Anda di halaman 1dari 24

SEJARAH OLAHRAGA

Sejak bertahun-tahun dahulu lagi kekuatan dan keupayaan manusia dinilai menerusi
perlakuan berlari, melompat dan melontar. Seseorang yang mempunyai ketiga-tiga kemahiran
asas ini dianggap sebagai seorang yang berkedudukan tinggi pada mata masyarakat dan
pemerintah. Kekuatan menjadi sesuatu yang dikejar dan diimpikan oleh setiap individu
khususnya kaum lelaki. Kemahiran-kemahiran ini diperkembangkan lalu diperbaiki dari
semasa ke semasa sehingga menjadi sukan yang kemudiannya dipertandingkan.
Tujuan diadakan pertandingan hanyalah semata-mata untuk mencari siapa yang lebih
pantas, melompat lebih tinggi atau melontar lebih jauh daripada yang lain. Untuk mencapai
hasrat ini, setiap individu akan berusaha menandingi yang lain dan akhirnya wujud ciri-ciri
ingin berjaya, ingin menumpaskan lawan dan mewujudkan sifat berlumba sesama individu.
Mereka yang menang akan berusaha mengekalkan kemenangan itu atau berusaha untuk
meningkatkan keupayaan supaya kejayaan dapat dikekalkan. Bagi mereka yang gagal pula
sudah tentu akan berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menumpaskan lawan dan muncul
sebagai pemenang pula. Di sini mula wujud suatu pertandingan yang sudah tentu menarik
dan mendapat perhatian orang ramai.
Pertandingan seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa dan semakin ramai pula
individu yang mahu mengambil bahagian untuk menguji kebolehan. Lama kelamaan lebih
ramai yang mengambil bahagian bagi menguji keupayaan masing-masing. Untuk mencapai
kemenangan sudah tentu mereka akan berlatih bersungguh-sungguh dan akan mempamerkan
kebolehan sebenar semasa pertandingan. Ini menjadikan pertandingan untuk menguji
kebolehan itu lebih menarik dan berjaya pula menarik minat orang ramai di merata dunia.
Walaupun ada kalanya bentuk pertandingan agak berbeza-beza, namun matlamat dan
tujuannya sama.
Hari ini kita dapat melihat di merata tempat di dunia, pelbagai bentuk pertandingan
diadakan untuk menguji kebolehan dan kekuatan manusia, malah terdapat juga pertandingan
dikalangan wanita. Inilah yang mewujudkan pertandingan ‘olahraga’ atau ‘athletics’. Sejak
zaman Sebelum Masihi lagi sudah terdapat pertandingan olahraga ini, khususnya di kalangan
penduduk Greek Kuno.
SEJARAH AWAL

Walaupun diakui sudah terdapat pertandingan seperti yang dinyatakan pada awal bab ini
sejak zaman Sebelum Masihi lagi, tetapi adalah sukar untuk mengetahui dengan jelas dan
tepat bila manusia menjadikan aktiviti berlari, melompat dan melontar ini sebagai satu
pertandingan. Jika permulaan di Greek Kuno diambil kira seperti yang dinyatakan oleh
kebanyakan buku sejarah, bermakna ‘olahraga’ sudah bermula sejak 3000 tahun yang lampau
lagi. Jika pendapat ini diterima, bermakna olahraga sudah tentu merupakan sukan terawal di
dunia.
Salah satu bukti yang kukuh untuk menjelaskan kesahihan kenyataan ini, dapat dilihat
pada sejarah awal Sukan Olimpik Kuno. Sukan itu dipercayai bermula pada tahun 776 SM,
sehingga kini sudah diakui merupakan catatan awal bermulanya olahraga sebagai satu acara
sukan. Ini disebabkan olahraga merupakan acara utama sukan tersebut. Dengan kata lain
orang Greek sudah mengambil bahagian dalam pertandingan olahraga, walaupun matlamat
asal olahraga mereka bukanlah menjadikan olahraga sebagai acara sukan yang
dipertandingkan. Mereka lebih menganggap olahraga sebagai salah satu cabang seni melalui
persembahan peserta-peserta yang mengambil bahagian.
Dalam perjumpaan Sukan Olimpik Kuno, olahraga merupakan acara yang mendapat
perhatian ramai. Sebuah buku tentang sejarah dan perkembangan sukan iaitu The
Encyclopedia of Sports ada menyatakan tentang olahraga yang bermula pada zaman Greek
Kuno, dan mencatatkan bahawa lompat jauh dianggap sebagai acara pertama yang
dipertandingkan dalam sukan tersebut. Sukan Olimpik ini yang bermula pada tahun 776 SM
berjaya diadakan setiap empat tahun sekali sehingga tahun 397 SM. Selepas itu Sukan
Olimpik tidak dapat diadakan lagi atas arahan Maharaja Rom, Theodosius, tanpa menyatakan
alasannya.
Ketiadaan sukan itu menyebabkan penduduk pada ketika itu berasa kehilangan
sesuatu. Mereka tidak lagi dapat berkumpul dan bertanding seperti sebelumnya.
Bagaimanapun, mereka tetap meneruskan aktiviti berlari, melompat dan melontar. Setidak-
tidaknya mereka dapat juga mempamerkan kemahiran dan kebolehan mereka untuk diadili
oleh orang ramai. Oleh sebab pertandingan sukan olahraga menerusi Sukan Olimpik Kuno itu
diadakan khusus untuk penduduk sekitar Greek sahaja, tiada negara lain yang sanggup
meneruskan tradisi sukan tersebut akhirnya berkuburlah sukan itu.
Hal ini berlanjutan sehingga abad ke-19. Walaupun tanpa sukan tersebut mereka terus
mengadakan ‘pertandingan’ sesama mereka secara kecil-kecilan.

PERKEMBANGAN PADA ZAMAN MODEN

Menjelang abad ke-19 barulah timbul ura-ura untuk menghidupkan semula Sukan Olimpik
yang sekian lama berkubur. Dalam pada itu terdapat pula usaha negara-negara lain, yang
mula menunjukkan minat (selain Greek) untuk menghidupkan semula sukan olahraga. Di
England umpamanya, olahraga berjaya dihidupkan kembali oleh Royal Military College
menerusi temasya sukannya yang diadakan pada tahun 1812. Perjumpaan sukan itu dianggap
sebagai yang pertama diadakan selepas berkuburnya Sukan Olimpik Kuno. Kejayaan kolej itu
mengadakan temasya sukan olahraga telah mendorong pihak-pihak lain untuk turut sama
mengembangkan sukan ini ke merata tempat di England.
Tidak berapa lama selepas itu, muncul kelab olahraga yang pertama di dunia iaitu
Kelab The New Guild di England. Penubuhan kelab ini juga turut mendorong kemunculan
beberapa kelab olahraga yang lain selepas itu. Kebanyakan sekolah turut menggalakkan
pelajar melibatkan diri dalam olahraga, begitu juga dengan universiti dan kolej. Sasaran
menjadikan sekolah, kolej dan universiti sebagai tempat mengembangkan sukan olahraga
amat wajar dan dengan segala kemudahan serta pengurusan yang teratur, peluang untuk
mengembangkan sukan olahraga amat cerah. Universiti Oxford adalah antara beberapa
universiti yang terawal menubuhkan pasukan olahraga, iaitu ‘Exeter College Athletics Club’
yang ditubuhkan pada tahun 1850. Apa yang menarik kelab itu masih wujud hingga ke hari
ini.
Perkembangan sukan di negara-negara Eropah khususnya di England termasuk sukan
olahraga pada abad ke-19 memang ketara. Ini menjadikan penduduk di situ mudah
mempelajari dan menerima kedatangan sukan olahraga ini. Oleh itu, tidak hairan jika
dikatakan bahawa tahun-tahun 1860-an merupakan tempoh perkembangan sukan olahraga
yang pesat di England. Sambutan penduduk setempat yang menggalakkan memudahkan lagi
perkembangan sukan ini.
Bagi meningkatkan perkembangan sukan olahraga ini, kejohanan olahraga berbentuk
terbuka mula dianjurkan oleh kelab-kelab olahraga di negara tersebut. Sekali lagi sukan
olahraga mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada penduduk di situ. Orang
ramai sudah mula meminati dan turut menonton kejohanan-kejohanan yang dianjurkan.
Selain itu, olahraga turut diperkenalkan ke Amerika Syarikat dan Kanada. Usaha
pengembangan sukan ini di England diteruskan dan pada tahun 1876, negara tersebut berjaya
mengadakan kejohanan olahraga pertama yang berbentuk pertandingan peringkat
antarabangsa. Kejohanan tersebut melibatkan England dan Ireland.
Kemunculan sukan olahraga di Amerika Syarikat telah mendapat sambutan yang
menggalakkan daripada rakyat negara tersebut. Perjumpaan olahraga turut diadakan dalam
masa yang singkat. Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, ahli-ahli olahraga
Amerika Syarikat yang baru sahaja didedahkan dengan sukan ini mampu menunjukkan
prestasi yang membanggakan. Sebilangan besar daripada atlit Amerika Syarikat bukan sahaja
berjaya memenangi malah menguasai banyak perjumpaan sukan yang diadakan, termasuk di
luar Amerika Syarikat.
Turut membanggakan lagi ialah penguasaan ahli-ahli olahraga Amerika ini amat
menonjol sehingga mampu mencipta dan memecahkan rekod yang terdahulu. Bagaimanapun,
ketika itu kebanyakan rekod dunia masih belum mendapat pengiktirafan maka rekod-rekod
ini tidak dicatat untuk rujukan. Bagaimanapun, daripada senarai pemenang pada kebanyakan
perjumpaan olahraga menunjukkan bahawa sebahagian besarnya adalah peserta dari Amerika
Syarikat.
Perkembangan seterusnya ialah ke negara-negara Eropah yang lain, selain daripada
kepulauan Inggeris dan ke beberapa negara dunia yang lain. Kemasukan sukan ini juga
mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat, malah dalam masa
yang singkat sahaja sudah mampu menghasilkan olahragawan bertaraf dunia. Walau
bagaimanapun, prestasi dan kebolehan para olahragawan Amerika Syarikat masih belum
tergugat. Mereka masih menguasai sebilangan besar perjumpaan olahraga antarabangsa. Hal
ini ditambah lagi dengan kemunculan atlet Amerika Syarikat yang berketurunan Negro,
menunjukkan prestasi yang membanggakan dan menakjubkan.
Di negara-negara lain juga dturut diadakan kejohanan olahraga yang disertai oleh
peserta-peserta luar negara. Malahan menerusi persatuan-persatuan olahraga masing-masing,
mereka menjadikan perjumpaan olahraga sebagai perjumpaan tahunan yang meriah.
Perjumpaan olahraga seperti Sukan Olimpik telah menjadi medan perjumpaan para
olahragawan dari seluruh dunia untuk mengukur kebolehan dan keupayaan para peserta
masing-masing dalam bidang olahraga. Sejak diadakan pada zaman kuno lagi, perjumpaan
sukan ini dianggap sebagai perjumpaan sukan yang terbesar di dunia, dan olahraga dijadikan
acara yang utama dalam sukan tersebut.
Australia dan New Zealand juga berjaya melahirkan olahragawan yang mampu
menandingi peserta dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Olahragawan dari
Asia, Afrika dan Amerika Selatan ketika itu masih belum mampu menggugat atau
menandingi mereka, walaupun sukan olahraga telah diperkenalkan ke negara-negara tersebut.
Hanya selepas tahun 1960-an barulah muncul peserta-peserta dari tiga bahagian dunia ini
yang mampu menandingi dan memberi saingan, walaupun potensi mereka masih belum
mampu menggugat potensi ahli-ahli olahraga dari Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada.
Bagaimanapun, kini semakin ramai olahragawan dari ketiga-tiga rantau Afrika, Amerika
Selatan dan Asia yang telah menunjukkan prestasi yang baik dan memenangi beberapa acara
sejak kebelakangan ini. Ini menjadikan pertandingan olahraga, khususnya menerusi Sukan
Olimpik semakin mencabar dan menarik.
Kebanyakan negara mula menubuhkan persatuan olahraga masing-masing setelah
beberapa tahun olahraga diperkenalkan di negara mereka. Persatuan-persatuan ini bertujuan
menjadi badan penyelaras kepada setiap aktiviti dan kejohanan yang diadakan serta yang
disertai negara berkenaan. Persatuan ini juga bertindak sebagai badan yang
bertanggungjawab ke atas perkembangan dan kemajuan olahraga di negara masing-masing.
Negara kita juga tidak ketinggalan menubuhkan persatuan olahraga sendiri sejak
tahun 1926 lagi. Dengan adanya persatuan-persatuan olahraga ini telah memberi kesempatan
dan peluang kepada peserta-peserta dari pelbagai negara mengambil bahagian dalam
kejohanan dan perjumpaan olahraga yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan yang
bergabung dengan Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) atau anjuran badan
dunia itu sendiri.
SUKAN OLIMPIK : PERJUMPAAN SUKAN YANG TERBESAR DI DUNIA

Jika ditanya apa perjumpaan sukan yang terbesar di dunia, tanpa ragu-ragu kita sudah dapat
memberi jawapannya. Dengan penglibatan lebih daripada 10 000 orang peserta merangkumi
seluruh negara di dalam IAAF serta berpuluh-puluh ribu pegawai dan petugas, sememangnya
Sukan Olimpik kini merupakan perjumpaan sukan yang terbesar di dunia. Malah sejak
pertama kali diadakan hingga kini, Sukan Olompik berjaya menarik minat dan tumpuan
seluruh masyarakat dunia tanpa mengira agama, warna kulit dan perbezaan corak hidup.
Inilah keunikan sukan ini.
Sebenarnya Sukan Olimpik bermula sejak zaman Greek Kuno lagi. Namun seperti
yang dinyatakan pada awal bab ini, sukan yang diadakan ketika itu amat berlainan dari segi
corak dan formatnya. Apabila Sukan Olimpik diadakan buat kali pertama pada tahun 1896 di
Greek, ramai yang mengalu-alukannya. Sukan olahraga merupakan acara utama dan wajib
dalam sukan ini sehingga terdapat lebih daripada 30 acara yang dimasukkan dalam senarai
acara Sukan Olimpik, tetapi olahraga masih menduduki tempat teratas dari segi
keutamaannya. Sekiranya sukan itu diadakan tanpa acara olahraga, sudah tentu suasana tidak
semeriah yang dapat kita lihat sekarang. Sukan ini diadakan empat tahun sekali, dan diadakan
di pelbagai negara dunia mengikut kemampuan dan persetujuan negara berkenaan menjadi
penganjur.
Pengaruh Sukan Olimpik terus menular ke merata dunia dengan olahraga terus
menjadi acara utama. Kali terakhir sukan ini diadakan ialah pada tahun 1992 di Barcelona
Sepanyol, dengan penyertaan 135 buah negara, termasuk Malaysia. Sukan Olimpik
berikutnya akan diadakan pada tahun 1996. Motto atau cogan katanya berbunyi : Citius,
Altius, Fortius (Swifter, Higher, Stronger) jelas menunjukkan bahawa sukan olahragalah
menjadi tunjang kepada cogan kata ini. Ini ditambah lagi dengan kenyataan yang turut
dijadikan cogan kata Sukan Olimpik, iaitu : Perkara yang lebih penting dalam sukan bukanlah
kemenangan, tetapi mengambil bahagian. Ini seolah-olah memberi dorongan kepada negara-
negara kecil untuk turut serta dan telah mengakui bahawa kemenangan bukanlah harapan atau
cita-cita negara mereka.
MALAYSIA DAN SUKAN OLIMPIK

Berbicara tentang Sukan Olimpik, tentu ada antara kita yang tertanya-tanya bila negara kita
mula mengambil bahagian dan pernah kita memenangi sebarang pingat sepanjang penyertaan
kita. Negara kita mula mengambil bahagian dalam sukan ini pada tahun 1956, iaitu ketika
sukan itu diadakan di Melbourne, Australia. Pada penyertaan kali pertama itu kita mengambil
bahagian dalam acara hoki, olahraga, renang dan angkat berat. Sejak itu, negara kita tidak
pernah gagal mengambil bahagian, kecuali pada tahun 1980 sebagai menyokong pemulauan
terhadap pencerobohan penganjur, Rusia ke atas Afghanistan ketika itu.
Sepanjang penyertaan negara kita dalam sukan terbesar di dunia itu, cuma satu pingat
gangsa yang mampu kita menangi, iaitu menerusi acara badminton pada tahun 1992, yang
pertama kali memasukkan badminton sebagai salah satu acara. Dalam acara atau sukan lain,
kita masih belum mampu memenangi sebarang pingat. Semangat Olimpik, pengalaman dan
persahabatan, serta perasaan ingin turut serta merupakan beberapa faktor penyertaan kita, dan
mungkin sebilangan besar negara lain. Sukan olahraga telah berjaya meletakkan Sukan
Olimpik ke tahap yang tinggi sehingga mampu menjadi daya tarikan utama peminat dan
peserta dunia. Di samping itu Sukan Olimpik juga berperanan melupakan sejenak sebarang
masalah dan krisis yang timbul. Secara tidak langsung sukan ini berjaya meyelesaikan
sebarang pertikaian antarabangsa.
PERSATUAN DAN ORGANISASI OLAHRAGA

Seperti kebanyakan sukan dunia, cara paling baik dan berkesan untuk mengembang dan
menyelaraskan segala aktiviti dan perjumpaan sukan termasuk olahraga ialah menerusi
persatuan. Oleh itu adalah penting ditubuhkan persatuan-persatuan sukan mengikut peringkat
tertentu. Bagi olahraga, badan atau pertubuhan tertinggi untuk tujuan ini ialah Persekutuan
Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) yang ditubuhkan pada tahun 1912. Keahlian badan
ini terdiri daripada persatuan-persatuan olahraga peringkat nasional negara masing-masing.
Setiap negara boleh bergabung dalam persekutuan ini. Negara kita menerusi Kesatuan
Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) turut menganggotai badan ini.
Dengan adanya IAAF, sebarang kejohanan dan perjumpaan sukan olahraga
diperingkat antarabangsa hendaklah terdapat kebenaran dan pengiktirafan IAAF ataupun
dianjurkan sendiri oleh badan berkenaan. Badan ini juga bertanggungjawab dalam
menyelesaikan sebarang masalah atau pertikaian yang mungkin timbul dikalangan negara-
negara atau persatuan-persatuan gabungannya. Umpamanya, dalam menganjurkan
perjumpaan sukan utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan
sebagainya, badan berkenaan harus mendapat persetujuan dalam Majlis Olimpik
Antarabangsa (IOC) dan IAAF.
Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) juga berperanan mengeluarkan
segala undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan sukan olahraga untuk dipatuhi
oleh semua negara anggota. Begitu juga dengan rekod-rekod pencapaian yang dicipta oleh
setiap peserta, tidak kira dimana asalkan mendapat kelulusan IAAF, dicatat dan
dikemaskinikan oleh badan ini pada setiap masa. Ringkasannya, IAAF sememangnya
berperanan dalam semua hal yang berkaitan dengan sukan olahraga diperingkat dunia.
OLAHRAGA SEBAGAI SUKAN

Tiga kemahiran utama manusia sejak bertahun-tahun, iaitu berlari, melompat dan melontar
sememangnya memerlukan asas kepada setiap pergerakan dan aktiviti lain yang mampu
dilakukan oleh manusia. Seseorang itu sama ada lelaki ataupun perempuan, tua atau muda,
bekerja sebagai buruh atau pegawai, asal sahaja sihat tubuh badan, mereka pernah dan akan
melakukan ketiga-tiga aktiviti ini baik secara sedar mahupun tidak. Daripada pergerakan
inilah muncul suatu bidang sukan yang amat diminati sehingga sekarang, ataupun olahraga.
Sebagai sukan yang dipertandingkan, sudah tentu aktiviti ini diubah suai dan
diperkemaskan dari semasa ke semasa mengikut kehendak dan aturan yang ditetapkan.
Begitu juga dengan cabang daripada olahraga juga turut dicipta dan diperbaiki untuk lebih
menarik dan sesuai dipertandingkan. Yang nyata kini ialah daripada perlakuan memenuhi
riadah atau rekreasi lama kelamaan menjadi acara sukan yang diminati sehingga menjadi
bidang pertandingan yang menarik walaupun sengit.
Tidak dapat dinafikan banyak lagi kebaikan yang menyebabkan orang ramai
berlumba-lumba menceburi sukan ini, dari peringkat yang paling rendah seperti di sekolah
rendah, sehinggalah ke peringkat yang paling tinggi seperti Sukan Olimpik. Sukan khususnya
olahraga mampu menjadi penyumbang utama ke arah perkembangan tingkah laku manusia
serta peribadi seseorang.
Sifat-sifat seperti bersemangat kental, keazaman yang kuat, berdisiplin tinggi,
keinginan untuk berjaya, semangat berpasukan, bertimbangrasa dan bertolak ansur, tolong-
menolong, menenangkan fikiran, bersaingan dan sebagainya adalah antara ciri-ciri yang
membantu perkembangan mental, fizikal dan fikiran serta peribadi seseorang yang
melibatkan diri dalam sukan ini. Ini diperolehi bukan sahaja oleh mereka yang menjadi
peserta, tetapi merangkumi pegawai, jurulatih, pengajar, pembantu, malahan penonton
amnya.
Sebagai sukan, olahraga mempunyai sejarah yang paling tua. Seperti yang dinyatakan
pada bab terdahulu, manusia sudah mula melakukan aktiviti berlari, melompat dan melontar
sejak zaman kuno lagi. Sukan Olimpik Kuno yang membuktikan bahawa aktiviti yang
manusia lakukan itu kemudiannya dijadikan sukan yang dipertandingkan sehingga menjadi
persaingan menarik dan diminati ramai. Kini ramai anak muda dan remaja yang telah
menceburkan diri dalam olahraga. Ada yang mengambil bahagian di peringkat sekolah. Ada
juga yang telah mewakili daerah, negeri dan tidak kurang pula yamg berjaya mewakili
negara.
Pertandingan dan perjumpaan olahraga dianjurkan di pelbagai peringkat. Pelbagai
acara diadakan sama ada untuk lelaki ataupun perempuan. Daripada pertandingan yang
dijalankan, para pemenang akan diberi hadiah yang menarik. Kepuasan mencipta rekod
baharu dari setiap peringkat sehingga kemuncak menerusi Sukan Olimpik atau kejohanan
dunia menyebabkan peserta olahraga terpaksa berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai
impian tersebut. Oleh yang demikian, kita dapat lihat dalam setiap perjumpaan olahraga ada
sahaja rekod baharu yang dicipta mengatasi yang lama.
SIFAT-SIFAT OLAHRAGAWAN

Seseorang yang mengambil bahagian dalam olahraga disebut atlit bagi lelaki dan
olahragawati bagi perempuan. Seseorang olahragawan atau olahragawati mungkin terdiri
daripada peserta yang mengambil bahagian sebagai amatur dan mungkin juga bertaraf
professional, yakni mereka dibayar gaji atau ganjaran tertentu untuk mengambil bahagian.
Kini ramai juga olahragawan dan olahragawati terutamanya di barat yang dikategorikan
sebagai profesional. Malah ada di antara mereka yang telah menjadi jutawan.
Adakah setiap orang boleh mengambil bahagian dalam sukan olahraga? Dan apakah
acara yang sesuai untuk disertai? Disebabkan terdapat banyak acara dalam sukan olahraga,
seseorang atlit bebas memilih acara yang paling sesuai baginya berdasarkan keupayaan dan
kebolehan sendiri. Adalah tidak mungkin seorang olahragawan mampu mengambil bahagian
dalam semua atau sejumlah besar acara, padahal ia hanya berupaya dalam satu dua acara
tertentu sahaja. Ada pula atlit yang terpaksa membuat pilihan walaupun dia mampu mencapai
prestasi yang baik dalam sebilangan besar acara.
Sebagai atlit, seseorang itu mempunyai beberapa ciri yang tertentu yang diharapkan
mampu membawa kejayaan kepadanya. Penentuan penyertaan dalam sesuatu acara itu
walaupun bergantung kepada diri individu itu, juga bergantung kepada kebijaksanaan
jurulatih atau guru pengawas. Antara ciri-ciri itu adalah seperti berikut :

1. Berdisiplin tinggi
Setiap atlit seharusnya mempunyai disiplin yang tinggi, sama ada semasa
mengikuti latihan ataupun pertandingan. Arahan jurulatih dan guru pengawas
hendaklah dipatuhi. Begitu juga segala peraturan dan undang-undang hendaklah
dipatuhi.

2. Semangat untuk bertanding


Setiap atlit harus mempunyai semangat yang tinggi untuk bertanding dan
seterusnya mencapai kejayaan. Semua ini hanya akan tercapai menerusi latihan
dan tunjuk ajar jurulatih.
3. Berperibadi mulia dan dihormati
Olahragawan dan ahli-ahli sukan sering menjadi perhatian dan ikutan orang ramai.
Oleh itu mereka harus menunjukkan peribadi dan mempamerkan gerak geri yang
terbatas serta tidak terkeluar daripada etika kemasyarakatan, keagamaan dan
kehendak negara.

4. Mempunyai semangat berpasukan


Sebagai atlit mereka juga diharapkan mempunyai semangat berpasukan dan
bekerjasama serta bertanggungjawab terhadap pasukan yang mereka wakili,
terutama jika penyertaan mereka menerusi acara berpasukan.

5. Bersemangat tinggi dan tidak mudah menyerah kalah


Matlamat utama seseorang mengambil bahagian dalam olahraga adalah untuk
mencapai kejayaan serta mempamerkan prestasi yang terbaik menandingi pihak
lawan. Di sini mereka dikehendaki mempunyai semangat juang yang tinggi tanpa
mudah mengaku kalah. Walaupun mereka tidak mencapai kejayaan, tetapi mereka
tetap berusaha mempamerkan persembahan terbaik sedaya mungkin.

6. Penyabar dan bertimbang rasa


Atlit haruslah mempunyai sifat sabar dan bertimbang rasa khususnya dalam hal
yang melibatkan pungutan mata, lebih-lebih lagi jika dia gagal dalam kejohanan
itu. Di samping itu banyak lagi contoh teladan yang baik yang menjadi ciri-ciri
olahragawan. Walaupun ada kalanya terdapat berita yang tidak disenangi daripada
olahragawan, keseluruhannya mereka mempunyai ciri-ciri yang menjadi ikutan
masyarakat umum. Mereka juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dan
mengamalkan sifat serta sikap yang dapat membantu meningkatkan prestasi
mereka. Tidak dapat dinafikan mereka sering dijadikan teladan oleh mereka yang
baru menceburkan diri dalam bidang ini. Segala yang baik daripada mereka
dijadikan pendorong dan galakan kepada olahragawan yang baru ini.
PENGLIBATAN WANITA DALAM OLAHRAGA

Olahraga bukan hanya diceburi kaum lelaki sahaja, kaum wanita juga turut melibatkan diri.
Mungkin pada peringkat awal penglibatan kaum wanita dalam olahraga dan sukan amnya
mendapat tentangan daripada beberapa pihak tertentu, tetapi lama-kelamaan diakui bahawa
penglibatan mereka adalah setanding dengan kaum lelaki, sehinggakan adakalanya
pencapaian mereka mengatasi kaum lelaki. Banyak acara olahraga yang disertai lelaki juga
menjadi acara untuk wanita. Gaya larian, keupayaan, teknik dan prestasi mereka ada yang
menakjubkan.
Penglibatan wanita dalam sukan khususnya olahraga tidaklah seawal penglibatan dan
mengalami sejarah pahit seperti kaum lelaki. Mengikut sejarah olahragawan, wanita pada
mulanya dilarang daripada mengambil bahagian dalam acara sukan. Pelbagai anggapan
negatif dilemparkan kepada mereka. Malah mereka juga dilarang menonton kaum lelaki
mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Kuno.
Ketika olahraga rancak menular ke negara-negara Eropah khususnya England, wanita
masih dilarang mengambil bahagian dalam olahraga. Persatuan olahraga juga enggan
mengatur serta menganjurkan kejohanan dan perjumpaan olahraga untuk wanita.
Bagaimanapun ini tidaklah bermakna tiada pula usaha dilakukan oleh pihak-pihak
tertentu untuk menganjurkan kejohanan untuk wanita. Menyedari penglibatan dan penyertaan
wanita juga perlu, maka sebuah persatuan olahraga khusus untuk kaum wanita ditubuhkan.
Persatuan ini diberi nama Federation Sportive Feminine Internationale. Tujuan utama
penubuhan persatuan ini ialah untuk mencadangkan kepada Majlis Olimpik Antarabangsa
supaya penyertaan Sukan Olimpik yang bakal diadakan pada tahun 1924, dibuka juga kepada
wanita. Cadangan itu mendapat sambutan yang menggalakkan. Tetapi bukan untuk Sukan
Olimpik tahun 1924 seperti yang dicadangkan itu.
Sukan Olimpik tahun 1928 akhirnya membuka pintu kepada kaum wanita.
Penerimaan wanita dalam sukan yang terbesar di dunia itu telah disambut dengan gembira
oleh atlit pelbagai negara yang sudah tentu mahu menunjukkkan pencapaian mereka yang
tidak kurang hebatnya daripada kaum lelaki. Sejak itu penyertaan kaum wanita dalam Sukan
Olimpik tidak pernah diketepikan. Di samping berjaya mempamerkan persembahan dan
prestasi yang bermutu tinggi. mereka juga mampu menarik minat sebahagian besar peminat
sukan dunia. Secara tidak langsung penyertaan mereka memeriahkan lagi temasya sukan itu.
Negara kita juga memberi peluang kepada kaum wanita untuk menceburkan diri
bukan sahaja dalam sukan olahraga tetapi juga dalam bidang-bidang sukan lain. Prestasi yang
mereka pamerkan bukan sahaja tinggi dari segi mutu, tetapi turut menaikkan nama negara
dalam sukan antarabangsa, khususnya olahraga. Bagitu juga dengan pelajar-pelajar sekolah,
yang turut diberi peluang mengambil bahagian dalam sukan ini sejak dari sekolah rendah
lagi. Ini jelas menunjukkan bahawa olahraga khususnya dan sukan amnya adalah milik semua
rakyat tidak kira lelaki atau wanita.
PERALATAN UNTUK OLAHRAGA

Dahulunya soal peralatan tidak begitu di ambil kira oleh para olahragawan. Mereka memakai
kasut biasa, dan ada kalanya berlari berkaki ayam, selain memakai seluar pendek dan baju-T
atau singlet. Apabila terciptanya kasut lari (spikes) pada penghujung abad ke-19, spikes terus
menjadi peralatan penting para pelari acara pecut sehingga para pelari merasakan spikes
adalah suatu yang penting bagi mereka. Umumnya dalam sukan olahraga, terutamanya dalam
acara-acara larian, terdapat beberapa peralatan yang diperlukan selain spikes ini.

1. Kasut
Kasut atau spikes merupakan peralatan penting para olahragawan bukan sahaja
mereka yang mengambil bahagian dalam acara lari pecut, tetapi juga untuk
kegunaan dalam acara lain, termasuk acara padang. Walau bagaimanapun,
penggunaan kasut ini amat penting malah dimestikan bagi acara olahraga masa
kini, terutama untuk acara lari pecut. Jenis kasut bergantung pada keselesaan atlit
secara individu. Bagaimanapun biarlah daripada jenis yang ringan.

2. Blok permulaan
Blok permulaan (starting block) merupakan sejenis alat yang digunakan untuk
membantu para pelari pecut membuat lonjakan yang pantas semasa memulakan
larian. Biasanya para pelari tidak diwajibkan menggunakan blok permulaan ini,
tetapi bagi kebanyakan pelari blok ini amat diperlukan, termasuk dalam
perlumbaan di peringkat sekolah. Pelari boleh meminta nasihat guru pengawas
atau jurulatih tentang pemilihan jenis blok permulaan yang sesuai.

3. Pakaian sukan
Seperti acara sukan lainnya, para olahragawan juga perlu mengenakan pakaian
yang sesuai untuk setiap acara yang mereka sertai. Dalam kebanyakan perjumpaan
sukan terbesar dunia, para olahragawan akan memakai singlet yang terdapat
nombor peserta, negara atau pasukan yang mereka wakili serta nama penaja yang
menganjurkan perjumpaan itu. Bagaimanapun, setiap peserta dibolehkan memakai
pakaian yang mereka gemari asalkan dipersetujui oleh negara dan pasukan
mereka. Contohnya dalam Sukan Olimpik yang dapat kita tontoni menerusi kaca
televisyen tidak lama dahulu, pelbagai jenis dan bentuk pakaian yang dipakai
oleh para olahragawan lelaki dan wanita asalkan pakaian itu selesa dan tidak
mengganggu pergerakan dan larian mereka.

4. Peralatan sampingan
Setiap olahragawan juga digalakkan mempunyai beg peralatan masing-masing.
Mungkin ada di kalangan olahragawan yang menganggap perkara ini sesuatu yang
tidak penting, namun sebagai olahragawan, sesuatu yang mempunyai kaitan
dengan mereka hendaklah diberi perhatian. Bagi peralatan ini pula harus
mengandungi barangan seperti berikut :
a. Tuala
b. Peralatan kecemasan yang ringan, seperti minyak urut, plaster, aspirin, botol
minuman dan sebagainya.
c. Seluar pendek dan singlet (sebaik-baiknya dua pasang)
d. Kasut jogging dan kasut berlari (spikes)
e. Jam randik (stop-watch) atau pita pengukur
f. Barangan lain yang difikirkan perlu
ACARA-ACARA OLAHRAGA : BALAPAN

Sebelum kita mempelajari prinsip dan teknik sesuatu yang terdapat dalam sukan olahraga,
adalah perlu kita ketahui apa acara yang tergolong dalam acara balapan atau trek. Dengan
mengetahui acara-acara ini barulah mudah bagi kita mempelajari satu demi satu sebagai
panduan kepada mereka yang ingin melibatkan diri dalam mana-mana acara yang mereka
ingini.
Sukan olahraga merupakan sejenis sukan yang menarik dan amat berlainan daripada
sukan-sukan lain. Ini disebabkan dalam olahraga terdapat banyak acara baik untuk lelaki
mahupun wanita, dan acara-acara ini sama ada secara perseorangan ataupun berpasukan. Jika
dalam sukan bola sepak, hanya satu pingat emas dijadikan rebutan dalam kebanyakkan sukan
terbesar dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan SEA, walaupun terdapat
sekurang-kurangnya 11 orang pemain dalam sesebuah pasukan. Dalam olahraga setiap acara
mempertaruhkan pingat emas. Dengan hanya memenangi satu acara sahaja sudah cukup
untuk mendapatkan pingat. Ini bermakna dalam kebanyakan perjumpaan sukan yang
dinyatakan, hampir 40 pingat dipertaruhkan bagi acara olahraga.
Semua acara dalam olahraga merangkumi aktiviti larian, lompatan dan lontaran.
Seorang atlit mungkin berkemampuan dalam satu atau dua aktiviti, tetapi adalah sukar bagi
seseorang itu mahir dalam ketiga-tiga acara ini. Kebanyakkan atlit lebih suka
mengkhususkan penyertaan dan penglibatan mereka, terutamanya di peringkat antarabangsa.
Dengan itu mereka lebih mudah meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa dengan hanya
mengambil bahagian dalam satu atau dua acara.
PENGKHUSUSAN

Di peringkat sekolah, seseorang murid dibenarkan mengambil bahagian dalam sejumlah


tertentu acara yang mereka gemari atau yang mereka kuasai, sama ada daripada kumpulan
larian, lompatan atau lontaran. Selain mengambil bahagian dalam acara-acara individu,
mereka juga digalakkan mengambil bahagian dalam acara-acara berpasukan seperti lari
berganti-ganti. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kita dapati dalam sesuatu
perjumpaan olahraga peringkat sekolah, seseorang murid mampu merangkul banyak pingat
menerusi berbagai acara.
Bagaimanapun guru pengawas atau jurulatih akan memberi nasihat dan panduan
tentang sesuatu acara yang harus disertai atau dikhususkan. Ini disebabkan peringkat yang
lebih tinggi, teknik sesuatu acara sukan menjadi lebih rumit. Tidak mungkin seseorang atlit
itu mampu meraih kejayaan dalam semua acara yang disertainya. Jadi bagi mengelakkan
daripada menemui kegagalan, sudah tentu peserta akan memilih acara yang sesuai baginya
yang mampu menjanjikan sesuatu kejayaan.
Malah diperingkat antarabangsa sekalipun, dengan hanya mengambil bahagian dalam satu
acara tertentu sahaja seseorang olahragawan mampu mencatat nama di peringkat tertinggi,
dan mampu dijadikan contoh kepada ol;ahragawean lain di seluruh dunia.
Dengan melakukan pengkhususan begini, mereka dapat menumpukan seluruh
perhatian kepada setiap aspek latihan yang bakal mereka ikuti. Malah mereka akan
mempunyai jurulatih khas mengikut jenis acara yang mereka ceburi. Dengan itu sudah tentu
bentuk latihan yang lebih khusus dan merndalam akan mereka ikuti, dan bentuk ini mungkin
berbeza mengikut perbezaan acara, walaupun semua mereka akan mengikuti latihan umum
secara bersama.
JENIS-JENIS ACARA BALAPAN

Pelbagai acara terdapat dalam sukan olahraga, walaupun olahraga merupakan salah satu acara
sukan sejak berabad-abad lagi. Perbezaan yang ketara antara olahraga dengan jenis sukan lain
ialah bilangan acara yang banyak dan menyebabkan banyak jumlah pingat yang boleh
dimenangi menerusi olahraga, berbanding hanya satu pingat dalam sukan bola sepak atau
hoki. Secara logiknya, adalah lebih ekonomik dan mudah jika penumpuan diberikan kepada
sukan olahraga kalau pungutan pingat dijadiakn ukuran tidak rasmi dalam menentukan
keupayaan sesebuah pasukan atau negara.
Seperti yang dinyatakan terdahulu, acara-acara olahraga dibahagikan kepada tiga
kategori, iaitu larian, lompatan dan lontaran. Terdapat acara-acara yang dikhaskan untuk
lelaki sahaja, dan ada pula acara yang boleh desertai oleh lelaki dan wanita. Setiap acara
mempunyai undang-undang dan peraturan tersendiri, yang harus dipatuhi oleh semua peserta.
Dengan itu penentuan pertandingan adalah mengikut penyertaan dalam sesuatu acara dan
bukan olahraga secara keseluruhannya. Justeru itu pemenang dalam sesuatu acara dipilih
daripada kalangan peserta yang mengambil bahagian dalam acara itu sahaja.
Penganjur sesuatu perjumpaan olahraga boleh menentukan jenis atau bilangan acara yang
mereka akan pertandingkan. Faktor-faktor seperti bilangan peserta, tingkat keupayaan
mereka, kemudahan peralatan, keupayaan pihak penganjur, kewangan, keselamatan,
keupayaan pegawai dan kakitangan pengelola dan tempoh pertandingan akan menentukan
bilangan dan jenis acara yang akan di pertandingkan dalam sesuatu perjumpaan.
Umpamanya di peringkat sekolah, bilangan acara sukan mudah tentu berkurangan
daripada jumlah acara untuk sukan-sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel
atau Sukan Olimpik. Dalam Sukan Olimpik, walaupun dianggap mempunyai jumlah acara
olahraga yang maksimum, tetapi masih belum lengkap sepenuhnya. Biasanya dalam
kejohanan balapan dan padang antarabangsa, semua acara olahraga dipertandingkan,
termasuk wanita.
Senarai lengkap acara-acara olahraga yang sering dipertandingkan di peringkat
aanatarabangsa, dan juga kebangsaan adalah seperti berikut :
Kategori Acara Peserta
1. Lari jarak dekat 100 meter Lelaki/Wanita
(pecut) 200 meter Lelaki/ Wanita
400 meter Lelaki/ Wanita

2. Lari jarak sederhana 800 meter Lelaki/ Wanita


1500 meter Lelaki/ Wanita

3. Lari jarak jauh 3000 meter Wanita


5000 meter Lelaki/ Wanita
10 000 meter Lelaki

4. Lari berhalangan 3000 meter Lelaki

5. Lari berpagar 100 meter Wanita


110 meter Lelaki
400 meter Lelaki/ Wanita

6. Lari berganti-ganti 4 x 100 meter Lelaki/ wanita


4 x 400 meter Lelaki/ wanita

7. Marathon Lelaki/ Wanita

8. Heptathlon 7 acara Wanita

9. Dekathlon 10 acara Lelaki

10. Berjalan kaki 5000 meter Wanita


10 000 meter Lelaki/ Wanita
20 000 meter Lelaki
50 000 meter
ACARA-ACARA KHAS

Selain acara-acara yang dinyatakan, terdapat beberapa acara lain lagi yang juga turut
dipertandingkan sebagai acara olahraga. Oleh sebab ciri-ciri acara ini agak berbeza dan
tersendiri, agak sukar untuk di kategorikan sebagai acara balapan, atau acara padang.
Umpamanya, acara dekathlon dan heptathlon yang merupakan gabungan ketiga-tiga
kumpulan cara tersebut, mungkin juga boleh dikategorikan sebagai balapan dan juga padang.
Begitu juga dengan acara marathon dan lumba jalan kaki.
Satu lagi acara yang sering diadakan di peringkat sekolah dan mendapat sambutan
yang menggalakkan ialah tarik tali tetapi di kebanyakan perjumpaan olahraga dunia, acara ini
tidak diadakan. Di negara kita pertandingan tarik tali lebih merupakan salah satu acara dalam
sukaneka yang dianggap sebagai sukan sambil bergembira dan bukan pertandingan.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu ada pihak yang menganjurkan pertandingan tarik
tali secara khusus, dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Marathon

Acara marathon juga merupakan acara olahraga yang disertai oleh lelaki dan perempuan.
Marathon juga sering diadakan dalam perjumpaan olahraga utama duania, walaupun di
negara kita, khususnya di peringkat sekolah tidak diadakan.
Marathon adalah acara lari hjarak jauh sejauh 26 batu 385 ela diadakan sejak Sukan
Olimpik Kuno lagi. Mengikut sejarah, acara ini adalah sempena sejarah Greek Kuno sebagai
lambang pembawa berita yang berlari sejauh 26 batu 385 ela sebelum dia meninggal dunia
disebabkan keletihan.
Acara marathon diadakan diluar kawasan balapan, menggunakan jalan raya biasa. Hanya
permulaan dan akhir acara sahaja diadakan di dalam balapan. Disebabkan jarak yang amat
jauh, kebanyakkan penganjur olahraga mengetepikan acara marathon daripada senarai acara
mereka untuk acara ini disamping diadakan secara berasingan. Adakalanya juga diadakan
pada jarak yang lebih dekat dan dinamakan marathon mini.
Lumba Jalan Kaki

Dilihat pada nama acara Lumba Jalan Kaki adalah sejenis acara berjalan laju yang mungkin
juga merupakan gabungan antara aktiviti berjalan dan berlari. Di perinkat sekolah acara ini
tidak diadakan kecuali dalam perjumpaan sukan olahraga dewasa sahaja. Terdapat beberapa
jarak yang di pertandingkan, khusus untuk lelaki ataupun perempuan. Biasanya lumba jalan
kaki diadakan berasingan, bersempena sesuatu peristiwa atau hari-hari perayaan.
Pekara penting dalam lumba jalan kaki ialah jarak serta kekerapan membuat
langkahan. Kelenturan pergerakan badan dan gabungan ayunan tangan dapat meningkatkan
kelajuan. Peserta tidak dibenarkan berlari dalam acara ini. Disebabkan kelajuan langkahan
yang ditunjukan oleh para peserta, penonton seolah-olah beranggapan mereka berlari anak
,tetapi sebenarnya tidak.

Dekathlon

Dekathlon adalahn gabungan 10 acara yang merangkumi larian, lompatan dan lontaran.
Semua acara ini dijalankan sepanjang 2 hari, dan dikhaskan untuk lelaki sahaja. Susunan
pertandingan acara adalah seperti berikut :
Hari pertama Hari kedua
100 meter 110 meter lari berpagar
Lompat jauh Lempar cakera
Lontar peluru Lompat bergalah
Lompat tinggi Rejam lembing
400 meter 1500 meter

Atlit yang menjuarai acara ini sering dianggap sebagi atlit yang paling lengkap. Peserta yang
mengambil bahagian harus mengabungkan kelajuan, kekuatan, kelenturan, keazaman serta
semangat kesukanan yang tinggi. Mereka juga harus mampu mengekalkan prestasi yang
tinggi sepanjang 2 hari acara itu diadakan. Untuk memenangi acara ini secara
keseluruhannya, peserta perlu mengambil bahagian dalam semua acara. Setiap pencapaian
dalam sesuatu acara diberikan mata mengikut ketetapan yang digariskan oleh Persatuan
Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF). Peserta yang menunjukkan prestasi yang tinggi
sudah tentu memperoleh mata yang tinggi. Mata yang dipungut oleh para peserta dalam
kesemua 10 acara itu dijumlahkan dan peserta yang memungut mata tertinggi dikira sebagai
pemenang.
Acara Dekathlon ini dipercayai bermula pada akhir abad ke-19 ketika itu terdapat 10
acara yang digabungkan, tetapi tempoh pertandingan hanya dalam sehari sahaja. Dekathlon
pertama kali disenaraikan sebagai acara Sukan Olimpik pada tahun 1012 ketika sukan itu
diadakan di Stockholm. Ketika itu semua acara ini dijalankan dalam masa tiga hari.
Bagaimanapun, kini acara tersebut diadakan dalam tempoh 2 hari sahaja bagi mengelakkan
peserta daripada kemungkinan menjadi bosan dan membebankan. Kini dekathlon merupakan
acara tetap dalam setiap perjumpaan olahraga utama dunia.

Heptathlon

Heptathlon merupakan gabungan tujuh acara yang dikhususkan untuk wanita sahaja. Untuk
menguji kemampuan para peserta menerusi gabungan ketiga-tiga acara olahraga. Acara
heptathlon juga diadakan dalam tempoh dua hari. Acara-acara yang terdapat dalam acara
heptathlon ini mengikut susunannya adalah seperti berikut :
HARI PERTAMA HARI KEDUA

100 meter lari berpagar Lompat jauh


Lompat tinggi
Lontar peluru Rejam lembing
200 meter 800 meter

Seperti dekathlon, pemenang dalam acara heptathlon ditentukan menerusi jumlah


keseluruhan mata yang dipungut dalam semua acara yang dipertandingkan. Peserta yang
berjaya memungut mata terbanyak dikira pemenang. Hanya pemenang keseluruhan diberi
hadiah dan bukan pemenang untuk setiap acara yang dipertandingkan. Pemenang acara ini
dianggap sebagai juara keseluruhan bahagian wanita.
BALAPAN UNTUK OLAHRAGA

Pihak penganjur sukan hendaklah memastikan supaya semua acara yang akan
dipertandingkan dalam sesuatu perjumpaan olahraga dapat dijalankan dengan baik dan
sempurna. Persediaan awal yang merangkumi peralatan dan kemudahan untuk setiap acara
hendaklah diberi perhatian. Salah satu kemudahan yang utama ialah balapan yang bakal
diadakan dalam perjumpaan itu. Biasanya balapan diadakan di padang besar seperti stadium
bola.
Di negara kita boleh dikatakan di setiap stadium disediakan balapan mengelilingi
padang bola. Ini memudahkan mana-mana pihak untuk menganjurkan sesuatu kejohanan atau
perjumpaan olahraga. Biasanya balapan yang mengandungi lapan lorong disediakan. Balapan
diperbuat daripada bitumen dan ada pula daripada tartan. Setiap lorong balapan sejauh 400
meter.
Di sekolah atau daerah, kebanyakan balapan dibuat apabila perjumpaan olahraga
diadakan. Begitu juga dengan kemudahan untuk acara-acara padang. Bahagian atau kawasan
tertentu di dalam padang dikhaskan bagi semua acara padang. Setiap pihak penganjur akan
berusaha mengadakan kemudahan ini sebaik mungkin mengikut kesesuaian atau peringkat
perjumpaan itu.