Anda di halaman 1dari 16

BAB 2

UNDANG-UNDANG, PERLEMBAGAAN,
DAN SISTEM PEMERINTAHAN

OBJEKTIF BAB

Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Memahami konsep undang-undang, perlembagaan dan
hubungannya dengan sistem pemerintahan.
2. Menyedari keperluan undang-undang dalam kehidupan seharian.
3. Membezakan jenis-jenis perlembagaan yang wujud.
4. Mengetahui sumber dan sejarah undang-undang.

2.1 MAKNA UNDANG-UNDANG

Istilah undang-undang atau hukum digunakan dalam pelbagai keadaan.


Ada yang menyebut undang-undang (hukum) fizik, matematik, sains atau
peraturan bola sepak atau kesihatan. Apabila istilah undang-undang
digunakan bagi negara, ia mempunyai makna yang khusus dan tersendiri.
Ia bolehlah didefinisikan sebagai satu peraturan mengenai perbuatan
manusia yang menimbulkan kesan-kesan tertentu sebagaimana
ditentukan oleh negara (David Barker, 1992: 1).

Bagi orang biasa, undang-undang difahami sebagai satu peraturan umum


mengenai perlakuan manusia. Menurut the Oxford English Dictionary,
undang-undang ialah ‘the body of enacted or customary rules recognized by
community as binding’. Walaupun begitu, perkataan undang-undang (law)
telah diberi pelbagai definisi oleh para sarjana.

Sir John Salmond misalnya dalam bukunya ‘Jurisprudence’, mendefinisi law


sebagai “the body of principles recognized and applied by the state in the
administration of justice… Oleh itu, dengan perkataan lain, undang-undang
mengandungi set peraturan yang diperakui dan dikuatkuasakan oleh
badan keadilan ataupun, undang-undang itu ialah satu set peraturan yang
dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa sesebuah negara.

John Austin dalam The Province of Jurisprudence Determined, melakarkan


undang-undang (law) sebagai satu set arahan yang dikuatkuasakan oleh
pihak atasan kepada pihak bawahan melalui hukuman. Pihak atasan ialah
27
negara (state) dan pihak bawahan ialah individu dalam negara tersebut.
Hukuman (sanctions) meliputi penjara, denda, ganti rugi, perintah injunksi
dan dikri-dikri tertentu (Lee Mei Pheng, 1989: 1).

Undang-undang kadangkala disebut juga sebagai hukum. Undang-


undang adalah aturan yang mengawal perjalanan hidup kita atau
masyarakat. Ia dibuat oleh kerajaan atau negara. Ada juga undang-undang
yang mengikut agama.

Undang-undang bertujuan agar kehidupan masyarakat menjadi aman dan


sejahtera. Undang-undang mengandungi perbuatan-perbuatan yang
dilarang atau ditegah, perbuatan-perbuatan yang perlu dan boleh
dilakukan. Jika ada seseorang yang tidak mematuhi larangan itu, dia akan
dihukum. Sekiranya terdapat orang yang tidak melakukan perkara-
perkara yang diarah oleh undang-undang, dia juga akan dihukum. Ada
juga undang-undang yang digunakan untuk memastikan semua pihak
mendapat hak-hak masing-masing (A.Aziz, 1995: 2).

2.2 KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG

Undang-undang perlu untuk mengawal manusia dan masyarakat.


Undang-undang akan memastikan setiap individu memperolehi hak
masing-masing. Tanpa undang-undang, kehidupan manusia tidak ubah
seperti masyarakat rimba. Siapa yang lebih kuat akan berkuasa ke atas
yang lemah.

Sang Singa akan memangsakan sesiapa sahaja yang disukainya sebab ia


adalah raja di rimba. Si lemah seperti pelanduk tidak boleh berbuat apa-
apa kecuali cuba melarikan dirinya. Anggota rimba yang lain tidak akan
menghukum Si Singa itu walaupun ia bersalah dan hak pelanduk terus
tidak akan terbela.

Kehidupan manusia dan haiwan tidak sama. Manusia mempunyai


kelebihan akal dalam menjalani kehidupannya. Manusia hidup
bermasyarakat dan bernegara. Nyawa dan pemilikan manusia perlu
dilindungi daripada sebarang bentuk penganiayaan dan kezaliman. Cara
dan kaedah melindungi kehidupan manusia inilah dikenali sebagai
undang-undang.

Undang-undang juga diperlukan sebagai mekanisme kawalan yang


penting dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi arus
pembangunan negara yang semakin pesat. Apabila negara semakin
membangun, berbagai-bagai masalah timbul. Kegiatan kehidupan
manusia di dalam masyarakat perlu dikawal agar kestabilan terus wujud.

28
Ketika inilah undang-undang mempunyai peranan secara formal untuk
mengawal perlakuan-perlakuan negatif yang semakin mengubah struktur
sosial (Anwarul Yakin, 1998: 29-35).

Selain itu, undang-undang berfungsi sebagai alat untuk menyelesaikan


masalah dalam masyarakat kerana masalah yang wujud memerlukan satu
alat alternatif yang sesuai untuk diaplikasikan bagi menamatkan
kekusutan atau pertelingkahan yang berlaku. Steven Vago (1996:14)
mencatatkan bahawa menurut Karl N. Lewlleyn, masyarakat
sememangnya tidak dapat lari daripada masalah seperti pertelingkahan
dan sebagainya yang harus diselesaikan. Semuanya bergantung kepada
undang-undang.

Fungsi sosial undang-undang ialah sebagai pembimbing kesejahteraan


hidup bermasyarakat. Setiap ahli masyarakat perlu mengikut undang-
undang yang dibentuk supaya kesejahteraan hidup dapat dicapai.
Undang-undang adalah untuk membimbing seluruh anggota masyarakat
dalam bertindak terhadap sesuatu keadaan. Melalui bimbingan undang-
undang, setiap individu dapat mengetahui bagaimanakah untuk
mengambil tindakan dalam menangani permasalahan yang sedang
dihadapinya.

Selain itu banyak lagi fungsi undang-undang sebagaimana yang kita alami
setiap hari. Bolehkah anda menambahkan lagi beberapa fungsi sosial
undang-undang ini?

Jelas sekali undang-undang sangat diperlukan dalam kehidupan harian


kita dalam masyarakat.

SOALAN DALAM TEKS 2.1

1. Apakah istilah-istilah yang mempunyai makna yang


serupa dengan undang-undang?
2. Bagaimanakah keadaannya jika masyarakat tidak
dikawal oleh undang-undang?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

29
2.3 SUMBER UNDANG-UNDANG

Menurut Suffian Hashim (1990:113) di Malaysia, terdapat lapan sumber


undang-undang, iaitu

1. Perlembagaan

Ia merangkumi sama ada Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan


Negeri. Perkara 4(1) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa
“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-
apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang
berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang
berlawanan itu.”

2. Statut

Statut meliputi sama ada akta, ordinan atau enakmen: Akta ialah undang-
undang bertulis yang diperbuat oleh Parlimen. Undang-undang bertulis
yang dibuat oleh Dewan-dewan Undangan Negeri dipanggil Enakmen,
kecuali bagi Sabah dan Sarawak ia dipanggil ordinan.

3. Perundangan subsidiari atau perundangan perwakilan

Perlembagaan Malaysia memberi kuasa perundangan kepada Parlimen


dan Dewan Undangan Negeri. Walau bagaimanapun hanya sebahagian
kecil perundangan yang dibuat secara langsung oleh badan perundangan
dan sebahagian besar perundangan kini dibuat oleh pihak eksekutif.
Pihak eksekutif membuat perundangan-perundangan tersebut melalui
kuasa yang diberikan kepada mereka oleh badan perundangan (Ahmad
Ibrahim, Ahilemah, 1992: 137).

Semasa merangka sesuatu perundangan, badan perundangan lazimnya


mengehadkan diri mereka kepada polisi-polisi awam dan polisi-polisi
mengenai perkara-perkara yang berkaitan sahaja dan memberi kuasa
kepada agensi yang lain untuk melaksanakan serta menjalankan polisi
yang telah dibuat. Ia merupakan undang-undang yang digubal oleh
badan atau individu yang diberi kuasa oleh undang-undang. Undang-
undang yang lahir daripadanya dipanggil peraturan, kaedah atau regulasi.

4. Keputusan hakim dalam sesuatu perbicaraan

Ia adalah keputusan hakim dalam perkara undang-undang yang dibuat


oleh hakim Mahkamah Tinggi yang belum diakas atau ditolak oleh
Mahkamah yang lebih tinggi daripadanya. Keputusan hakim itu akan
mengikat semua keputusan mahkamah rendah. Ia dikenali sebagai
doktrin duluan mengikat (Doctrine of Judicial Binding Precedent).
30
Keputusan-keputusan mahkamah ini menjadi sumber tidak bertulissdi
Malaysia. Itu pun sekiranya tiada undang-undang bertulis mengenainya.
Ini bermakna, hanya keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan
dan Mahkamah Persekutuan sahaja yang dijadikan sumber undang-
undang tidak bertulis.

Keputusan Mahkamah Persekutuan akan diikuti oleh Mahkamah Rayuan,


Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah-mahkamah Tinggi dan
Mahkamah bahawan. Keputusan Mahkamah Pesekutuan yang lepas akan
diikuti oleh Mahkamah Pesekutuan yang membicarakan kes yang sama
pada masa akan datang.

Keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi pula akan diikuti


oleh mahkamah-mahkamah bawahan yang lain. Walau bagaimanapun,
Mahkamah Tinggi lain tidak semestinya mengikut keputusan Mahkamah
Tinggi tersebut. Namun ia boleh memilih untuk mengikut keputusan
yang telah dicapai oleh seseutu Mahkamah Tinggi lain. Manakala
Mahkamah-mahkamah bawahan tidak perlu diikuti oleh mahkamah-
mahkamah bawahan yang lain, apatah lagi mahkamah yang lebih tinggi
hierarkinya.

5. Undang-undang Islam

Ia merupakan sumber hukum utama kepada kaum muslimin di Malaysia.


Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Hukum Islam
terpakai dalam semua aspek kegiatan hidup umat Islam. Ia merangkumi
aspek pentadbiran undang-undang Islam di bawah agensi Kerajaan yang
berkaitan agama Islam seperti Mahkamah Syariah, ibadat, jenayah,
kontrak, kemasyarakatan, harta, keluarga, pesaka, matrimoni dan
sebagainya.

Ia terkandung di dalam al-Quran, Hadis, undang-undang yang


dipersetujui oleh para ulama’ dan fuqaha’ serta yang terkandung dalam
adat setempat.

6. Undang-undang Hindu

Menurut orang-orang Hindu, sebahagian daripada undang-undang ini


datangnya daripada Tuhan dan sebahagian besarnya daripada adat. Ia
digunakan hanya untuk orang Hindu sahaja berkaitan dengan undang-
undang diri sahaja. Contohnya ialah sistem penyatuan keluarga Hindu
yang diiktiraf dan dikuatkuasakan oleh Mahkamah Sivil.

31
7. Undang-undang adat

Adat tempatan di Malaysia juga menjadi sumber undang-undang tidak


bertulis. Contohnya ialah adat Hindu akan digunakan bagi penganut
agama Hindu. Adat resam Cina akan digunakan bagi orang-orang Cina
dan adat-adat suku orang Asli pula digunakan sebagai salah satu undang-
undang untuk orang-orang Asli.

Adat Melayu yang tidak berlawanan dengan hukum Islam akan


digunakan sebagai sebahagian daripada undang-undang untuk orang
Melayu dan bumiputera yang beragama Islam. Adat Perpatih dan adat
Temenggung di Semenanjung Malaysia dan adat-adat tempatan di Sabah
dan Sarawak adalah adat Melayu yang digunakan lagi dan menjadi
sebahgian daripada undang-undang. Contoh terbaik ialah adat harta
sepencarian telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada undang-undang,
dan ia diiktiraf sebagai sebahagian undang-undang dan diiktiraf oleh
Undang-undang Islam. bagi memahami lebih lanjut mengenai persoalan
harta sepencarian ini, beberapa kes yang menarik bolehlah dirujuk seperti
Roberts lwn Ummi Kalthom [1966] 1 MLJ 163, Boto’ Binte Taha lwn Jaafar bin
Muhammad [1985] 2 MLJ 98 dan Zainuddin lwn Anita [1982] 4 J.H 73.

8. Common Law Inggeris dan peraturan ekuiti

Penggunaan kedua-dua sumber undang-undang ini adalah sebagaimana


yang diperuntukkan di dalam Akta Undang-undang Sivil 1956. Mengikut
Akta ini, Common Law dan peraturan ekuiti tersebut akan digunakan
kecuali terdapat peruntukan yang dibuat oleh undang-undang bertulis
tempatan. Ia juga digunakan setakat yang diizinkan oleh undang-undang
negeri-negeri di Malaysia dan penduduknya, serta bergantung kepada
keperluan tempatan.

Daripada senarai di atas, tiga sumber yang pertama dikenali sebagai


undang-undang bertulis, manakala bakinya ialah undang-undang tidak
bertulis.

Undang-undang tidak bertulis bukanlah undang-undang yang tidak


ditulis. Ia adalah sekumpulan undang-undang yang tidak melalui proses
perundangan formal iaitu melalui kelulusan dewan perundangan.

Undang-undang bertulis adalah undang-undang yang ditulis oleh


penggubal undang-undang, diluluskan oleh dewan perundangan dan
diterbitkan secara formal oleh Jabatan Percetakan Negara dan boleh
dibeli oleh sesiapa jua.

32
SOALAN DALAM TEKS 2.2

1. Berikan contoh akta, enakmen dan ordinan yang


ada. Kemukakan dua contoh bagi setiap satu.
2. Apakah contoh adat yang ada implikasi undang-
undang dan adat yang tidak mempunyai implikasi
undang-undang?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.4 PERLEMBAGAAN

Dalam pelajaran pertama perbincangan mengenai pengertian


perlembagaan telah pun dilakukan. Anda diharap dapat menguasainya
dengan baik. Terdapat pelbagai pendapat yang menjelaskan takrifan
perlembagaan ini. Abdullah Sanusi (1987:5) mengatakan perlembagan
ialah buku yang mengandungi undang-undang agung negara. Di dalam
perlembagan ada dinyatakan keunggulan politik, ekonomi, sosial dan
kebudayaan sesebuah negara. Ia berhasrat mengendalikan pentadbiran
kerajaan dengan licin dan saksama. Menurut Sheela (1994: 207)
perlembagaan ialah sekumpulan undang-undang dasar, yang menjadi
garis panduan kepada pemerintahan sesebuah negara. Daripada
perlembagaan lahir undang-undang lain. Perlembagaan mengandungi
peraturan yang menentukan struktur kerajaan dan kuasanya, sistem
kehakiman, hak asasi, kebebasan beragama, soal bahasa, syarat-syarat
kerakyatan dan pilihan raya.

Professor Dicey (1959) berpendapat bahawa Undang-undang


Perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja iaitu Prinsip Kedaulatan
Parlimen dan Prinsip Kedaulatan Undang-undang. Namun pandangan
ini disanggah oleh Tun Salleh Abas, Bekas Ketua Hakim Negara kita
(1997:1) dengan katanya: “Jika kita perhatikan perlembagaan sebuah
negara moden, lebih-lebih lagi Perlembagaan Malaysia, maka sudah tentu
takrif perlembagaan yang dibuat oleh Professor Dicey tidak mencukupi,
kerana apa yang terkandung di dalam perlembagaan itu bukan sahaja hal-
hal tentang parlimen dan hak asasi, bahkan berjenis-jenis perkara lain.”

Wheare. K.C. (1993) pula menjelaskan erti perlembagaan itu dengan


melihat kepada dua suasana. Pertama, dalam suasana biasa, perlembagaan
digunakan untuk memperlihatkan keseluruhan sistem kerajaan sesebuah
negara, satu himpunan kaedah-kaedah yang menubuh dan mengawal
33
kerajaan itu. Kedua, dalam pengertian yang lebih luas, perlembagaan
bermaksud kumpulan undang-undang, institusi-institusi dan adat-adat
yang yang berpunca daripada beberapa prinsip pemikiran tetap yang
membentuk sistem umum.

Oleh itu perlembagaan bukanlah satu undang-undang yang lapuk,


sebaliknya persepakatan warga negara yang mengikut suasana semasa. Ia
wujud daripada kehendak keadaan semasa yang diasaskan oleh kekuatan
sesebuah kerajaan yang memerintah dalam sesebuah negara. Justeru,
perlembagaan merupakan undang-undang dasar negara.

2.5 KEPENTINGAN PERLEMBAGAAN KEPADA NEGARA

Kewujudan perlembagaan memastikan kestabilan, keadilan dan


keharmonian negara dicapai. Ini kerana semua hal mengenai cara-cara
pemerintahan negara terkandung di dalam perlembagaan. Semua pihak
sama ada rakyat atau kerajaan mestilah menuruti lunas-lunas yang
ditetapkan oleh perlembagaan. Tanpanya sesuatu tindakan itu dianggap
sebagai tindakan tidak berperlembagaan. Ia mencegah mana-mana pihak
daripada bertindak sesuka hati dan sewenang-wenangnya. Oleh itui,
dengan adanya perlembagaan sesebuah negara dapat diperintah secara
sistematik, adil dan bertanggungjawab.

2.6 JENIS-JENIS PERLEMBAGAAN

Perlembagaan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya


adalah seperti berikut (Wheare.K.C,1993: 13):

a. Perlembagaan bertulis dan perlembagaan tidak bertulis

Perlembagaan bertulis adalah perlembagaan yang mana dokumennya


boleh diperolehi dalam sebuah buku tertentu. Perlembagaan jenis ini
terdapat di kebanyakan negara moden hari ini seperti Perlembagaan
negara kita. Perlembagaan tidak bertulis pula wujud berserakan dalam
pelbagai statut. Great Britain merpakan satu contoh negara yang
memiliki perlembagaan tidak bertulis ini.

b. Perlembagaan rigid dan perlembagaan fleksibel

Rigid atau fleksibelnya sesuatu perlembagaan itu bergantung kepada


senang atau susahnya ia dipinda. Terdapat negara yang memerlukan
referendum rakyat untuk meminda sesuatu perkara di dalam
perlembagaannya. Di Malaysia terdapat keadaan di mana ia memerlukan
sokongan dua pertiga anggota parlimen untuk meminda sesuatu perkara

34
di dalam perlembagaan. Terdapat juga keadaan yang memerlukan
kelulusan Majlis Raja-raja selain daripada sokongan majoriti di dewan
perundangan.

c. Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Unitari

Malaysia merupakan contoh negara yang memiliki Perlembagaan


Persekutuan. Malaysia mempunyai dua jenis kerajaan. Pertama kerajaan
negeri dan kedua kerajaan pusat atau kerajaan persekutuan. Negara
Britain hanya mempunyai satu kerajaan sahaja. Ia tidak mempunyai
kerajaan negeri.

d. Perlembagaan Berparlimen dan Perlembagaan Berpresiden

Pembahagian ini bergantung kepada jenis kerajaan yang terbentuk dalam


negara berkenaan. Jika ia mengamalkan sistem parlimen maka ia dikenali
sebagai Perlembagaan Perparlimen. Sekiranya tidak, berkemungkinan ia
dipanggil Perlembagaan Berpresiden.

e. Perlembagaan Panjang dan Perlembagaan Pendek

Jenis ini bergantung kepada berapa panjangkah kandungan sesebuah


perlembagaan itu? Jika rakyat sesebuah negara menetapkan untuk
menetapkan kandungan yang panjang di dalam perlembagaannya, maka
panjanglah perlembagaan negaranya, seperti di India. Sebaliknya di
Amerika Syarikat, perlembagaannya mengandungi tujuh perkara sahaja,
maka perlembagaannya tergolong di dalam jenis Perlembagaan Pendek.

SOALAN DALAM TEKS 2.3

1. Bagaimanakah anda mengkategorikan jenis


Perlembagaan Malaysia?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.7 KANDUNGAN PERLEMBAGAAN

Sebagai undang-undang utama sesebuah negara, perlembagaan


mengandungi pelbagai peruntukan. Antara lain, badan perundangan iaitu
Parlimen, badan pemerintah seperti jemaah menteri, mahkamah dan lain-
35
lain. Perlembagaan juga mengandungi peruntukan-peruntukan lain iaitu
kewarganegaraan, kebebasan asasi, agama, bahasa kebangsaan dan
sebagainya.

Berapa panjang atau pendek jumlah peruntukan di dalam perlembagaan


itu terserahlah kepada kehendak penduduk sesebuah negara yang
berhajat kepada perlembagaan itu. Amerika Syarikat umpamanya
mempunyai satu perlembagaan yang pendek sahaja, sebaliknya India
sebagai contoh mempunyai satu perlembagaan yang panjang dengan
pelbagai peruntukan di dalamnya.

2.8 CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Antara ciri-ciri asas Perlembagaan Malaysia adalah seperti berikut:

(i) Malaysia adalah sebuah persekutuan: Perlembagaan mengasaskan


Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan. Ini jelas sekali
terbayang di dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia terbentuk melalui gabungan beberapa buah kerajaan


negeri dan mempunyai sebuah kerajaan pusat.

Kerajaan Pusat terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, jemaah


menteri yang dipimpin oleh Perdana Menteri dan seluruh
anggota perkhidmatan awam.

(ii) Raja berpelembagaan: Yang di-Pertuan Agong merupakan


pemerintah tertinggi dalam negara Malaysia. Walaupun begitu,
baginda tidak menjalankan pemerintahan secara bersendirian dan
secara langsung. Baginda dan raja-raja di peringkat negeri
memerintah dengan nasihat para eksekutif iaitu Perdana Menteri
dan kabinetnya serta pihak yang diberikan kuasa di peringkat
Persekutuan, manakala Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Negeri
serta pihak yang diberi kuasa di peringkat negeri.

Tun Sufian (1990: 15-6) menulis: “Di dalam negara yang


mengamalkan pemerintahan raja berperlembagaan, selalunya
Perdana Menteri yang dipilih akan dipersalahkan atas dasar-dasar
yang tidak popular dan menghadapi risiko digantikan oleh orang
lain dalam sesuatu pilihan raya. Perdana Menteri datang dan
pergi, tetapi raja kekal buat selama-lamanya”.

(iii) Negara Demokrasi berparlimen: Malaysia mengamalkan bukan


sahaja sistem demokrasi tetapi juga demokrasi berparlimen.
Sistem demokrasi bertnunjangkan amalan pilihan raya untuk

36
memilih perwakilan. Perwakilan yang dipilih ke parlimen akan
membentuk kerajaan yang akan memerintah negara. Para
perwakilan ke dewan perundangan ini juga mempunyai kuasa
menggubal undang-undang yang akan diguna pakai di dalam
negara.

(iv) Islam agama Persekutuan: Islam telah ditetapkan menjadi Agama


Persekutuan. Namun begitu kebebasan beragama tetap dijamin.

(v) Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi: Perkara


4 Perlembagaan Persekutuan menonjolkan satu ciri khusus
kepada Perlembagaan ini iaitu ia adalah undang-undang tertinggi
dalam negara.

(vi) Pengasingan kuasa: Tiga cabang kuasa yang dibahagikan


dikendalikan oleh badan legislatif, badan eksekutif dan badan
kehakiman

2.9 PERKEMBANGAN PERLEMBAGAAN: PERANCIS,


USA DAN ISLAM

Peranhis: Perancis merupakan salah sebuah negara kubu tradisi


pengamal demokrasi di barat. Sejak revolusi 1789, Peranchis mempunyai
tiga pemerintahan monarki, dua pemerintahan diktator, tiga
pemerintahan penjajah dan lima pemerintahan republik. Justeru itu,
setiap kali pertukaran bentuk pemerintahan, berlakulah perubahan
terhadap perlembagaan.

Walaupun Perancis kerap mengalami perubahan perlembagaan yang


menunjukkan sistem demokrasinya tidak stabil, namun keadaan
ekonominya teguh ekoran wujudnya persaingan kuasa dalam
pentadbiran antara institusi politik dengan perkhidmatan awam.
Perlembagaan Peranchis membahagikan kuasa pemerintahan kepada tiga
bahagian iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Perlembagaan Peranchis seperti juga perlembagaan negara lain


berperanan mengesahkan sistem politik dan sosialnya. Tujuannya ialah
untuk memberi kedudukan yang sewajarnya kepada kuasa kerajaan dan
hak rakyat. Sejak dari tahun 1791 hingga 1958, Peranchis mempunyai 16
perlembagaan. Bagaimanapun tidak satu pun dapat bertahan lama. Malah
dua daripadanya (1793 – 1814) tidak dapat dikuatkuasakan langsung
(Atory, 1996: 89).

Setiap kali revolusi yang berlaku membawa perubahan kepada


perlembagaan dan sistem kerajaan, contohnya:

37
1. Revolusi tahun 1930 telah mewujudkan piagam baru bagi
kerajaan monarki.
2. Revolusi tahun 1948 telah menubuhkan republik Kedua.
3. Coup d’etat atau rampasan kuasa oleh Louis Napoleon yang
menjadi maharaja dengan gelaran Napoleon III mewujudkan
perlembagaan 1852.
4. Revolusi 1870 mewujudkan perlembagaan Republik Ketiga.
5. Kejatuhan Republik Keempat pada 1958 mewujudkan
perlembagaan 1958 yang dikenali sebagai Perlembagaan De
Gaulle di bawah Republik Kelima.

Perlembagaan De Gaulle merupakan perlembagaan Republik yang


pertama dan yang dibahaskan serta digubal di Parlimen. Ia diterima oleh
negara Peranchis pada 28 September 1958 melalui satu pungutan suara.
Ia digubal secara kolektif oleh sekumpulan ahli parlimen, menteri
kehakiman dan Jeneral De Gaulle (Wright, 1978: 22).

Dua tema penting yang diambil kira oleh para penggubal semasa
menyiapkan perlembagaan ini iaitu keperluan meletakkan kuasa negara di
bawah kepimpinan sebuah badan eksekutif yang kuat dan pembentukan
sebuah parlimen yang mempunyai kuasa politik dan perundangan yang
terhad. Daripadanya akan terbentuk sebuah kerajaan yang mengamalkan
Sistem Parlimen tetapi Parlimen itu tidak boleh menguasai badan
eksekutif (Macridis, 1975: 5).

Perlembagaan ini membentuk sebuah pemerintahan berasaskan tiga


institusi utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan
kehakiman.

Badan eksekutif diketuai oleh seorang Presiden yang menguasai


pemerintahan dan menjadi ketua negara. Ia berperanan dalam adat
istiadat, mengetuai Majlis Menteri, menandatangani undang-undang dan
keputusan terpenting. Presiden mempengerusikan mesyuarat Majlis
Tertinggi Kehakiman dan melantik sembilan orang ahlinya.

Badan eksekutif dianggotai oleh para Menteri Kabinet yang diketuai oleh
Perdana Menteri. Perdana Menteri dilantik oleh Presiden setelah
dipersetujui oleh anggota Parlimen.

Badan perundangan berbentuk dwidewan yang terdiri daripada Dewan


Perhimpunan Kebangsaan dan Dewan Senat. Kedua-dua dewan ini
dipengerusikan oleh presiden masing-masing. Dewan Perhimpunan
Kebangsaan dianggotai oleh ahli-ahli yang dipilih melalui pilihan raya
untuk lima tahun sepenggal manakala Dewan Senat dianggotai oleh ahli
yang dilantik untuk tempoh sembilan tahun sepenggal.

38
Badan Kehakiman pula bertanggungjawab kepada Majlis Perlembagaan
yang dianggotai oleh sembilan orang hakim dan semua bekas Presiden.
Majlis Perlembagaan ini berperanan menentukan proses pilihan raya dan
sistem perundangan berjalan dengan lancar. (Ahmad Atory, 1996: 91)

Amerika Syarikat: Amerika Syarikat merupakan sebuah tanah jajahan


British dan telah mencapai kemerdekaan melalui revolusi pada tahun
1776. Kebudayaan Amerika Syarikat berasaskan kebudayaan bangsa
Eropah.

Warisan politik Amerika Syarikat berasal dari Britain yang telah mencapai
integrasi politik sejak abad ke-17. Ia telah menubuhkan sistem politik
demokratik dengan sistem persekutuan dan seorang presiden yang
dipilih sebagai ketua kerajaan dan ketua negara.

Kongres Amerika Syarikat, sebagaimana Parlimen Malaysia terdiri


daripada dua dewan utama yang mempunyai pemimpinnya yang
tersendiri. Dewan Senat diketuai oleh Naib Presiden Amerika Syarikat
dan Presiden protempore, manakala Speaker mengetuai Dewan Perwakilan.
Kedua-dua dewan mempunyai pemimpin majoriti dan minoriti masing-
masing yang dipilih dari kalangan ahli masing-masing. Pemilihan
berdasarkan kepada kriteria pengetahuan dan pengalaman mereka yang
luas (Ahmad Atory, 1996:52).

Senator merupakan gelaran kepada ahli Senat yang merupakan


perwakilan setiap negeri. Setiap negeri diwakili oleh dua orang senator.
Bilangan keanggotan kedua-dua dewan semakin bertambah dari semasa
ke semasa.

Menurut Perlembagaan Amerika Syarikat, anggota Dewan Perwakilan


dipilih bagi tempoh dua tahun, manakala anggota Dewan Senat dipilih
setiap enam tahun sekali. Jika seseorang ahli Dewan Perwakilan
meletakkan jawatan, maka gabenor negeri berkuasa untuk mengadakan
satu pilihan raya baru bagi menggantikan ahli tersebut. Gabenor negeri
juga berkuasa melantik seorang senator yang baru.

Kelayakan yang ditentukan oleh Perlembagaan kepada mereka yang ingin


bertanding merebut kerusi di Dewan Perwakilan sekurang-kurangnya
berumur 25 tahun dan menetap di Amerika Syarikat sekurang-kurangnya
tujuh tahun, dan ahli Dewan Senat sekurang-kurangnya 30 tahun dan
menetap di Amerika Syarikat selama sembilan tahun.

Menurut Perlembagaan Amerika Syarikat, ahli-ahli Kongres bebas


bersuara dan mengemukakan pandangan dalam perbahasan yang
diadakan. Mereka tidak boleh ditahan kecuali jika menimbulkan sesuatu

39
yang boleh mengancam keselamatan negara. Namun begitu, Mahkamah
Agung berkuasa menyiasat ahli Kongres atas dakwaan menerima rasuah
dan terlibat dalam penyelewengan semasa pilihan raya. Kongres
mempunyai kuasa menyingkir anggotanya jika tindakannya kurang
berdisiplin dan meragukan setelah mendapat undi majoriti dua pertiga.

Kongres merupakan badan perundangan yang bertanggung jawab


menggubal dan melaksanakan undang-undang. Walaupun Presiden
merupakan ketua perundangan, tetapi kongres mempunyai kuasa
menolak ataupun menerima sebarang cadangan yang dikemukakan oleh
Presiden. Oleh itu, nampaknya segala kuasa dipusatkan kepada Kongres,
sebagaimana diperuntukkan di dalam Artikel 1, Perlembagaan Amerika
Syarikat: “All the legislative power herein granted shall be vasted in a congress…”

Islam: Sahifah Madinah atau Piagam Madinah merupakan perjanjian


yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w di kalangan penduduk
Madinah dalam rangka membina masyarakat di sana. Ia merupakan suatu
perlembagaan bagi penduduk Madinah yang mengawal kehidupan
bermasyarakat semua warganya. Ia merupakan perlembagaan bertulis
terawal di dunia ini.

Dr. Mahyuddin (1998:98) menulis, setelah Nabi Muhammad berjaya


menyatu-padukan orang Muhajirin dan Ansar, langkah selanjutnya ialah
mewujudkan sebuah piagam untuk dijadikan panduan bagi membentuk
sebuah negara berdaulat. Ia dirangka berdasarkan bimbingan wahyu serta
norma-norma masyarakat Madinah ketika itu yang dihuni oleh orang-
orang Islam dan bukan Islam yang kebanyakannya terdiri daripada orang-
orang Yahudi.

Menurut Ibn Ishak dan Ibn Hisyam, piagam atau sahifah merujuk kepada
dokumen, kanun, piagam atau perjanjian bertulis mengenai hak dan
tanggungjawab pemerintah dan orang yang diperintah (Mahyuddin, 1998:
101). Sahifah ini telah menggariskan prinsip-prinsip umum mengenai
dasar pentadbiran masyarakat dan negara Madinah yang didiami oleh
pelbagai kaum, puak dan kepercayaan berdasarkan keperluan semasa.
Secara ringkas, kandungannya adalah seperti berikut:

a. Wahyu Allah yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.


merupakan sumber utama undang-undang negara.
b. Masyarakat berbilang agama dan keturunan di Madinah dianggap
sebagai sebuah masyarakat (ummah) yang mempunyai kewajipan
dan tanggung jawab yang sama terhadap negara Islam Madinah.
c. Nabi Muhammad s.a.w. adalah pemimpin masyarakat dan ketua
negara.
d. Semua anggota sahifah mempunyai hak dan kebebasan beragama.

40
e. Setiap anggota sahifah mestilah menjalinkan hubungan yang erat
sesama mereka tidak kira agama atau keturunan
f. Fungsi sahifah ialah menegakkan keadilan dan membanteras
kezaliman, dan,
g. Memberikan jaminan keselamatan terhadap orang bukan Islam
yang mengganggotai dan mematuhi peraturan-peraturan sahifah.

Secara keseluruhannya Piagam Madinah ini mempunyai unsur-unsur


berikut:

a. Menentukan kebebasan berakidah


b. Mempertahankan kebebasan berfikir
c. Mempastikan kesucian Kota Madinah
d. Menjamin keselamatan nyawa dan harta benda
e. Mencegah daripada perkara mungkar seperti kecurian, kezaliman,
pembunuhan dan seumpamanya.

Sesungguhnya Piagam Madinah membolehkan Nabi Muhammad s.a.w.


membina sebuah negara Islam yang aman damai yang terdiri daripada
penduduk pelbagai kaum, agama dan keturunan di Madinah. Piagam ini
berguna dalam kerangka Baginda membangunkan negara berdaulat. Ia
membantu mewujudkan peraturan tatanegara dalam menyelesaikan
masalah penduduk Madinah. Ia merupakan peraturan dan perlembagaan
bertulis pertama di dunia (Mahyuddin, 1998: 105).

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Bincangkan peranan undang-undang dan perlembagaan dalam


sistem pentadbiran negara

2. Adakah Perlembagaan Malaysia mempunyai ciri-ciri


perlembagaan yang baik? Bagaimanakah anda menilainya?

3. Sejauhmanakah keadaan negara kita terkawal melalui


Perlembagaan yang ada pada hari ini?

4. Bincangkan kelebihan-kelebihan Piagam Madinah berbanding


perlembagaan-pelembagaan lain yang ada.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

41
JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 2.1

1. Istilah-istilah yang mempunyai makna yang serupa dengan


undang-undang ialah hukum, peraturan, set arahan dan perintah
suruhan atau tegahan.

2. Setiap anggota bebas bertindak bersendirian mengikut


kehendaknya sendiri sekiranya masyarakat tidak dikawal oleh
undang-undang. Kesannya akan menjejaskan keharmonian hidup
bersama.

SDT 2.2

1. Contoh akta ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) dan


Akta Keganasan Rumahtangga (1994). Contoh enakmen ialah
Enakmen Keluarga Islam Negeri Kedah (1979) dan Enakmen
Aturcara Mal Islam Negeri Kedah (1979). Contoh Ordinan pula
ialah Ordinan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (1950) dan
Ordinan Askar Persekutuan (1952).

2. Satu contoh adat orang–orang Melayu yang mempunyai implikasi


undang-undang ialah Adat Harta Sepencarian, manakala adat
yang tidak mempunyai kesan undang-undang ialah tidak mengapa
jika tidak melaksanakan adat berendoi bagi anak yang baru lahir.

SDT 2.3

1. Perlembagaan Malaysia merupakan satu perlembagaan bertulis


kerana ia boleh didapati dalam satu dokumen yang tersusun.
Perlembagaan ini agak rigid kerana sukar untuk memindanya.
Terdapat keadaan yang memerlukan bukan sahaja undi dua per
tiga anggota Majlis Perundangan tetapi juga memerlukan
persetujuan Majlis Raja-raja. Perlembagaan Malaysia adalah satu
perlembagaan berparlimen untuk sebuah negara persekutuan.

42

Anda mungkin juga menyukai