Anda di halaman 1dari 9

Teks Forum Remaja

TAJUK~~~PENDISIPLINAN PELAJAR : TANGGUNGJAWAB SIAPA??


Forum Remaja Pencetus Kecemerlangan Diri (Pengerusi) (Azmar)
Forum Remaja Jendela Kematangan Minda (Panel 1) (Yam)
Forum Remaja Pintu Kesuburan Rohani (Panel 2) (Wani)
Forum Remaja Membentuk Insan Insani (Panel 3) (Ina)
FORUM REMAJA KUNCI REVOLUSI MASYARAKAT BERVISI (Semua)

Pengerusi : Bismillahhirahmannirrahim,
AlHamdulillahi robbil ‘alamiin, wassolatu
wassalaamu ‘alaa asyrofil anbiyai wal
mursaliin.. wa ‘ala alihi wa sohbihi ajma’iin.
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh, Salam Ukhwah, Salam Kasih
Sayang dan Salam 1 Malaysia.

Warga dewan sekalian,


Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana
dengan izin serta limpah kurnia daripadaNya,
dapat kita bertemu kita lagi dalam gelanggang
Forum Remaja bersama saya _________ pada
pagi/petang yang berbahagia ini.
Hadirin yang dirahmati Alah sekalian, sebelum
saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada
hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah
disiplin dalam kalangan pelajar boleh
dikatakan berada dalam tahap yang agak
membimbangkan semua pihak. Justeru,
masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih
besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai
dengan tajuk forum kita pada kali ini
Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab Siapa?
Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin
kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu
kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah
khususnya dalam persoalan mengatasi masalah
disiplin pelajar.

Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih


mendalam, terlebih dahulu, mari kita
berkenalan dengan tiga orang ahli panel kita
pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau
kerana warga dewan sememangnya tidak asing
lagi dengan panel-panel kita pada hari ini.

Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel


pertama, saudara/saudari
_______________________ yang merupakan
__________________________ Apa khabar
saudari?
Panel Pertama : AlHamdulillah sihat Cik Pengerusi. Cik Pengerusi macamana?

Pengerusi : Alhamdulillah, sihat juga.


Seterusnya ahli panel kedua, ayu berbaju
kurung
saudari/saudara___________________________
_, jawatan. Selamat datang saudari.
Dan di hujung sana, nampak pemalu tapi bijak
berkata-kata, saudari/saudara
_________________. Selamat datang juga buat
saudara.

Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh,


soalan saya pada panel pertama, apakah
sebenarnya konsep tanggungjawab dan disiplin.
Panel Pertama: Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa rasional
persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual
kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian.

Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya
membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin, masyarakat
dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti
yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama
dalam pembentukan disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan
suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur
dan lancar. Maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang
terlibat dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak
pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah,
tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras
dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah yang dipikul dengan baik adalah tunjang
kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai juga masyarakat di luar sana
menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara yang sangat negatif iaitu
merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang
perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun
yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini
merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah
tanggungjawab dan disiplin yang hebat.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama


kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi.
Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan
bahawa, disiplin dan tanggungjawab perlu
bergerak seiring untuk mencapai tahap
kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh
diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak
sempurna disiplin tanpa tanggungjawab, dan
tanpa tanggungjawab, disiplin tidak akan dapat
dibentuk. Justeru, saya ingin menanyakan
persoalan seterusnya kepada ahli panel kita
yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan
pelajar agar kecemerlangan secara holistik
dapat dicapai?
Panel Kedua: Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Bismillah..
Baiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran
mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya
berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat
pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan
kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara
ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini
amat penting kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-
anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa
mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak
itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang
bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng
sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan
masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu
mengadakan hubungan yang baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat
diselesaikan “sebelum nasi menjadi bubur”.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua


atas pandangan yang amat bernas sebentar
tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh
bahawa sebenarnya terdapat banyak asas
pendisiplinan yang boleh diimplementasikan
untuk mengawal masalah disiplin pelajar di
sekolah. Jika dua orang panel kita tadi
menerangkan tentang konsep tanggungjawab
dan disiplin serta menghuraikan dengan
selengkapnya tentang asas-asas pendisipinan
pelajar, saya ingin meminta pendapat panel
ketiga tentang persoalan ‘Pendisiplinan pelajar,
sebenarnya terletak di bahu siapa’?
Dipersilakan..
Panel Ketiga : Bismillah...Terlebih dahulu, terima kasih kerana menjemput saya untuk
berbicara dalam majlis forum ini. Untuk menjawab persoalan ini, umum sedia maklum, isu-
isu berkaitan dengan masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan pada
masa kini dan menjadi fokus media massa. Buktinya, pada 5 Ogos 2007, berita penangkapan
kanak-kanak berumur 12 tahun yang dituduh terlibat dalam kejadian menculik dan merogol
wanita berumur 30 tahun berulangkali secara bergilir-gilir telah disiarkan di Buletin 1.30.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Dengar-dengarkan pantun ini :
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Pantun empat kerat tadi membawa maksud menuntut ilmu biarlah dengan cara yang betul dan
bersungguh-sungguh. Jika tidak, ilmu yang dituntut akan hilang atau sia-sia begitu sahaja.
Manusia dituntut mencari ilmu sehingga ke akhir hayat. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad
s.a.w yang bermaksud:
"Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.” (Riwayat
Ahmad dan Ibn Majah)
Ilmu diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya melalui pembacaan, penelitian,
pentaakulan belajar daripada pengalaman lepas serta yang paling utama menuntut ilmu
daripada seseorang yang pakar dalam bidang tertentu yang digelar guru. Konsep guru merujuk
kepada seseorang yang mengajar dan mendidik sama ada untuk mencapai kejayaan akademik
atau kemuliaan akhlak. Guru ada di mana-mana. Ibu bapa boleh menjadi guru yang paling
baik buat anak-anaknya. Seorang kakak atau abang boleh menjadi guru kepada adik-adiknya.
Masyarakat juga boleh bertindak sebagai guru sekiranya wujud kerencatan dalam kelompok
sosialnya. Hakikatnya, semua orang bertindak sebagai guru dalam kehidupannya. Guru dalam
konsep ini lebih kepada tugas ingat-mengingati, saling mencerna pemikiran melalui
pengalaman, mendidik dan mendisiplinkan diri sendiri dan orang lain serta mengajar sesuatu
yang berlaku dalam hidup dengan penerimaan yang baik. Maka pendapat saya tidak lain dan
tidak bukan adalah tanggungjawab didikan tidak kiralah daripada ibu bapa, guru, masyarakat,
media massa dan semua yang terlibat adalah bertanggungjawab dalam pembentukan disiplin
iaitu pendisiplinan pelajar. Seperti kata-kata sahabat Rasulullah SAW tentang penilaian baik
masyarakat ( muslimin ) adalah baik pada Allah SWT dan sebaliknya jika penilaian buruk
maka buruklah bagi Allah SWT.

Pengerusi: Sungguh intelektual pemikiran


saudari panel kita yang ketiga. Memang tidak
dapat disangkal lagi, semua pihak harus
bekerjasama bagi mendisiplinkan atau
memantapkan akhlak pelajar pada masa kini
bak kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh”.. Tetapi saya ingin bertanya secara
ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada
hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas
tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan
pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita
yang pertama dahulu untuk memberikan
sedikit ulasan.
Panel Pertama: Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat
saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah
golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang
serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa
memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan
ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak
berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan
penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara
bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup
menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah menjadi
“role model” kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang
berilmu dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia, insya-Allah.

Pengerusi: Begitu hebat kata-kata atau


pendapat yang diutarakan oleh panel kita
sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat
dijadikan pegangan dan panduan oleh golongan
ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak
remaja kita menjadi insan yang berilmu dan
beragama, insya-Allah. Sekarang kita
perdengarkan pula pendapat daripada panel
kita yang kedua, secara ringkas tentang
siapakah yang menggalas peranan utama dalam
mendisiplinkan pelajar?
Panel Kedua: Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya. Pada
pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah
Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja
adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah,
pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan
mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh
itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain. Program
Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih
dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan
latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga
ibu bapa. Insya-Allah, sekiranya ahli-ahli PRS menerima latihan secukupnya dalam
menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, insya-Allah, masalah disiplin ini akan dapat
diatasi. Wallahu’alam.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang


dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi.
Seterusnya persoalan terakhir untuk panel kita
yang ketiga, masih berlegar dalam persoalan
yang sama iaitu pihak manakah yang
memegang tanggungjawab yang berat dalam
mendisiplinkan atau memanusiakan insan
pdelajar di sekolah kita pada haroi ini?
Panel Ketiga: Terima kasih kepada sadari pengerusi yang sentiasa aktif menanyakan banyak
persoalan intelek. Baiklah, untuk menjawab persoalan ini, cuba kita renungi baris-baris akhir
sebuah sajak yang berbunyi:
Jika hari ini siapa saja perosak bangsa;
Bermula dengan kegagalan guru kita
Cuai mengasuh generasi muda

Saya yakin sajak ini akan menguris hati seorang guru. Kalaupun tidak terpalit luka mungkin
wujud juga sedikit rasa tersinggung mahupun kecewa lantaran dikatakan gurulah menjadi
punca kepada kemunculan perosak bangsa. Namun itulah realitinya kehidupan hari ini. Kalau
dulu guru merupakan individu atau kumpulan kecil masyarakat yang amat dihormati, situasi
kini jauh berbeza. Kalau dulu, ramai yang mengakui bahawa ‘dewasanya seseorang itu adalah
dimulakan oleh seorang guru biasa’, namun kini masyarakat lebih mudah menyalahkan para
guru apabila hasil didikan tidak ‘menjadi’.
Menyedari tentang keretakan hubungan yang berlaku antara ibu bapa dan guru pada hari ini,
ianya perlu diperhalusi dan dicari penyelesaian terbaik untuk mengembalikan kepercayaan ibu
bapa kepada pihak sekolah umumnya dan guru khasnya. Hubungan yang erat antara guru dan
ibu bapa amat penting agar masalah disiplin pelajar di sekolah dapat dikurangkan dan bukan
semakin bertambah dan membimbangkan semua pihak. Justeru pihak yang paling menggalas
beban berat untuk mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah adalah golongan ibu bapa,
guru, pihak berwajib dan masyarakat sekeliling. Mereka ini seharusnya melakukan anjakan
paradigma dengan lebih berfikiran positif, menerima kelemahan anak-anak mereka dan
bersangka baik dengan guru-guru di sekolah.
Sekiranya hal ini dapat diwujudkan, insya-Allah, masalah disiplin dalam kalangan pelajar
akan dapat diatasi bak kata kerana hanya dengan bekerjasama akan dapat melahirkan hasil
yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pengerusi: Terima kasih saya ucapkan kepada


ketiga-tiga ahli panel kita kerana sudi hadir
dan sudi menyuarakan pendapat masing-
masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak
sekadar ” masuk telinga kanan, keluar telinga
kiri”. Nampaknya masa amat mencemburui
kita, sebelum berakhir mari kita sama-sama
menepuk tangan untuk diri sendiri kerana
berjaya dan tekun mendengar perbincangan
kita hari ini.(tepuk tangan).
Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan
masalah ini sebenarnya bukanlah suatu
perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap
individu mempunyai tanggungjawab dalam
membendung kemelut ini daripada terus
menjadi barah.

Sebelum kita menuding jari kepada mana-


mana pihak, elok kita renung-renungkan
sejenak....
Lautan Itu Dunia,
Bahtera Itu Kita,
Kemudi Itu Agama,
Peliharalah Bahtera Daripada Karam Di
Lautan Dunia

Sebelum mengakhiri bicara forum kita pada


hari ini, terimalah serangkap pantun yang
berbunyi:
Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa,


tersilap bicara, mohon dimaafkan.
Sesungguhnya yang baik itu datangnya
daripada Yang Maha Pencipta, dan yang
kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan
diri kami sendiri.
Wallahu’alam
Saya akhiri forum remaja kita pada pagi ini
dengan lafaz yang mulia.
Wabillah hitaufiq Walhidayah
Assalamualaikum
Warahmatullahhiwabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai