Anda di halaman 1dari 2

Sejak akhir-akhir ini, wabak penyakit berjangkit seperti denggi dan chikung.

unya semakin berleluasa


di negara kita. Jangkitan penyakit biasanya berlaku apabila bakteria, virus, atau protozoa masuk ke
dalam tubuh manusia lalu menyebabkan tindak balas dalam badan. Jika daya tahan badan kita
terhadap penyakit adalah lemah, kita akan jatuh sakit. Keadaan ini mungkin membawa maut kepada
pesakit jika lewat mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital. Pada umumnya, penyakit
berjangkit dapat dikawal dengan cara-cara yang tertentu. Oleh itu, cara-cara untuk mengatasi
masalah penyakit berjangkit ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, kemajuan perubatan dapat mengatasi masalah penyakit berjangkit yang
semakin berleluasa di negara kita. Kita boleh mendapatkan suntikan atau imunisasi penyakit
berjangkit untuk menjamin kesihatan kita. Dengan ini, kita akan lali terhadap penyakit tertentu
melalui suntikan imunisasi ini. Sebagai contohnya, suntikan imunisasi seperti suntikan B.C.G. dapat
mencegah penyakit tibi. Suntikan imunisasi hepatitis membolehkan kita menjauhi penyakit hepatitis
yang disebabkan oleh makanan, khususnya makanan laut yang tercemar. Di samping itu,
pencegahan penyakit berjangkit dapat dilakukan dengan pengambilan antibiotik seperti
streptomaisin, penisilin, dan kloromaisin. Tambahan lagi, kita wajar menjalani pemeriksaan
kesihatan secara berkala. Tindakan ini dapat mengelakkan diri kita daripada dijangkiti penyakit
berjangkit, bak kata pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

Seterusnya, kita mestilah menjaga kebersihan dan kesihatan diri untuk mengelakkan diri daripada
diserang wabak penyakit berjangkit. Penyakit kulit seperti kurap dan panau mudah merebak jika
seseorang tidak mementingkan kebersihan tubuh badan. Amalan mandi sekurang-kurangnya dua
kali sehari dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi barang peribadi dengan orang lain seperti
tuala dan pakaian dapat mengelakkan penyakit kulit merebak kepada seseorang. Dalam pada itu,
kawasan tempat tinggal kita hendaklah sentiasa bersih. Rumah yang bersih dapat mengelakkan
penghuninya daripada penyakit deman denggi, chikugunya dan malaria. Di samping itu, senaman
yang secukupnya dapat menguatkan daya tahan badan seseorang terhadap penyakit. Kita hendaklah
bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan kiraan masa sekurang-kurangnya 30 minit
pada setiap sesi. Kita harus sedar bahawa kebersihan merupakan cermin diri kita dan tiada yang
lebih baik daripada kesihatan.

Selanjutnya, wabak penyakit berjangkit dapat dicegah melalui amalan mementingkan kebersihan
alam sekitar. Pencemaran sungai yang biasanya berlaku di kawasan setinggan menyebabkan sumber
air akan tercemar. Penduduk di kawasan itu pula akan menggunakan sumber air dari sungai yang
berhampiran untuk kegunaan harian. Pada masa yang sama, mereka turut membuang sampah
secara merata-rata di kawasan setempat dan sungai tersebut. Akibatnya, kes-kes taun mudah
berlaku. Persekitaran yang kotor pula akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Sebagai
contohnya, kawasan penternakan khinzir yang kotor mendorong pembiakan virus Nipah. Virus
tersebut telah menyebabkan banyak nyawa terkorban pada tahun 1999. Oleh itu, kita haruslah
menjadi masyarakat bertanggungjawab melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan hidup kita.

Wabak penyakit berjangkit juga dapat dihindari melalui amalan pemakanan yang sihat. Aspek utama
yang perlu diberikan perhatian ialah kebersihan makanan yang kita makan. Makanan yang bersih
dapat mengelakkan pemakannya daripada keracunan makanan dan menghidap penyakit hepatitis.
Dalam pada itu, makanan dan air mesti dimasak dan hendaklan sentiasa ditudung untuk
mengelakkan kes keracunan makanan. Sebagai contohnya, sayur-sayuran dan buah-buahan
hendaklah dibasuh dengan betul untuk menyingkirkan racun perosak atau bahan-bahan kimia
padanya. Sekiranya makan diluar, pilihlah gerai makan yang terjamin kebersihannya. Perkara ini
tidak boleh dipandang enteng kerana kesihatan lebih berharga daripada segala-galanya.
Selain itu, wabak penyakit berjangkit seperti selsema burung, H1N1, dapat dilakukan dengan
mengkuarantinkan dan mengasingkan pengidap penyakit tersebut daripada orang awam agar
penyakit tersebut tidak merebak kepada orang lain. Sekirannya tindakan ini diambil, pastinya
penyakit ini dapat dikawal dan tidak akan disebarkan kepada orang lain dan juga ke negara-negara
lain. Seterusnya, keadaan ini tidak akan menjejaskan kesihatan manusia malahan industri
pelancongan juga tidak terjejas. Selanjutnya, pihak berkuasa setiap negara juga perlu membuat
pemeriksaan yang ketat dan menyediakan alat pengimbas di pintu-pintu masuk utama negara
masing-masing. Sebagai contohnya, alat pengesan haba 'thermoscan' perlu diletakkan di lapangan-
lapangan terbang antarabangsa seperti di KLIA. Alat pengimbas tersebut berupaya untuk mengesan
pelancong yang masuk sekiranya mereka dijangkiti oleh penyakit tersebut. Sekiranya mereka telah
dijangkiti oleh penyakit tersebut, maka mereka perlu dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan
dan juga dikuarantin.

Kesimpulannya, kesihatan merupakan aset penting bagi setiap insan yang bernafas di bumi Allah ini.
Kekayaan tidak dapat membeli kesihatan. Malangnya, kes-kes wabak berjangkit masih berlaku dari
semasa ke semasa. Oleh itu, kempen haruslah diadakan untuk menggalakkan amalan hidup yang
sihat dalam kalangan masyarakat. Kita tidak boleh memandang sebelah mata sahaja terhadap
masalah ini kerana penyakit berjangkit boleh mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa.
Mudah-mudahan, kesedaran dan keinsafan akan bersemarak dalam jiwa setiap warga untuk
bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat. (736 patah perkataan)

Copy and WIN : http://bit.ly/copy_win

Anda mungkin juga menyukai