Anda di halaman 1dari 10

Artikel Akhbar

Impak pencemaran plastik


Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
PENCEMARAN alam sekitar terutama berpunca daripada produk berasaskan plastik dikhuatiri
meningkat pada kadar yang amat membimbangkan.
Berbeza dengan sifat sisa bahan bukan organik lain, plastik mengambil masa yang lama untuk
terurai secara semula jadi.
Bergantung kepada komposisi dan struktur kimianya, ada jenis plastik yang mengambil masa
sehingga 400 tahun untuk terurai.
Walaupun secara dasarnya plastik boleh dikitar semula, apabila dibebani dengan pelbagai kos
tambahan seperti pengumpulan dan pembersihan, proses ini tidak menjadi keutamaan industri.
Dikatakan hanya sembilan peratus plastik dikitar semula daripada 6.3 bilion tan plastik yang
dihasilkan di seluruh dunia sejak mula diperkenalkan pada 1950-an.
Lebih memburukkan keadaan, setiap tahun, dianggarkan sehingga lapan juta tan metrik sisa
plastik memasuki sistem perairan dunia dan berakhir di lautan.
Pencemaran ini menjejaskan fisiologi kehidupan marin yang mungkin memberi kesan jangka
panjang.
Aspek pendidikan dilihat mempunyai potensi untuk memberi impak kepada situasi pencemaran
alam sekitar ini.
Selain mengambil bahagian dalam aspek pengurusan sisa, isu kelestarian alam sekitar yang
berkait juga boleh dijadikan elemen penting dalam membentuk generasi bertanggungjawab.
Atas dasar itu, mahasiswa dari Kelab Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS), Institut Sains
Biologi, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program larian yang mengetengahkan impak
penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.
Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi UM, Dr Rosazlin Abdullah berkata, program Run for the
Environment: Towards Zero Plastic Lifestyle disertai lebih 200 peserta yang berlari sejauh lima
kilometer mengelilingi kampus UM.
“Berbeza dengan program larian lain, peserta perlu melalui lima stesen aktiviti yang direka
khusus bagi memberi pendedahan mengenai peranan dan impak plastik dalam kehidupan kita,”
katanya.
Menurutnya lagi, pendedahan melalui kaedah rekreasi santai sebegitu diyakini mampu
membantu dalam proses pemahaman isu yang dibawa.
“Walaupun pendedahan berkenaan isu kelestarian alam sekitar sudah banyak diketengah dan
dijuarai pelbagai pihak, namun usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna perlu terus
dilakukan.

1
CABARAN membuka balutan plastik yang diikat pada patung penyu.

“Peningkatan sisa plastik, jika dibiarkan, mampu memudarat ekosistem bumi, sama ada di darat
mahu pun di laut, terutama penghasilan sisa plastik bersaiz mikro yang berisiko memasuki tubuh
manusia,” katanya.
Program itu turut menerima kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk Rimba Ilmu UM,
Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, Kumpulan Latihan Kelanasiswa UM, dan SWCorp
Wilayah Persekutuan.
Menariknya, di setiap stesen disediakan aktiviti yang direka khas supaya dapat memberikan
maklumat dan pendedahan yang berbeza kepada peserta.
Dr Rosazlin berkata, aktiviti di setiap stesen diselia sukarelawan dari rakan penganjur yang
menyediakan aktiviti berbeza dan menarik.
“Ketika di Rimba Ilmu contohnya, peserta perlu melalui laluan yang berbeza menurut pilihan beg
yang bersesuaian apabila membeli-belah di pasar raya.
“Pilihan beg yang betul akan membenarkan peserta untuk meneruskan larian ke stesen
berikutnya. Di stesen aktiviti terakhir, mereka diminta untuk menyelamatkan patung penyu
daripada lilitan plastik dan membawanya ke garisan penamat. Menariknya, peserta dibenarkan
membawa patung penyu ini sebagai cenderahati program,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 7:30 AM

Pencemaran plastik, masalah global


WAN IZATUL ASMA WAN TALAAT 01 Jun 2019 12:00 PM
PENCEMARAN plastik
bukan saja mengancam
haiwan laut, malah turut
mengancam kehidupan
manusia.

2
Kehadiran plastik memang memudahkan kehidupan kita dengan harga yang tampak murah
tetapi hakikatnya kos penggunaannya, terutamanya single use plastics ternyata sangat mahal.
Sepanjang dekad pertama abad ini, dunia telah saksikan pengeluaran plastik mengatasi
jumlah keseluruhan di abad ke 20. Namun, kesudahannya agak tragis di mana berbilion
kilogram plastik diguna, berakhir di lautan.
Kedayatahanan plastik sangat tinggi sehinggakan Agensi Pelindungan Alam Sekitar
Amerika Syarikat (AS) telah menyifatkan setiap cebisan plastik dicipta kekal
selamanya. Ini kerana plastik dihasilkan daripada campuran produk sampingan
petroleum, iaitu gas petroleum cecair, dan gas asli. Kebanyakan pencemaran laut
bermula di darat yang kemudiannya dibawa oleh angin dan hujan ke laut.

Ketumpatan plastik yang rendah membolehkan sampah plastik dipindahkan dalam


jarak jauh dari tempat asal dengan mudah dan terkumpul di dalam putaran sistem
arus laut yang besar.

Memandangkan lautan tiada bersempadan fizikal, dianggarkan kini antara 15 ke 51


trillion kepingan plastik di dalam lautan-lautan dunia dari Kutub Utara ke Kutub
Selatan, dari permukaan bumi sehinggalah ke dasar laut.

Kesan ke Atas Hidupan Liar

Ribuan camar laut, penyu, anjing laut dan lain-lain mamalia laut terkorban saban
tahun akibat tertelan plastik atau terperangkap di dalamnya.

Ikan di Lautan Pasifik Utara dianggarkan telah menelan 24,000 to 48,000 tan metrik
plastik setiap tahun. Risiko kecederaan usus dan kematian ikan-ikan ini amat besar
yang seterusnya berkemungkinan berpindah kepada ikan-ikan besar dan mamalia
marin yang berada di bahagian atas rantaian makanan di dalam ekosistem.

Penyu sering menjadi mangsa apabila sampah plastik, terutamanya beg plastik dan
polisterin terapung, seringkali disalahanggap sebagai obor-obor yang merupakan
makanan utama reptilia ini. Plastik ditelan boleh menyebabkan saluran usus
tersumbat, luka dalaman dan membawa kepada kematian.

Walaupun terdapat penyu yang mungkin terselamat, kajian mendapati penyu yang
menelan plastik mungkin mengalami simptom ‘kekenyangan palsu’ yang akhirnya
melambatkan atau memberhentikan reproduksi. Yang menyedihkan kajian terkini
mendapati separuh daripada penyu di dunia telah menelan sampah plastik.

Selain itu, nyawa penyu turut terancam apabila terperangkap atau terjerut di dalam
kumpulan sampah plastik. Camar laut merupakan mangsa kepada sampah plastik di
dalam lautan.

3
Mengikut kajian di Laut Utara Pasifik, 97.5% anak burung Laysan Albatross telah mati
dan didapati punyai serpihan plastik di dalam perut. Ironinya, serpihan-serpihan
plastik itu telah tersalah anggap sebagai makanan oleh ibu bapa yang menyuapkan
mereka.

Mamalia marin seperti dugong, anjing laut, singa laut dan ikan lumba-lumba turut
terancam akibat tertelan atau tersangkut di dalam plastik.

Kesan ke Atas Manusia

Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam haiwan laut – ia turut mengancam


kehidupan manusia. Sampah plastik yang terapung di dalam air laut menyerap bahan
pencemar merbahaya seperti PCBs (polychlorinated biphenyls), DDT (chlorinated
pesticides) dan PAH (polycyclic aromatic hydrocarbons).

Bahan-bahan pencemar kimia ini sangat toksik dan boleh mengakibatkan kesan
kronik ke atas kesihatan manusia termasuk gangguan endokrin dan juga proses
mutasi yang mengakibatkan kanser.

Contohnya, plastik yang terapung di laut telah dikaji dan didapati mengandungi
tahap kepekatan PCBs sebanyak 100,000 sehingga 1 juta kali melebihi air laut di
sekitarnya.

Apabila haiwan laut termasuk ikan memakan serpihan plastik tersebut, toksinnya
diserap ke dalam badan mereka dan dipindahkan ke atas rantaian makanan
sehinggalah menjadi santapan manusia.

Plastik yang ‘pecah’ di dalam laut juga membebaskan bahan kimia bertoksik seperti
BPA (Bisphenol A) yang kemudiannya masuk ke dalam rantaian makanan.

Selain itu, pencemaran plastik juga menjejaskan ekonomi negara. Kehilangan tarikan
pantai yang dipenuhi sampah terdampar juga boleh menjejaskan industri
pelancungan setempat.

Sejumlah peruntukan besar terpaksa dibelanjakan saban tahun untuk membersih


pantai manakala industri perikanan dan akuakultur terjejas apabila hasil tangkapan
dan ternakan terjejas akibat pencemaran.

Apa Kita Boleh Lakukan?

Penggunaan plastik, terutamanya single use plastics ternyata masih berleluasa di


negara kita. Memandangkan pencemaran plastik di lautan mengancam hidupan dan
ekosistem marin yang akhirnya akan memberi impak negatif ke atas manusia, dan
kos pemulihan ternyata amat besar, masyarakat perlu segera disedarkan untuk

4
mengambil pelbagai langkah proaktif bersama-sama dengan kerajaan untuk
memastikan punca masalah pencemaran ini dikawal dan diselia rapi.

Kerajaan di ketiga-ketiga peringkat – Persekutuan, Negeri dan Tempatan – perlu


sama-sama mengembleng tenaga dan bersepakat atasi masalah sampah plastik.

Kerajaan Negeri dan kerajaan Tempatan boleh mewujudkan dan meluaskan larangan
penggunaan beg plastik di premis perniagaan secara sepenuhnya, sepertimana yang
telah dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang, seterusnya memastikan
penguatkuasaan perintah larangan dipatuhi semua jenis perniagaan dan juga
pelanggan.

Kerajaan juga boleh mengambil inisiatif mewujudkan mesin deposit botol air di mana
pendeposit akan dibayar serta-merta seperti di Norway. Pelbagai kaedah Guna
Semula atau Recycle boleh dicontohi dari negara-negara lain seperti mengubah
sampah plastik kepada tenaga seperti di Sweden atau sebagai bahan penurap jalan
seperti di India.

Pelbagai usaha inovatif boleh digalakkan oleh kerajaan untuk menukarkan Waste
into Wealth seperti ini dengan mengguna kepakaran sedia ada di universiti tempatan
atau kerjasama pihak industri untuk guna semula sampah plastik.

Konsep 4R (Reduce, Reuse, Recycle + Refuse) yang telah diperkenalkan di Malaysia


tidak seharusnya dipandang satu slogan sepi. Konsep 4R ini wajib dipandang serius
pihak kerajaan dan masyarakat yang perlu berganding bahu menyelamat bukan saja
hidupan laut tetapi nyawa manusia.

Kebelakangan ini heboh di pelbagai media bagaimana Malaysia menjadi negara


pengimport dan merupakan destinasi pemprosesan sampah plastik dari negara-
negara maju seperti Kanada, AS dan New Zealand.

Undang-Undang Antarabangsa

Konvensyen Basel 1989 mengenai kawalan pergerakan merentasi sempadan dan


pembuangan sampah berbahaya adalah undang-undang antarabangsa yang
terpakai bagi mengatasi masalah sampah plastik.

Memandangkan sesetengah plastik telah disenaraikan sebagai sampah berbahaya di


bawah Konvensyen ini, Malaysia seharusnya mengambil langkah tegas dalam
mengatasi masalah sampah plastik tempatan dan import. Sebagai negara ahli sejak
dari tahun 1993, Malaysia sepatutnya belajar daripada pengalaman perit yang telah
dilalui negara-negara Afrika serta beberapa negara membangun dunia pada tahun
80-an, yang telah membawa kepada tercetusnya konvensyen ini.

5
Plastik merupakan bahan yang tidak boleh terurai seacara biologi (biodegradable)
dan boleh menjadi toksik dan berbahaya kepada alam sekitar dan juga manusia jika
tidak diuruskan dengan baik.

Tindakan rakus industri pemprosesan sampah plastik import di negara ini harus
dihentikan segera kerana kesan berbahaya ke atas alam sekitar ternyata lebih besar
daripada keuntungan duti import yang diperolehi negara dari industri ini.

Malahan, sebagai negara ahli kepada Konvensyen Basel 1989, Malaysia tidak
sepatutnya membenarkan langsung sebarang import atau eksport sampah plastik
yang telah terbukti sebagai sampah berbahaya.

Malaysia perlu segera menghentikan mengimport sampah plastik sebagaimana


dilakukan China kerana masalah sampah plastik tempatan sedia ada tidak seharusnya
ditambah dengan masalah sampah plastik negara luar.

Penulis ialah Ketua Program Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan Sekitaran,
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Pencemaran plastik ganggu ekosistem laut dan manusia Bernama July 27, 2018 9:43 AM

Gambar Reuters
Memandangkan Malaysia adalah negara pengguna makanan laut terbesar di
Asia Tenggara, maka tidak hairanlah sekiranya rakyat negara ini gemarkan
makanan ini.

Namun bagaimanakah perasaan mereka apabila mengetahui menjelang 2050,


semua makanan laut akan tercemar dengan plastik dan ada antaranya tidak
dapat dibuang daripada hasil laut itu sebelum dimakan?

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres


memberi amaran, lautan akan mengandungi lebih banyak plastik daripada

6
ikan menjelang 2050. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 170 juta tan
plastik di laut dan sesetengah daripadanya dimakan oleh ikan yang menjadi
hidangan kita.

Terdapat banyak kes yang didokumentasikan mengenai hidupan marin yang


mati akibat memakan plastik atau terperangkap dalam sisa plastik.
Walaupun hidupan marin itu tidak mati, bahan plastik yang dimakan masih
tersimpan di dalam sistem badannya.

Walaupun sisa plastik yang besar boleh dibuang daripada ikan yang lebih
besar ketika menyediakan hidangan, kebimbangan utama adalah plastik
mikro yang dimakan oleh ikan kecil dan kerang-kerangan yang lebih kecil,
yang boleh meresap ke dalam isinya, dan tidak dapat dikesan.

Plastik mikro

Plastik mikro adalah serpihan kecil bersaiz kurang daripada 5mm yang
terhasil daripada kepingan plastik lebih besar yang dibuang ke dalam laut.
Plastik yang bukan terbiodegradasikan boleh mengambil masa sehingga
1,000 tahun untuk mengurai.

Plastik itu akan mereput secara perlahan-lahan namun tidak akan hilang
sepenuhnya. Sebaliknya, kepingan halus plastik akan berada dalam lautan
selama berabad-abad, mengancam hidupan marin dan mencemarkan
ekosistem lautan.

Plastik mikro termasuk sisa plastik terurai, serat sintetik dan butir halus
plastik “plastic microbead” yang terdapat dalam produk seperti pencuci muka.
Hidupan marin akan makan plastik mikro kerana menyangka ia makanan,
jadi ia akan masuk ke dalam tubuh manusia melalui makanan laut, air paip
dan makanan lain seperti gula.

Risiko terhadap manusia masih belum diketahui tetapi beberapa jenis plastik
dikenal pasti boleh melarut resapkan toksin. Oleh itu, terdapat kebimbangan
jika plastik mikro akan terkumpul di dalam tubuh manusia, dan boleh

7
mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan. Selain itu, dikhuatiri juga jika
partikel plastik yang sangat halus boleh meresap ke dalam saluran darah
manusia.

Walaupun umumnya ramai yang tidak peduli apa yang masuk ke dalam
makanan mereka, ada keperluan untuk memberi perhatian pada hal ini
kerana sebarang ancaman terhadap sumber pemakanan bukan sahaja akan
memberi kesan kepada kesihatan individu tetapi juga menjadi beban kepada
sistem kesihatan awam.

Plastik pakai buang

Plastik dianggap sebagai suatu bahan ajaib ketika pertama kali dicipta pada
1907 tetapi pada hari ini, 40% plastik dibuat hanya untuk tempoh
penggunaan yang singkat sebelum dibuang.

Dikenali sebagai plastik pakai buang, plastik jenis ini hanya digunakan sekali
– dan ada kalanya digunakan hanya untuk beberapa minit sebelum dibuang
atau dikitar semula. Antaranya adalah penyedut minuman, botol air mineral
dan pembungkus makanan atau produk-produk lain.

Pengeluaran besar-besaran plastik bermula pada tahun 1950-an. Menurut


kajian yang diterbitkan semula dalam jurnal Science Advances, kira-kira 8.3
bilion tan produk dihasilkan sehingga kini, namun 6.3 bilion daripadanya
menjadi sisa. Malangnya, hanya 9% daripada sisa plastik itu dikitar semula.

Selebihnya masih berselerak di persekitaran, berada di tapak pelupusan dan


juga di lautan.

Penyelidikan pada 2015 yang diketuai oleh Profesor kejuruteraan alam


sekitar University of Georgia Jenna Jambeck juga mendedahkan sebahagian
besar plastik di lautan bukan yang dibuang dari kapal tetapi sebaliknya
berpunca daripada perbuatan manusia yang membuang sampah sewenang-
wenangnya di merata tempat di darat dan sungai, kebanyakannya berlaku di
Asia. Sisa plastik ini kemudian ditiup angin atau dibawa arus ke laut.

8
Pasukan ahli sains yang sama juga mendedahkan Malaysia sebagai pelaku
terburuk kelapan di seluruh dunia untuk pembuangan sisa plastik.

Statistik yang dibentangkan dalam jurnal Sains pada 2015, menganggarkan


Malaysia menghasilkan hampir satu juta tan sisa plastik salah urus (sisa
tidak dikitar semula atau dilupuskan dengan betul) pada 2010.

Ia juga menamakan China sebagai negara yang paling bertanggungjawab


untuk sisa plastik di lautan, diikuti Indonesia, Filipina, Vietnam, Sri Lanka,
Thailand, Mesir, Malaysia, Nigeria dan Bangladesh.

Jambeck diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk penyelidikannya mengenai


sisa plastik di lautan dan kajian yang dijalankan oleh pasukannya adalah
analisis global pertama mengenai pengeluaran, penggunaan dan nasib
kesemua plastik yang pernah dibuat.

Pembakaran juga bukan merupakan jawapan penyelesaian kepada sisa


buangan plastik. Pembakaran plastik boleh membebaskan gas dan bahan
berbahaya seperti logam berat, toksin dan sebatian kimia yang mengambil
masa sangat lama untuk terbiodegradasi, jadi ia akan kekal dalam
persekitaran dan boleh menimbulkan bahaya kepada kesihatan. Di samping
itu, ia juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan akhirnya
menjejaskan hidupan marin.

Apa langkah seterusnya?

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan sampah dan penggunaan


plastik tetapi ia melibatkan perubahan dalam banyak perlakuan harian kita.

Untuk permulaan, gunakan botol yang diperbuat daripada kaca atau keluli
tahan karat yang boleh digunakan semula. Kedua-dua bahan itu terbukti
lebih selamat daripada plastik, dan semestinya boleh diguna semula. Sebuah
syarikat penyelidikan pasaran, Euromonitor International mendedahkan satu
juta botol plastik dibeli setiap minit, jadi dengan menggunakan botol yang

9
boleh diguna semula pasti dapat memberi impak besar dalam pengurangan
sisa plastik.

Oleh kerana pembungkusan adalah sumber utama plastik pakai buang, bawa
bekas dan beg sendiri semasa keluar membeli-belah. Anda juga boleh
membawa pinggan dan sudu garfu sendiri ke restoran yang menyajikan
makanan menggunakan pinggan mangkuk pakai buang. Pada mulanya, anda
mungkin akan berasa agak canggung, tetapi tindakan anda itu akan menjadi
pembuka perbualan yang menarik, sekali gus membantu dalam
meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai akibat daripada penggunaan
plastik.

Membawa makanan yang dimasak di rumah di dalam bekas yang boleh


diguna semula ke sekolah, tempat kerja dan semasa perjalanan juga
merupakan satu lagi cara terbaik untuk mengurangkan penggunaan plastik.

Syarikat korporat juga beralih kepada cara yang lebih mesra alam dengan
rangkaian kopi Starbucks menghentikan penggunaan penyedut plastik
minuman menjelang tahun 2020.

Sementara itu, negara seperti Kenya, England, Australia, New York dan
Indonesia mengharamkan atau mengenakan cukai terhadap penggunaan
plastik pakai buang.

Malah, Kenya selangkah lebih ke hadapan dengan mengenakan denda


sebanyak USD38,000 (kira-kira RM155,000) atau hukuman penjara 4 tahun
bagi mereka yang ditangkap kerana melanggar larangan itu.

Menghapuskan sisa plastik adalah satu tugas besar yang memerlukan usaha
kolektif individu, organisasi dan kerajaan, dan ia tidak boleh ditangguh lagi.

10

Anda mungkin juga menyukai