Anda di halaman 1dari 9

KHUTBAH PERTAMA HARI RAYA AIDILFITRI

1440H / 2019M

MUSLIMIN JEMAAH AIDILFITRI RAHIMAKUMULLAH,


Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benarnya. Taqwa
dengan mentaati dan melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta
meninggalkan segala yang ditegah dan dilarang-Nya.

Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu adalah semulia-mulia hamba di sisi Allah
SWT dan Allah SWT akan mengangkat darjat orang bertaqwa serta dikurniakan
segala macam ganjaran yang tidak disangka-sangka. Itulah antara tanda
kemuliaan dan ketinggian darjat orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT, firman-
Nya:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam
naungan (yang teduh) dan (di sekitar) mata-mata air. Dan (mendapat) buah-
buahan dari (macam-macam) yang mereka ingini. (Dikatakan kepada mereka):
"Makan dan minumlah kamu dengan enak karena apa yang telah kamu kerjakan".
Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang
berbuat baik.” (Surah Al-Mursalaat, ayat 41-44)

JEMAAH AIDILFITRI YANG BERIMAN,


Aidilfitri adalah hari raya yang disyariatkan Allah SWT untuk umat Islam yang
beriman setelah berpuasa sebulan di bulan Ramadan. Islam menganjurkan
umatnya agar meraikannya dengan syariat Islam. Yakni menyambutnya dengan
amal-amal yang diredhai dan disukai oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya
di dalam Al-Quran:

Maksudnya: “…Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan


hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan
kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
Kita merayakan Aidilfitri dengan rasa penuh kesyukuran dan kegembiraan
bersesuaian dengan tuntutan Syariat Islam agar sambutan kita mendapat pahala
dan berkat, bukannya sambutan yang sia-sia. Dari Anas RA, dari Nabi SAW,
sabdanya yang bermaksud: “ Hiasilah kedua-dua raya (Aidilfitri dan Aidiladha)
dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis (mensucikan Allah Ta’ala daripada segala
sifat kekurangan).” (HR Abu Na’im).
JEMAAH AIDILFITRI YANG DIMULIAKAN,
Sempena hari mulia, hari gembira lagi penuh berkat ini, khatib dengan rendah hati
ingin menarik perhatian serta mengajak jemaah sekalian untuk bersama-sama
menghayati dan mengamalkan seruan dari firman Allah SWT di dalam Al-Quran
dan Sunnah-sunnah Rasulullah SAW berkaitan dengan Aidilfitri, hari raya yang
disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh umat Islam di
pelusuk dunia merupakan saranan agar kita istiqamah dengan semangat madrasah
dan tarbiyah Ramadan.
Sungguh menguja dan mendamaikan, betapa cintanya umat Islam terhadap amal
ibadah, amal soleh seperti bertadarrus Al-Quran, bersedekah, bersifat ihsan
sesama insan, beristighfar, solat Tahajjud dan sebagainya, itulah warna warni dan
gambaran indah kehidupan umat Islam sepanjang bulan Ramadan, manakala
masjid dan surau pula diimarahkan dengan berbagai aktiviti amal soleh.
Inilah kesan positif madrasah dan tarbiyah Ramadan sungguh hebat. Semoga ia
terus mekar dan berterusan di bulan-bulan berikutnya hatta sepanjang tahun, in
syaa Allah ia akan berterusan sepanjang hayat kita.

JEMAAH AIDILFITRI YANG BERBAHAGIA,


Aidilfitri menghidupkan ukhuwah dan perpaduan ummah seperti firmanNya:

Maksudnya: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu


damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah
terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)
Fitrah umat Islam itu tetap bersaudara dalam jalinan kukuh agama. Firman Allah
SWT:
Maksudnya: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah,
dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu
ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah
mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang
yang bersaudara…” (Surah Ali Imran, ayat 103)
Sehubungan itu, bersesuaian dengan kemuliaan dan keberkatan Hari Raya
Aidilfitri pada hari ini, marilah bersama-sama kita mengukuhkan lagi jalinan tali
ukhuwah dan silaturrahim sesama sanak saudara, adik-beradik, sahabat, jiran dan
taulan melalui amalan ziarah, kunjung- mengunjung, jamu- menjamu, rumah
terbuka, bertegur sapa, bermaaf-maafan dan seumpamanya.
Seterusnya bersama-sama kita sebagai umat Islam yang beriman untuk bersama
prihatin terhadap saudara seagama kita yang berada nun jauh di pelusuk dunia
seperti di Palestin, Syria, Yaman dan di mana-mana jua di seluruh dunia yang
mengalami kesukaran kerana peperangan, pertelingkahan dan pergolakan.
Setidak-tidaknya dengan sedikit simpati dan titipan doa yang tulus ikhlas, seluruh
umat Islam akan dapat mengeluarkan mereka dari situasi yang sukar dan sempit
yang mereka alami.
Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Perumpamaan orang
Mukmin itu dalam hal saling mencintai, saling menyayangi dan saling berlemah
lembut di antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota badan
sakit, maka semua anggota badannya juga merasa demam dan tidak dapat tidur.”
(HR Imam Al-Bukhari dan Muslim).

JEMAAH AIDILFITRI YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,


Sempena hari mulia penuh kegembiraan ini, sebagai umat islam yang beriman
yang suka mengikut petunjuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, inilah saat
dan masa terbaik kita mempraktikkan segala amal baik dan Sunnah-sunnah
Rasulullah SAW semasa merayakan Hari Raya Aidilfitri. Maka adalah suatu yang
sumbang, apabila 1 Syawal Aidilfitri umat Islam tanpa segan silu melanggar
petunjuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dengan amalan pembaziran,
pergaulan bebas lelaki dan perempuan bukan mahram, hiburan yang melampau,
mengabaikan solat fardhu dan sebagainya.
Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, Baginda
mendapat tahu bahawa kaum Ansar mempunyai dua hari perayaan, mereka
bergembira dan bersuka-ria. Rasulullah SAW bertanya: Apa sempena dua hari
raya ini? Jawab mereka: Dua hari raya ini biasanya kami merayakan pada zaman
jahiliyah. Rasulullah SAW pun berkata: Allah telah menggantikan kamu dengan
dua hari yang lebih baik dari hari-hari tersebut, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari
Raya Aidiladha.

Sehubungan itu, marilah kita mengisi kemuliaan dan keberkatan Hari Raya
Aidilfitri ini dengan amal-amal soleh yang memberikan kita pahala, yang
disukai Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengikuti Sunnah-sunnah Rasulullah
SAW, antaranya:
1. Amalan bermaafan.
2. Amalan memberi salam dan jalinan kekeluargaan.
3. Amalan ziarah atau kunjung-mengunjungi.
4. Amalan memberi hadiah atau duit raya terutama kepada kanak-kanak, sebagai
tanda kasih kita.
5. Amalan menjamu selera, jangan membazir dan melampaui batas.
6. Puasa sunat bulan Syawal.
7. Menjaga ibadah fardhu sepanjang merayakan Hari Raya Aidilfitri seperti solat
fardhu lima waktu.
8. Berwaspada dengan menjaga keselamatan terutama semasa memandu
kenderaan sepanjang perjalanan berziarah Hari Raya serta memperbanyak doa
musafir dan doa menaiki kenderaan.

JEMAAH AIDILFITRI YANG DIMULIAKAN,


Demikianlah, indah dan gembiranya Hari Raya Aidilfitri bagi seluruh umat Islam.
Namun sesungguhnya, usahlah kita terleka dan hanyut di arus Sambutan Hari
Raya sehingga kita tidak fokus dan lalai dalam memajukan serta menjaga
keselamatan negara ini sedangkan ia merupakan tanggungjawab dan amanah kita
bersama untuk mempertahankan negara ini. Maka oleh yang demikian, marilah
kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi yang telah
mengurniakan keamanan ke atas negara kita, tidak sepertimana negara-negara lain
yang bergejolak. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “…(Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah olehmu dari
rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya.
(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha
Pengampun". (Surah Saba’, ayat 15)

*****

Anda mungkin juga menyukai