Anda di halaman 1dari 4

Memugar jiwa pendidik, asah gaya fikir

Oleh Datuk Dr Amin Senin


bhnews@bh.com.my

Citra seorang guru selalu dinilai berdasarkan keberkesanan dan kecekapan mereka
melaksanakan peranan dan tanggungjawab keguruan. Oleh sebab itu, Pertubuhan
Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) secara khusus menyatakan guru
profesional perlu memiliki tiga ciri profesionalisme.

Ciri itu ialah pengetahuan asas perihal pengajaran dan pembelajaran, autonomi untuk
membolehkan guru membuat keputusan dalam perkara berkaitan dengan tugasan dan
kerja buat mereka serta mempunyai rangkaian rakan sejawat yang memberi mereka
peluang berkongsi maklumat dan mendapatkan sokongan yang perlu untuk mengekalkan
kualiti pengajaran mereka.

Justeru, kehebatan guru profesional itu bergantung kepada kekuatan ketiga-tiga ciri
profesionalisme ini. Bagaimanapun, pengalaman menunjukkan guru yang berdedikasi
tinggi dan konsisten dalam melaksana peranan mereka sebagai guru memiliki suatu ciri
lain yang tidak dapat dijangkau dan digambarkan oleh ciri profesionalisme OECD.

Ciri ini yang saya kategori sebagai ciri non profesionalisme. Apakah ciri non
profesionalismeitu? Dalam konteks ini, Jalaludin ar-Rumi berkata: “Ada satu hal di dunia ini
yang tidak boleh dilupakan. Jika engkau melupakan semua hal kecuali hal itu, maka tiada
sebab untuk engkau berasa risau. Sebaliknya jika engkau melakukan dan mengingati
semua hal lain, tetapi melupakan hal itu, engkau sebenarnya tidak melakukan dan
menyelesaikan apa pun”.

1
Perumpamaan seorang raja yang mengirim engkau ke wilayah tertentu dengan tugasan
khusus. Engkau pergi dan melakukan ratusan tugas lain, tetapi tidak menyelesaikan
tugasan khusus yang diamanahkan itu, bererti engkau tidak melakukan apa pun.

Tanggungjawab moral ini tidak berciri profesionalisme, tetapi lebih kepada non-
profesionalisme. Dan antara sifat penting non profesionalisme dalam kes ini
tanggungjawab moral guru, ia tidak boleh diperoleh dari luar. Tanggungjawab moral hanya
dapat dipupuk dan mekar dari dalam diri seorang guru.

Saya mengenal pasti sekurang-kurang ada tiga kepercayaan asasi mengenai kemanusiaan
yang dapat membentuk jiwa warga pendidik. Kepercayaan pertama sebagai teras, yang
kedua dan ketiga menjadi pelengkap kekuatan jiwa pendidik. Tiga kepercayaan itu
berkaitan dengan kemuliaan insan, potensi terpendam dan boleh dididik.

Sama ada guru sedar atau tidak, tanggungjawab moral pendidikan tidak boleh dipisahkan
daripada perjuangan menjaga dan meningkatkan kemuliaan insan - karamah insaniah.

Di Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memberikan gambaran berkenaan. Selepas


itu baharu digubal kerangka utama penterjemahan pendidikan formal berdasarkan tiga
komponen tonggak pendidikan, iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran. Ketiga-tiga
komponen ini sebenarnya wahana utama warga pendidik untuk menzahirkan kepercayaan
asasi mereka dalam meningkatkan harga diri anak didik mereka.

Dalam hal ini, sistem pendidikan kita boleh sahaja mempunyai kurikulum yang memenuhi
keperluan masa depan, guru profesional yang mengguna pakai pedagogi terkini dan
pentaksiran yang canggih, tetapi sekiranya guru tidak memiliki kepercayaan asasi yang
mantap dan segar bahawa tanggungjawab moral mereka adalah memperjuangkan
kemuliaan anak didik mereka, saya percaya kualiti sistem pendidikan tidak dapat melonjak
jauh dan pantas.

Umpamanya, bagaimanakah kita boleh berasa selesa apabila ada anak didik kita tidak
dapat membaca selepas enam tahun persekolahan? Pada hal kemahiran itulah kelak yang
membantunya mengangkat harga diri. Sejauh manakah hati nurani kita sebagai guru
bergetar kerana tanggungjawab moral kita tercabar apabila saban tahun sekitar 90,000
(dari lebih 400,000) murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dalam subjek matematik tidak menguasai tahap minimum?

Potensi terpendam

Pada hal penguasaan matematik antara ilmu pengetahuan penting yang bakal menentukan
masa depan kerjayanya. Oleh itu, kepercayaan penuh mengenai kemuliaan insan perlu
menjadi tanggungjawab moral warga pendidik kerana inilah teras kepada jiwa pendidik.

2
Semua manusia dianugerahkan Tuhan dengan potensi terpendam serupa supaya mereka
berupaya mengembangkan kemanusiaannya dan melunaskan amanah penciptaannya.
Banyak potensi manusia dikenal pasti, tetapi masih banyak lagi yang belum diteroka. Dan
antara potensi itu ialah keupayaan manusia untuk belajar.

Manusia dapat belajar dari masa lalunya, tetapi jauh lebih penting mereka juga mampu
membayangkan masa depan dan menzahirkannya. Meskipun semua manusia mempunyai
potensi serupa, tetapi mereka tetap unik. Keunikan yang ditentukan oleh perbezaan
kecenderungan, bakat dan kecerdasan yang mereka miliki.

Maka ramuan daripada ketiga-tiga kecenderungan, bakat dan kecerdasan itu yang akan
membezakan kaedah dan kadar kecepatan seseorang memperoleh pengetahuan dan
kemahiran. Pelbagai nama dikemukakan untuk menjelaskan perbezaan kecenderungan,
bakat dan kecerdasan ini.

Dalam konteks ini juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan


pentaksiran psikometrik pelbagai kecerdasan sebagai salah satu instrumen pentaksiran
(dari empat jenis pentaksiran) dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Persoalannya, sebagai pendidik sejauh manakah kita benar-benar yakin bahawa anak didik
kita mempunyai potensi terpendam dan pelbagai gaya pembelajaran? Apakah keyakinan
itu diterjemahkan menjadi amalan pedagogi atau kerja harian kita dalam amalan
pengajaran-pembelajaran yang terbeza?

Dan sejauh manakah pula potensi terpendam anak didik kita dioptimumkan
perkembangannya? Pasti jawapannya hanya guru sendiri dapat menjawabnya kerana
kepercayaan asasi itu adalah bisikan hati atau dhamir guru.

Istilah “boleh dididik” itu sebenarnya memberikan isyarat bahawa wujud potensi
terpendam ‘pendidikan’ dalam setiap diri individu tidak kira individu itu akhirnya
berpendidikan atau tidak berpendidikan. Oleh sebab itu, kepercayaan kewujudan potensi
terpendam boleh dididik menyebabkan guru sentiasa optimis terhadap tanggungjawabnya.

Walaupun setiap orang memiliki potensi terpendam yang sama, perkembangan potensi
terpendam itu berbeza kerana perbezaan gaya dan kadar kecepatan pembelajaran mereka.
Sebagai guru, kita hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh mendidik anak didik kita
supaya mereka memiliki pengetahuan, kemahiran, adab dan nilai yang sesuai dengan
zamannya serta dapat menyempurnakan keperluannya sebagai manusia sejahtera.

Oleh itu, guru perlu percaya bahawa asas persamaan, sekali gus perbezaan kejadian
manusia menjadi hujah bahawa mereka boleh dididik seoptimumnya dengan cara yang
sesuai dan tempoh masa berbeza-beza.

3
Dalam konteks mengiktiraf bahawa setiap murid itu boleh dididik, KPM memperkenalkan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM). Kurikulum ini memerlukan guru memastikan semua anak didiknya menguasai
tahap minimum dalam subjek yang diajar.

Sebenarnya, keperluan itu menjadi tanggungjawab asasi guru mata pelajaran


melunaskannya supaya tidak berlaku defisit pembelajaran apabila anak muridnya beralih
ke tahap seterusnya.

Sudah tentu guru tidak terhenti setakat penguasaan tahap minimum sahaja kerana untuk
memupuk kecemerlangan murid, guru juga perlu mengoptimumkan keupayaan kog-nitif
setiap anak didiknya, terutama dalam penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi.

Apatah lagi kemahiran itu adalah kemahiran teras dalam era revolusi perindustrian
keempat. Oleh yang demikian, untuk menjayakan tanggungjawab berkenaan, guru perlu
mengembalikan keseronokan belajar dan pembelajaran bermakna kepada anak didiknya.
Semua ini menuntut guru membudayakan pembelajaran-pengajaran terbeza yang
berpusatkan murid bagi menggantikan pendekatan klasik pengajaran berpusatkan guru.

Sebagai kesimpulan, jiwa pendidik ialah kepercayaan asasi yang membentuk gaya fikir dan
amalan seorang guru. Kepercayaan yang mewarnai tanggungjawab moral profesion
keguruan. Guru berjiwa pendidik mempunyai kepercayaan mendasar anak didiknya sebagai
seorang manusia.

Sekurang-kurangnya ada tiga kepercayaan asasi mengenai kemanusiaan yang dapat


membentuk jiwa pendidik guru yakni kemuliaan insan, potensi terpendam dan boleh
dididik.

Demi cinta dan tanggungjawab moral yang menjadi amanah profesion keguruan, marilah
kita rakan guru sekalian bertekad untuk sentiasa memugar jiwa pendidik dalam diri kita.

Penulis adalah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/06/574750/memugar-jiwa-pendidik-asah-gaya-fikir

Anda mungkin juga menyukai