Anda di halaman 1dari 3

SOALAN 1

ASEAN ditubuhkan bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau, namun pelbagai
cabaran perlu ditangani oleh negara anggota bagi mencapai tujuan tersebut. Bincangkan.

Secara umumnya, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani oleh negara
anggota bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau.

Sememangnya, tujuan ASEAN ditubuhkan ialah bagi mewujudkan keamanan dan


kestabilan serantau. Hal ini demikian kerana, pertubuhan ASEAN dapat menggalakkan
kestabilan politik, keamanan, dan keselamatan di rantau ini dengan mematuhi Piagam
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebagai contohnya, negara anggota dapat menyertai
pembangunan serantau dan mengecapi kemakmuran bersama di samping mempercepatkan
pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, dengan mewujudkan pertubuhan ASEAN, keamanan dan
kestabilan serantau dapat dicapai.

Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani oleh negara anggota
bagi mencapai tujuan tersebut. Antara cabarannya ialah terdapat konflik wilayah. Hal ini
demikian kerana, keadaan geostrategik negara-negara ASEAN menyebabkan berlakunya
pertikaian sempadan. Sebagai contohnya, tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan antara
Malaysia dengan Indonesia, Batu Putih antara Malaysia dengan Singapura dan Kepulauan
Spratly antara Malaysia dengan Vietnam, China, Brunei, Indonesia dan Taiwan.

Selain itu, cabaran yang perlu ditangani oleh negara anggota bagi mewujudkan
keamanan dan kestabilan serantau ialah berlaku konflik perkauman dan agama. Masalah
perkauman yang berlaku di beberapa negara ASEAN seperti Selatan Thailand di mana 87
orang Muslim terbunuh, manakala di Selatan Filipina berlaku pemberontakan puak
pelampau untuk membentuk negara sendiri. Masalah dadah, penyeludupan dan pendatang
asing tanpa izin (PATI) juga menjadi cabaran yang besar dalam kalangan ASEAN. Kerajaan
Malaysia misalnya terpaksa berkompromi dengan negara jiran disebabkan perjanjian
persahabatan ASEAN.

Seterusnya, isu keganasan juga menjadi cabaran yang perlu ditangani oleh negara
anggota bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau. Hal ini demikian kerana, isu
keganasan yang berlaku telah menjejaskan kemakmuran dan kestabilan serantau. Sebagai
contohnya, masalah keganasan yang menyerang kerajaan untuk mendapatkan kemerdekaan
seperti Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Indonesia, kumpulan militan Abu Sayyaf,
kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Persengketaan
antara kaum minoriti Islam dengan askar Thailand di Selatan Thailand juga telah
menyukarkan tujuan penubuhan ASEAN untuk direalisasikan sepenuhnya.

Akhir sekali, cabaran dihadapi oleh negara anggota bagi mewujudkan keamanan dan
kestabilan serantau ialah persaingan ekonomi. Hal ini demikian kerana, negara Malaysia
dan Vietnam mengalami kemelut mengenai masalah tuntutan Kepulauan Spartly di mana
kepulauan itu mengandungi simpanan minyak yang menjadi rebutan antara kedua-dua
negara tersebut. Masalah blok minyak di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan
antara Malaysia dengan Indonesia juga telah menyebabkan negara-negara anggota tidak
mempunyai kerjasama yang baik antara satu sama lain. Kebanyakan negara anggota
ASEAN juga menghasilkan produk yang sama menyebabkan persaingan pasaran.

Secara keseluruhannya, cabaran ini perlu dihadapi dengan rasional dan segara bagi
memastikan keamanan dan kestabilan serantau dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai