Anda di halaman 1dari 2

Harga barang semakin hari semakin meningkat.

Berikan pendapat anda tentang langkah-


langkah mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik.
_____________________________________________________________________
Pada alaf baharu ini, harga barang semakin meningkat secara mendadak dari sehari ke
sehari. Hal ini berpunca daripada permintaan terhadap sesuatu produk yang mencatatkan
peningkatan sedangkan pengeluarannya tidak berlandaskan kadar permintaan di pasaran.
Sehubungan dengan itu, masyarakat terkena akan tempiasnya kerana kuasa beli mereka
menjadi lebih terhad. Oleh hal yang demikian, rakyat haruslah mengambil inisiatif supaya
perbelanjaan keluarga dapat diurus dengan baik.
Pertama sekali, kita haruslah berbelanja mengikut keperluan. Sekiranya kita mempunyai
keghairahan untuk memiliki sesuatu barang demi memenuhi kehendak nafsu sendiri, maka
mustahillah kita berdaya upaya untuk menampung keperluan seharian yang menelan belanja
yang besar. Oleh hal yang demikian, amatlah wajar seseorang merancang perbelanjaan
sebelum membeli-belah di pasar raya. Tuntasnya, perbelanjaan yang berdasarkan keperluan
merupakan hasil daripada pengurusan perbelanjaan yang bijak dan berhemat.
Selain itu, kita juga patutlah membelanjakan wang berpandukan bajet yang ditetapkan.
Kita tidak seharusnya mempraktikkan amalan berbelanja secara boros kerana amalan tersebut
akan mengakibatkan kita terperangkap dalam krisis kewangan malahan banyak yang didapati
berhutang kepada ahli keluarga, rakan sebaya, saudara-mara dan sebagainya. Jikalau kita
tidak mempunyai pendapatan yang memuaskan atau rendah, usahlah kita meniru gaya
berbelanja golongan yang berada seperti jutawan, pengusaha syarikat antarabangsa dan
golongan yang berstatus tinggi. Sesungguhnya, masyarakat yang berbelanja mengikut bajet
merupakan pengguna yang pintar.
Di samping itu, perbandingan harga produk sebelum membeli juga merupakan langkah
yang efektif untuk menguruskan perbelanjaan keluarga. Ketika membeli barangan baik produk
elektronik mahupun barang keperluan seharian seperti beras, minyak masak dan sayur-sayuran,
kita perlulah membandingkan harga produk pelbagai jenama agar kita dapat memperoleh
sesuatu barang yang bermutu dengan harga yang lebih murah. Selain harga produk, pengguna
sewajarnya menitikberatkan kualiti serta tarikh luput barangan.
Seterusnya, aktiviti berkebun secara kecil-kecilan di halaman rumah juga mampu
menjimatkan perbelanjaan seharian keluarga. Hal ini demikian kerana seisi keluarga tidak
perlu memperoleh sumber vitamin, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual dengan mahal
sekali di pasar tani. Dengan amalan berkebun yang berterusan, masyarakat dapat menikmati
hasil titik peluh sendiri yang lebih organik kerana bebas daripada racun serangga dan racun
rumpai. Hasil yang berlebihan pula boleh dijual kepada peniaga sayur-sayuran di pasar tani
atau di pasar pagi. Tambahan pula, bercucuk tanam juga mampu mendatangkan pendapatan
tambahan kepada sesebuah keluarga.
Intihanya, terdapat pelbagai langkah yang berkesan untuk menguruskan perbelanjaan
keluarga dengan baik. Justeru, pelbagai lapisan masyarakat haruslah berbelanja secara
berhemat agar kehidupan kita tidak terjejas dengan teruk sekali akibat kenaikan harga
barangan di pasaran tempatan, bak kata ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
1. Sudah menjadi lumrah manusia menyukai sesuatu yang menarik, cantik, sedap mata
memandang khususnya kaum wanita kerana manusia bukanlah ‘haiwan robotik’ yang tidak
mempunyai jiwa dan rasa jadi kecenderungan untuk memiliki sesuatu yang sedemikian amat
tinggi bagi setiap individu. Memiliki dalam konteks ini ialah membeli namun apakah medium
yang digunakan oleh kita untuk membeli? Penggunaaan wang tunai dan juga penggunaan kad
kredit merupakan antara medium yang dominan bagi urusan jual beli zaman muasir ini. Namun
penggunaan kad kredit kini telah disalah gunakan. Majoriti daripada kita menggunakan kad
kredit untuk berbelanja barang keinginan bukan barang keperluan. Tahukah anda penggunaan
kad kredit menyebabkan kita tidak menghadkan tahap perbelanjaan kerana mentaliti kita
ditanam bahawa kad kredit mempunyai tahap maksima dan kita masih tidak mencapai tahap itu?
Justeru, kita perlu mengelakkan diri daripada menggunakan kad kredit semasa berbelanja.

2. Selain itu, merekod perbelanjaan kita pula merupakan salah satu modus operandi yang
terbaik bagi menguruskan kewangan kita ketika krisis kewangan. Masalah sukar menyimpan
wang merupakan salah satu masalah yang tidak asing bagi kita khususnya pelajar mahupun
pekerja milenium ini. Majoriti pelajar kini khususnya yang sedang melanjutkan pelajaran di
institut pengajian tinggi sering merungut kehabisan wang pinjaman pelajaran. Senario sama
berlaku kepada majoriti pekerja yang kehabisan wang dalam masa yang singkat menyebabkan
mereka mengikat perut walhal mereka tidak sedar ke mana wang mereka mengalir. Justeru,
kita perlu mengambil langkah sederap bagi mengelakkan fenomena ini berterusan dengan
merekod perbelanjaan kerana jika perkara ini tidak dibendung dengan segera, bilangan
individu yang mengalami masalah kewangan akan bertambah dan hanya segelintir individu yang
mampu menanganinya.

3. Belilah barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah.
Misalnya ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi
mendapatkan lebih penjimatan. Selain itu, pengguna juga perlu sentiasa membuat pemantauan
harga dan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar
atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini pengguna dapat membeli barangan yang sama
dengan harga yang lebih murah.

4. Selain itu, elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika
pengguna berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Hal ini dikatakan demikian kerana
berbelanja dalam suasana begini akan mendorong pengguna untuk membeli barangan yang
tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan pengguna.

Anda mungkin juga menyukai