Anda di halaman 1dari 11

KENYATAAN bahawa peranan bahasa Melayu untuk perpaduan sahaja dan bahasa Inggeris pula untuk

kemajuan negara perlu ditolak. Peranannya sebagai alat perpaduan seperti dihasratkan dalam semua laporan
pendidikan dan lain tidak pernah kesampaian.

Dengan kata lain, ia tidak berjaya mendukung peranan itu. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila berseminya
polarisasi kaum di sekolah, berterusan di institusi pendidikan tinggi dan kekal abadi di tempat kerja.

Beberapa perkara didapati menyebabkannya gagal. Antaranya banyak pihak, khususnya kaum bukan Melayu yang
tidak pernah menerimanya dalam peranan penting itu, tidak berikhtiar selain tidak mahu menguasainya untuk tujuan
integratif. Sebaliknya, bahasa Melayu hanya diketahui dan bukan pun dikuasai, atas sebab syarat wajib lulus dalam
sistem pendidikan negara untuk pemerolehan sijil penuh dan perkhidmatan di sektor awam.

Ia boleh dikatakan jarang sekali dipelajari kaum bukan Melayu bagi mengenali kaum Melayu dengan lebih dekat lagi
selaku kelompok dominan untuk bergaul dengan mereka, dengan tujuan untuk seterusnya berpadu dan bergabung
sebagai komuniti nasional. Oleh sebab sikap negatif ini, bahasa Melayu tidak pernah dipelajari sebagai alat
perpaduan melainkan atas orientasi instrumental tadi. Dengan ini, ia gagal dalam peranan kenegaraan yang penting
lagi utama dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan.

Bahasa Inggeris ambil peranan

Kini peranannya selaku bahasa rasmi pula mahu diambil alih bahasa Inggeris. Ia bukannya tidak mampu selepas
berstatus bahasa saintifik moden yang memang layak pun memajukan negara kerana berupaya mengungkapkan
sebarang hal dalam semua bidang ilmu. Namun, ia mahu digantikan juga dan dipersetujui pula kaum Melayu sendiri
yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda, etnik dan leluhur. Ia mula digantikan melalui Program Dwibahasa,
iaitu pendidikan mata pelajaran tertentu dalam bahasa Inggeris pada sebilangan sekolah rendah dan menengah di
seluruh negara.

Dengan kedua-dua peranan bahasa negara yang tidak berhasil sebagai bahasa kebangsaan dan kurang menjadi
selaku bahasa rasmi, wibawa bahasa Melayu sebetulnya terbantut dalam proses pembentukan negara bangsa yang
bersatu dan maju pula. Sehubungan ini, ia gagal membangkitkan sentimen nasional, nasionaliti dan nasionalisme
untuk melahirkan rakyat yang terikat kuat dengan negara ini dari segi bahasa negaranya.

Pada masa sama, ia juga gagal diterima sebagai bahasa yang mampu memberi kuasa sosioekonomi kepada rakyat
walaupun selepas diiktiraf kerajaan.

Dalam hal kegagalan ini, proses pembentukan negara bangsa yang membabitkan kuasa kerajaan untuk menyatu
rakyat dan memajukan negara melalui penggunaan bahasa negara untuk membentuk komuniti nasional, perlu diakui
terbentur. Komuniti nasional yang perlu dibentuk secara terancang oleh kerajaan melalui sistem pendidikan untuk
generasi muda dan disasarkan dalam pelbagai program rasmi lain untuk golongan dewasa, tidak ghalib dilakukan.

Oleh itu pembentukan negara bangsa ini perlu dilakukan semula biarpun kita sudah lama membentuk negara pada
1957. Kita belum bersatu sebagai komuniti nasional yang berkongsi negara ini dari segi sama-sama mendukung
sejarah, tradisi, budaya dan bahasa yang satu. Semua ini penting untuk komuniti nasional yang bakal diwujudkan itu
kerana ia sisi positif patriotisme Malaysia.

Bahasa untuk semua

Lebih penting dalam kejayaan pembentukan komuniti nasional ini melalui bahasa Melayu ialah munculnya perasaan
bertanggungjawab dalam kalangan semua untuk memastikan bahasa Melayu bahasa sepunya dalam kehidupan
harian kita sebagai warganegara.
Sosialisasi komuniti nasional melalui bahasa Melayu ini perlu memastikan pembudayaan lambang bahasa Melayu
sebagai kebanggaan negara selain kemajuannya. Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahagian
terutama dalam takrifan kita sebagai warganegara, sama ada ketika berada di dalam mahupun di luar negara, selain
mengenai negara ini dalam semua konteks.

Sudah sampai masanya kita mewujudkan formula negara, yang di dalamnya terkandung citra yang mahu kita
anjurkan dalam kalangan semua untuk memupuk semangat patriotik. Sehubungan formula dengan citranya itu,
bahasa Melayu hendaklah merupakan resmi utama dalam kelangsungan negara, iaitu bahasa Melayu perlu dikira
sebagai ikut menyumbang dalam kemakmuran ekonomi melalui peranannya selaku wahana kemajuan, dan dalam
kestabilan politik selaku wahana perpaduan.

* Penulis ialah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan EXCO Majlis Profesor Negara
ESEI 1

Sebelum ini, mutu pencapaian bahasa Inggeris di negara kita menampakkan kemerosotan yang ketara. Sejak
pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsan yang menghapuskan aliran bahasa Inggeris, penguasaan para pelajar dalam
bahasa Inggeris amat rendah. Hal ini dapat dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan pada tahun-tahun yang
lepas. Oleh hal yang demikian, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk
mewajibkan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam bidang Sains dan Matematik Tahun Satu dan Tingkatan
Satu mulai tahun 2003. Dalam pada itu, ada pihak yang mengangguk kepala bahawa bahasa Inggeris banyak mempunyai
kelebihan tetapi ada pihak yang menggeleng kepala bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa penjajah. Walau bagaimanapun,
bahasa Inggeris haruslah dijadikan sebagai bahasa kedua penting tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolah
menengah demi kebaikan semua. Jadi, bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam kehidupan rakyat jelata.

Antara kepentingan bahasa Inggeris termasuklah bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam komunikasi
antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur bahasa Inggeris di seantero dunia mengatasi jumlah penutur
bahasa utama lain seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Arab, dan Rusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama yang
digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa negara lain ialah bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris
bukan sahaja memudahkan kita berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang
melibatkan bangsa negara lain. Misalnya, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya
seseorang itu menguasai bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Sebaliknya, urusan seseorang akan menempuh pelbagai
dugaan sekiranya seseorang itu tidak petah dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menampilkan kepentingan bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa utama dalam bidang perniagaan. Walaupun bahasa rasmi negara ialah
bahasa Malaysia namun dalam bidang perniagaan bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa
Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, bahasa Malaysia jarang-jarang
digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang
tepat untuk mengungkapkan maksud dalam perniagaan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin
peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau
bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan
terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik
negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang perniagaan.
Di samping itu, kepentingan bahasa Inggeris yang lain ialah bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu pengetahuan. Hal ini
dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi dan modenisasi ini, bahasa Inggeris merupakan bahasa sumber yang
penting. Misalnya, kebanyakan buku ensiklopedia, buku rujukan, maklumat, penyelidikan dan khazanah ilmu yang lain
terungkap dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak menjadi masalah bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Inggeris
untuk memahami isi-isi yang tercatat dalam bahan bacaan tersebut. Persoalannya, adakah anda faham akan isi-isi yang
ingin disampaikan sedangkan tahap penguasaan bahasa Ingeris berada pada paras yang menyedihkan? Jawapannya
semestinya tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan itu memerlukan tahap
penguasaan bahasa Inggeris yang optimum. Dengan ini, tampaklah bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting
dalam menimba ilmu yang tidak terhingga.

Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.
Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat
tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai bahasa Inggeris. Malahan, mereka
juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit
ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada zaman teknologi maklumat ini,
banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti
internet tambahan pula, bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, bahasa Inggeris haruslah dipandang
berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.

Kesimpulannya, bahasa Inggeris ialah bahasa antarabnagsa yang sangat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain,
baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi
dan bahasa kebangsaan negara namun bahasa Inggeris amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa Inggeris
membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa.
Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih
cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini,
kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris
merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan
bidang perniagaan.
ESEI 2

Dalam mengejar era globalisasi ini, pelbagai kemahiran harus dikuasai oleh individu bagi melonjakkan
kecemerlangan masing-masing ke peringkat antarabangsa. Adakah anda pernah memikirkan persediaan kita
sebagai warganegara Malaysia yang tercinta ini untuk bersaing dengan masyarakat seantero dunia?Adakah
pencapaian kita yang sedikit ini mampu menyaingi mereka? Sebenarnya, antara isu yang diketengahkan dan diuar-
uarkan oleh pemimipin kita, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ialah kita harus
sentiasa berusaha untuk memperkenalkan negara di persada antarabangsa. Oleh itu, setiap individu perlu
menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bahasa ini merupakan bahasa kedua yang digunakan di kebanyakan
negara dan merupakan lingua franca masyarakat antarabangsa. Malangnya,majoriti masyarakat luar bandar negara
kita tidak fasih berbahasa Inggeris. Golongan ini tidak membiasakan diri mereka menggunakan bahasa Inggeris
dalam percakapan harian kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua. Sesungguhnya, mereka sedar akan
penguasaan bahasa Inggeris pada abad kedua puluh ini amat penting kerana faedahnya banyak dan kepentingannya
tidak dapat dinafikan.

Antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris ialah peluang pekerjaan terbuka luas. Bahasa Inggeris merupakan
bahasa perantaraan di seluruh dunia. Jadi, bahasa Inggeris ini diterima dan digunakan oleh semua negara di dunia.
Hal ini membuktikan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, peluang pekerjaan yang terbuka bukan hanya di
negara kita malahan juga pada peringkat antarabangsa. Tambahan pula, pekerjaan merupakan satu keperluan
terutamanya semasa kegawatan ekonomi melanda dunia ini. Kita pernah dikejutkan dengan berita isu pengangguran
yang semakin meningkat di negara kita, iaitu mencecah angka 80 000 orang. Dengan penguasaan bahasa Inggeris
yang mampan, sudah tentu kita tidak akan bermasalah untuk mendapat pekerjaan yang berprestij terutamanya
dengan pihak swasta. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain seperti akuantan, doktor, peguam, dan
pensyarah. Malahan, ahli-ahli politik, iaitu barisan pemimpin negara turut mrengutamakan bahasa Inggeris kerana
bahasa inilah yang digunakan ketika menyampaikan ucapan supaya dapat menyakinkan pemimipin-pemimpin dunia,
di samping memperoleh penghormatan dalam arena antarabangsa. Jadi,penggunaan bahasa Inggeris hendaklah
dibiasakan sejak kecil lagi seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sekiranya bahasa ini boleh
kita kuasai dengan baik, nescaya peluang pekerjaan akan sentiasa menanti.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementeriaan Pelancongan, lebih kurang 22.9 juta orang pelancong
menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pada tahun 2008. Hal ini berikutan sikap rakyat Malaysia yang
pandai berkomunikasi, selain mempunyai lokasi-lokasi pelancongan yang unik dan menarik.Di samping itu, majoriti
rakyat Malaysia di bandar menguasai lingua franca ini, iaitu bahasa Inggeris. Hal ini secara tidak langsung
memudahkan komunikasi antara pelancong dengan rakyat Malaysia itu sendiri. Sebagai contoh, pemandu pelancong
yang menguasai bahasa inggeris dapat menerangkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di Malaysia kepada
pelancong asing sekali gus membuatkan pelancong asing memahami dan mengetahui keunikan Malaysia.Hal ini
demikian kerana Malaysia banyak mempunyai tempat yang bersejarah seperti Kota A Famosa dan makam-makam
pahlawan. Di samping itu, rakyat Malaysia, terutamanya peniaga berpeluang untuk mempromosikan barangan
buatan Malaysia kepada pelancong asing yang datang secara berterusan, bak kata pepatah “sambil menyelam
minum air”. Pelancong asing dapat mengetahui keunikan dan nilai estetika hasil kraf tangan yang terdapat di negara
kita seperti bakul rotan, batik dan barangan tembaga. Dengan itu, terbuktilah bahawa penggunaan bahasa Inggeris
memberikan impak yang besar terhadap penigkatan pendapatan dalam industri pelancongan.

Selain itu, dunia ekonomi dan perdagangan sekarang lebih menekankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai
bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan. Interaksi dalam kalangan pelabur dari seluruh dunia menggunakan
bahasa Inggeris. Sebagai contoh, kebanyakan mesyuarat yang dilaksanakan dalam sesebuah syarikat perdagangan
bertaraf antarabangsa menggunakn bahasa Inggeris. Sebagai sebuah negara yang membangun, kegiatan
perdagangan antarabangsa sememangnya penting bagi menjamin kemajuan negara supaya terus membangun dan
dikenali sepanjang zaman, bak kata pepatah, “tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas”. Jadi, sebgai warganegara
yang bertangungjawab, kita perlu mempelajari dan menguasai bahasa ini kerana hal ini akan memudahkan kita
untuk bersaing dalam arena perdagangan dunia yang serba mencabar. Sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak
menguasai bahasa Inggeris, tidak mungkin Malaysia akan tersenarai sebagai negara yang giat membangun.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa bahasa Inggeris amat penting dalam urusan perdagangan dan pembangunan
ekonomi.

Seterusnya, penguasaan bahasa Inggeris memberi ruang kepada kita untuk meninggikan martabat bangsa. Hal ini
demikian kerana apabila kita petah berbahasa Inggeris, kita akan lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan
bangsa-bangsa lain di dunia. Seiring dengan arus pemodenan antarabangsa, bahasa Inggeris diterima sebagai
bahasa perantaraan seantero dunia. Dengan menguasai bahasa Inggeris, kita dapat melontarkan idea atau komen
yang bernas ketika menghadiri persidangan antarabangsa. Sebagai contoh,ketika di bawah pimpinan Tun Dr
Mahathir, mantan Perdana Menteri kita, beliau fasih berbahasa Inggeris sehingga dapat menyuarakan buah fikiran
kepada masyarakat dunia. Hal ini telah membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia yang mampu
“duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi”dengan negara maju yang lain. Dengan ini,masyarakat dunia telah
menaruh kepercayaan terhadap Malaysia dan secara tidak langsung melonjakkan martabat bangsa di persada dunia.
Sekiranya isu penguasaan bahasa Inggeris ini hanya dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia, nescaya kita akan
menerima nasib yang sama dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Negara-negara ini tetap dipandang rendah
di mata dunia walaupun telah memiliki tahap teknologi yang lebih tinggi daripada Malaysia. Hal ini disebabkan oleh
tahap penguasaan bahas IIggeris yang masih di takuk lama. Jelaslah bahawa bahasa inggeris merupakan aspek
terpenting dalam menaikkan martabat bangsa bagi sesebuah negara.

Ramai bersependapat bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana banyak terdapat
sumber rujukan yang telah ditulis dalam bahasa Iinggeris kerana masyarakat Barat menggunakan budaya
dokumentasi. Sehubungan dengan itu, kita dapat meneroka dan berkongsi lebih banyak ilmu dengan negara lain di
dunia. Di samping perkongsian ilmu, kita juga boleh mendapatkan ilmu melalui internet dengan mudah sejajar
dengan perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan. Para pelajar di seluruh dunia boleh mendapatkan ilmu
dengan pantas kerana maklumat berada di hujung jari. Sebagai contoh, di Malaysia kini, Kementerian Pelajaran
telah mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa inggeris. Sekiranya masalah penguasaan bahasa
Inggeris berlaku, pasti pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran. Dengan itu,tidak dapat dinafikan bahawa bahasa
Inggeris perlu di kuasai kerana bahasaInggeris merupakan bahasa ilmu.

Pada masa yang sama , bahasa Inggeris perlu dikuasai sebaik-baiknya memandangkan bahasa ini merupakan
bahasa perhubungan bertaraf dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila Malaysia juga sudah mula menitikberatkan
pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sitem persekolahan dan kadang-kadang sebagai bahasa
pertama di institut pengajian tinggi kerana bahasa Inggeris merupaka lingua franca yang digunakn secara meluas
pada peringkat antarabangasa. Selain itu,individu yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik tidak akan berasa
janggal sekiranya terpaksa berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka berkomunikasi dalam bahasa
Inggeris. Sebagai contoh, situasi ketika berurusan dengan pelancon asing mahupun ketika berada di rantau orang
dan tidaklah menjadi “seperti rusa masuk kandang”. Mari kita ambil contoh apabila kita menjadi duta kecil bagi
memperkenalkan negar kita di persada dunia, secara tidak langsung kita akan mempamerkan budaya rakyat
Malaysia yang berilmu. Sekiranya Masyarakat bersikap acuh tidak acuh akan pentingnya penguasaan bahasa ini,
nescaya rakyat Malaysia tidak mampu bersaing pada peringkat antarabangsa. Pendek kata, bahasa Inggeris perlu
dikuasai dengan sewajarnya supaya kita dapat berinteraksi dengan lebih mantap