Anda di halaman 1dari 3

Adakah itu pendakwah sebenar?

Islam Agama Ilmiah

Tidak dinafikan bahawa sesiapa sahaja yang telah mencium haruman


sunnah akan membela dan mempertahankannya. Apatah lagi jika yang
dihina itu adalah Nabi yang menjadi rujukan sunnah maka sudah tentu
kita akan melenting kepada sesiapa sahaja yang menghinanya. Namun
perlu diingat, Islam ini agama yang bersifat ilmiah bukan emosi. Di dalam
al-Qur'an terlalu banyak ayat yang menyuruh manusia berfikir dan
menaakul. Bahkan Islam menggalakkan penganutnya berdialog dan
berjidal untuk sampai kepada kebenaran. Islam menegur orang kafir
Jahiliyyah yang tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memilih
agama. Firman Allah yang bermaksud: "Apabila dikatakan kepada
mereka (orang kafir) marilah (ikuti) apa yang telah diturunkan oleh Allah,
mereka menjawab: "Bahkan (biarkanlah) kami mengikuti apa yang kami
dapati nenek moyang kami lakukan", walaupun nenek moyang mereka
itu tidaklah berakal dan tidak juga mendapat petunjuk". (al-Baqarah: 107)

Mendabik Dada

Apa yang mendukacitakan, masih terdapat lagi beberapa golongan yang


mendabik dada menganggap diri mereka "pendakwah Islam yang
sebenar" tidak bersikap ilmiah dalam menghukum dan berdakwah.
Hukuman dan pandangan yang dilontarkan kadang-kadang tidak
berdasarkan bukti yang benar. Sedangkan Allah mengingatkan: Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu
telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Taksub dan Bengis

Pendakwah seperti ini sebenarnya tanpa mereka sedar telah


mencemarkan keindahan Islam. Mereka mencerminkan seolah-olah
Islam ini garang dan bengis. Melihat rupa mereka, cara mereka tidak
tergambar bahawa Islam itu rahmat bagi alam. Mereka memaki,
mencerca orang yang tidak sealiran dengan mereka. Nabi
bersabda: "Bukanlah mukmin itu seorang yang suka mengumpat,
melaknat, memaki dan kasar kata-katanya". (Hadis riwayat Ahmad, no.
hadis: 3984, dinilai sahih oleh Syuaib al-Arnaut dan al-Albani).

Islam Sentiasa Memberi Peluang

Perkara yang perlu diketahui oleh semua ialah Islam sentiasa memberi
ruang taubat kepada penganutnya yang berdosa. Selagi mana matahari
tidak terbit dari barat maka selagi itulah pintu taubat masih terbuka luas.
Jangan kita sempitkan ruang taubat itu, jangan pula kita menjual tiketnya
dengan harga yang mahal. Tidakkah mereka tahu bahawa majoriti ulama
mensyaratkan istitabah (meminta orang murtad taubat) sebelum
melaksanakan hukuman murtad? Jika orang yang jelas murtad dengan
sengaja, masih lagi diberi ruang untuk taubat, apakah mereka yang
tersilap memilih perkataan tidak mempunyai ruang untuk dinasihati
sebaliknya berhak untuk dikafirkan tanpa perlu bertanya apakah
maksudnya dengan perkataan itu?

Barangkali mereka ini tidak pernah membaca kisah Hatib bin Abi
Balta'ah sewaktu Nabi dan para sahabat ingin membuka kota Mekah.
Saya bawakan kisah ini untuk renungan kita bersama:

Daripada Ali bin Abi Talib: Nabi s.a.w mengutuskan aku, Zubair dan
Miqdad bin Aswad dengan berkata: "Pergi kamu semua sehingga
sampai ke Raudhah Khakh (tempat antara Mekah dan Madinah), di sana
ada seorang perempuan padanya ada sepucuk surat. Ambil surat itu
daripadanya". Kami pun lantas menaiki kuda sehingga sampai
ke Raudhah, lalu kami menjumpai perempuan itu dan kami meminta
surat daripadanya. Dia berkata: "Aku tidak membawa apa-apa surat".
Kami katakan: "Berikan kami surat atau kami campak baju kamu (untuk
mencarinya)!". Lalu dia mengeluarkan surat itu dari sanggulnya. Kami
mengambilnya dan serahkannya kepada Nabi s.a.w. Surat itu adalah
surat Hatib bin Abi Baltaah (muslim) kepada Musyrikin Mekah yang
mana dia memberitahu mereka perancangan Nabi s.a.w. Nabi
bertanya: "Wahai Hatib, apakah semua ini?". Dia menjawab: Wahai
Rasulullah, jangan terlalu cepat menghukumku. Sesungguhnya aku
mempunyai perjanjian dengan Quraisy dan aku bukan dari golongan
mereka. Sedangkan golongan Muhajirin lain mempunyai saudara-mara
yang menetap di Mekah yang boleh diharapkan untuk melindungi
keluarga dan harta mereka di Mekah. Jadi oleh kerana aku tidak
mempunyai hubungan nasab dengan mereka, aku lakukan ini semua
(menulis surat) kerana ingin menjadikan mereka sebagai penjaga bagi
keluargaku (kerana Quraisy akan anggap dia tali barut mereka). Aku
tidak lakukan ini semua kerana kufur, murtad atau redha dengan kufur
selepas aku diberikan Islam. Nabi menjawab: "Sesungguhnya dia (Hatib)
telah bercakap benar kepada kamu semua (Muslimin)". Kata Umar:
"Biarkan aku penggal tengkuk munafik ini wahai Rasulullah". Sabda
Nabi: "Sesungguhnya dia (Hatib) telah menyertai Badar, tidakkah
engkau (wahai Umar) tahu barangkali Allah melihat sekalian ahli Badar
dan berkata: "Buatlah apa yang kalian mahu, sesungguhnya Aku telah
mengampunkan kamu semua"". (Hadis riwayat Bukhari, no. hadis: 2845)

Ya perbuatan Hatib ini pada zahirnya kufur sehingga Umar ingin


bertindak ke atasnya, tetapi Nabi s.a.w masih memberi ruang untuknya
membela diri. Setelah dia menjelaskan, maka jelas bahawa
perbuatannya itu bukan kerana bencikan Islam tetapi kerana terdesak.

Justeru, berilah peluang wahai sahabat kerana PASTI satu hari nanti kita
juga tersalah dan memohon ruang dan peluang dari orang lain.

Rozaimi Ramle
28 September 2012
Amman, Jordan

Anda mungkin juga menyukai