Anda di halaman 1dari 3

JIKA SAYA SEORANG RAJA, SAYA AKAN LAKUKAN TIGA PERKARA UNTUK

KESEJAHTERAAN RAKYAT

Jika saya menjadi seorang Raja, saya akan menjadi Raja yang berjiwa rakyat.

Saya ingin mempunyai sebuah kerajaan yang memiliki para pemimpin dan ketua yang

baik, tulus, ikhlas dan adil dalam mentadbir urusan kerajaan agar negara saya

sentiasa aman dan damai serta disayangi oleh semua lapisan masyarakat yang

tinggal di negara saya.

Jika saya seorang Raja, saya akan menjelajah ke semua pelosok bandar,

daerah, kampung-kampung dan di mana-mana sahaja tempat rakyat saya tinggal.

Saya akan bersua muka dengan rakyat jelata untuk mengetahui sebarang masalah

yang dihadapi oleh mereka. Saya akan mendengar semua permasalahan dan

akan berusaha menyelesaikan masalah mereka sebaik mungkin dengan bantuan

pemimpin-pemimpin lain yang telah dilantik agar semua rakyat saya dapat hidup

dengan selesa, aman dan tenteram.

Jika saya seorang Raja, saya ingin menjadikan negara saya sebuah negara

yang maju dalam pelbagai aspek. Misalnya, dari aspek pendidikan, politik dan

ekonomi. Selain itu, saya juga akan menjadikan negara saya sebuah negara yang

amat disukai oleh semua rakyat termasuklah rakyat di negara lain. Saya akan

berusaha menjadikan negara saya sebuah negara yang terkenal disebabkan

keindahan alam semula jadinya dan memiliki sistem pentadbiran yang sistematik.

Saya dan rakyat jelata akan bersama-sama mendirikan bangunan-bangunan yang

mesra alam, menjaga alam sekitar sebaik mungkin, menambah baik dan membaik

pulih sistem perhubungan jalan raya supaya rakyat jelata dapat bergerak ke tempat

lain dengan mudah dan selamat di samping menyediakan kemudahan pengangkutan


awam yang setaraf dengan negara-negara maju di dunia ini seperti Jepun dan

Amerika Syarikat. Kemudahan-kemudahan ini akan saya berikan secara percuma

kepada semua rakyat di negara saya.

Jika saya seorang Raja, saya juga akan sentiasa memantau segala

perkembangan semasa yang berlaku di dalam negara saya terutamanya perkara-

perkara yang melibatkan rakyat jelata. Bagi memastikan kanak-kanak dapat

bermain dengan riang bersama-sama dengan rakan mereka, saya akan membina

taman-taman permainan untuk mereka. Saya juga akan membina lebih banyak

tempat beriadah untuk keluarga supaya rakyat saya dapat melakukan aktiviti

riadah atau berehat pada hujung minggu bersama ahli keluarga di samping dapat

mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Melalui cara ini, keluarga yang sihat dan

harmoni dapat diwujudkan di negara saya. Selain itu, sebagai seorang Raja yang

berjiwa rakyat dan ingin melihat rakyatnya hidup dalam keadaan yang tidak tertekan

dengan kos sara hidup yang tinggi, saya akan menghapuskan semua cukai yang

wujud di negara ini seperti cukai pendapatan, cukai pintu, cukai kenderaan dan

sebagainya. Hasil pendapatan negara akan diperoleh melalui cara yang lain seperti

melalui sektor pelancongan, perindustrian, pertanian dan lain-lain yang merugikan

rakyat. Sebagai seorang Raja yang mempunyai nilai moral dan etika, saya akan

menghapuskan semua tempat yang mendorong rakyat saya melakukan perkara-

perkara yang tidak baik seperti pusat hiburan haram, kelab malam, pusat perjudian,

rumah pelacuran dan kawasan-kawasan yang sering dijadikan tempat untuk

melakukan aktiviti maksiat.

Konklusinya, jika saya seorang Raja, saya ingin menjadi Raja yang akan

sentiasa dikenang apabila saya tiada kelak, disukai, disayangi dan dihormati oleh

semua rakyat jelata tanpa mengira keturunan, pangkat, bangsa, umur dan agama.
Saya akan sentiasa memastikan semua rakyat mendapat segala bantuan yang

diperlukan kerana mereka semua inilah yang akan bersama-sama saya dalam

memajukan negara.

(511 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai