai pengalaman seram apabila berada di
dalam rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa mereka berasa seolah-
olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan hantu-hantu yang
menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing ikan, meneka jumlah berat
kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah patung. Kanak-kanak pula
mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan di padang sekolah
seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah. Di samping itu,
belon-belon secara percuma turut diedarkan kepada kanak-kanak oleh badut yang
menceriakan suasana pada hari tersebut dengan telatah lucunya ketika mengusik
kanak-kanak. Salah satu aktiviti permainan yang paling mendapat perhatian para
pengunjung ialah menunggang kuda dengan bayaran RM5 selama 20 minit. Walaupun
agak mahal namun aktiviti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para
pengunjung yang tidak pernah merasai menunggang kuda.
Sebagai acara selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik sekolah telah memainkan
lagu-lagu mengikut permintaan para pelajar dan pengunjung. Bayaran yang dikenakan
adalah sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu. Banyak pilihan lagu yang ke udara
mengikut permintaan seperti rentak jazz, sentimental, rock, balada dan asli. Para
pelajar paling menyukai aktiviti ini kerana nama pembeli dan penerima lagu disebut oleh
juruhebah yang bertugas. Dalam segmen ini, banyak guru menerima lagu daripada
para pelajar dengan ucapan terima kasih kerana telah membimbing mereka dalam
bidang pelajaran. Hakikatnya, acara ini berjaya memupuk sikap menghargai guru dalam
kalangan pelajar. Sambil melihat program yang lain, para pengunjung juga memasang
telinga untuk mengenal pasti sama ada nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak.
Sambutan yang hangat oleh para pelajar menyebabkan sebanyak 600 buah lagu
dipasang sepanjang majlis Hari Kantin berlangsung. Sambil menyelam, minum air,
sebenarnya satu per tiga hasil kutipan untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah
Anak Yatim Bakti yang terletak bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak
langsung para pelajar didedahkan dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-
membantu antara satu dengan yang lain.
Akhir kata, Hari Kantin yang dijalankan berjaya mengutip hasil yang melebihi
sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin
adalah sebanyak RM30,000 Pihak sekolah telah menyasarkan kutipan sebanyak
RM15,000 Pencapaian ini membanggakan pihak sekolah yang diibaratkan seperti kecil
tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat
setempat merupakan sumber sokongan utama kejayaan pihak sekolah. Walaupun
warga sekolah terpaksa mengorbankan hari Ahad mereka, namun apabila melihat
kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa puas. Pengetua mengumumkan bahawa hari
Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah bolehlah berehat pada hari tersebut.