Generasi kini ramai yang tidak mengenali tokoh ini. Masih jelas dalam ingatan ketika
belajar subjek sejarah di tingkatan lima kalau tak silap la, nama Panglima Awang hanya
disebut sekali. Itupun hanya ditulis di bahagian kanan iaitu dalam sudut info yang
bersaiz kecil dalam buku teks tersebut. Maka tidak hairanlah semakin lama, namanya
semakin lupus ditelan zaman.
Pejuang Melayu Islam inilah yang sebenarnya telah membuktikan bumi itu adalah bulat
selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke
Timur. Masyarakat kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar
asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan
sehingga melupakan sejarah siapakah Panglima Awang.
Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Pemuda
berketurunan melayu Islam inilah yang membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya
Barat. Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada
dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.
Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa
bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan
menghubungkan Timur dengan Barat.
Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511. Kisah
seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang
sesuatu kepada peradaban dunia adalah sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai
termasuk bangsa Melayu Islam sendiri.
Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu
Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan
dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.
Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan
meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya
tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.
Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda-
pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar
itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda-pemuda
Melaka yang lain.
Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan
meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil
rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai
hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara
Portugal.
Pelayaran jauh yang memakan masa yang lama ini akhirnya merapatkan hubungan
antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki
Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima
Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki
dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang
pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.
Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada
‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat
Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.
Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke
horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman
malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.
Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran
sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki
benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat
Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.
Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke
Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi
adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan
mereka terjatuh ke bawah dunia.
Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan
Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan.
Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka
berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.
Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran
mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut
gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan. Kegembiraan kelasi menyebabkan
mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu
menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu
adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.
Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol
itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat
meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku
kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas
mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.
Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata
benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis
yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak
singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.
Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan
pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada
bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.
Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan
Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka
ke Barat sehingga pulang dari arah Timur. Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan
bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru
menerusi pelayaran itu.
Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang
mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk
bangsa Melayu. Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang
akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing.
Walaupun asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih samar-samar
malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui, terdapat satu catatan
yang ditulis oleh Pigafetta yang mengatakan Panglima Awang sebenarnya berasal dari
Sumatera ( anak Minangkabau ) dan ini ada tercatat dalam trombo Minangkabau walau
pun bukan disebut sebagai Panglima Awang.
‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya
mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut
dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai
lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.
Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu,
namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing di dunia. Antaranya
catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Pigafetta
mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu. Bagaimanapun
ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu Islam ini
dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.
Nah !!! Bagaimana umat Melayu Islam mahu bangkit jika asyik dibuai lena dan
propaganda berterusan begini ???