Anda di halaman 1dari 6

PENGHARGAAN

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas nikmat kesihatan dan kesejahteraan yang
dikurniakan sepanjang saya melaksanakan tugasan ini sehingga selesai.

Pertama sekali, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah yang saya kasihi
iaitu En. Anuar bin Mohd Len selaku pensyarah Falsafah dan Pendidikan di Malaysia 3013 yang
telah banyak mengajar dan memberi panduan kepada saya dalam menyiapkan tugasan tersebut.

Saya juga berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya kerana memberikan sokongan dan
dorongan secara berterusan agar dapat melaksanakan tugasan ini dengan sebaik mungkin. Bukan
itu sahaja, mereka juga telah banyak mengeluarkan dana untuk saya gunakan semasa melakukan
tugasan ini.

Seterusnya, saya amat menghargai jasa baik rakan sekelas yang telah banyak membantu
dalam menyelesaikan tugasan ini terutamanya ahli-ahli kumpulan saya iaitu Mas Hidayah binti Md
Aris dan Noor Syazlina binti Jasferi. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada mereka atas jasa
yang diberikan. Mereka banyak memberikan kata-kata semangat supaya saya tidak mudah berputus
asa dalam melakukan sesuatu perkara.

Akhir sekali, terima kasih untuk semua yang banyak membantu sama ada secara langsung
ataupun tidak langsung sepanjang tugasan ini dilaksanakan. Jasa baik dan pengorbanan kalian
semua tidak mampu untuk saya balas.

1
PENULISAN AKADEMIK

Dalam konteks ini, pendidikan sebenarnya berasal daripada perkataan Latin iaitu
‘educare’ yang bermaksud memelihara atau mengasuh. Oleh itu, ia dapat memberikan peluang
kepada individu tersebut bagi memperoleh perkembangan peribadi dan kemahiran sosial yang
boleh dikategorikan sebagai suatu proses sosial. Bagi Yusuf al-Qardawi (1980), pendidikan
mencakupi keseluruhan hidup khususnya dari segi akal, hati, rohani, jasmani, akhlak serta
tingkahlaku. Justeru itu, proses ini berlangsung melalui beberapa kaedah seperti aktiviti
pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Kesemua kaedah ini berlaku dengan serentak dalam
masyarakat moden mahupun primitif. Sebagai permulaan, profesion keguruan merupakan
antara profesion yang mencabar dalam pembangunan modal insan yang cemerlang. Hal ini
kerana kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) dalam usaha untuk mencapai hasrat tersebut. Dalam PPPM ini, terdapat tiga
gelombang yang dilaksanakan secara berperingkat seperti gelombang pertama (2013-2015),
gelombang kedua (2016-2020) dan gelombang ketiga (2021-2025). Oleh sebab itu, terdapat
beberapa cabaran dan perubahan dalam sistem pendidikan yang berupaya membentuk jati diri
dan profesionalisme guru mengikut acuan dan aspirasi negara.

Pertama sekali, cabaran dalam sistem pendidikan yang perlu dihadapi oleh setiap guru di
sekolah ialah persediaan mereka dalam menangani gelombang teknologi pada masa kini dan
masa hadapan. Kemajuan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat atau infotek mengubah
cara manusia berkomunikasi, berurusniaga dan cara kita melihat dunia ini (Mahathir Mohamad,
1992) dan yang lebih penting cara kita mereformasi dan mentransformasikan sistem pendidikan
bagi memastikan anak bangsa kita sekarang dan di masa akan datang berupaya mengharungi
hidup dengan penuh kesejahteraan. Apabila menongkah arus pemodenan ini, negara Malaysia
kian maju dengan teknologi yang semakin canggih iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(ICT). Menurut Lechner & Boli (2000), ICT merupakan alat pemangkin utama dalam
penyebaran dan penyimpanan sesuatu maklumat serta dapat membantu murid-murid membina
pengetahuan yang baru. Bersangkutan dengan hal ini, aspek yang terkandung dalam literasi
ICT ialah konsep asas ICT, penggunaan komputer, pemprosesan perkataan, hamparan
elektronik, pangkalan data, pengurusan fail, persembahan dan penghasilan dokumen, serta
informasi dan komunikasi (Norton & Wiburg, 2003). Hal ini jelas menunjukkan bahawa ICT amat
penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Lantaran itu, guru-guru
haruslah mempersiapkan diri bagi melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan, celik IT,
berkemahiran serta berakhlak mulia.

2
Dengan kata lain, guru-guru telah membentuk jati diri yang berpengetahuan dalam menguasai
bidang ICT. Hal ini telah menjadikan guru sebagai seorang yang kompeten dalam mencari ilmu
khususnya dalam bidang ICT hanya untuk mengajar murid-murid di dalam kelas supaya mereka
tidak terbelakang dalam era globalisasi kini.

Pada hakikatnya, perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan adalah disebabkan
daripada kewujudan cabaran itu sendiri. Antara perubahan yang berlaku ialah beberapa
kemahiran abad ke-21 yang bersandarkan kepada ICT. Sebagai contoh, dalam sistem
pendidikan zaman dahulu, literasi di dalam kelas cuma merangkumi kaedah membaca, mengira
dan menulis. Namun begitu, ia telah berubah kepada literasi digital di mana guru perlu
memainkan peranan dalam membimbing murid-murid untuk melayari internet, mencari laman
sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Oleh hal
yang demikian, pelbagai kemahiran yang terdapat dalam sistem pendidikan kini seperti
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Kemahiran ini adalah berkaitan dengan pengurusan
pengetahuan seperti pemilihan, penyesuaian, analisis dan perkongsian dalam alam web. Salah
satu pendekatan di dalam sekolah ialah memberikan wadah agar kemahiran ini diasah supaya
murid-murid lebih bersedia dalam menghadapi cabaran ekonomi pengetahuan (OECD, 2006).
Hal ini kerana, kemahiran seperti ini melebihi daripada pengimbasan kembali fakta atau
informasi. Selain itu, kemahiran dalam komunikasi interaktif yang merupakan pembelajaran
berasaskan projek. Misalnya, tugasan sesuatu projek berdasarkan topik-topik tertentu dalam
mata pelajaran Sains dan Sejarah telah diberikan kepada murid-murid untuk mendapatkan
maklumat daripada pelbagai sumber. Justeru itu, murid-murid dapat berbincang dan berkongsi
maklumat mengenai tugasan tersebut bersama rakan-rakan mahupun guru secara bersemuka
atau atas talian menerusi berbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook, blog dan
sebagainya. Menurut Hill (1997), pembelajaran web memberi peluang kepada murid-murid
dalam memperolehi strategi berfikir pada aras tinggi dengan menggalakkannya berfikir secara
mencapah serta mempunyai pandangan daripada pelbagai perspektif. Sehubungan itu, guru-
guru berupaya dalam membentuk jati diri yang berkemahiran terhadap isi kandungan kurikulum
yang baik. Dalam hal ini, kemahiran dan pengetahuan yang secukupnya mampu membantu guru
merancang pengajaran harian, mingguan dan bulanan secara sistematik dan bertulis.

Selain itu, perubahan yang berlaku ialah strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas. Pada zaman persekolahan dahulu, guru-guru hanya mengajar dengan menggunakan
papan batu dan kemudiannya papan hitam. Walau bagaimanapun, pada masa kini, papan putih
dan peralatan ICT seperti komputer riba, projektor dan sebagainya telah digunakan di dalam

3
kelas secara meluas. Dalam konteks ini, jelaslah bahawa pengajaran yang pasif tanpa
berbantukan teknologi maklumat pasti membosankan murid-murid. Hal ini sudah terang lagi
bersuluh bahawa setiap guru telah membentuk jati diri yang kreatif dalam menvariasikan teknik
pengajaran dan pembelajaran seperti celik IT agar dapat membuka mata murid-murid untuk
mempelajari ilmu ICT serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Seterusnya, cabaran kedua yang harus didepani oleh seseorang guru ialah cabaran
kepelbagaian budaya. Budaya boleh didefinisikan sebagai tamadun atau peradaban (Kamus
Dewan Edisi ke-3). Budaya juga seringkali dikaitkan dengan sesuatu agama, etnik, jantina,
sosio-ekonomi serta latar belakang sesebuah keluarga. Lantaran itu, kesemua aspek tersebut
adalah berkait antara satu sama lain dalam menggambarkan akan kepelbagaian ragam yang
wujud di dalam sesebuah kelas. Oleh yang demikian, pengetahuan guru tentang ciri-ciri
seseorang murid adalah sangat penting. Hal ini kerana guru yang baik bukan sahaja mempunyai
kepelbagaian mengajar, tetapi juga mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap setiap anak
didik di dalam kelas. Justeru, keadaan ini sudah pasti melahirkan seorang guru yang mempunyai jati
diri yang bertanggungjawab. Dalam hal ini, pengetahuan tersebut amat diperlukan untuk membantu
guru kepada pendekatan, teknik serta kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan
setiap ciri murid-muridnya. Pengetahuan ini juga membolehkan pengajaran menjadi lebih seronok
dan meninggalkan kesan positif terhadap diri mereka yang berkenaan.

Akhir sekali ialah perubahan dalam kepelbagaian sosio-budaya murid. Sebagai contoh,
terdapat lima jenis sistem pendidikan vernakular yang berbeza pada zaman dahulu. Perbezaan
sistem seperti ini tidak mendorong semangat kekitaan serta persefahaman dalam perpaduan
rakyat. Namun demikian, perubahan telah berlaku pada masa kini di mana sistem vernakular
tersebut telah dibubarkan dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua
kaum iaitu sekolah kebangsaan. Sehubungan itu, perkara ini berupaya membentuk jadi diri
yang adil dan saksama dalam diri setiap guru-guru. Hal ini kerana guru berusaha dalam
memberikan pendidikan yang seimbang kepada semua murid tidak kira pelbagai kaum. Dengan
ini, pengetahuan tersebut sememangnya menghakis sikap prejudis guru dalam menangani
kepelbagaian sosio-budaya murid.

Secara tuntasnya, sekiranya dilihat dari segi cabaran dan perubahan yang telah disediakan
dan dilaksanakan selama ini, terdapat pelbagai usaha yang gigih untuk memperbaikinya dari
semasa ke semasa. Sekiranya ditinjau secara halus dari segi pencapaian hasrat yang terkandung
dalam PPPM tersebut, seharusnya ia mampu melahirkan guru-guru yang mempunyai jati diri,
berilmu, berakhlak, beradab, berbudi pekerti dan berintegriti yang boleh memberikan perubahan

4
dalam diri seseorang untuk menjadi warganegara yang cukup sempurna. Oleh itu, sudah jelas
terbukti bahawa sekiranya setiap pendidik berpegang kepada FPK dalam menjalankan tugas serta
tanggungjawab mereka sebagai seorang guru yang profesional, sudah pasti matlamat dasar
pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan hanya satu impian sahaja.

5
BIBLIOGRAFI

BUKU

1. Al-Qardhawi, Yusuf. (1980). Pendidikan Islam dan Madrasah Hasan Al-Banna. Jakarta :
Bulan Bintang. Terj, Bustami A. Gani dan Zainal Abidin Ahmad.

2. Hill. (1997). Distance learning environments via the World Wide Web. In B. H. Khan (Ed.).
Web based instruction. pp.75-80. Englewood Cliffs, NJ: Educational Technology
Publications.
3. Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1996). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. OECD. (2006). Assesing Scientific, Reading and Mathematical Literacy: A Framework for
PISA 2006.

INTERNET

1. http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/1998/98_Muhd.pdf

2. http://www.medc.com.my/medc/seminar_medc/fromCD/pdf/159.pdf

3. http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-ExecSummary-BM.pdf

JURNAL

1. Lechner & Boli. (2000). ICT dalam Pendidikan: Prospek dan Cabaran dalam Pembaharuan
Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 (2007). M/S 140.

2. Mahathir Mohamad. (1992). CABARAN ERA GLOBALISASI KE ATAS WARGA


PENDIDlKAN DI MALAYSIA. Jurnal Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. M/S 36.

3. Norton & Wiburg. (2003). Tahap Kesediaan Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan
Kesannya Terhadap Hasil Kerja dan Tingkah Laku Murid Prasekolah (Level of Readiness in
Using ICT for Teaching and Its Effect on the Work and Behaviour of Preschool Pupils).
Jurnal Pendidikan Malaysia 36(1) (2011). M/S 26.

Anda mungkin juga menyukai