Anda di halaman 1dari 17

Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)

Gerik, Perak, 3 April 2014

METODOLOGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


MENURUT PERSPEKTIF ISLAM : KEBITARAAN
PENDEKATAN RASULULLAH S.A.W SEBAGAI PENDIDIK

Mohd Rashidi bin Omar1, Nor Azizah binti Shamli2,


Saniah binti Mohammed Shahid3
1
Mohd Rashidi bin Omar
Kolej Komuniti Chenderoh
shidi_omar@yahoo.com
2
Nor Azizah binti Shamli
Kolej Komuniti Chenderoh
norshamli@ yahoo.com
3
Saniah binti Mohammed Shahid
Kolej Komuniti Chenderoh
saniahm.shahid@gmail.com

ABSTRAK

Pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P)


sentiasa berubah dengan pelbagai kaedah pedagogi dan andragogi
terutamanya dari barat diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran. Malangnya teknik dan pendekatan
P&P menurut perspektif Islam kurang ditonjolkan dalam sistem
pendidikan. Justeru, kertas kerja ini ditulis bertujuan untuk
memperkenalkan kaedah dan teknik-teknik mendidik gaya Nabi
Muhammad berpandukan hadis. Antara metodologi atau teknik
pengajaran Nabi Muhammad adalah penyampaian berasaskan
sumber yang agung Al Quran dan As Sunnah, teknik komunikasi
yang jelas dan mudah, teknik galakan dan ancaman, teknik
suruhan dan tegahan, teknik bercerita dan metafora, teknik isyarat
dan lakaran, teknik uswah hasanah, teknik memuji, teknik
menegur dengan menerangkan, teknik penyelesaian masalah,
teknik menjaga maruah.

Kata Kunci : Pengajaran dan Pembelajaran, Teknik Pengajaran Nabi


Muhammad.

1
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

PENGENALAN

Proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa mengalami perubahan selaras


dengan hasrat negara bagi melahirkan generasi yang bersedia menghadapi
cabaran baru dalam era globalisasi. Tugas seorang pendidik dalam proses
pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga
melahirkan pelajar yang holistik, berdaya saing dan memenuhi keperluan
pasaran. Nilai tambah dalam matlamat pengajaran dan pembelajaran ini
mewajarkan usaha untuk menambahbaikkan proses pengajaran dan
pembelajaran, yang memerlukan pendidik menggabungkan pelbagai
pendekatan pengajaran ( Maria Chong ) .

Pembentukan kurikulum yang bersepadu tidak lengkap dan sempurna jika


kaedah pengajaran dan pembelajaran tidak dititiberatkan. Penguasaan ilmu
dan pembentukan peribadi yang sempurna bukan sahaja berpunca daripada
ketokohan dan keperibadian guru bahkan berpunca daripada kurikulum yang
lengkap serta disokong oleh kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran
yang sempurna ( Dr. Hj. Abdullah 1989).

Islam tidak pernah meminggirkan teknologi dan perkembangan terkini untuk


menghasilkan kaedah pendidikan yang terbaik. Walau bagaimanapun, kaedah
Pengajaran dan Pembelajaran yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. perlu
dijadikan asas dan rujukan. Ini kerana Baginda s.a.w. merupakan model
terbaik yang mengajak umat Islam mengamalkan ajaran Islam dan akhlak
Islamiyyah.

Kejayaan pendidikan Rasulullah s.a.w selain berkait rapat dengan


kebijaksanaan baginda sendiri, kejayaan itu juga berkait rapat dengan dirinya
sebagai utusan Allah S.W.T . Faktor ini menjadikan metodologi dan teknik
yang digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w mendapat sokongan wahyu al
Quran (Kamarul Azmi, 2007).

Hal ini jelas dinyatakan dalam firman Allah S.W.T dalam surah an Najm yang
bermaksud :

Dan ia tidak memperkatakan ( sesuatu yang berhubung agama Islam)


menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu
( sama ada al Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
kepadanya.
(An Najm, 53:3-4)

Sokongan wahyu yang dijelaskan oleh Allah S.W.T ini membawa maksud
bahawa pendidikan Rasulullah s.a.w kepada para sahabatnya merupakan
pendidikan yang dipimpin sendiri oleh Allah S.W.T. Oleh sebab itu Allah
mencipta sekalian alam termasuk manusia, sudah tentu Dia Maha mengetahui
teknik yang terbaik untuk mendidik umatnya.

2
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Justeru, baginda mempunyai bahan pengajaran yang lengkap yang sedikit pun
tidak ada kekurangan. Hal ini disebabkan oleh wahyu tersebut datang daripada
Allah S.W.T. Al Quran ialah kitab Allah yang tidak sedikitpun mempunyai
kekurangan dan keraguan.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al An’am yang bermaksud :

Tiadalah kami alpakan suatu pun dalam al Kitab. ( Al An’am, 6 : 31)

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Kamarudin Hj. Husin mendefinisikan proses pengajaran adalah satu


pergerakan lakuan mengajar yang dilakukan oleh-oleh guru di dalam bilik
darjah. Dalam satu pengertian yang lebih luas, proses pengajaran biasanya
melibatkan beberapa aktiviti penting, umpamanya aktiviti perancangan,
aktiviti perlaksanaan, aktiviti menilai dan aktiviti mendapatkan maklum balas.

Secara umum, pengajaran bermaksud menyampaikan pengetahuan,


kemahiran, sikap, dan nilai yang dijangka akan membawa perubahan dalam
diri pelajar. Pengajaran boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara, iaitu dengan
memberi penerangan, bercerita, menunjukajar, mengadakan perbincangan, dan
memberi bimbingan terhadap proses pembelajaran pelajar atau gabungan cara-
cara di atas. Justeru, Reigeluth dan Carr-Chellman (2009) menjelaskan
bahawa pengajaran merupakan proses bagi membantu pelajar membina
pengetahuan dan juga apa sahaja aktiviti yang bertujuan untuk menjana
pembelajaran ( Maria Chong ).

Manakala pembelajaran pula adalah satu proses mengakumulasi maklumat dan


pengalaman secara berterusan yang berlaku dalam diri seseorang sejak ia
dilahirkan ( Kamarudin Hj. Husin, 2004). Pembelajaran yang berkesan saling
berkaitan rapat dengan proses pengajaran yang disampaikan oleh pendidik
melalui kaedah atau pendekatan pengajaran yang digunakan oleh seseorang
pendidik.

Kaedah atau pendekatan mengajar adalah juga elemen yang penting dalam
proses pengajaran. Ia harus dapat dikenal pasti dan dipilih daripada yang
terbaik supaya ianya berkesan, sesuai dengan kecerdasan, minat, keadaan
pelajar, persekitaran pembelajaran dan isi yang hendak disampaikan.

Al Abrasyi mendefinisikan kaedah pengajaran sebagai jalan diikuti untuk


memberi faham kepada para pelajar. Mohamad Abdul Rahim Ghunaimah
menyatakan, kaedah ialah satu cara yang praktis yang boleh melaksanakan
tujuan pengajaran. Al Jumbalathy dan Abu al Fath al Tawansy mentakrifkan
sebagai cara-cara yang diikuti oleh guru bagi menyampaikan maklumat
kepada pelajar ( Ghazali Darusalam, 2001).

Tujuan pengajaran dan pembelajaran adalah untuk mendapatkan ilmu ( Noor


Hisham, 2011). Menuntut ilmu pula merupakan satu kefarduan ke atas setiap

3
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

individu muslim. Justeru, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik


perlu dititikberatkan oleh para pendidik bagi memastikan ilmu yang
disampaikan berkesan dan dimanfaat dalam kehidupan manusia.

Islam telah membekalkan struktur kaedah pengajaran yang komprehensif,


sempurna dan menyeluruh. Kaedah pengajaran Islam ialah daripada struktur
penurunan al Quran serta dicontohi daripada perlakuan Rasulullah s.a.w. Ia
merupakan kaedah yang paling ulung serta amat dalam pengajaran dan
pembelajaran bagi membentuk peribadi yang serba lengkap dan sempurna.

Teknik Pengajaran Rasulullah

Rasulullah s.a.w mempunyai cara atau kaedah yang tersendiri dalam


menyampaikan pengajaran. Baginda mempunyai pelbagai kaedah atau teknik
yang bersifat kognitif ( yang bersifat atau berkait rapat dengan mental), efektif
(berkait dengan perasaan dan berbentuk psikomotor (perlakuan) (Ghazali
Darusalam 2001). Antaranya teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad
s.a.w adalah seperti berikut :

1. Teknik Penyampaian Berasaskan Al Quran Dan As Sunnah


2. Teknik Komunikasi Yang Jelas Dan Mudah
3. Teknik Galakan Dan Ancaman
4. Teknik Suruhan Dan Tegahan
5. Teknik Syarahan
6. Teknik Bercerita Dan Metafora
7. Teknik Isyarat Dan Lakaran
8. Teknik Uswah Hasanah
9. Teknik Memuji
10. Teknik Menegur Dengan Menerangkan
11. Teknik Penyelesaian Masalah
12. Teknik Menjaga Maruah

1. Teknik Penyampaian Berasaskan Al Quran Dan As Sunnah

Islam adalah agama yang bina di atas hujah dan dalil. Sumber ajaran agung Islam adalah al-
Quran dan al-Sunnah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan
tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini ( Dr Mohd Asri, 2012). Rasulullah
s.a.w sendiri menjadikan al Quran sebagai sumber utama dan asas penyampaiannya dalam
mendidik umatnya.

Teknik ini mempunyai tiga implikasi utama dalam kalangan para sahabat.

Implikasi pertama ialah ayat al Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad s.a.w memberi
kesan keyakinan yang mendalam terhadap isi kandungan penyampaian yang diajar selepas
pembacaan dalil tersebut. Al Quran sendiri adalah merupakan sumber yang tidak boleh
diragukan, ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah Al Baqarah yang bermaksud ;

Alif, Lam, Mim. Kitab al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya ( tentang datangnya dari
Allah S.W.T dan tentang sempurnanya, ia pula menjadi petunjuk bagi orang hendak bertaqwa.
(Al Baqarah, 2:1-2)

4
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Implikasi kedua ialah al Quran mampu melembutkan jiwa dan hati para pembaca serta
pendengarnya. Kemampuan al Quran melembutkan hati manusia terbukti dalam sejarah umat
Islam, antaranya peristiwa pengislaman Saidina Umar r.a yang merupakan musyrikin yang
paling kuat menentang Islam. Namun dengan kehendak Allah S.W.T hati yang keras dapat
dilembutkan untuk menerima Islam setelah membaca surah Taha ayat 1- 14 ( al Mabarkafuri,
1994: 103; al Nadwi, 1983:113) dalam Kamarul Azmi, 2007)

Implikasi ketiga ialah Allah S.W.T menegaskan bahawa al Quran itu merupakan cahaya boleh
memberikan cahaya hidayat kepada manusia. Melalui cahaya hidayat itu manusia boleh
kembali kepada Allah dan tanpanya manusia akan tersesat. Cahaya hidayat itu boleh diperoleh
daripada Al Quran ( Kamarul Azmi, 2007:42).

Firman Allah dalam surah An Nur memberikan perumpamaan cahaya al Quran itu.

Maksudnya:

“ Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti
sebuah tempat pelita yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu berada dalam kaca (dan)
kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan
minyak dari pohon yang penuh berkah, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah
timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir
menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran minyak itu sangat bening berkilau). Cahaya
di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia
kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu”. (An Nur: 35)

Keberkesanan pendidikan Rasulullah s.a.w juga berkait rapat dengan dirinya sebagai Rasul.
Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w menjadikan segala yang datang daripada Baginda s.a.w
juga dianggap sumber pendidikan dalam Islam.

Berdasarkan pandangan Imam al Nawawi dalam Kitab Riyad al Salihin dinyatakan bahawa
penggunaan sunnah adalah metodologi kedua terpenting yang digunakan oleh Rasulullah
s.a.w. Penggunaan sunnah dalam penyampaian juga dapat memberikan keyakinan terhadap isi
kandungan yang disampaikan. Penekanan terhadap sunnah dalam penghujahan pendidikan
perlu menggunakan sunnah atau hadis yang sahih atau sekurang-kurangnya berbentuk hasan
sahih ( Kamarul Azmi, 2007 : 44).

Justeru, penggunaan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad dalam penyampaian merupakan
teknik yang terbaik dan menjadikan penyampaian beliau sangat berkesan dalam memberikan
keyakinan kepada hati dan jiwa dan memudahkan lagi proses pembangunan insan dari segi
rohani dan jiwa.

2. Teknik Komunikasi Yang Jelas Dan Mudah

Komunikasi adalah kegiatan penghantaran mesej daripada seseorang kepada


seseorang yang lain. Ia juga melibatkan pemindahan makna-makna tertentu di
antara dan di kalangan orang-orang dalam sesebuah kumpulan ( Kamarudin Hj
Husin, 2003:188) . Antara ciri-ciri komunikasi yang baik dan berkesan adalah
komunikasi yang jelas dan mudah difahami oleh penerima.

Teknik ini digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk memudahkan kefahaman


kepada pelbagai gologongan dan lapisan masyarakat. Tujuan baginda adalah
untuk membangunkan semua golongan manusia mengikut pendidikan
pembangunan insan yang dikehendakinya. Melalui cara memilih jalan yang

5
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

memudahkan mereka mengikutinya, akan menambahkan keberkesanan


pengajaran baginda. Ini berasaskan kenyataan bahawa setiap manusia
mempunyai beberapa perbezaan tingkat akal dan kemampuan fizikalnya.
Justeru segala bentuk pendidikan, pengajaran, bimbingan, nasihat dan
sebagainya hendaklah disampaikan dengan kata-kata yang mudah ( Kamarul
Azmi, 2007 : 44).

Allah S.W.T sendiri memilih bidang metodologi al Quran yang


dipermudahkan dari segi bahasa, kaedah, teknik dan lain-lain agar manusia
dari pelbagai peringkat dapat mengambil pengajaran daripadanya. Firman
Allah S.W.T dalam surah al Qamar:

Dan demi sesungguhnya! Kami mudahkan al Quran untuk menjadi peringatan


dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan
pelajaran (daripadanya)? (al Qamar:32)

Rasululah s.a.w juga mengambil teknik memudahkan umatnya dengan


berpesan kepada sahabatnya yang ingin berdakwah dengan sabdanya (al
Bukhari, 1994: 30/1) yang bermaksud :

Ketika Rasulullah s.a.w. memerintahkan Sababat untuk melaksanakan salah


satu perintahnya, Baginda bersabda “…. Permudahkanlah dan jangan
memayahkan.”

Justeru, pemilihan metod ini oleh Rasulullah s.a.w. menambahkan lagi usaha
Baginda dalam penyampaiannya.

Sebagai pendidik yang baik dan berkesan, penyampaian mereka mestilah jelas,
tidak menjerit dan berbisik, menyesuaikan suara secukup-cukup untuk
didengari, tidak tergesa-gesa bercakap dan tidak terlalu perlahan dan
menggunakan bahasa yang mudah difahami dan mengikut kesesuaian tahap
pendengar.

3. Teknik Galakan Dan Ancaman

Penggunaan galakan dan ancaman atau dalam Bahasa Arab sebagai targhib
dan tarhib merupakan salah satu metode penyampaian yang paling baik dan
berkesan dalam pendidikan. Kaedah ini digunakan dengan meluas dalam hadis
Nabi.

Perkataan targhib berasal dari Bahasa arab diambil daripada kata kerja
raghghaba yang bermaksud menjadikannya suka atau hendak atau
memberikan sesuatu apa yang dia sukai ( Ibnu Mandhur, 1990: 422/1; al
Bustani, 1956:251.

Metodologi teknik targhib yang oleh al Munziiri (1990):11) merupakan suatu


galakan dan ransangan kepada manusia agar sentiasa bersifat dengan sifat
yang mulia, mengikut al Quran dan Sunnah serta sentiasa mengutamakan
kebaikan agar dapat menjadi ikutan.

6
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Manakala perkataan tarhib pula berasal dari Bahasa Arab dan


diambilndaripada perkataan rahhaba yang membawa maksud menakut-
nakutkan (Ibnu Mandhur, 1990: 438/1. Al Bustani, 1956:265). Al Munziri
(1990):11) pula mentakrifkan tarhib sebagai menakutkan daripada bersifar
dengan sifat keji yang meninggalkan sunnah dengan melakukan perkara
bid’ah dan mengikut hawa nafsu serta menakutkan orang yang mengutamakan
perbuatan jahat dan menjadi ikutan kepada yang lain.

Al Nawawi berpendapat bahawa teknik targhib perlu diutamakan berbanding


tarhib dari segi metodologi penyampaian pendidikan dengan nisbah 6:4
(Kamarul Azmi,2002;82). Prinsip ini selari dengan prinsip sunnah Rsulullah
s.a.w. dalam sabdanya (al bukhari,1994:30/1),

Apabila baginda mengutuskan seseorang daripada sahabat-sahabatnya untuk


melaksanakan sesuatu suruhannya, baginda berkata, “Sampaikanlah khabar
gembira dan janganlah menakut-nakutkan….” (Al Bukhari)

Contoh teknik targhib dan tarhib yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w adalah
hadis al Bukhari, 1994:177/8) yang maksudnya :

Daripada Abu Hurairah r.a katanya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,


“Semua umatku akan masuk syurga kecuali sesiapa yang enggan (tidak
suka)? Baginda ditanya, “Siapa orang yang enggan itu wahai Rasulullah?
Sabdanya: “Sesiapa yang taat kepadaku dapat masuk syurga dan sesiapa
yang tidak taat pada ajaranku maka sesungguhnya dia enggan.” ( Al Bukhari)

Dalam hadis di atas, Nabi Muhammad s.a.w menggunakan teknik galakan


( targhib) dan ancaman ( tarhib) secara serentak. Galakan dalam hadis tersebut
ialah Baginda s.a.w mengembirakan umatnya yang taat setia kepada ajarannya
dengan syurga. Manakala ancaman dinyatakan dengan menakutkan umatnya
yang tidak mahu mengikut ajarannya seolah-olah mereka enggan masuk
syurga.

Imam al Nawawi berpendapat bahawa teknik galakan melebihi ancaman


diperlukan kerana kepentingannya yang tersendiri. Namun terdapat juga
kepentingan menggunakan teknik ancaman dalam pendidikan bagi
menghalang umat Islam melakukan kejahatan dengan panduan yang jelas.
Justeru, perlu bagi para pendidik menggunakan teknik ancaman dalam
menyampaikan batasan agama yang berbentuk haram, makruh, larangan dan
kejian ( Kamarul Azmi, 2007:47).

4. Teknik Suruhan Dan Tegahan

Penggunaan teknik penyampaian yang berbentuk suruhan melakukan seperti


hadis yang berbunyi “Buatlah begini dan begitu” menjadi keutamaan kepada
Rasulullah s.a.w. berbanding yang berbentuk tegahan daripada melakukan
sesuatu seperti “Jangan begini dan begitu”. Pada amnya sikap manusia lebih

7
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

suka diberikan tunjuk ajar sesuatu perkara berbanding menyalahkan apa yang
mereka lakukan dalam perkara tersebut.

Contoh penggunaan yang berbentuk suruhan ialah (Abu Dawud, 1994:471/2)


yang bermaksud :

Daripada Abdullah bin Amru bahawa Nabi s.a.w. menyampaikan nasihat


kepadanya: Orang yang penyayang, Yang Maha Pengasih akan
menyayanginya, oleh itu sayangilah kamu kepada penduduk di bumi nescaya
penduduk di langit akan menyayangimu.”

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menyuruh sahabatnya supaya mengasihi sesama
manusia dengan perkataan “sayangilah”.

Manakala contoh penggunaan dalam bentuk tegahan pula ialah (al-Nasai,


1930/6) yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar r.a, daripada Nabi s.a.w. dengan sabdanya,


“Janganlahlah meminang seorang daripada kamu ke atas pinangan yang
lain.”

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w menggunakan istilah tegahan iaitu “jangan
meminang” bagi menunjuk ajar supaya beradab dalam hal meminang
seseorang wanita.

Menurut pendapat al Nawawi (2003) perlu untuk menggunakan arahan


suruhan daripada tegahan dengan nisbah sekitar 7:3. Sekalipun metodologi
suruhan merupakan yang disukai berbanding bentuk arahan larangan, namun
arahan bentuk larangan perlu memastikan keterangan bentuk batasan yang
dilarang itu jelas arahannya (Kamarul Azmi, 2007 : 48).

5. Teknik Syarahan

Teknik syarahan atau khutbah biasanya disampaikan di masjid dan juga di


rumah. Hal ini jelas bahawa baginda sentiasa mengajar kaum muslimin dan
sentiasa berkhutbah setiap hari Jumaat. Bahkan penggunaan khutbah ini
diwajibkan dalam ajaran Islam untuk setiap solat jumaat agar nasihat dan
ajaran yang disampaikan oleh Baginda s.a.w. dapat disambung pula oleh
umatnya sehingga ke hari kiamat. Ini menunjukkan bahawa teknik khutbah
jumaat ini merupakan teknik penting dalam menyampaikan ajaran Islam.

Lazimnya teknik khutbah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. digabungkan


dengan teknik dialog dan perbincangan selain mengayakan teknik ini dengan
penerapan nilai baik kepada para sahabat.

Sebagai contoh, Abu Hurairah menyatakan bahawa pernah sekali Rasulullah


s.a.w. berkhutbah kepada kami dengan sabdanya ( al-Bukhari,1994: 180/8):

8
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. berkhutbah kepada kami dengan


sabdanya, “Wahai manusia! Allah S.W.T mewajibkan kepada kamu
mengerjakan haji. “Seorang lelaki bertanya: Adakah setiap tahun, wahai
Rasulullah? Baginda hanya diam sahaja sehingga lelaki tadi mengulangi
pertanyaannya tiga kali. Rasulullah pun menjawab Jika aku katakan ya, tentu
ianya wajib dilakukan setiap tahun dan kamu tidak mungkin mampu
melakukannya.” Baginda bersabda lagi; “Tinggalkanlah sesuatu yang aku
tidak galakkan kepada kamu. Kemusnahan umat yang terdahulu daripada
kamu ialah kerana mereka banyak bertanya dan tidak ada persefahaman
dengan nabi mereka. Jadi apabila aku perintahkan sesuatu kepada kamu,
lakukanlah sedaya kamu dan apabila aku melarang dari melakukan sesuatu,
tinggalkanlah!”

Contoh teknik khutbah ini menunjukkan bagaimana dialog yang berlaku


antara sahabat dengan Rasululah s.a.w ketika baginda berkhutbah. Dialog ini
menjadikan suasana khutbah berbentuk dua hala tetapi dalam masa yang sama
baginda dapat menerapkan nilai yang baik kepada sahabatnya, iaitu tidak
menyusahkan diri dengan mewajibkan diri untuk beramal dengan ajaran Islam
yang sebenarnya tidak diwajibkan .

Daripada hadis ini dapat diambil manfaatnya, iaitu dalam menerapkan ajaran
Islam, pendidik tidak perlu memberat-beratkan sesuatu yang diringankan oleh
ajaran Islam. Sebagai contoh, menyuruh mengamalkan sesuatu yang sunat itu
sepatutnya perlulah bergantung kepada kemampuan iman seseorang untuk
mengamalkannya. Dalam hal ini orang yang baru mengenali Islam digalakkan
beramal secara beransur-ansur dan bukan disuruh mengamalnya sekaligus
( Kamarul Azmi, 2007: 50).

6. Teknik Bercerita Dan Metafora

Teknik bercerita menjadikan penyampaian Rasulullah s.a.w. menarik sehingga


menimbulkan minat di kalangan para sahabatnya. Selain itu, kaedah bercerita
juga menjadikan isi pengajarannya dapat diterapkan secara tidak langsung
sebagai pengajaran kepada mereka.

Sememangnya teknik bercerita adalah satu teknik yang baik untuk


menerapkan aspek pembangunan insan. Sebagai contoh, sesuatu aspek
pembangunan insan lebih diminati dan dihayati apabila disampaikan dalam
bentuk sebuah plot cerita atau drama berbanding dengan hanya disampaikan
dalam bentuk fakta akademik (Kamarul Azmi, 2007: 51).

Bukti al Quran itu sendiri banyak menggunakan teknik ini dalam


menyampaikan isi pengajaran. Begitu juga dengan hadis Nabi s.a.w. yang turut
menggunakan teknik bercerita ini.

9
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Selain teknik bercerita, penyampaian yang digabungkan dengan teknik


metafora juga dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas terhadap perkara
yang lebih abstrak. Sesungguhnya perkara keagamaan kebanyakannya adalah
suatu yamg abstrak dan kadang kala sukar untuk digambarkan dengan
pemikiran biasa manusia. Penyelesaian kepada masalah ini diselesaikan oleh
Rasulullah s.a.w. dengan menggunakan metodologi metafora.

Metafora bermaksud pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna


atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan
berkenaan,iaitu sebagai satu perbandingan atau kiasan (Kamus Dewan,
2000:886).

Contoh teknik bercerita yang digabungkan dengan teknik metafora adalah


seperti hadis berikut ( Muslim, 1981:61/17 ) :

Sesungguhnya Allah S.W.T amat gembira menerima taubat hambaNya ketika


dia bertaubat kepadaNya melebihi daripada kegembiraan seseorang yang
mengenderai binatang tunggangannya kemudian kenderaan itu hilang di
padang yang luas, sedangkan di atas kenderaan itu bekalan makanan dan
minuman hingga dia berasa berputus asa dan menemuinya kembali. Lalu dia
berteduh di bawah sepohon pokok dengan perasaan putus asa dan kecewa
untuk mendapatkannya kembali. Dalam pada itu, tiba-tiba muncul di sisinya
kenderaan yang hilang tadi dan dengan segera memegang tali kekang
kenderaannya itu lalu berkata dengan penuh kegembiraan, Ya Allah!
Engkaulah hambaku dan aku Tuhanmu. “Sebenarnya dia tersalah sebut
kerana terlalu gembira.”

Hadis ini dengan jelas membandingkan kegembiraan Allah S.W.T. dengan satu
cerita tentang kegembiraan seorang hamba dalam pengembaraan yang
kehilangan untanya dan berputus asa untuk mendapat kembali unta dan segala
belalan makanan yang termuat padanya. Dengan tiba-tiba unta itu datang
kembali kepadanya ketika dia sedang berehat kekecewaan. Hamba tersebut
terlalu gembira apabila terjumpa kembali untanya itu lalu mengucap syukur
kepada Tuhannya dengan secara salah.

Penggunaan teknik cerita seumpama ini memberi kesan tambahan kepada


pendengar yang boleh memberikan kefahaman pengertian kegembiraan Tuhan
terhadap hambaNya yang bertaubat yang berbentuk abstrak dengan satu cerita
dan peristiwa yang berlaku kepada manusia sebagai satu metafora ( Kamarul
Azmi, 2007 : 52).

7. Teknik Isyarat Dan Lakaran

Isyarat dan lakaran merupakan salah satu cara Rasulullah s.a.w memberikan
kefahaman kepada para sahabat dalam penyampaiannya adalah dengan
menggunakan teknik isyarat atau lakaran. Sebagai contoh dalam teknik isyarat
baginda s.a.w. membuat perbandingan tentang dekatnya waktu hari kiamat

10
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

berbanding dengan jarak dia diutuskan menjadi Rasul sepertimana yang


dinyatakan dalam hadis ( al Bukhari, 1994:244/7 ) :

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah s.a.w.


bersabda: “Jarak masa aku diutuskan dengan berlakunya hari kiamat adalah
seperti dua jari ini (iaitu jari telunjuk dan jari tengah)”. ( Al Bukhari )

Hadis ini menjelaskan bagaimana Rasulullah s.a.w. menjadikan jari telunjuk


dan jari tengah tangannya sebagai isyarat tentang dekatnya masa kiamat. Baki
hujung jari tengahnya berbanding dengan jari telunjuk itu adalah tempoh masa
kiamatnya dengan nilaian nisbah.

Teknik lakaran pula merupakan teknik yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w.
sebagai simbol untuk memberikan kefahaman terhadap sesuatu maksud.

Contoh teknik lakaran yang digunakan oleh Nabi dalam menafsirkan wahyu
Allah S.W.T surah al An’am ayat 53, Rasulullah s.a.w melakarkan dahulu
kepada kepada para sahabatnya sebagaimana yang diceritakan oleh Ibn
Massu’ud ( Ahmad, 1994:4205): yang bermaksud :

Rasulullah s.a.w melakarkan dengan tangannya satu garis tegak dan


bersabda, “ Inilah jalan yang lurus.” Kata Ibn Mas’ud selepas itu baginda
melakarkan pula garis-garis di sebelah kanan dan kiri garisan lurus itu
kemudian bersabda, “Inilah jalan-jalan yang tidak ada satu pun jalan
tersebut melainkan terdapat syaitan yang memanggil kepadanya.” Kemudian
baginda membaca ayat 153 dari surah al An’am.

8. Teknik Uswah Hasanah

Teknik uswah hasanah bermaksud contoh ikutan yang baik merupakan teknik
yang diambil daripada firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. itu
‘Uswah Hasanah’ ( contoh ikutan yang baik ) iaitu bagi orang- orang yang
sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat.
(Al Ahzab, 33:21)

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menunjukkan terlebih dahulu model tindakan
dan amalan yang perlu dilakukan sehingga tindakannya itu memudahkan
kefahaman para sahabat terhadap pelaksanaan. Kaedah ini menyebabkan para
sahabat berasa mudah untuk mengamalkan ajaran yang dibawakan itu.

11
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Sebagai contoh Rasulullah s.a.w. pernah mengajar bagaimana tatacara


berkenderaan kepada saidina Ali. Dengan tunjuk ajar itu saidina Ali membuat
perkara yang sama dan seterusnya mengajarkan pula cara tersebut kepada
pelajarnya ( Kamarul Azmi, 2007).

9. Teknik Memuji

Kata-kata pujian mempunyai kuasa dorongan yang luar biasa. Meskipun


pujian adalah sejenis motivasi dari luar, namun pujian dapat mencetuskan
dorongan dari dalam ( Ainon Mohd, 2013 : 98 )

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w. menunjukkan strategi, prinsip,


teknik dan skrip yang baginda gunakan bagi mendorong seseorang yang belum
cemerlang tingkah lakunya, supaya perlahan-lahan berubah menjadi lebih
baik. Tanda individu yang masih belum cemerlang adalah apabila dia
melakukan perkara yang baik namun pada masa yang sama dia masih
melakukan kesilapan.

Anas bin Malik menceritakan, “Pada suatu hari ada seorang lelaki datang
dan dia terus masuk barisan orang-orang yang sedang sembahyang, dengan
nafasnya termengah-mengah kerana terkocoh-kocoh mengejar waktu
sembahyang sambil membaca ‘Alhamdulillahi hamdan kasiran thiyyiban
mubarakan fih’ (segala pujian yang banyak, bagus, lagi penuh berkat).

Selepas sembahyang, Nabi s.a.w. bertanya, “Siapakah tadi yang


mengucapkan kata-kata itu?”. Semua orang yang ada diam, tiada seorang
apun menjawab. Nabi s.a.w. bertanya lagi “Siapakah tadi yang mengucapkan
kata-kata itu?”. Sebenarnya dia tidak mengucapkan sesuatu yang berdosa. “
Lalu seorang lelaki berkata, “tadi saya datang dengan termengah-mengah,
lalu saya ucapkan kata-kata itu.” Kemudian Nabi s.a.w. berkata,
“Sesungguhnya, saya nampak 12 malaikat berebut-rebut mengangkat kata-
kata itu.” ( Sahih Muslim, 271)

Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menunjukkan kita kepada strategi mendorong
perubahan tingkah laku daripada yang kurang elok kepada yang lebih elok di
mana beliau tidak mengkritik kesilapan individu itu, berpura-pura tidak
melihat kesilapan individu itu, melihat perkara baik yang dilakukan oleh
individu itu sahaja dan memuji kebaikan yang dilakukannya itu di hadapan
semua orang ( Tim Pengkaji Hadith Psikologi, 2013).

10. Teknik Menegur Dengan Menerangkan.

Teknik menegur dengan menerangkan bermaksud menegur kesalahan dan


kesilapan yang biasa berlaku, dengan menerangkan peraturan dan perbuatan
yang betul kepada pelajar.

Anas bin Malik menyatakan, pada suatu masa dia dan beberapa orang lelaki
lain sedang berada di dalam masjid bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w.
Tiba-tiba masuklah seorang lelaki arab daripada kampung tersebut , lalu

12
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

lelaki itu berdiri dan membuang air kecil. Melihat kejadian itu, sahabat-
sahabat nabi s.a.w yang ada di situ terus mengherdik lelaki tersebut.
Sebaliknya nabi s.a.w berkata, “Jangan buat dia berhenti kencingnya.
Biarkan saja. “ Lalu semua yang ada membiarkan sahaja lelaki itu
menghabiskan kencingnya. Selepas itu Nabi s.a.w memanggil lelaki itu dan
berkata kepadanya, “Sesungguhnya, di dalam masjid ini tidak boleh kencing
ataupun membuang sedikit pun kekotoran, sebaliknya hanya boleh berzikir
mengingati Allah Azza Wajalla, bersembahyang dan membaca al Quran.”
Kemudian nabi s.a.w.menyuruh salah seorang yang ada di situ pergi
mengambil setimba air lalu disirami air kencing itu. (Sahih Muslim, 186)

Di dalam hadis ini nabi s.a.w. menunjukkan cara menegur orang kampung
yang tidak tahu undang-undang. Nabi s.a.w. hanya menerangkan undang-
undang apabila berada di dalam masjid. Tanpa menyebut perkataan ‘kamu’,
kata-kata nabi s.a.w. itu berbentuk umum, boleh ditafsirkann sebagai kata-kata
itu ditujukan kepada semua orang yang ada bersama ketika itu. Ayat yang
menggunakan perkataan ‘kamu’ adalah ayat yang ditujukan kepada diri orang
itu, ertinya teguran ditujukan kepada diri, bukan ditujukan kepada perbuatan.
Penggunaan ‘kamu’ menjatuhkan maruah orang yang ditegur ( Tim Pengkaji
Hadith Psikologi 2013 ) .

Sebagai pendidik, teknik ini sesuai digunakan untuk mendorong tingkah laku
pelajar yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang
kesalahan yang dilakukannya. Kita juga dapat memahami apabila kesalahan
itu dilakukan oleh orang yang tiada ilmu, tidak perlu dia membetulkan
kesalahannya, malah orang lain diminta melakukannya. Selain itu, apabila
orang melakukan kesalahan, jangan persalahkan pelaku tersebut sebaliknya
terangkan peraturannya sahaja.

11. Teknik Penyelesaian Masalah.

Fokus kaunseling Nabi Muhammad s.a.w adalah memberikan penyelesaian


bukannya menghukum dan bukan juga cuba memahami masalah. Nabi s.a.w
tidak menyiasat latar belakang yang orang yang melakukan kesalahan. Inilah
perbezaan gaya kaunseling Nabi Muhammad yang amat berbeza dengan
prosedur kaunseling oleh ahli-ahli psikologi barat.

Dalam satu hadis diriwayatkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang
berjumpa Nabi Muhammad s.a.w lalu berkata,

“Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan di pinggir kota,


saya sudah buat semuanya kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya
datang pada tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang kamu mahu.”

13
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Umar bin Khattab memarahi lelaki tersebut dan berkata, Allah menutup
kesalahan kamu jikalau kamu menutup kesalahan kamu sendiri!”

Mendengar kata-kata Umar itu, Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Kemudian
lelaki itu pergi tetapi nabi s.a.w. menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya
datang semula. Baginda s.a.w. membacakan kepada lelaki itu, “Dan
dirikanlah solat itu pada pagi dan petang; dan pada bahagian permulaan
daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu
menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah
peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian seorang lelaki yang ada
di situ bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk
dia seorang sahaja ataupun ditujukan kepada semua orang? Nabi s.a.w.
menjawab, “Untuk semua orang.” ( Sahih Muslim )

Daripada hadis ini, didapati bahawa prinsip menyelesaikan masalah individu


lain ialah; apabila ada kesalahan dilakukan, punca-punca kesalahan itu tidak
disiasat; tidak bertanya ‘mengapa’; tumpukan kepada memberikan jalan
penyelesaian masalah; dan tidak menghukumkan orang yang melakukan
kesalahan yang Allah tiada menyediakan hukumannya di dunia seperti
kesalahan bercumbu.

Dapat difahami bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memberi pendidikan melalui


motivasi akhlak, iaitu perubahan sikap dan tingkah laku yang berkaitan
dengan moral. Teknik-teknik di dalam hadis ini sesuai digunakan kepada
orang yang pernah melakukan kesalahan akhlak seperti pergaulan bebas antara
lelaki dan perempuan. Penggunaan teknik tersebut mempunyai kuasa
mendorong orang yang pernah melakukan dosa supaya memberhentikan
perbuatannya. Selain itu tidak perlu menyiasat mengapa seseorang itu
melakukan dosa-dosa yang pernah dilakukannya ( Tim Pengkaji Hadith
Psikologi 2013).

12. Teknik Menjaga Maruah

Teknik menjaga maruah pesalah membuktikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w


menerima hakikat bahawa keimanan adalah proses yang berlaku secara
berfasa-fasa. Baginda telah menunjukkan teknik yang betul bagi mendorong
individu yang belum sempurna agamanya. Sebagai contohnya hadis yang
diriwayatkan oleh Saidina Umar r.a yang bermaksud :

Umar al Khattab menyatakan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama
Abdullah yang nama gelarannya adalah ‘himar’ yang bermaksud ‘si keldai’.
Dia selalu menyebabkan nabi s.a.w. senyum. Nabi s.a.w. pernah mengenakan
hukuman sebat kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu
hari sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi s.a.w. atas kesalahan
minum arak, lalu nabi s.a.w. pun menjalankan hukuman sebat. Melihat
peristiwa itu seorang lelaki berkata,”Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia

14
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

dibawa ke hadapan nabi s.a.w. lalu nabi s.a.w berkata , “Jangan kutuk dia,
demi, demi Allah saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” ( Sahih
Muslim 2161)

Hadis ini menunjukkan strategi yang Nabi Muhammad s.a.w gunakan bagi
mendorong golongan yang sudah beriman tetapi masih belum dapat
membuang kesemua tingkah laku negatif mereka. Dalam kes ini lelaki itu
sudah beriman tetapi dia belum dapat mengatasi penyakit ketagihannya
kepada arak.

Nabi s.a.w. menunjukkan strategi dan teknik yang betul bagi mendorong
individu yang belum sempurna agamanya. Secara perlahan-lahan mereka ini
dapat mengubah tingkah laku mereka sehingga selaras dengan kehendak
agama.

Dapat disimpulkan, di dalam pengajaran strategi motivasi yang digunakan


oleh Nabi s.a.w. bagi mendorong perubahan tingkah laku pelajar yang
melakukan kesalahan boleh menyelamatkan dan menaikkan maruahnya.

Sebagai contohnya di sekolah, pelajar yang melakukan kesalahan melanggar


peraturan sekolah seperti menyimpan kuku ataupun rambut panjang, tidak
boleh dimalukan di khalayak ramai ( Tim Pengkaji Hadith Psikologi 2013).

PENUTUP

Dalam teknik konvensional, para pendidik kebiasaannya menggunakan teknik


– teknik tradisional seperti memarahi pelajar, berleter dengan tujuan
menasihati pelajar, menghukum, mengugut mendenda dan memberikan hadiah
supaya pelajar dapat memperbaiki tingkah laku mereka.

Kertas kerja ini menyenaraikan beberapa teknik –teknik pengajaran yang


digunakan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai teknik yang terbaik bagi
menggantikan teknik-teknik konvensional. Terdapat beberapa teknik
pengajaran Nabi Muhammad telahpun dikaji oleh Tim Pengkaji Hadith
Psikologi dan dijalankan eksperimen terhadap 3 orang guru dan hasilnya
menunjukkan teknik itu dapat mendorong perubahan tingkah laku di dalam
kelas ( Ainon Mohd, 2013).

15
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Pada hakikatnya banyak lagi kaedah pengajaran yang digunakan oleh


Rasulullah s.a.w yang perlu dikaji daripada semua dalil dan sirah Rasulullah
s.a.w. Teknik-teknik yang dinyatakan dalam penulisan ini adalah sebahagian
daripada kaedah yang digunakan oleh baginda.

Kajian ini sangat perlu kerana Rasulullah s.a.w adalah pendidik unggul yang
paling berjaya dalam menyampaikan pengajaran secara menyeluruh
mencakupi bidang kognitif, efektif dan psikomotor. Ini terbukti apabila Nabi
Muhammad s.a.w telah diletakkan pada kedudukan Nombor Satu oleh
Micheal Hart, dalam bukunya yang berjudul The 100 Most Influential Persons
In History dan merupakan satu-satunya pemimpin dunia yang telah berjaya
memberikan inspirasi dan amat istimewa serta bernilai untuk dikaji ( Ismail
Noor, 2000 : 23 ).

Rasulullah s.a.w berjaya menghasilkan generasi yang unik yang mengamalkan


sepenuhnya apa yang terkandung dalam al Quran. Justeru, bagindalah model
dalam pengajaran atau pendidik mithali yang perlu dijadikan contoh dan role
model dalam pengajaran dan pembelajaran bukannya tokoh-tokoh barat.

Mudah-mudahan kertas kerja yang disusun ini dapat dimanfaatkan oleh semua
warga pendidik dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas mengikut strategi dan teknik pengajaran Nabi Muhammad
s.a.w dalam mendidik para sahabat dan umatnya.

RUJUKAN

Al Quran & Terjemahannya, Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.


Abdullah Ishak, Dr, (1989). Sejarah Perkembangan Pelajaran dan
Pendidikan
Islam, Kuala Lumpur: al Rahmaniah.
Ainon Mohd, Khairulaniza, Siti Khadijah & Nurhidayah ( 2013). Mendorong
Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad. Kuala Lumpur, Buku
Pandai Publications.
Abu Dawud, Imam. (1994) Sunan Abi Dawud. Jil 1-2 Beirut; Dar al Fikr.
Al Bukhari. (1994). Sahih Al Bukhari. Jilid 1-5. Beirut: Dar al Fikr. Tahqiq:
Syeikh Abdul Aziz Abdullah.
Al Mabarkafuri, Sofi Al Rahman. (1994). Al Rahiq Al Makhtum. Riyadh.
Maktabah Dar al Salam
Al Munziri, Imam Al Hafiz Abd Al Azim bin Abd Al Qawi. (1990). Al
Targhib wal al Tarhib min al Hadith al Sharif. Beirut: Dar Maktabah al

16
Konvensyen Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014)
Gerik, Perak, 3 April 2014

Hayah.
Al Nasa’i , Imam. (1930). Sunan al Nasa’i bi Sarh al Hafiz Jalal al Din al
Suyuti wa Hashiah Imam al Sundi. Beirut: Dar al Fikr.
Al Nawawi, Imam (1983). Riyad al Salihin. Beirut. Dar al Fikr.
Al Quran al Karim
Ghazali Darusalam (2001). Pedagogi Pendidikan Islam. Kuala Lumpur.
Utusan Publications & Distributions Sdn Bhd.
Ibnu Mandhur, Jamal Al Din Muhammad Ibn Mukram.(1990). Lisan al Arab.
Jilid 1-15. Beirut. Dar Sadir.
Ismail Noor ( 2004 ) Kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W Pengurusan
Altruistik Model Ikutan Sepanjang Masa. Kuala Lumpur. Utusan
Publications & Distributions Sdn Bhd.
Kamarudin Hj Husin ( 2003). Kemahiran Berfikir dan Berkomunikasi. Subang
Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Abdul Aziz (2004), Pedagogi Asas
Pendidikan. Kuala Lumpur. Kayazano Enterprise.
Kamarul Azmi Jasmi, Ab. Halim Tamuri (2007) , Pendidikan Islam Kaedah
Pengajaran dan Pembelajaran. Johor. Universiti Teknologi Malaysia.
Kamus Dewan. (2000). Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Maria Chong, Samsilah dan Tajularipin. Strategi Pengajaran dan
Pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi : Satu Anjakan Paradigma.
Univerisiti Putra Malaysia.
Mohd Khairul Nizam ( 2012). Motivasi Gaya Rasulullah. Selangor. PTS
Millenna Sdn Bhd
Mohd Asri ( 2012) . Artikel Ikut Dalil dan Fakta Bukan Taklid Buta .
http://drmaza.com/home/?p=2115
Muslim, Abu al Husain Muslim b. Al Hajjaj b Muslim al Qushairi al
Naisaburi.( 2001). Sahih Muslim. Beirut: al Maktabah al Asriyyah.
Noor Hisham Mat Dawi (2011). Pengajaran dan Pembelajaran; Penelitian
Semula Konsep-Konsep Asas Menurut Perspektif Gagasan Islamisasi
Ilmu Moden.Kongres Pengajaran dan Pembelajaran 2011.
Tim Pengkaji Hadith Psikologi (2013). Bengkel Mendorong Pelajar Kelas
Corot. Selangor. PTS COE Sdn Bhd.

17