Anda di halaman 1dari 8

http://drabdshatar.blogspot.

com/2013/10/elemen-elemen-yang-mencabar-
penghayatan.html

Elemen-Elemen yang Mencabar Penghayatan dan Amali Nilai-Nilai Murni


1.0 Pendahuluan

Usaha untuk membina tamadun manusia memerlukan satu pendekatan yang holistik
dan sepadu. Tamadun manusia tidak boleh hanya dibina di atas kecemerlangan tamadun
kebendaan semata-mata tetapi mestilah diiringi dengan kemajuan spiritual dan akhlak. Menurut
Arnold Toynbee: “agama adalah nadi dan inti kehidupan”. Ia adalah cahaya penerang jiwa dan
manusia tidak lepas dari agama. Idealogi-idealogi tidak mampu menjadi alternatif kepada
agama, kerana idealogi memberi sifat finatiksime dan kebencian. Sedangkan agama memberi
kita rasa cinta dan kerja sama.Bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang telah mencapai
kehalusan tatasusila dan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh anggota
masyarakatnya. Justeru untuk membina tamadun manusia mestilah dalam seluruh program
pembangunannya tidak mengabaikan nilai akhlak.
Justeru itu, elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai murni perlu
diketahui agar dapat disediakan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan nilai dan akhlak
remaja kita berada pada tahap yang sepatutnya dan boleh dibanggakan pada masa akan
datang. Daripada pelbagai elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai
murni, saya memilih untuk mengupas elemen kebendaan, elemen sikap tidak
bertanggungjawab, elemen media massa, elemen pembangunan daripada aspek sosio-
ekonomi dan elemen keruntuhan institutsi kekeluargaan.

2.0 Kesan elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai murni

Pertama adalah daripada aspek elemen mementingkan kebendaan. Mementingkan


kebendaan adalah antara elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai-nilai
murni. Ibn Khaldun dalam Kitab Muqadimmahnya yang menyebut kemusnahan sesuatu
tamadun ditandai dengan beberapa perkara, iaitu banyaknya kemewahan, kehidupan penuh
dengan hiburan dan perhiasan...... Dalam arus perdana yang semakin membangun pada hari
ini, negara kita semakin bergerak untuk mencapai ke arah negara maju dan berpendapatan
tinggi. Oleh itu, ibu bapa akan semakin mementingkan kebendaan kerana memikirkan taraf
hidup yang semakin tinggi. Sikap yang menjurus ke arah materialistik ini memberi kesan yang
kurang baik terhadap anak-anak mereka.
Sebagai contoh, seorang guru pendidikan jasmani lelaki yang telah berkeluarga
bertugas di sekolah pada sebelah paginya. Kemudian, pada sebelah petang, guru tersebut
menjadi jurulatih berbayar sebuah pasukan bola sepak yang bertaraf kelab. Pada sebelah
malamnya pula, dia menjadi jurulatih badminton di sebuah pusat latihan badminton yang dimiliki
oleh swasta. Guru tersebut melakukan semua itu semata-mata untuk mendapatkan duit atas
pelbagai sebab. Antara sebab yang mungkin menjadi pendorong kepada guru tersebut
menjalani rutin harian sedemikian rupa ialah untuk mendapatkan wang yang lebih, untuk
mendapatkan kehidupan yang selesa atau untuk menampung perbelanjaan keluarga yang
semakin meningkat. Dengan rutin sedemikian rupa, di manakah masa guru tersebut untuk
anak-anaknya? Apabila balik pada lewat malam, guru tersebut telah keletihan dan perlu berehat
kerana perlu mengajar pada keesokan harinya. Besar kemungkinan, anak-anaknya pada waktu
tersebut telah tidur. Bilakah masa yang dimilki oleh guru tersebut untuk bersosial bersama
anak-anaknya ?
Guru tersebut sebagai bapa tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa yang
memberi didikan agama dan akhlak yang baik kepada anak-anaknya kerana sibuk mengejar
kebendaan semata-mata. Anak-anaknya menjadi mangsa kerakusan guru tersebut mengejar
kebendaan. kesannya kepada anak-anak adalah amat besar kerana tanpa didikan agama yang
cukup sewaktu kecil, mereka akan semakin sukar untuk dibentuk apabila sudah mencapai usia
remaja. Inilah yang menyumbang kepada masalah-masalah sosial semasa. Bak kata pepatah,
melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Apabila sudah sampai ke tahap akhlak moral yang
kronik, siapakah yang harus dipersalahkan ?

Sikap terlalu mengejar kebendaan ini juga memberi kesan kepada institusi kejiranan.
Apabila terlalu sibuk sehingga perlu pulang pada lewat malam, bilakah masa yang ada untuk
berkenalan dan bersosial bersama dengan jiran di sebelah rumah dan rukun tetangga yang
lain? Pembangunan pesat bandar-bandar di Malaysia telah melebarkan kawasan penempatan.
Kemungkinan 15 tahun yang akan datang penduduk di bandar akan meningkat lebih banyak
kesan daripada dasar kerajaan yang hendak menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada
tahun 2020. Perubahan ini sedang berlaku sedikit demi sedikit dari utara hingga ke selatan.
Kawasan bandar ini telah mengubah corak tradisional masyarakat kampung kepada
metropolitan yang memberi kesan terhadap pengaruh politik, pembangunan fizial dan
pengenalan sosial. Contoh yang mudah ialah struktur rumah di bandar sangat berbeza dengan
kampung iaitu pembinaan rumah sangat rapat dan tidak ada ruangan yang mencukupi untuk
interaksi sosial di kalangan keluarga di luar rumah. Masyarakat juga memainkan peranan yang
penting dalam membentuk akhlak remaja secara amnya. “Keperluan material yang
ditumbuhkan setiap hari secara beransur-ansur semakin membesar menyebabkan manusia
menjadi penyembah konsumsi”
(Ali Shariati, 1980)

Kedua adalah daripada aspek sikap yang tidak bertanggungjawab.Dr. Gustave Le


Bon menyatakan sebab-sebab kerosakan suatu bangsa apabila berlakunya dekadensi atau
kerosakan moral yang berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab membudaya pada
bangsa itu (Muqdad Yaljan, 1986). Aspek tidak bertanggungjawab ini boleh dipecahkan kepada
2 iaitu, tanggungjawab terhadap diri dan orang lain dan tanggungjawab terhadap harta benda.
Sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap orang lain seringkali dikaitkan dengan
sikap mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, seorang guru mengabaikan sesi
pengajarannya semata-mata kerana mahu minum di kedai yang terletak di luar sekolah. Guru
ini telah meninggalkan tanggungjawabnya mendidik anak bangsa dengan ilmu pengetahuan
yang amat dinanti-nantikan oleh murid-muridnya. Daripada aspek guru pelatih pula, guru pelatih
tidak menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarah dan asyik berdolak-dalik apabila ditanya
bila mahu menghantar tugasan. Ini menunjukkan bahawa guru pelatih tersebut tidak
bertanggungjawab terhadap diri sendiri kerana hanya mahu berseronok dan lupa bahawa
sebagai guru pelatih, tanggungjawab yang utama ialah belajar dan menyiapkan tugasan.
Sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap harta benda pula berkait rapat dengan
merosakkan harta benda awam dan harta benda di sekolah. Gejala-gejala seperti menconteng
kerusi dan meja, membuang sampah merata-rata, merosakkan telefon awam dan merosakkan
apa sahaja yang berada di depan mata mereka sudah menjadi lumrah dalam masalah-masalah
moral remaja sekolah.
Kesan sikap tidak bertanggungjawab ini terhadap penghayatan nilai murni dan amalan
nilai moral adalah daripada segi individu itu sendiri. Individu yang tidak bertanggungjawab akan
terus terjerumus ke dalam kancah masalah sosial jika tidak dibentuk dengan betul. Sikap tidak
bertanggungjawab ini akan menghancurkan diri individu itu sendiri tanpa ada sebarang tolak
ansur. Orang yang boleh mengubah situasi ini adalah individu itu sendiri namun sejauh mana
keinginan individu itu untuk berubah ? jelaslah sudah bahawa sikap bertanggungjawab hanya
akan membawa keburukan kepada individu.
Ketiga adalah kesan daripada aspek media massa. Media massa merupakan
medium kepada akses ke dunia luar. Media massa melalui media cetak dan media elektronik
memainkan peranan penting dalam menghubungkan individu ke dunia global. Pembentukan
akhlak masyarakat menghadapi cabaran dari pengaruh media-massa yang memberi kesan
negatif kepada akhlak masyarakat, khususnya golongan remaja. Dengan bermotifkan
keuntungan, sesetengah media massa seolah-olah tidak menghiraukan langsung bahawa
program-program, tulisan, rancangan-rancangan yang disajikan dan bahan-bahan yang
dipaparkan kepada golongan massa membawa wujudnya sikap hedonisme, budaya permissive
atau kebebasan yang bercanggah dengan agama dan budaya masyarakat.
Iklan-iklan yang disiarkan langsung tidak menggambarkan budaya masyarakat
ketimuran tetapi lebih mempromosikan nilai hidup Barat yang serba bebas. Filem-filem yang
ditayangkan ada kalanya lebih mempromosi budaya Barat dari mengangkat martabat akal,
keilmuan dan kemanusiaan. Pengaruh media massa amat hebat sehingga banyak perlakuan
golongan remaja dicorakkan oleh media massa. Budaya hip-hop, rock, punk dan lain-lain antara
contoh budaya popular yang dipromosikan melalui media massa. Akibatnya golongan remaja
hari semakin terhakis jati diri mereka, mengalami krisis identiti dan menjadi golongan peniru
yang produktif.
Untuk membentuk masyarakat yang berakhlak, media massa haruslah berperanan
bersama dengan pihak-pihak lain bagi membentuk memupuk dan mempromosikan nilai-nilai
akhlak yang mulia. Pengamal media haruslah bersedia mengkritik dan mendedahkan setiap
perlakuan yang menyimpang dari nilai-nilai keagamaan dan budaya masyarakat. Setiap
paparan dan rancangan yang disiarkan haruslah mengambil kira kesannya kepada masyarakat
sama ada jangka panjang atau pendek dan tidak hanya memikirkan keuntungan atau populariti.
Mereka boleh mencontohi rancangan yang popular di Barat tetapi dalam masa yang sama ia
harus bertunjangkan kepada nilai keagamaan dan budaya masyarakat negara ini serta diadun
dengan kreativiti tinggi bagi menarik perhatian massa. Pihak yang berwajib hendaklah lebih
tegas mengawal kemasukan dan penyebaran unsur-unsur lucah sama ada dalam bentuk CD,
VCD dan lain-lain ke dalam pasaran terbuka atau gelap.

Keempat adalah kesan daripada aspek pembangunan negara dari sudut sosio-
ekonomi. Tidak dinafikan pembangunan adalah sesuatu yang amat penting bagi mewujudkan
masyarakat dan negara yang maju. Malaysia selepas mencapai kemerdekaan telah
menumpukan perhatian untuk membangunkan ekonominya bagi mewujudkan pembangunan
sosial, keseimbangan antara kaum dan meningkatkan pendapatan rakyat. Kesan dari
pembangunan yang pesat telah menyebabkan berlakunya proses urbanisasi, industrilisasi dan
penghijrahan masyarakat dari luar bandar ke bandar.
Kesan positif dari pembangunan ini memang tidak dinafikan, tetapi kesan negatifnya tetap ada,
antaranya berlaku peningkatan gejala sosial di dalam masyarakat. Krisis moral ini berlaku
apabila sesetengah pihak hanya melihat pembangunan itu dari perspektif kebendaan semata-
mata atau bertujuan untuk memaksimakan keuntungan. Mereka yang didorong dengan motif
mencari keuntungan tidak langsung peka kepada soal pembentukan akhlak masyarakat.. Apa
tidaknya, peniaga yang dahagakan keuntungan yang berlipat kali ganda telah mengadaikan
prinsip moral menjual VCD lucah dan membuka kelab-kelab hiburan yang menghidangkan arak
secara berleluasa, wanita GRO dan tempat pengedaran pil ekstasi. Akibatnya, ia menjadi pusat
keruntuhan akhlak. Ia telah meruntuhkan usaha-usaha pihak lain termasuk kerajaan untuk
membina masyarakat yang berakhlak mulia.

Untuk menyelesaikan masalah di atas, kita harus kembali kepada konsep pembangunan
Islam yang holistik, iaitu meliputi aspek-aspek moral, spiritual dan material. Pembangunan
harus berorientasikan kepada peningkatan martabat manusia sampai ke tingkat yang setinggi-
tingginya dalam semua dimensi. Aspek-aspek moral dan material, ekonomi dan sosial serta
spiritual dan fizikal tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Yang menjadi fokus utama
dalam pembangunan adalah manusianya bukan hanya dinilai dari sudut peningkatan kadar
pertumbuhan ekonomi sebagai indikator pembangunan (Khurshid Ahmad, 1982). Melalui
pendekatan pembangunan Islam yang holistik, berorientasikan nilai dan pelbagai dimensi itu
diharapkan ia mampu membentuk akhlak masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut
materialnya tetapi turut maju dalam aspek akhlaknya.
Kemajuan yang hanya menekankan satu dimensi adalah kemajuan yang tempang, yang
akhirnya akan merosakkan kemajuan kebendaan. Penumpuan yang keterlaluan kepada aspek
kebendaan hanya menjadikan manusia sebagai binatang ekonomi seperti mana yang wujud
dalam kapitalisme. Ekonomisme merupakan dasar falsafah kapitalis Barat yang membawa
manusia menyembah kebendaan.

Kelima adalah kesan daripada keruntuhan institusi kekeluargaan. Institusi


kekeluargaan yang roboh adalah antara elemen yang memberi cabaran utama penghayatan
dan amalan nilai-nilai murni. Institusi kekeluargaan yang telah runtuh akan mendatangkan
masalah yang besar kepada amalan nilai-nilai murni remaja kerana tidak ada orang yang akan
memberitahu dan mengajar mereka apa yang baik dan apa yang buruk.
Umum mengetahui peranan pembentukan akhlak masyarakat tidak hanya terletak
kepada institusi formal semata-mata tanpa diiringi dan dibantu oleh institusi keluarga. Institusi
keluarga yang diterajui oleh bapa dan ibu wajib memainkan peranan yang utama dalam
membentuk akhlak anak-anaknya, kerana masyarakat sebenarnya adalah jelmaan dari set-set
keluarga. Keruntuhan akhlak masyarakat Barat umpamanya berpunca dari runtuhnya institusi
keluarga mereka yang telah gagal melahirkan manusia yang beradab. Hakikat ini dinyatakan
oleh Ferdinand Lundberg apabila beliau membuat kesimpulan bahawa institusi keluarga
sekarang mendekati titik kemusnahan yang menyeluruh (Tofler, 1970).
Kalau di Barat institusi keluarga mereka sudah tidak dapat diharapkan lagi untuk
melahirkan manusia yang berakhlak, bagaimana pula realiti institusi keluarga di negara ini?.
Satu kesimpulan yang umum dapat dibuat ialah institusi keluarga di negara ini sedang bergerak
mengikut trend di Barat. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor, antaranya kesan dari
pembangunan kebendaan dan pengaruh globalisasi yang melahirkan manusia yang tidak
mengambil berat soal-soal agama dan bersifat kebendaan. Akibatnya, terdapat ibu bapa yang
tidak menghiraukan sangat soal pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak mereka.
Mereka beranggapan faktor utama kebahagiaan itu terletak kepada kemewahan hidup.
Justeru itu, mereka lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan mempunyai
sedikit masa dengan anak-anak. Anak-anak yang terabai ini kemudiannya mencari
keseronokan di luar rumah, lebih mendampingi rakan sebaya mereka lantas dipengaruhi oleh
persekitarannya yang dominan dan akhirnya terjebak dalam krisis moral. Kadar penceraian
yang semakin meningkat, bertambahnya kes-kes penderaan terhadap isteri, kes khalwat yang
meningkat, anak lari dari rumah, penyalahgunaan dadah yang saban tahun terus meningkat.
Kesemua gejala tersebut adalah di antara indikator-indikator berlakunya keruntuhan dalam
institusi keluarga di negara ini. Rumah tangga sudah tidak lagi menjadi tempat aman bagi
keluarga untuk menikmati kebahagiaan dan kedamaian hidup. Rumah tangga tidak lagi menjadi
‘syurga’ tetapi ‘neraka’ yang akhirnya melahirkan gejala sosial yang telah disebutkan.
Keharmonian rumah tangga terletak di atas tanggungjawab kaum lelaki, tetapi
malangnya kaum lelaki yang sepatutnya berperanan sebagai ketua rumah tangga sedang
mengalami krisis kredibiliti, ramai yang dirosakkan oleh najis dadah, suka berfoya-foya, kaki
pukul dan dilanda dengan krisis moral yang lain. Apakah lelaki begini mampu mengetuai
sebuah rumah tangga yang berperanan sebagai bapa dan suami bagi mendidik anak dan
isterinya menjadi seorang yang berakhlak? Bagi melahirkan generasi yang berakhlak, peranan
institusi keluarga amat penting ke arah mencapai matlamat tersebut. Institusi keluarga perlu
diperkasa semula melalui pelbagai strategi sama ada dilakukan oleh pihak kerajaan atau
pertubuhan-pertubuhan agama dan sosial.
Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga perlu diberi latihan secukupnya bagi
mendedahkan mereka kepada tanggungjawab suami isteri serta ilmu dalam mengurus rumah
tangga. Di Malaysia banyak pusat latihan telah ditubuhkan, tetapi tidak ada satu pun pusat
latihan yang khusus ditubuhkan untuk memberi latihan bagi memperkasa pengurusan rumah
tangga sama ada untuk mereka yang hendak mendirikan rumah tangga atau sudah
berumahtangga. Latihan ini amat penting dilakukan bagi menyediakan suasana rumah tangga
yang mampu membentuk keperibadian manusia unggul.
Golongan wanita juga perlu membuat muhasabah peranan mereka yang utama pada
hari ini sama ada untuk berpartisipasi secara aktif dalam kegiatan luar rumah dengan
mengabaikan tanggungjawab asasi mereka sebagai ibu dan isteri atau mengutamakan kedua-
duanya atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga bagi mendidik anak-anak
menjadi manusia yang berguna. Apa pun zamannya, golongan wanita tidak boleh melupakan
hakikat bahawa mereka adalah mahaguru pertama kepada anak-anaknya. Tanggungjawab
mereka yang asasi adalah membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu pengetahuan.

3.0 Penutup
Dalam keghairahan mengejar kemajuan, kita jangan alpa tentang peri pentingnya
peranan dan pemupukan nilai akhlak dalam masyarakat. Akhlak adalah pengukur kepada
kemajuan, kerana ia berperanan penting melahirkan manusia yang mengamalkan nilai-nilai
hidup yang baik serta berperanan mencetus kemajuan. Pembentukan nilai akhlak harus
menjadi agenda nasional dan perlu kesepaduan usaha dari semua pihak. Untuk membina
masyarakat yang berakhlak kita perlu suasana yang konstruktif kepada nilai itu berkembang
dan berusaha untuk menyekat suasana yang boleh mengikis nilai-nilai akhlak. Kita harus
mengingati selalu kata-kata seorang penyair Mesir, Syauqi Bey yang berkata; "Sesungguhnya
bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah lenyap, maka lenyap pulalah bangsa
itu".

Bibliografi
1. Ali Shariati, 1980. Marxism and other Western Fallacies. Berkeley: Mizan Press.
2. Khurshid Ahmad, 1982. “Islam and the chellenge of economic development” dalam Islam in
transition, Muslim perspectives (ed) John. J. Donohue dan John L. Esposito. New York: Oxford
University Press.
3. Muqdad Yaljan. 1986. Peranan pendidikan akhlak Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
4. Hasan Mohd Ali (2000). Mendidik Anak-Anak, Kuala Lumpur: Sabha DTP Services Sdn Bhd
5. Abdul Rahim M.Ali (2001). Ilmu Pendidikan DPM, Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors Sdn Bhd.
6. Peters, P. (1987). Moral development and moral education. London: Allen &
Kegan Paul.
7. Tam, Y.K. (2006). Pendidikan Moral: Konsep dan pedagogi Pendidikan Moral untuk pelajar-
pelajar KPLI, LPBS dan PISMP Maktab-maktab Perguruan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

(Sumber: http://mikepjeduworld.blogspot.com/2012/11/kkp-elm-3104.html, 16 Oct. 2013)


Posted by Dr Abd Shatar Che Abd Rahman.,AAP at 18:04
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest

No comments:

Post a Comment